Taufan, ribut, banjir dan gempa bumi adalah tema sepanjang tahun 2006. Dianggarkan 1,550 orang telah menjadi korban kepada taufan, ribut dan banjir di Australia, China, Vietnam, Filipina dan Indonesia. Kerugian pula mencecah RM5.0 bilion di mana Taufan Larry sahaja telah memusnahkan ladang pisang dan tebu di samping kerugian harta benda yang semuanya dianggarkan berjumlah RM4.2 bilion. Taufan Prapiroon meranapkan lebih kurang 7,000 buah bangunan di Guandong, China dengan kerugian RM1.1 bilion.
Kawasan lingkaran gempa bumi iaitu Indonesia dan Taiwan menyebabkan kemusnahan besar ke atas harta benda dan nyawa. Indonesia yang terletak di laluan gempa bumi aktif menyaksikan kemusnahan besar-besaran yang mengakibatkan 340,000 penduduk dipindahkan dan 217,000 buah rumah musnah sama sekali.
Gempa yang berukuran 7.1 pada skala Richter di Taiwan pada 26 Disember 2006 telah menjejaskan sama sekali saluran internet negara-negara China, Hong Kong, Taiwan, Vietnam dan Asia Tenggara.
Sejak 2001, keamanan dan ketenteraman masyarakat dunia dikejutkan dengan pelbagai peristiwa sama ada yang dirancang ataupun bencana alam. Ketika keadaan cuaca yang tidak menentu, hujan ribut di Asia Tenggara turun mencurah-curah. Jika dulunya di Bangladesh dan India, kini di Indonesia dan Malaysia.
Di Barat, Amerika Syarikat dilanda cuaca yang panas khususnya di barat daya. Beberapa buah negara Eropah turut mengalami keadaan yang sama. Kemusnahan sesebuah negara boleh berlaku dalam pelbagai bentuk walaupun negara berkenaan telah mencapai status negara maju.
Keadaan dunia pada akhir zaman pernah digambarkan oleh Rasulullah saw sebagai wanita tua yang sudah bongkok. Justeru kiamat semakin hampir.
"Telah dekat kepada manusia hari perhitungan segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi tidak menghiraukannya."
Surah Al Anbiya' ayat 1
Era dunia hari ini telah mengalami kemuncak perkembangan dalam semua segi; sejarah, kebudayaan, politik, ekonomi, sosial, perundangan dan peradaban.
Apabila berada di peringkat tua, fikiran tidak lagi mantap malah bercelaru. Keadaan cuaca yang tidak menentu ini adalah gambaran seorang wanita tua yang semakin lemah dan letih dengan kehidupannya. Tetapi biar apa pun yang berlaku, kehidupan mesti diteruskan dengan segala kemampuan yang ada.
Ekonomi antarabangsa menunjukkan penurunan 30 peratus nilai dolar Amerika berbanding euro. Malaysia yang bergantung kepada penggunaan dolar harus melakukan sesuatu tindakan untuk mempertahankan titik peluh rakyat negara ini bagi mengelakkan negara menjadi semakin miskin. Penggunaan dinar dapat memberi kelebihan kerana inilah pilihan terbaik untuk mengelakkan kekayaan negara semakin menyusut.
Politik dunia akan jelas memperlihatkan jurang perbezaan fahaman di antara Timur dan Barat. Peperangan di Timur Tengah tidak akan berakhir dengan kematian bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein malah kedudukan Iran sebagai negara berpengaruh akan lebih mendominasi geo politik di kawasan itu. Keinginan Amerika Syarikat menguasai Laut Kaspian yang kaya dengan minyak akan pasti mendapat tentangan Iran. Walau bagaimanapun tidak ada negara yang dapat menghalang Amerika Syarikat untuk menguasai kawasan bekalan minyak terbesar ini.
Tokoh Nobel Keamanan 2006, Profesor Mohd Yunus telah menggerakkan model pembangunan masyarakat bagi mengatasi kemiskinan sejagat. Dalam dunia yang bergerak ke arah pengglobalan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan masih ada masyarakat yang hidup di bawah USD1 sehari. Namun kemiskinan di Malaysia telah mendapat perhatian daripada kerajaan dan pada tahun 2010, kemiskinan tegar akan dihapuskan sepenuhnya. Langkah ini telah menarik perhatian kerajaan Venezuela untuk mengurangkan kemiskinan di negara berkenaan yang masih berada di paras 25 peratus.
