Negara Brunei Darussalam menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-23 pada hari ini, 23 Februari 2007 dengan penuh kemeriahan. Sebuah kemerdekaan sangat berharga dan perlu disyukuri. Pencapaian Brunei Darussalam sejak merdeka daripada British pada 1 Januari 1984 sehingga ke hari ini sangat membanggakan, dan hadir sebagai satu bangsa yang turut bersama-sama dalam perkembangan arus perdana kemajuan dunia. Brunei, sebuah negara yang sedang pesat membangun berjaya melakar sejarah kegemilangan tersendiri untuk berada antara kelompok negara yang aman, selamat dan makmur. Sejak 1929, apabila minyak dijumpai, Brunei berkembang sebagai negara pengeluar minyak utama di Asia Tenggara. Kemajuan ini telah menarik ramai profesional dan pekerja asing untuk bersama-sama membangunkan ekonomi dan memacu perdagangan yang telah mula dipelbagaikan sejak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenalkan reformasi ekonomi pada tahun 2000.
Jumlah penduduk yang semakin bertambah (anggaran 380,000 orang pada Julai 2006), Brunei berada dalam kategori tersendiri bagi menentukan corak dan hala tuju negara dalam cabaran globalisasi iaitu istilah yang dijelmakan daripada kesan-kesan perkembangan ekonomi dunia. Bermula dengan kapitalisme yang digerakkan oleh Revolusi Perindustrian di Eropah, kemudian beralih kepada kolonialisme kerana memenuhi permintaan negara-negara perindustrian yang memerlukan bahan mentah. Era penjajahan berakhir setelah berlaku dua perang besar yang menyaksikan peralihan kuasa ekonomi dunia dari Eropah ke benua Amerika. Tekanan Amerika Syarikat ke atas negara-negara penjajah menyaksikan satu demi satu negara di Timur, Asia Barat dan Afrika bebas dari cengkaman penjajahan dan mula mengorak langkah membina kembali negara mereka setelah mendapat kebebasan.
Kemodenan dipacu oleh Amerika Syarikat yang melahirkan negara perindustrian baru seperti Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Kemajuan teknologi maklumat menjadikan sempadan negara bangsa semakin samar dan mencetuskan perubahan ke atas teknologi, informasi, budaya dan cara hidup sebilangan besar masyarakat dunia. Globalisasi atau sering ditakrifkan sebagai dunia tanpa sempadan telah menerobos masuk ke dalam semua aspek kehidupan masyarakat dengan mendesak integrasi sosial. Pada masa yang sama melemahkan identiti bangsa yang sedia ada.
Pengaliran masuk budaya dan nilai Barat sangat sukar disekat telah menjadi ancaman kepada nilai-nilai dan budaya masyarakat tradisi yang mempertahankan jati diri, kesucian akal dan keluhuran akhlak. Globalisasi memberi ruang kepada Amerika Syarikat dan Eropah mengeksport dua komoditi utama iaitu maklumat dan budaya hidup mereka. Elemen ketiga ialah pemikiran yang semestinya bertentangan dengan cara berfikir masyarakat kita. Brunei, dengan sejarah panjang sebagai negara yang didominasi oleh peraturan Islam dan budaya Melayu, tidak dapat lari daripada berdepan dengan era globalisasi ini.
Cabaran globalisasi sangat besar. Merangkumi semua sektor dan aspek kehidupan khususnya perkhidmatan kerajaan. Peranan kerajaan untuk menggerakkan ekonomi semakin tertekan kerana desakan ekonomi dunia yang saling bergantung dan keperluan untuk meningkatkan daya saing. Justeru, kuasa dalam susunan pemerintahan mempunyai hubungan rapat dengan perkembangan ekonomi global seperti Kementerian Kewangan. Negara-negara pelabur mula mencari pasaran buruh yang lebih murah bagi mengurangkan kos kerana globalisasi mewujudkan persekitaran persaingan yang sengit. Contohnya, pembukaan ekonomi China kepada pelabur asing menyebabkan pelabur sedia ada di negara-negara membangun memindahkan operasi pengeluaran mereka ke China. Kos buruh yang lebih murah di China menjadi penghalang kepada penawaran peluang pekerjaan kepada rakyat di negara-negara membangun yang lain.
