Monday, January 08, 2007

Yuran sekolah membebankan pelajar miskin

Membuat tindakan untuk membunuh diri adalah keputusan luar biasa bagi seorang pelajar sekolah rendah yang belajar di Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Pujut, Miri, Sarawak. Daniel Boniface, 12 tahun menjadi korban kerana terlalu miskin untuk membayar yuran sekolah. Tekanan yang dialami oleh Daniel sangat berat bagi beliau menanggungnya sehingga memilih jalan yang tidak pernah difikirkan oleh ibu bapanya sendiri. Bayaran yuran sekolah yang diminta menjadi penyebab yang merungsingkan dirinya kerana dia juga ingin belajar seperti rakan-rakan persekolahan lainnya.

Hari ini, pendidikan adalah teras kepada masa depan yang cerah. Negara-negara maju meletakkan pendidikan pada tahap yang paling tinggi bagi membina bangsa mereka ataupun lebih dikenali sebagai pembangunan modal insan. Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara Scandinavia sentiasa melaksanakan program pembangunan terhadap sistem pendidikan negara mereka. Jepun umpamanya, menerapkan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat dari sekecil-kecilnya seperti menjaga kebersihan bermula dari peringkat tadika. Elemen hormat, memberi kepercayaan dan semangat berkorban dikembangkan dari semasa ke semasa dalam proses pendidikan sehingga ke tahap yang lebih tinggi.

Kejayaan negara-negara yang maju membina struktur pendidikan mereka untuk setiap rakyat adalah satu kebanggaan. Justeru kita tidak pernah mendengar pelajar membunuh diri kerana gagal membayar yuran sekolah seperti yang berlaku ke atas Daniel. Membunuh diri kerana gagal membayar yuran sekolah adalah tindakan yang sangat menyedihkan.

Anak-anak zaman ini sangat berbeza kerana mereka terdedah kepada pelbagai maklumat dan mempunyai kemahuan yang tinggi untuk belajar. Sukar bagi mereka untuk berhenti sekolah di atas alasan tidak mempunyai wang kerana banyak sumber yang boleh diperolehi bagi menyelesaikan masalah ini. Datuk Daniel adalah generasi yang memikirkan bahawa pendidikan tidak penting tetapi tidak bagi Daniel sendiri. Beliau mempunyai keazaman dan kemahuan yang kuat untuk belajar apatah lagi akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di penghujung tahun 2007 nanti.

Faktor yang kukuh dan mendominasi kematian pelajar ini ialah kemiskinan. Keluarga yang miskin seringkali ketinggalan dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan dan kesihatan. Jika saiz keluarga miskin ini kecil, ianya tidaklah membebankan. Masalah besar jika ahli keluarga itu ramai kerana tanggungannya akan melibatkan perbelanjaan yang tinggi.

Di Malaysia, agensi yang berperanan membantu golongan miskin antaranya ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Pusat Zakat. Agensi-agensi ini memang mempunyai peruntukan dan pegawai-pegawai yang berkelayakan yang sedia membantu. JKM umpamanya, mempunyai program Bantuan Kanak-kanak, Bantuan Anak Pelihara, Bantuan Orang Tua, Bantuan Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Geran Pelancaran, Bantuan Sekolah dan Bantuan Am. Ternyata bantuan yang diberikan oleh JKM ini turut melibatkan pelajar sekolah.

Tujuan Bantuan Sekolah adalah mempastikan kanak-kanak dari keluarga miskin dapat meneruskan persekolahan dan mendapat kemudahan untuk pembelajaran. Di samping itu memastikan kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan peluang pendidikan rendah dan menengah serta mencegah berlakunya keciciran dalam pelajaran. Salah satu syarat kelayakannya ialah pendapatan ibu bapa yang tidak melebihi RM500.00 sebulan. Antara bantuan yang dimasukkan di bawah Bantuan Sekolah ialah yuran sekolah, yuran peperiksaan, tambang pengangkutan (darat/air), pakaian seragam dan lain-lain bantuan seperti buku kerja.

Tidak cukup dengan Bantuan Sekolah, JKM turut menyediakan Bantuan Am yang menyasarkan golongan yang menghadapi kesulitan kewangan buat sementara waktu ataupun sehingga suatu jangka masa yang membolehkan mereka berdikari.

Masalah yang dihadapi oleh agensi kerajaan yang terlibat memberi bantuan ini ialah maklumat yang lewat sampai ke pengetahuan mereka. Dalam kes Daniel ini, pihak yang terdekat dengan keluarga mendiang ialah ketua kampung dan sekolah. Peranan ketua kampung yang sangat berkesan ialah mengenal pasti masalah anak-anak kampung dan berusaha menyelesaikan masalah tersebut. Hubungan yang rapat di antara ketua kampung dan ahli kariah adalah prasyarat untuknya maklum mengenai masalah dan keperluan mereka. Sangat mengecewakan jika ketua kampung di kawasan tempat tinggal keluarga Daniel tidak berperanan seperti yang dikehendaki lebih-lebih lagi dalam soal pendidikan.

Masyarakat kampung yang semakin berpendidikan dan celik maklumat akan berasa resah jika mendapat ketua kampung yang lemah dan tidak berupaya membawa perubahan terhadap kehidupan mereka. Jika ketua kampung tidak sedar, boleh sahaja dihantar untuk berkursus bagi mendedahkannya kepada teknik mengurus, mentadbir dan berkomunikasi supaya pembangunan kampungnya akan lebih tersusun dan terancang.

Pihak sekolah adalah pihak kedua yang sangat rapat dengan Daniel dan keluarganya. Guru besar boleh mengambil inisiatif untuk mengumpul maklumat mengenai latar belakang pelajar dan cuba memenuhi keperluan golongan muda ini. Komunikasi berterusan di antara sekolah dan ibu bapa dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar miskin kerana banyak pihak yang boleh didekati untuk membantu membayar yuran sekolah. Setidak-tidaknya pun kerajaan negeri Sarawak. Namun begitu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh membantu menyelesaikan kemelut ini jika persatuan ini sensitif dengan keperluan golongan pelajar miskin. Dalam kes Daniel, adakah mereka pernah mengambil tahu keadaan pelajar miskin berkenaan?

Guru kelas sangat berperanan menyalurkan maklumat pelajar miskin yang berada di dalam kelas mereka. Guru yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran kadangkala tidak sedar bahawa kementerian sendiri menyediakan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang membabitkan bantuan persekolahan seperti pakaian seragam, peralatan dan yuran serta perbelanjaan bulanan khusus untuk keluarga miskin. Malangnya kewujudan KWAPM sendiri tidak disedari dan difahami oleh para guru.

Guru kelas yang menjadi mata dan telinga Kementerian Pelajaran mempunyai tanggungjawab besar untuk bersama-sama membantu hasrat kementerian bagi meringankan bebanan keluarga miskin ini. Kes menggantung diri kerana tertekan dengan yuran sekolah tidak akan berlaku kepada Daniel jika pihak sekolah dan ketua kampung menyedari betapa pentingnya menyediakan kemudahan dan bantuan untuk golongan miskin mendapatkan hak dalam pendidikan di Malaysia.

Justeru itu, pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 pada 16 Januari 2007 nanti diharap tidak akan meminggirkan keluarga miskin yang mempunyai anak-anak yang berminat untuk belajar seperti Daniel Boniface, pelajar Sekolah Kebangsaan Pujut, Miri, Sarawak.
Post a Comment