Kesempatan menghadiri kursus pendek di kawasan Country Homes, Rawang memberi ruang dan peluang kepada penulis untuk melihat, meninjau dan menganalisis perkampungan Rufaqa’ Corporation yang mana Ashaari Muhammad adalah ketua eksekutif syarikat berkenaan. Kaitan Rufaqa’ dan Al Arqam yang heboh di media massa menjadikan keinginan penulis lebih teruja untuk melihat pergerakan kumpulan ini dengan lebih dekat.
Tiga hari dua malam menginap di Rufaqa’ Inn memberi penilaian awal terhadap kehidupan sekumpulan masyarakat Islam yang bernaung di bawah payung Rufaqa’ Corporation dan aktiviti yang dilakukan bagi menyokong kehidupan ahlinya.
Penulis tiba pada tengah hari dan singgah sebentar di Restoran Ikhwan yang berada di salah sebuah daripada sepuluh blok yang membentuk perkampungan Rufaqa’. Ketika meninjau makanan yang hendak dibeli, penulis dapati hanya tinggal sayur, ikan dan daging ayam serta nasi putih. Oleh kerana kurang berselera dengan makanan ini, penulis mengambil keputusan untuk makan nasi, ikan dan teh “o” ais sahaja bagi mengisi perut.
Di kawasan khemah luar, kelihatan anak-anak kecil sekitar 10 hingga 18 tahun sedang mengambil nasi dan lauk daripada periuk yang bersaiz besar tanpa membayar harganya di kaunter. Kemungkinan besar memang disediakan secara percuma. Penulis sendiri terpaksa membayar RM2.70 bagi makanan yang dipesan.
Di sekitar tempat duduk, terdapat dua meja makan yang sedang dihuni oleh tiga dan dua orang masing-masingnya memakai songkok, baju Melayu dan seluar panjang. Ketika penulis meneguk air teh “o” ais untuk menghilangkan haus, ternampak mata mereka melilau ke arah penulis. Keadaan yang sungguh tidak menyenangkan ketika makan.
Kanak-kanak yang mengambil makanan tadi adalah penghuni di kawasan perkampungan ini dan mereka sentiasa dilihat berada di sana selama penulis menghuni Rufaqa’ Inn. Malah kelibat mereka juga menimbulkan beberapa kemusykilan mengenai aktiviti yang dilakukan. Agaknya mereka berkursus ataupun memang itulah persekitaran dunia mereka ketika ini.
Setelah makan, penulis bertanyakan tempat untuk destinasi utama bagi mengetahui bagaimana ahli-ahli Rufaqa’ di sini memberi maklum balas terhadap kehadiran masyarakat luar. Salah seorang daripadanya sangat membantu. Soalan yang pertama ditanya ialah “Encik dari mana?” Itulah soalan yang penulis dapat selama berjumpa penghuni di sini sama ada di surau, Skylab dan Pusat Jahitan Ikhwan. Semuanya memberi respon yang sangat memuaskan dan penuh dengan kemesraan.
Tinggal di Rufaqa’ Inn memberi peluang kepada penulis untuk melihat aktiviti kumpulan ini secara dekat. Hampir semua keperluan sebuah masyarakat ada di sini. Dari pasar raya Rufaqa' hinggalah kedai dobi, bengkel kereta, agen pelancongan, poliklinik ataupun kedai gunting rambut, keperluan masyarakat dapat dipenuhi dengan lengkap dan sempurna.
Paling memberi kesan kepada penulis ialah keupayaan setiap orang di sini menyusun kasut setiap kali masuk ke dalam premis perniagaan atau tempat tinggal mereka. Caranya ialah menghalakan muncung kasut atau selipar mengarah keluar dan disusun berbaris-baris dan rapat. Ini adalah lambang hati yang bersatu dan keupayaan mendisiplin diri yang tinggi.