Brunei Darussalam, setelah 23 tahun menyambut kemerdekaan, tidak dapat lari daripada turut merasai tempias globalisasi yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali. Ancaman globalisasi yang utama ialah menjejaskan usaha kerajaan bagi mengatasi jurang kemiskinan, mengimbangi ketidakseimbangan sosial dan meningkatkan kesejahteraan seluruh masyarakat.
Memperkasa keupayaan bangsa mesti berteraskan nilai-nilai kerohanian dan moral bangsa. Pendekatan menerapkan nilai-nilai agama telah lama dilaksanakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan iaitu sejak tahun 1932 apabila pelajaran agama diperkenalkan di Sekolah Melayu. Seterusnya pada tahun 1994, Projek Al-Quran dan Pengetahuan Islam (PAI) dijalankan di sembilan buah sekolah rendah terpilih. Dari semasa ke semasa, kerajaan Brunei sentiasa mengemas kini sistem pendidikan agama agar selari dengan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh bangsa Brunei. Masyarakat Barat tidak melihat keruntuhan nilai dan moral sebagai keperluan kerana mereka hidup di dalam masyarakat individualistik dan kebendaan yang menjadi keutamaan. Pemisahan di antara agama dan negara memberi masalah baru kepada dunia Barat iaitu penguncupan kadar kelahiran seiring dengan perubahan nilai yang sedang berlaku.
Barat yang mementingkan pencapaian individu sangat sarat dengan nilai-nilai kebebasan yang berada di luar sempadan agama. Seharusnya keadaan ini tidak menjangkiti masyarakat Brunei yang memegang utuh hukum-hakam beragama yang menjadi teras kepada pembentukan nilai dan budaya hidup.
Kita bersyukur kerana Brunei Darussalam telah dapat mengecapi kemajuan dan menjadi sebuah negara yang disegani ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-23 ini. Kejayaan menganjurkan Asia-Pacific Cooperation (APEC) pada tahun 2000 adalah pencapaian yang membanggakan kerana dapat menemukan pemimpin-pemimpin utama dunia. Ini memberi gambaran betapa bangsa Brunei boleh pergi lebih jauh dengan menganjurkan pelbagai persidangan, mesyuarat dan pertemuan peringkat antarabangsa. Keyakinan ini memberi mesej bahawa masyarakat Brunei sebenarnya mampu bersaing di peringkat global. Rasa bangga sebagai “orang Brunei” mesti dizahirkan kerana Brunei Darussalam dipuji sebagai negara yang aman, selamat dan pesat membangun.
Sistem pendidikan negara yang dimulakan sejak tahun 1914 telah melahirkan sebilangan besar golongan berpendidikan dan kelas menengah yang dinamik dan progresif. Pelaksanaan Skim Rintis Sistem Pendidikan Bersepadu pada 2004 di 56 buah sekolah adalah pemangkin kepada keperkasaan bangsa. Pendita Za’ba, tokoh pejuang pendidikan di Malaysia pernah mengungkap bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri, tidak pernah luntur semangat perjuangannya untuk mendidik bangsa Melayu melalui pendidikan formal. Sebuah negara merdeka, pendidikan di Brunei harus diberi keutamaan jika mengingini kemajuan kerana pendidikan adalah kunci kepada pengekalan persaingan yang menggerakkan rantaian nilai-nilai murni. Pengenalan nilai dan budaya baru yang progresif dalam pendidikan akan lebih berkesan melalui program perkembangan sahsiah diri yang boleh diterapkan dalam kegiatan kokurikulum pelajar di semua peringkat. Dari sinilah rantaian nilai-nilai kecemerlangan akan bergerak seperti ombak dan dikatakan kejayaan akan membiakkan kejayaan dalam rantaian yang tidak putus-putus.
