Hijrah 1428 adalah kesinambungan daripada kejayaan silam tamadun umat Islam yang gilang-gemilang. Namun begitu, pengisian yang paling penting ialah kembali menilai pencapaian kita setahun yang lalu dan merancang strategi terbaik bagi meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt, sumbangan kepada kejayaan diri dan masyarakat, pembangunan ilmu dan kemahiran diri seterusnya melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Aspek penilaian yang perlu diberi perhatian ialah perubahan diri kita sendiri.
Perubahan sentiasa berlaku. Persekitaran berubah, nilai dan budaya hidup turut berubah selari dengan peredaran masa. Umat yang berjaya dan cemerlang ialah umat yang mampu menghadapi perubahan, menyerap dan menguasai cabaran-cabaran berkenaan. Seribu cara dan seribu daya. Kesungguhan dan keazaman untuk menguasai perubahan akan memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada mereka yang telah melaluinya.
Perkara utama yang harus ditanya ialah sejauh mana kita telah melalui perubahan-perubahan tersebut? Apakah hanya cukup dengan keadaan hidup yang dihadapi sekarang? Apakah kita masih berpuas hati dengan tahap pencapaian kerja dan kedudukan dalam jabatan? Ataupun cukupkah dengan penguasaan ilmu yang kita miliki pada tahap ini dan perlukah kita menambahnya? Berbalik kepada diri kita semula. Aset yang terbesar untuk menyerlahkan potensi diri ialah potensi akal yang dikurniakan oleh Allah swt. Melalui akal dan kepintaran, kita membina kehidupan yang menjadi asas kepada penciptaan manusia seperti firman Allah dalam ayat 56 surah Az-Zariat yang bermaksud;
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.”
Justeru itu, tahun Hijrah 1428 menuntut setiap daripada kita untuk berusaha meningkatkan potensi dan kecemerlangan diri supaya kita mampu menguasai segala bidang khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup dan persekitaran sosial kita. Hari ini terdapat banyak institusi yang memberi peluang kepada kita untuk menambah pengetahuan. Mereka yang lambat dan lembap untuk mengejar dan memperbaharui ilmu akan tertinggal di belakang. Oleh itu, peluang pendidikan yang ada ini wajar direbut dengan bersungguh-sungguh supaya minda dan tindakan kita akan sentiasa berada pada landasan yang lurus.
Bagaimana kita harus memulakan langkah yang meyakinkan bagi tahun Hijrah 1428 ini?
Kejayaan umat Islam terdahulu adalah kerana mereka mempunyai hati yang dimantapkan dengan taqwa kepada Allah swt. Jiwa yang bertaqwa mampu membuat perubahan. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, “Taqwa itu di sini (baginda terus menunjukkan ke arah dadanya).”
Fathi Yakan dalam buku terkenalnya, Apa ertinya saya menganut Islam? menyatakan bahawa seorang muslim mesti mengimani dan meyakini kebolehan manusia untuk mencapai kebaikan dan kejahatan adalah melalui daya usaha, ikhtiar dan kehendaknya sendiri. Walau bagaimanapun, kedua-dua sifat ini adalah dengan keizinan Allah swt. Dua petikan surah daripada al-quran ini boleh memberi gambaran kepada kita untuk memahami kebaikan dan kejahatan adalah di bawah kawalan kita dan sememangnya sangat terikat dengan apa yang kita lakukan.
“Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorkannya.” (Surah Asy-Syams ayat 7 hingga 10)
“Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah Al-Muddatstsir ayat 38)
Sahabat nabi, Abdullah bin Mas’ud mempunyai kaedah sendiri untuk menjadi cemerlang dalam kehidupannya. Beliau amat yakin dengan firman Allah swt dalam surah Al-Talaq ayat 2 hingga 3 yang mengungkapkan syarat taqwa sebagai asas kepada kecemerlangan yang sebenar.
”Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka kepadanya.”
Prasyarat untuk berjaya adalah dengan taqwa dan bukannya harta yang banyak, rupa yang cantik atau kaum kerabat yang ramai. Masalah dan konflik yang kronik, insyaallah akan dapat diselesaikan dengan mudah melalui taqwa. Inilah formula yang harus diguna pakai oleh umat Islam pada hari ini. Kembali melihat dan menghayati saranan dan penyelesaian yang diberikan oleh pencipta kita.
Taqwa kepada Allah, tidak pernah diperolehi dengan mudah. Ia perlu dicari, dicanai dan dipertahankan.
Practice believing in the impossible until impossibilities start becoming possibilities, then actualities - Norman Vincent Peale dalam The Power of Positive Living.
Perancangan yang terbaik tidak akan menjadi kenyataan jika tidak mengambil tindakan untuk melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Kesukaran merancang usaha kita akan bermula apabila sifat malas, tidak berdisiplin dan ingin bersenang-senang mula bergayut di hati dan minda. Tidak ada gunanya jika berangan-angan hendak menjadi jutawan tetapi tidak pernah berfikir betapa susahnya jutawan sedia ada berusaha mengumpul wang dan berjimat cermat dalam perbelanjaan hidup mereka.
Setahun yang akan kita lalui ini akan pasti dipenuhi dengan pelbagai konflik yang berlaku di dalam diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Semua ini merupakan cabaran yang sentiasa mengganggu benak dan tindakan kita. Justeru itu, ia harus diurus dengan baik kerana konflik tidak pernah dapat diatasi dengan mudah sebaliknya boleh diuruskan berdasarkan kematangan dan tanggungjawab sedia ada. Strategi kecemerlangan bagi tahun ini seharusnya kembali kepada saranan agama yang sentiasa menjadi petunjuk sepanjang jalan kepada kita.
“Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj ayat 41)
No comments:
Post a Comment