Penulis menjangkakan semua penghuni di sini diambil berat keperluan dan kebajikan mereka. Anehnya lebih ramai wanita yang bekerja dan dilihat berjalan ke sana sini dan ramai kanak-kanak dan remaja. Lelaki tidak kelihatan sangat. Semasa menunaikan solat Asar dan Maghrib juga tidak ramai lelaki yang datang berjemaah. Ada juga dua orang “Pak Sheikh” yang masih melepak di ruang tamu Rufaqa’ Inn ketika azan Asar sedang dikumandangkan. Ketika penulis keluar dari bilik untuk ke surau, mereka berada di situ dengan mata yang melilau dan ketika balik dari surau mereka masih lagi berada di situ. Pada pandangan penulis, tindakan terbaik mereka ketika itu ialah turut berjemaah supaya orang luar dapat melihat perkampungan Islam yang dikatakan oleh Ashaari Muhammad.
Aktiviti ekonomi adalah sumber pendapatan utama mereka. Dilihat semua kedai dibuka pada awal pagi atau lebih tepat selepas berwirid menunaikan solat Subuh. Satu pendekatan yang amat berkesan bagi membangunkan ekonomi ummah kerana rezeki selalu berada di awal pagi.
Setiap pagi juga ada beberapa buah kereta pelbagai jenis akan singgah di kawasan ini dengan urusan masing-masing. Semuanya berpakaian dengan cara yang sama dan mata mereka masih lagi melilau melihat kehadiran penulis dan rakan-rakan.
Solat mereka juga agak menarik untuk diperhatikan. Biasanya mereka akan bersedia sepuluh minit sebelum masuk waktu. Kawasan mussalla dihamparkan dengan kain putih dan setiap perpindahan rukun dilakukan dengan tertib. Salam ke kiri dan kanan akan dipaling dengan sungguh-sungguh. Sebaik sahaja memberi salam, salah seorang daripada mereka mengetuai bacaan wirid diikuti ahli jemaah yang lain. Selepas doa biasa, mereka membaca pula wirid ”Li khamsatun” beramai-ramai.
Prinsip perniagaan yang dilaksanakan di sini tidak mengutamakan keuntungan. Satu konsep yang sangat menarik kerana ketika masyarakat sibuk untuk mencari gelaran jutawan dan ahli perniagaan yang kaya-raya, masih ada mereka yang tidak mahu. Contohnya penulis cuba mendapatkan khidmat urutan seluruh badan. Selepas diurut, penulis bertanyakan upahnya. Pengurut berkata yang mereka tidak pernah meletakkan harga. Maknanya perkhidmatan ini tidak ada harganya walaupun di tempat lain ada yang mengenakan upah sehingga RM50.00 bagi sejam. Disebabkab penulis biasa mengurut, bayaran yang memadai telah diberikan.
Oleh sebab konsep inilah, kebanyakan perniagaan mereka nampak tidak maju dari segi lahiriah kerana perkhidmatan yang diberikan tidak ditentukan dengan untung yang banyak. Malahan ada yang rugi. Ada bekas ahli Al Arqam yang menyatakan keuntungan syarikat Rufaqa’ hanyalah 30 sen sehari.
Konsep perniagaan ini agak unik kerana pada Ashaari Muhammad, berniaga adalah untuk memenuhi keperluan ummah dan tidak perlu membebankan dengan menekan pengguna. Contohnya, jika ada ahli masyarakat sekitar yang dalam kesempitan untuk membeli barangan keperluan, dia boleh saja ke pasar raya Rufaqa’ untuk mengambil barangan berkenaan dan membayarnya apabila ada wang. Kalau tidak ada juga, bolehlah tidak membayarnya!
Konsep ini bertentangan sekali dengan amalan kapitalis dan sistem yang lain kerana matlamat perniagaan Rufaqa’ ialah memberi kemudahan kepada orang lain. Amalan-amalan, saranan dan kata-kata hikmah adalah pengukuh keyakinan kumpulan syarikat Rufaqa’ terhadap amalan yang sedang dipraktikkan ini.
