Friday, January 19, 2007

Sekolah khas untuk pelajar lelaki

Artikel Zin Mahmud (Wartawan Utusan) mengenai pelajar lelaki yang tidak suka belajar dan tidak mahu menyertai pertandingan serta aktiviti di sekolah kerana kebanyakannya ditadbir dan dimonopoli oleh wanita sangat menarik untuk dikritik. Beliau berpendapat, pencapaian pelajar lelaki yang lemah dalam peperiksaan, aktiviti persatuan dan sukan di sekolah adalah kerana dominasi wanita yang telah memberi impak yang negatif terhadap pelajar-pelajar lelaki.

Di antara petikan negatif tersebut ialah, “Sudahlah di rumah kena leter dengan emak, di sekolah kena leter pula dengan guru wanita,” (Utusan Malaysia, 18 Januari 2007).

Pendidikan di Malaysia telah mengalami banyak perubahan khususnya memberi peluang kepada setiap pelajar, lelaki dan perempuan untuk mencari ilmu bagi masa depan mereka. Sekolah-sekolah yang dibina semakin canggih, lengkap dengan kemudahan ICT, tempat rekreasi dan tenaga pengajar yang profesional. Pendidikan negara telah mengalami evolusi sejajar dengan pembangunan dan kemampuan negara. Terdapat lima evolusi yang melibatkan fasa (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Kementerian Pelajaran Malaysia) :


1. Zaman Pramerdeka (sebelum 1957)
2. Zaman Pasca Merdeka (1957-1970)
3. Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
4. Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)
5. Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-2010)


Pembangunan pendidikan sejak sebelum merdeka hingga sekarang telah banyak mencapai kemajuan. Bilangan pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah meningkat khususnya bagi pelajar-pelajar perempuan. Justeru, penambahan mereka di institusi pengajian tinggi adalah sangat dicemburui. Sistem pendidikan yang sedang dilaksanakan bukannya memilih gender tetapi memberi peluang yang sama rata kepada pelajar lelaki dan perempuan. Orientasi peperiksaan banyak memberi kelebihan kepada pelajar perempuan untuk cemerlang dalam peperiksaan utama yang diduduki. Ketika yang sama, profesion perguruan menggamit kehadiran ramai guru wanita yang merasakan diri mereka layak untuk mengajar. Tidak pula dinafikan, mereka lebih sesuai untuk mengajar tetapi bukannya dalam semua bidang.

Impak jangka masa panjang apabila kemerosotan guru lelaki ialah kebantutan aktiviti yang sedia ada dimonopoli oleh pelajar lelaki seperti bolasepak, ragbi dan pengakap. Sepuluh tahun yang akan datang, pemain sukan yang berkemahiran ini di peringkat daerah dan negeri pasti akan berkurangan. Sekiranya guru lelaki ingin ditambah, mereka harus dipilih berdasarkan kelayakan dan mempunyai minat dalam aktiviti-aktiviti di sekolah, bukannya bertingkah laku seperti perempuan juga.

Tidak dinafikan, pencapaian pelajar perempuan yang lebih baik telah menggusarkan perancang dasar pendidikan bagi menentukan hala tuju pendidikan negara pada masa depan. Bilangan pelajar wanita yang terpelajar akan menggugat kestabilan sosial masyarakat khususnya bidang-bidang pekerjaan tertentu seperti jurutera, ahli sains dan ahli kaji bumi. Sektor pekerjaan ini perlu dilakukan oleh lelaki kerana ia memerlukan ketangkasan fizikal, lasak dan keras.

Asas kepada keseimbangan dan kesejahteraan sosial dalam masyarakat adalah pendidikan. Perancang-perancang dasar tentunya melihat kegelisahan rakan-rakan mereka di Britain yang sedang berhadapan dengan keadaan seperti ini di mana pelajar-pelajar lelaki di sekolah yang pelajarnya bercampur di antara lelaki dan perempuan didapati ketinggalan di belakang dalam peperiksaan. Mereka tidak boleh bersaing dengan pelajar perempuan yang lebih rajin, berfokus dan bersedia menghadapi saingan. Bagi menyelesaikan kemelut ini, pihak berkuasa pendidikan memikirkan langkah untuk memisahkan pelajar lelaki dan perempuan dengan mewujudkan sekolah untuk lelaki dan sekolah untuk perempuan. Walaupun ia melibatkan peruntukan yang banyak, kesan jangka masa panjang akan membantu menstabilkan masyarakat Britain bagi mengekalkan dominasi kuasa di Eropah.

Barangkali kita boleh memikirkan kembali keberkesanan cara ini supaya Malaysia, dalam setiap masa melahirkan pelajar lelaki dan perempuan yang sentiasa terpelajar, bersemangat tinggi dan bersedia memimpin. Walaupun kerajaan berusaha mempastikan 30 peratus wanita memenuhi jawatan-jawatan utama, usaha memperkukuh bakat kepimpinan di peringkat pendidikan rendah dan menengah tidak harus dibiarkan begitu sahaja.

No comments:

Post a Comment