Sunday, January 21, 2007

Melihat konflik daripada perspektif lalat

Perlumbaan senjata dalam era moden telah mencetuskan dua peperangan besar iaitu Perang Dunia Pertama (PD1) dan Perang Dunia Kedua (PD2). Kedua-dua peperangan ini membawa kesan ke atas penguasaan politik masyarakat dunia oleh kuasa Barat dan Timur. Rentetan daripada peperangan ini berlarutan ke Perang Dingin di antara pengaruh kapitalis Amerika Syarikat dan pengaruh komunis Kesatuan Soviet.

Pengaruh dan dominasi Amerika Syarikat ke atas politik dan ekonomi telah membawa sekali budaya, sosial dan cara hidup masyarakat Barat yang meruntuhkan sama sekali cita rasa dan gaya hidup komunis. Kajian mengenai dunia politik selepas pendemokrasian cara hidup di Russia dan China memerlukan perletakan asas kefahaman yang baru terhadap hala tuju masa depan politik global.

Perlumbaan senjata terhenti tanpa adanya peperangan. Perniagaan berbilion ringgit ini akan lenyap tanpa ada peperangan di mana-mana bahagian di dunia. Kedudukan geopolitik yang genting seperti India dan Pakistan yang berebut Kashmir, keadaan sentiasa berjaga-jaga di sempadan Korea selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear pertama dan isu Palaestin-Israel yang tidak pernah sunyi sejak lebih daripada 50 tahun yang lalu. Dendam Bush (senior) terhadap Iraq berakhir selepas askar Saddam Hussein diusir keluar dari Kuwait setelah beliau mendengar nasihat daripada pihak tentera. Perang Teluk ini juga telah menjadikan Arab Saudi sebuah negara yang berhutang buat kali pertama kerana terpaksa menyiapkan pasukan tentera bagi melindungi negara Arab yang kaya ini. Perang ini juga memadai bagi Amerika Syarikat untuk memulakan pengaruh di Timur Tengah dan memantau perkembangan negara-negara Arab dengan memegang nadi kepada konflik di rantau berkenaan iaitu Palaestin-Israel. Keadaan ini tidak bagi Bush (junior). Bush yang menjadi Presiden Amerika Syarikat sekarang bertindak dengan lebih jauh dengan menguasai seluruh Iraq. Wujud perlumbaan di antara bapa dan anak betapa siapa yang lebih pintar, berani dan hebat.

Saddam Hussein digantung dan jenazahnya dipertontonkan ke seluruh dunia adalah gambaran betapa penentang akan diperlakukan demikian. Sesiapa sahaja yang berani menentang Amerika Syarikat dan pihak yang bersekutu dengannya akan menerima nasib yang sama. Bush berpuas hati. Setidak-tidaknya dapat pergi lebih jauh menandingi bapanya.

Perkembangan politik global dari PD1, PD2 seterusnya kematian Saddam Hussein memberi makna terhadap konflik yang berlaku. Sekiranya seorang ayah yang miskin dan tidak mampu membeli pakaian sekolah anak-anaknya, dia dikatakan sedang berhadapan dengan masalah. Tetapi jika beliau tidak dapat membeli pakaian sekolah kerana memikirkan untuk membeli barangan rumah yang lain, beliau dikatakan sedang berhadapan dengan konflik. Kemahiran yang perlu dikuasai oleh si ayah ialah menguruskan konflik itu dengan bijak.

Konflik wujud apabila terdapat aktiviti yang tidak selari dengan apa yang dikehendaki. Ianya boleh berlaku pada seseorang, organisasi atau kumpulan yang lebih besar dan kompleks seperti sebuah negara. Ini bermakna konflik dibahagikan kepada tiga iaitu intrapersonal, intrakumpulan dan intranegara. Bagaimanapun memberi definisi yang tepat terhadap konflik adalah sesuatu yang sangat digemari oleh pengkaji sains sosial dan turut dikongsi bersama oleh mereka yang berada di luar disiplin ini. Kefahaman dan pengetahuan terhadap konflik akan menjadikan proses pendefinisian lebih mudah. Salah seorang daripada mereka ialah Karl Marx (1818-1883) yang menyatakan setiap nilai dalam masyarakat berasal dari manusia yang bertindak sebagai pekerja. Beliau yakin cara kerja yang ada dalam masyarakat harus distrukturkan dan penggunaan teknologi dalam produktiviti akan memberi impak yang kuat terhadap setiap aspek dalam masyarakat.

Darwin (1859) berpendapat konflik dan pergelutan bagi mengekalkan kewujudan manusia ditentukan oleh spesis terkuat yang dapat menguasai keadaan tersebut. Manakala Herbet Spencer (1898) melihat kepada sumbangan konflik yang mempunyai evolusi sosial dan menganggapnya sebagai proses semula jadi. William Graham Sumner (1883) pula mencadangkan bahawa persaingan untuk hidup menyebabkan pembaharuan sosial yang positif.

Konflik yang berlaku di mana-mana sahaja adalah satu daya sosial yang bersepadu iaitu dualistik realiti sosial yang terangkum di dalamnya gerakan yang menggalakkan arahan sosial dan konflik sosial (Simmel, 1904). Ertinya kedua-dua bentuk gerakan sosial ini mencetuskan konflik yang boleh menyatupadukan masyarakat bagi berhadapan dengan musuh atau cabaran bersama.