Perkembangan sosial menunjukkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melakukan perubahan besar ke atas skim tabungan dan simpanan masa depan dengan mempastikan simpanan individu yang besar apabila menjelang hari tua nanti. Langkah ini perlu dilaksanakan memandangkan pertambahan bilangan penduduk Malaysia yang tua semakin meningkat daripada kedudukan enam peratus ketika ini.
Peranan Jabatan kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) semakin mencabar dan memerlukan pengurusan yang profesional. Penubuhan rumah perlindungan untuk wanita yang diseludup tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Desakan Amerika Syarikat untuk mempastikan ”human trafficking” di negara ini ditangani dengan sewajarnya harus diambil kira memandangkan pengaliran masuk wanita dan kanak-kanak dari negara-negara membangun semakin meningkat.
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pasti akan membantu menambahkan kefahaman pelajar terhadap pendidikan seks. Hasrat untuk mengatasi masalah sosial yang melibatkan akhlak buruk, sumbang mahram, pengguguran dan penularan HIV/Aids, insyaallah akan dapat diatasi dengan lebih baik.
Kredibiliti jabatan agama Islam mengenai peranan berkesan mereka untuk mengatasi masalah khilaf agama turut menjadi perhatian semua pihak. Kaedah yang lebih baik wajar dicari dan dilaksanakan oleh jabatan agama Islam untuk melindungi hak dan kepentingan orang Islam khususnya dan bukan Islam amnya. Sekiranya perlu, kejumudan pemikiran penggerak di jabatan agama Islam boleh diatasi dengan menghantar mereka untuk mempelajari ilmu dan kaedah yang lebih mencabar dan terkini di institusi-institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Suasana masyarakat yang semakin berilmu menuntut pegawai dan kakitangan jabatan agama Islam untuk mencari inisiatif meningkatkan kepakaran mereka. Satu-satunya cara terbaik untuk mendapatkan kepakaran itu ialah melalui pendidikan. Kutipan zakat, geran oleh kerajaan dan pelbagai sumbangan orang ramai dan syarikat boleh digunakan untuk menggerakkan usaha ini ke arah kejayaan umat Islam di Malaysia.
Kejayaan khalifah Harun Al Rasyid membina kota Baghdad dengan tradisi keilmuan ialah melalui galakan menuntut ilmu di mana-mana sahaja, pembiayaan dan kemudahan yang berterusan ini telah melahirkan bijak pandai yang mampu berdikari membina negara mereka tanpa bergantung kepada orang lain.
Rakyat Malaysia tidak harus dibebankan dengan kenaikan barangan, tol, minyak dan pelbagai lagi kerana peranan pentadbir yang dipilih oleh rakyat adalah untuk memelihara kebajikan setiap orang rakyat Malaysia. Harga barang yang tinggi akan hanya meningkatkan kesengsaraan dan menambahkan tahap kemiskinan. Pada masa yang sama, perbelanjaan untuk menampung penagih dadah di pusat serenti seluruh negara semakin meningkat. Begitu juga institusi-insitusi kebajikan yang lain. Di sinilah pentingnya pihak kerajaan mengiktiraf dan mengalakkan peranan pertubuhan bukan kerajaan bagi membantu setiap usaha kerajaan dalam semua bidang khususnya bantuan sosial, kebajikan dan perkhidmatan. Di Amerika Syarikat, peranan pertubuhan bukan kerajaan sangat penting sehingga mampu menentukan keputusan Rumah Putih. Di Malaysia, pengaruh mereka mula berkembang tetapi tidak cukup untuk memberi impak yang besar terhadap keputusan kerajaan kerana masyarakat masih terikat dengan pemikiran sempit dan status quo politik bangsa.
Tahun 2007 dijangka penuh dengan konflik antarabangsa, pertelingkahan antara negara, kejahilan masyarakat terhadap Islam dan kemusnahan akibat bencana alam. Dijangka ”api yang besar” akan bersemarak di kawasan yang menjadi persengketaan dan ekonomi dunia yang semakin lemah.
Di Malaysia, pengangguran akan bertambah teruk jika kerajaan masih liat untuk memperkenalkan skim berdikari untuk siswazah secara besar-besaran dan memperkenalkan program ”minda besar” bagi menggalakkan siswazah yang ramai menceburi bidang perniagaan di dalam dan luar negara.
Didoakan dan dengan rahmat Allah swt, Malaysia dan negara-negara Islam yang lain akan berada di bawah naungan keselamatan yang berpanjangan.
No comments:
Post a Comment