Pendidikan turut membina jati diri generasi muda bangsa yang ingin berjuang ke peringkat antarabangsa. Jati diri ialah unsur-unsur kehidupan yang mencerminkan sifat lahiriah individu atau masyarakat. Pengertian lain bagi jati diri ialah identiti individu, masyarakat dan negara bangsa yang memiliki ciri-ciri keutuhan yang dibanggakan. Oleh itu, jati diri bangsa yang merdeka ialah keupayaan penguasaan teknologi maklumat yang pantas dan sentiasa menjadikan setiap kejayaan mengikut keperluan negara. John Naisbitt mengulas mengenai negara yang mampu bersaing sebagai, “modern technology allows people to find quicker, more efficient, more pragmatic ways to achieve whatever they want to.”
Pencapaian tahap pendidikan negara yang diperjelaskan melalui Falsafah Pendidikan adalah untuk melahirkan rakyat yang sempurna, membangunkan masyarakat penyayang, beretika dan berdaya tahan sebenarnya merupakan penyempurnaan strategi bagi Brunei Darussalam mencapat matlamat pembangunan menyeluruh yang menepati Millennium Development Goals (MDG), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Daripada lapan matlamat MDG, salah satu daripadanya ialah memastikan kanak-kanak lelaki dan perempuan melengkapkan pendidikan rendah mereka. Indikator MDG bagi tahun 2004 menunjukkan kadar literasi yang tinggi iaitu 98.9 peratus dan langkah-langkah berterusan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan sudah pasti melonjakkan sistem pendidikan ke taraf “world class educatioan” dan bakal menjadi hab pendidikan di rantau Asia. Diyakini Brunei akan dapat mencapai sasaran MDG dalam pendidikan lebih awal daripada yang disasarkan iaitu tahun 2015.
Pemerkasaan pendidikan harus dijunjung selari dengan pembangunan masyarakat secara menyeluruh. Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Kelima hingga Rancangan Kemajuan Negara Kelapan memberi keutamaan kepada pembangunan ekonomi, sosial dan mengemas kini sistem penyampaian pentadbiran kerajaan dengan lebih berkesan. RKN merupakan model pembangunan bagi jangka masa panjang adalah unik dan strategik untuk membolehkan Brunei menempatkan diri sebagai sebuah negara yang progresif. Memperkasa ekonomi dan sosial masyarakat akan memperkukuhkan program pembangunan modal insan kerana kedua-dua unsur ini dapat menerapkan nilai-nilai keutuhan jati diri khususnya di kalangan generasi muda.
Penjana masyarakat yang dinamik adalah nilai dan moral yang menepati kehendak kecemerlangan. Kegagalan membentuk jati diri merupakan antara punca mengapa berlaku perubahan-perubahan dalam gaya hidup masyarakat yang mudah meniru cara gaya hidup orang lain. Proses meniru atau akulturasi budaya berpunca kerana memandang rendah kemampuan diri sendiri dan merasakan sebarang idea atau perlakuan dari luar adalah lebih menarik dan berguna. Bagi jangka masa panjang, nilai-nilai tradisi yang sebenarnya sangat berkesan dalam mengukuhkan jati diri akhirnya akan digantikan oleh nilai-nilai baru yang agak asing dan dikhuatiri menghilangkan rasa bangga terhadap bangsa sendiri.
Nilai-nilai murni yang kukuh sangat perlu bagi membangunkan sumber modal insan negara. Keupayaan Barat membina kemajuan teknologi dan kekuatan perdagangan dicorakkan oleh nilai yang kukuh telah dibentuk oleh sistem pendidikan dan latihan yang mantap dan berterusan. Masalah kita dan Barat ialah nilai-nilai yang baik ini dibawa sekali bersama elemen negatif yang boleh menggugat keluhuran akhlak, iman dan ehsan masyarakat yang beragama. Semakin hari semakin kuat pengaruh nilai Barat ini yang disebarkan melalui teknologi maklumat dan media massa.
