Tuesday, January 30, 2007

Perhubungan dalam keluarga mempengaruhi sindrom lelaki malas

Keluarga adalah agen sosialisai yang sangat penting bagi membentuk norma, nilai, kepercayaan, bahasa, ideologi, artifak, kemahiran hidup dan emosi seseorang (Che Hasniza,2006). Pada masa yang sama, institusi keluarga berperanan membetulkan minda dan menentukan sikap yang dikehendaki oleh ahli keluarga yang lain. Justeru itu, malas adalah kesan daripada proses sosialisasi yang diterima oleh seseorang sejak kecil dan amat bergantung kepada bentuk sosialisasi tersebut.

Pendidikan adalah elemen utama yang menjadi daya penggerak kepada perubahan sikap dan tingkah laku manusia. Seorang pelajar yang dikatakan malas, akan bertukar menjadi pelajar yang bijak dan rajin jika diberi perhatian dan kata-kata rangsangan serta melalui proses pengubahsuaian yang berbagai-bagai. Bermula dari menetapkan matlamat dalam belajar, beliau juga diminta mentaati disiplin masa dan melaksanakan kemahiran-kemahiran yang wajib bagi seorang pelajar. Kaedah latihan dan pembelajaran yang dilalui oleh pelajar ini akhirnya akan membentuk tabiat dan budaya hidup sehinggalah beliau bekerja kelak. Keadaan lelaki berkeluarga yang malas bekerja ada kaitan dengan proses latihan yang dilalui dalam keluarganya dan artikel ini akan membincangkan bagaimana hubungan kekeluargaan yang dibina menjurus kepada pembentukan watak lelaki malas.

Kajian yang dilakukan oleh Cowdery dan Knudson-Martin (2005) berkaitan pengukuhan peranan keibubapaan dalam interaksi seharian boleh menjelaskan tentang peranan dan bentuk asuhan boleh membantu hubungan yang lebih baik bagi memantapkan perkembangan mental dan fizikal anak-anak. Mereka telah memperkenalkan dua model yang dapat memberi penerangan kenapa terdapat perubahan dalam peranan keibubapaan yang menyebabkan beberapa perubahan kepada anak-anak. Model berkenaan ingin menjelaskan bagaimana peranan (tasks) dan hubungan (relationship) memainkan fungsi untuk membentuk nilai, sikap dan kecenderungan ibu dan bapa terhadap anak mereka.

Model pertama ialah keibuan sebagai bakat gender (Mothering as a gendered talent). Model ini menyatakan hubungan ibu dan anak lebih kuat dan mesra berbanding hubungan bapa dan anak. Ibu membina hubungan secara langsung dan diperkukuhkan melalui empat proses iaitu; (a) kepercayaan bahawa ibu mempunyai hubungan semula jadi dengan anak, (b) bapa yang mengalah, (c) ibu mempunyai masa yang lebih banyak bersama anak, dan (d) ibu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berterusan.

Model kedua ialah keibuan sebagai kerjasama yang disedari (Mothering as conscious collaboration). Model ini yakin kesaksamaan sangat penting dalam keluarga. Peranan bapa membangunkan anak-anak seterusnya membina hubungan yang mesra dengan mereka. Asas kepada model ini ialah; (a) tanggungjawab dikongsi bersama, (b) perbezaan biologi boleh diganti (dalam melaksanakan peranan), (c) bapa memainkan peranan, (d) bersedia untuk belajar, dan (e) ibu tidak mencelah.

Hasil kajian ke atas kedua-dua model ini menunjukkan model kedua lebih banyak diamalkan oleh pasangan muda (kurang dari lima tahun perkahwinan). Satu alasan yang kukuh ialah peranan keibuan ini memberi banyak kuasa kepada kedua-dua pihak untuk meningkatkan hubungan dan komunikasi sesama sendiri dan dengan anak-anak.

Keibuan (mothering) tidak harus disamakan dengan keibubapaan (parenting) kerana keibuan adalah peranan dan tanggungjawab yang harus dilakukan dari sudut ibu yang mana bapa juga turut menyumbang kepada kejayaan keibuan. Walau bagaimanapun kedua-dua aspek ini sangat memberi kesan ke atas bentuk komunikasi keluarga dan hala tuju hubungan sesebuah keluarga. Rosle Abbas (2001, dalam Che Hasniza, 2006) menyatakan masalah sosial di kalangan remaja semakin meruncing kerana komunikasi keluarga yang tidak berkesan dan menyumbang kepada ketidakfungsian keluarga. Dalam erti kata yang berbeza, masalah akan timbul jika institusi keluarga tidak dapat diuruskan dengan baik dan salah satu daripada ketidakfungsian berkenaan adalah komunikasi keluarga. Masalah ini akan merebak ke isu-isu lain yang lebih besar seperti masalah sosial dan lelaki malas bekerja. Bukan sahaja lelaki berkeluarga malas bekerja, terdapat juga wanita yang berkeluarga malas bekerja dan menyerahkan keperluan hidup kepada lelaki.

Sama ada lelaki atau wanita yang malas bekerja, pola komunikasi keluarga mempengaruhi cara gaya mereka membesar. Che Hasniza (2006) mengklasifikasikan pola komunikasi ini kepada dua iaitu orientasi perbualan dan orientasi konformiti.


1. Orientasi perbualan

Pola jenis ini memberi kebebasan untuk meluahkan idea, perasaan dan lebih bersifat terbuka. Anak-anak yang melalui kaedah ini dapat membina pandangan mereka sendiri mengenai kehidupan dan melihat masa depan adalah cerah. Mereka membesar dengan memberi minat yang mendalam kepada politik, hubungan luar, pendedahan kepada surat khabar, perbualan politik atau gosip. Komunikasi jenis ini memperlihatkan kebebasan aliran maklumat dan menganggap peluahan fikiran adalah perlu.