Mengurus konflik bukannya mudah. Merungkai konflik yang berkesan memerlukan lebih daripada aturan komunikasi yang mudah. Ia memerlukan kita membuat pilihan ke atas sesuatu tindakan berdasarkan kefahaman terhadap situasi berkenaan. Di samping itu mengetahui pilihan yang terbaik bagi membantu kita mencapai objektif tertentu. Justeru, tindakan yang berkesan dalam sesuatu konflik ialah keupayaan menganalisis situasi dan membuat pilihan yang bijak tanpa mengorbankan nilai dan kepercayaan sendiri.

Konflik selamanya tidak pernah negatif kerana ia berfungsi menggerakkan pemikiran dan usaha ke arah yang lebih baik. Konflik adalah akar umbi kepada perubahan peribadi dan sosial. Dalam pada itu, konflik memenuhi sesuatu fungsi yang mana ia bertindak bersama dengan tujuan tertentu. Matlamat yang disepakati melalui konflik ini dapat membawa perubahan yang positif tetapi jika tidak dapat diuruskan dengan berkesan, ia tidak akan membawa perubahan. Jadi, apakah fungsi konflik?

Pertama, konflik membantu mengenal pasti sempadan hubungan sama ada patut dikecilkan, dibesarkan atau dikekalkan seperti sediakala. Contoh yang mudah ialah persahabatan dua orang rakan. Hubungan mereka sudah tentu digarisi dengan nilai, budaya dan kepercayaan agama. Jika mereka tidak bergaduh, sempadan sedia ada akan terus dikembangkan.

Kedua, konflik dari sumber luar akan menguatkan kejelekitan dalam perhubungan, boleh jadi juga menghancurkan jika tidak dapat menyesuaikan diri dengan situasi tersebut kerana tekanan yang terlalu kuat. Kesedaran ahli-ahli dalam kumpulan dapat menjadikan konflik yang muncul itu sebagai peluang untuk meningkatkan perpaduan mereka bagi menghadapi ancaman yang sama.

Ketiga, konflik dalam kumpulan dapat membantu mereka memperjelaskan semula matlamat yang ada selama ini. Walaupun ada yang tidak setuju tetapi kewujudan kumpulan bagi jangka masa panjang adalah lebih penting daripada individu. Keadaan ini kerap berlaku dalam parti politik anak-beranak yang mengangkat tokoh sebagai keutamaan berbanding kehendak majoriti.

Keempat, konflik menggalakkan usaha berbaik-baik semula antara individu, organisasi atau masyarakat. Itu pun jika mereka sedar usaha berkenaan akan membawa kebaikan bersama.

Yang akhir, konflik membina sifat belas ehsan yang sangat mendalam kerana orang yang terlibat memahami betapa konflik membawa kebaikan dan keburukan. Ia juga memberi panduan kepada orang ramai untuk mencari penyelesaian dan membuat tindakan yang wajar bagi menghadapi konflik dengan tenang dan meyakinkan.

Isu yang muncul dalam keluarga adalah lebih kecil dibandingkan isu-isu antaranegara dan antarabangsa. Konflik yang melibatkan geopolitik kadangkala memerlukan orang luar untuk menyelesaikannya. Dalam era moden, sesuatu isu selalunya dibawa ke mahkamah timbangtara (ICJ Court) untuk diselesaikan. Penyelesaian yang dekat di hati ialah keputusan Mahkamah Antarabangsa di The Hague yang memutuskan Pulau Sipadan dan Ligitan diberikan kepada Malaysia. Keputusan ini walaupun berat, telah diterima oleh Indonesia. Kejayaan penyelesaian konflik ini amat bergantung kepada keupayaan pakar sejarah, perundangan dan semangat gigih pasukan yang terlibat. Mereka secara berpasukan bertungkus-lumus menyediakan semua dokumen yang diperlukan.

Konflik tidak akan berhenti. Ia sentiasa muncul dan hilang. Kebijaksanaan menguruskan konflik dapat mengelak sesuatu isu daripada berlarutan dan membawa kesusahan. Keperluan utama ialah memahami bagaimana pengurusan dan pentadbiran konflik dapat membantu menjadikan hubungan, kehidupan dan dunia yang lebih aman.

Melihat konflik daripada perspektif lalat bermaksud penyelesaian yang bersifat melonggok. Lalat apabila berjumpa sisa makanan atau sampah, akan berkerumun untuk berbincang bagi membahagikan makanan. Sisa bermaksud tidak mengutamakan yang baru dan masih elok untuk dibuat jamahan. Menyelesai konflik cara lalat tidak akan ke mana kerana kefahaman yang jelas, padat dan bersistematik adalah kunci kepada penguraian konflik. Bukannya menerpa tanpa sebarang persediaan. Konflik tidak dapat dihapuskan tetapi dapat dikurangkan melalui pengurusan yang bijak.








Rujukan


James Lee Ray.1992. Global Politics. Boston, MA : Houghton Mifflin Company. Fifth edition.

Morton Deutsch.1973. The Resolution of Conflict. Binghamton, NY : Yale University Press.

Morton Deutsch and Peter T. Coleman (editors).2000. The Handbook of Conflict Resolution : Theory and Practice. San Francisco, CA : Jossey-bass Publishers.

Roxane S. Lulofs and Dudley D. Cahn.2000. Conflict : From Theory to Action. Needham Heights, MA : Allyn and Bacon.

No comments:

Post a Comment