Memperkasa bangsa ke arah masyarakat sejahtera sentiasa terdedah kepada cabaran. Walaupun secara mikro Brunei mampu mengatasi masalah kemiskinan, buta huruf dan kematian kanak-kanak semasa lahir, sebuah entiti masyarakat yang sentiasa berubah memerlukan kepantasan membuat keputusan di setiap peringkat termasuklah pentadbiran kampung. Pembangunan masyarakat di Brunei telah memasuki fasa yang lebih mencabar selaras dengan pembesaran operasi Bahagian Kebajikan dan Pencen-Pencen kepada Unit Perkhidmatan Hal Ehwal Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1 Februari 1993. Seterusnya pada 8 Julai 2002, unit ini dinaik taraf menjadi Jabatan Pemajuan Masyarakat (JAPEM). Cabaran utama JAPEM di dalam membangunkan masyarakat sejahtera ialah mencari panduan bagi pelaksanaan dan menguruskan pembangunan sosial yang seiring dengan pembangunan ekonomi supaya keseimbangan kemajuan dinikmati secara saksama.
Kecemerlangan masyarakat adalah usaha bersepadu dan tidak hanya melibatkan satu-satu agensi kerajaan malah perlu penambahbaikan melalui penyampaian perkhidmatan sosial yang meliputi aspek kebajikan masyarakat, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, perumahan, penghayatan nilai dan budaya, keselamatan dan persekitaran yang sihat.
Dalam konteks memperkasa keutuhan bangsa, golongan sasar yang harus diberi tumpuan ialah belia. Kelompok ini sangat mudah terdedah kepada pelbagai gejala sosial yang memungkinkan mereka dipinggirkan dalam arus pembangunan negara. Budaya “malas ku ingau” adalah simptom belia yang tidak punya cita-cita dan aspirasi hidup yang tinggi. Keinginan untuk menikmati kehidupan juga rendah. Jurang yang semakin lebar di antara belia yang bekerja dan menganggur akan menjejaskan segala perancangan dan strategi kerajaan bagi memacu kemajuan Brunei.
Justeru, tema Hari Kebangsaan Tahun 2007, Iltizam Memperkasa Keupayaan Bangsa memberi mesej yang jelas kepada perancang polisi dan pelaksana dasar kerajaan untuk melihat pembangunan modal insan sebagai teras kepada kecemerlangan bangsa Brunei. Agensi kerajaan mesti bersiap siaga memastikan keperluan asas individu dan masyarakat dipenuhi, memperkasa insan melalui pendidikan sepanjang hayat (lifelong learning), mengukuh dan membangunkan sistem pembangunan sosial dan perkhidmatan sosial seterusnya menjana sinergi multisektor.
Masa depan Brunei bersama dengan keutuhan nilai-nilai murni yang mencetuskan pemikiran dan sikap yang mampu bersaing, memantapkan kestabilan ekonomi dan pentadbiran, mengukuhkan ketahanan budaya dan ikatan sosial masyarakat. Insyaallah dengan rahmat Allah SWT, Brunei Darussalam akan mengecap rahmatNya seperti mana maksud ayat 15 surah As Saba’ iaitu, “Inilah negeri yang baik dan Tuhan yang pengampun.”
Rujukan
Fong Wai Fong.1999. The New Asian Way. Kelana Jaya : Pelanduk Publications (M) Sdn Bhd.
Ishak Shari.2000. Penerusan Agenda Sosial di Malaysia Dalam Era Globalisasi : Isu dan Cabaran. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Disunting oleh Norani Othman dan Sumit K. Mandal.
John Rapley.1996. Understanding Development : Theory and Practice in the Third World. Colorado : Lynne Reinner Publishers.
Mahmud Yunus.1973. Tafsir Quran Karim. Jakarta : P.T. Hidakarya Agung.
Sayed Abdul Rahman Sayed Mohd.2004. Strategi Ke Arah Masyarakat Sejahtera. ISM Minda Vo. 1, hlm 7-8.
Zainal Abidin Ahmad (Za’ba).2005. Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan ketiga.
Rujukan Internet
https://www.apec2000.gov.bn/
https://www.kkbs.gov.bn/dasar%20belia.htm
https://www.moe.gov.bn/statistics/index.htm
https://www.pendidikan.gov.bn/development.htm
https://www.pendidikan.gov.bn/policy.htm
https://www.pendidikan.gov.bn/aims.htm
https://www.cia.gov/cia/publications/factbook/geos/bx.html
http://ec.europa.eu/comm/external_relations/brunei/intro/
http://en.wikipedia.org/wiki/Brunei
No comments:
Post a Comment