Tolak ansur menjadi kunci kepada kejayaan pelaksanaan komunikasi dalam keluarga yang mengamalkan pola ini. Ibu, bapa dan anak melihat keharmonian lebih diutamakan daripada rasa tidak puas hati dan persengketaan. Mereka boleh berbincang secara terbuka dan pada masa yang sama menghormati status dan menjaga maruah setiap ahli yang ada. Perkembangan secara sihat dapat memberi ruang dan peluang kepada anak-anak untuk memilih dan membuat pilihan secara bebas setelah menerima pelbagai pandangan dari ibu dan bapa. Juga tidak dikongkong untuk membuat satu-satu pilihan sebaliknya keputusan berkenaan adalah secara rasional dan mempunyai asas yang kukuh.

Bagaimanapun pola ini mempunyai kelemahan dari aspek melindungi ahli yang terkeluar daripada nilai-nilai yang disepakati dan dihormati bersama. Ini jelas berlaku kerana banyak maklumat yang diperolehi bermakna banyak alasan yang boleh dikemukakan untuk melindungi ahli yang tidak sehaluan.


2. Orientasi konformiti

Pola jenis ini menjurus kepada peranan kuasa yang ada pada ibu bapa digunakan sepenuhnya untuk menentukan hala tuju dan peranan anak-anak pada masa hadapan. Aspek yang diberikan ialah kepatuhan pada arahan yang menjadi elemen kawalan terkuat bagi ibu bapa untuk mengawal pemikiran, sikap dan tingkah laku anak-anak. Justeru, pola ini lebih menekankan nilai-nilai tradisional, kepatuhan pada kuasa dan seboleh-bolehnya cuba untuk mengelakkan konflik yang boleh menggugat keharmonian dalam rumah tangga.

Autoriti adalah kunci kepada pola komunikasi konformiti kerana ibu bapa merasakan mereka lebih layak untuk menentukan apa yang harus dilakukan oleh anak-anak. Kebaikan dan keburukan penggunaan autoriti sangat bergantung kepada kebijaksanaan ibu bapa mengendalikan kuasa yang ada kerana anak-anak pada hari akan menjadi ”pemberontak” jika mereka rasa tercabar dan terlalu mengongkong.

Di samping itu, konformiti tidak menggalakkan pluralistik kerana dianggap akan menjejaskan autoriti yang ada pada ibu dan bapa.

Komunikasi keluarga yang ada di dalam masyarakat dari dahulu hingga sekarang sentiasa berubah-ubah dan boleh menganggu kesejahteraan keluarga. Perubahan nilai, budaya, sikap dan pemikiran akan menjurus kepada perubahan komunikasi keluarga seterusnya perubahan peranan lelaki dan wanita yang telah berkeluarga. Perkembangan pesat sektor perindustrian dan kemodenan telah menjadikan kawasan luar bandar merasai limpahan pembangunan khususnya penghijrahan dari luar bandar ke bandar. Pembukaan kawasan penempatan baru telah mendorong masyarakat luar bandar untuk mengubah kehidupan mereka. Penghijrahan ini turut ”menghijrahkan” minda mereka untuk melihat perkembangan pesat di bandar bersama peluang yang diberikan. Slogan hidup di bandar ialah ”Siapa kuat dialah juara” adalah manifestasi kegigihan masyarakat yang berfikir dan bekerja.

Media turut berperanan memberi peluang kepada masyarakat luar bandar mengintai peluang pekerjaan di bandar kerana banyak iklan kerja yang didapati secara terus dengan syarikat berkaitan melalui nombor telefon. Harga telefon bimbit yang murah dan kos panggilan rendah menjadikan maklumat sentiasa beredar dengan cepat dan mengubah cara berfikir dan bertindak semua golongan masyarakat.

Bagi lelaki yang malas bekerja dan mengharapkan peranan mencari wang diserahkan kepada wanita, ia adalah kesan daripada perubahan paradigma pemikiran. Besar kemungkinan mereka menggunakan model keibuan kedua yang sedikit sebanyak mengundang kepada keinginan lelaki untuk cuba menjelajah peranan wanita sebagai ibu. Di kampung, lelaki yang malas bekerja ini bukan sekadar malas hendak mengetahui peranan wanita malah banyak menghabiskan masa tanpa berusaha mencari wang ringgit.

Penyakit sebenar ialah minda yang terbiar. Otak mereka dibiarkan tanpa diisi dengan agenda yang boleh membina kehidupan sendiri. Justeru itu, kita menggalakkan supaya mereka ini diberi kursus atau kaedah ”Pemulihan Otak Terbiar” atau singkatannya POT supaya tidak memalukan lelaki-lelaki lain yang bersifat jantan.

Pada masa yang sama, program POT ini dapat meningkatkan aspirasi hidup mereka supaya ruang kemalasan akan menjadi kecil dan menguncup. Sebaliknya ruang berdikari dan kerajinan akan terbuka, lebih besar dan mekar sepanjang masa.


Rujukan

Che Hasniza Che Noh.2006. Komunikasi Asas Kesejahteraan Keluarga. PEMIKIR Julai-September.

Cowdery, R.S dan Knudson-Martin, C.2005. The Construction of Motherhood : Tasks, Relational Connection and Gender Equality. Interdisciplinary Journal of Aplied Studies. July 2005 Number 3, Vol. 54. USA: Blackwell Publishing.

No comments:

Post a Comment