Mereka percaya kalau bertaqwa, Allah akan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Itulah jaminan yang mereka dengar dan amalkan. Tidak hairanlah di Rufaqa’ Inn, penyambut tetamu wanita akan memegang tasbih untuk berwirid walaupun wajahnya jarang memberi senyuman. Kepalanya pula tunduk supaya tidak bertentang mata dengan lelaki yang bukan muhrim. Lelaki tukang urut juga begitu. Sementara menunggu penulis untuk diurut, turut memegang biji tasbih; berwirid dan berzikir.
Pengalaman penulis melihat perkampungan Rufaqa’ sangat memberi kesan terhadap pandangan dan pemikiran walaupun sudah memerhati perjalanan kumpulan Al Arqam secara dekat dahulu. Amalan menggantung gambar Ashaari Muhammad masih berterusan dan dihiasi dengan kata-kata hikmah serta sajak. Penulis tidak nampak pula gambar pemimpin negara Malaysia yang lain digantung pada dinding-dinding premis perniagaan mereka.
Terfikir juga kenapa di pejabat kerajaan, restoran dan premis peniagaan terdapat gambar Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri dan Perdana Menteri.
Rufaqa’ Corporation ditubuhkan untuk menampung keluarga Ashaari Muhammad yang ramai. Para pekerjanya terdiri daripada bekas-bekas ahli Al Arqam yang hilang pekerjaan. Ashaari Muhammad pernah mengambil pekerja asing tetapi katanya susah untuk didisiplinkan kerana tidak ada kejujuran dan amanah. Hubungan majikan-pekerja adalah sangat berbeza kerana Ashaari menggunakan pendekatan ayah-anak. Pengikat kesetiaan dan kejujuran ialah kasih sayang. Beliau yakin sifat amanah dan jujur akan terbentuk dengan perlahan-lahan. Akhirnya pekerja akan bekerja bersungguh-sungguh dan menghormati majikan mereka.
Yang pertama, kumpulan ini perlu melakukan transformasi pemikiran dan perlakuan supaya tidak dipandang lemah dan diperlekeh. Umpamanya keadaan tempat makan di Restoran Ikhwan. Ia perlu ditingkatkan kebersihan dalaman dan luaran seperti mana mereka dididik untuk mengatur kasut ketika masuk ke premis masing-masing. Longkang restoran masih hitam pekat airnya, kurang bersih, lantai yang kurang bersinar dan makanan yang tidak banyak untuk dipilih.
Yang kedua, ramai perempuan dan wanita yang bekerja di sini. Timbul persoalan apakah kaum hawa ini menjana pendapatan ekonomi utama kerana kegigihan mereka bekerja. Kuat bekerja sangat baik tetapi hanya satu pihak akan merugikan jemaah. Kaum lelaki yang penulis temui agak vokal mempertahankan perniagaan dan aktiviti Rufaqa’ dengan sedikit sebanyak menyalahkan kerajaan. Pemikiran yang tertutup begini menjadikan mereka sukar untuk diajak berbincang.
Yang ketiga, tenaga manusia iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan di sini perlu ditarbiyah dengan cara terbaik supaya akhlak dan keupayaan berfikir dapat dikembangkan sepenuhnya. Penulis mungkin tidak mengetahui aktiviti kanak-kanak ini tetapi pemerhatian yang singkat memberi gambaran yang lebih banyak negatif daripada positif. Berketayap dan bertudung memang baik dan cantik tetapi jika diberi ilmu dan dikembangkan kepintaran, mereka akan menjadi lebih hebat dan bermakna kepada masyarakat dan negara.
Rumusannya kumpulan Rufaqa’ perlu meningkatkan keupayaan ”model masyarakat Islam” yang mereka wujudkan di Country Homes supaya ia menjadi benar-benar bermakna terhadap orang luar. Ashaari Muhammad juga menyatakan Negara Islam bukannya terletak pada bangunan, lambang dan persekitaran tetapi pada orangnya. Justeru itu, perbaikilah keadaan hidup ahli-ahli Rufaqa’ yang kebanyakannya mencari rezeki dengan berniaga di sini. Aspek dalaman dan luaran perlu dibentuk supaya memberi kesan maksimum ke atas penghayatan Islam.
No comments:
Post a Comment