Gelombang banjir yang kedua melanda Johor lebih dahsyat. Hampir 103,000 penduduk dipindahkan di lapan daerah dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM80 juta. Keadaan banjir ini diramal akan berterusan selama beberapa hari lagi jika tempoh Monsun Timur Laut berlarutan sehingga dua bulan. Gelombang banjir ini disebabkan oleh kesan daripada pemanasan global yang berterusan.
Dalam jangka masa tiga minggu, mangsa banjir yang terlibat berhadapan dengan tekanan yang lebih berat kerana kehilangan harta benda, kerugian perniagaan dan kerosakan rumah serta kenderaan. Lebih malang lagi, perabot dan peralatan rumah yang baru dibeli kembali rosak dan tidak dapat digunakan.
Menjadi kesusahan bagi mangsa-mangsa banjir untuk kembali ke pusat penempatan sementara banjir kerana keadaan yang tidak selesa dan menyesakkan. Sekolah dan dewan orang ramai menjadi pilihan agensi kerajaan untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir ini. Dalam keadaan sesak inilah, emosi dan moral mereka mudah terganggu. Tekanan dan keadaan yang susah ini terpaksa mereka hadapi ditambah lagi dengan keadaan rumah yang ditinggalkan, persekolahan anak-anak dan kewangan keluarga. Lebih membimbangkan apabila pihak media melaporkan keadaan banjir yang akan menjadi lebih buruk.
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertungkus lumus melaksanakan kewajipan mereka bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir ini. Program mencari sukarela untuk membantu mangsa banjir adalah langkah yang berkesan dan patut sentiasa digerakkan dari semasa ke semasa. Cara ini dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai budaya sukarela dan kepentingan memberi sedikit sumbangan tanpa mengharapkan balasan.
Namun begitu, kita belum lagi mendengar peranan kaunselor bagi membantu menstabilkan emosi mangsa-mangsa banjir dan petugas dari agensi kerajaan yang terlibat mengendalikan operasi banjir ini seperti Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. Maklumat terkini Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) [rujuk di sini] tidak ada menyatakan rasa simpati, berita semasa atau apa-apa isu mengenai peranan kaunselor ketika menghadapi banjir di Johor sama ada kali pertama dahulu atau kali kedua sekarang. Terdapat tiga tajuk dalam Berita Semasa yang dilaporkan di laman web berkenaan iaitu Bengkel Latihan Penyeliaan (Teori) Bil 2/2006 bertarikh 17 November 2006, Tajuk Pembentangan Kertas Kerja Persidangan Kebangsaan Kaunselor (7 November, 2006) dan Persidangan Kebangsaan Lembaga Kaunselor 2006 (11 Oktober, 2006). Dalam sisipan Peristiwa juga tidak terdapat sebarang gambar keadaan banjir.
Lembaga Kaunselor tidak prihatin seperti mana prihatinnya Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah mengeluarkan arahan supaya semua mangsa banjir mendapatkan suntikan kepialu yang diberikan secara percuma oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor. Arahan ini sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi ancaman penyakit Leptospirosis iaitu sejenis penyakit yang membabitkan bakteria dan disebarkan melalui air kencing tikus. Penyakit ini lebih cepat merebak melalui air yang tercemar dan boleh berjangkit jika tidak ada langkah-langkah yang proaktif dilaksanakan dengan segera. Kementerian Kesihatan begitu mengambil berat keadaan kesihatan mangsa-mangsa banjir ini. Setidak-tidaknya terlerailah kebimbangan mangsa-mangsa banjir terhadap kesihatan diri dan keluarga mereka.
Tidak ada siapa yang layak memberi kaunseling kepada mangsa banjir dan petugas banjir kecuali kaunselor yang berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia. Kelab ini sangat ekslusif. Tetapi kita masih mengharapkan kaunselor yang berdaftar di kelab ini dapat turun padang dan memberi khidmat profesional mereka kepada mangsa dan petugas banjir di Johor dengan segera. Jika menteri, Dato’ Sri Shahrizat Abd. Jalil memberanikan diri meredah lautan banjir yang kadangkala membahayakan dirinya, apakah kaunselor kita begitu selesa dengan keadaan mereka sekarang? Bilangan kaunselor yang dipaparkan di Direktori Kaunselor menunjukkan bilangan kaunselor berdaftar adalah seramai 523 orang. Jumlah ini tidak akan mampu digerakkan untuk membantu 100,000 orang mangsa banjir, anggota bomba, polis dan orang ramai yang membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.
Masih belum terlambat bagi kaunselor yang berdaftar ini untuk mengorbankan sedikit masa dan tenaga mereka bersama sukarelawan dari seluruh negara di Johor untuk meredah lautan banjir, tidur bersama keresahan mangsa banjir dan merasai makan pagi, tengah hari dan malam yang dicatu. Kaunselor harus merasai sendiri derita dan sengsara, bahagia dan suka serta bijak mengungkap apa yang sedang difikirkan oleh semua mangsa banjir baik kanak-kanak, dewasa, orang tua, lelaki mahupun wanita. Baik Melayu, Cina ataupun India.
Lembaga Kaunselor patut menjadi contoh yang wajar kepada semua orang bagi membantu mereka yang menghadapi tekanan, trauma dan emosi tidak stabil ketika mengalami bencana alam ini. Jika tidak, kerajaan harus memikirkan kaedah lain bagi mewujudkan parakaunselor yang dapat membantu kaunselor berdaftar melaksanakan tugas meringankan bebanan mangsa dan petugas banjir ini.
No comments:
Post a Comment