Tuesday, July 19, 2016

Rakyat Turkey tolak rampasan kuasa tentera







Tengah hari Jumaat, tentera Turkey melakukan percubaan rampasan kuasa bagi meruntuhkan kerajaan Turkey pimpinan Recep Tayyip Erdogan.

Biarpun rampasan kuasa ini gagal, ia mnjadi isu yang sangat penting kepada masyarakat dunia khususnya negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat. Ketika ahli-ahli politik berfikir apa yang akan berlaku selepas ini, kebanyakan daripada kita hanya menmgetahui sedikit apakah yang berlaku pada tengah hari itu.

Kenapakah Turkey begitu penting?

Umumnya, Turkey sebuah negara yang majoritinya adalah orang Islam tetapi mengambil pendekatan liberal dan demokratik. Walaupun 99.8 peratus adalah muslim, negara itu tidak mempunyai agama rasmi dan kebebasan agama dilindungi oleh perlembagaan. Kepimpinan Turkey dipilih melalui pilihan raya dan rakyat yang dewasa mempunyai hak untuk mengundi.

Turkey memulakan rundingan ke arah menjadi ahli Kesatuan Eropah pada tahun 2005 dan masih mencuba selama satu abad. Istanbul mencatat 12.5 juta pelancong pada tahun 2015 iaitu bandar kelima paling ramai dikunjungi di dunia.

Tentera berperanan besar dalam politik Turkey dan cubaan rampasan kuasa adalah jarang. Ia dianggap biasa dalam sejarah Turkey.  Tentera telah melumpuhkan kerajaan tidak kurang daripada empat kali sejak tahun 1960-an yang mana kali terakhir sekitar tahun 1990-an.

Semenjak itu, ia berkurangan kerana desakan untuk menganggotai Kesatuan Eropah memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan dipilih secara demokratik.

Turkey sangat penting kepada sekutu Barat iaitu Amerika Syarikat. Turkey juga menjadi ahli NATO sejak 1952 dan menjadi penghubung Asia dan Eropah. Di situ terletak operasi melawan ISIS di samping menjadi kawasan strategik menyimpan senjata nuklear. Justeru, Amerika Syarikat tidak mahu sebarang perhubungan di Turkey mengundang ketakstabilan hubungan kedua-dua negara.

Selepas rampasan kuasa digagalkan, Presiden Erdogan menuding jari kepada Fethullah Gülen, bekas sekutunya yang kini tinggal di Pennsylvania, Amerika Syarikat. Hubungan mereka menjadi renggang pada tahun 2003 selepas isu rasuah menjadi perdebatan hangat.

Banyak pihak melihat kejayaan Erdogan menggerakkan penyokong dan rakyat Turkey menunjukkan negara itu mahukan tentera kembali ke berek dan tidak melibatkan diri dalam politik. Ternyata, populariti dan keputusan-keputusan Erdogan sebelum ini diterima baik dan orang-orang muda Turkey tidak takut berhadapan dengan tentera yang bersenjata.

Gesaan Erdogan melalui Facetime yang disiarkan olen CCN Turkey tidak dapat lagi menahan cita-cita tentera Turkey untuk menguasai pentadbiran kerajaan.

Erdogan melakukan apa yang tidak dapat dilakukan oleh pemimpin demokratik sebelum ini. Beliau mendapat keyakinan tinggi untuk mengurus pasukan tentera Turkey selepas ini dan sepertimana kata beliau selepas kegagalan rampasan kuasa, “mereka yang terlibat akan mendapat balasan yang setimpal”. 

Perkembangan politik Turkey menunjukkan bahawa tentera tidak lagi mendapat sokongan rakyat Turkey dalam era moden ini. Kesungguhan mereka untuk menguasai Turkey dipatahkan oleh rakyat negara itu yang keluar beramai-ramai di jalan raya, menghalang pergerakan kereta kebal dan beradu kekuatan dengan peluru dan senapang.

Monday, July 18, 2016

Memahami maqasid syariah








Penulis: Jasser Auda
Penterjemah: Marwan Bukhari A. Hamid
Tahun: 2014
Penerbit: PTS Islamika Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor, Malaysia.
Muka Surat: 236

Buku ini adalah satu daripada usaha bagi memperkenalkan asas memahami maqasid syariah supaya masyarakat Islam lebih berupaya berinteraksi dengan kerencaman persoalan yang dilontarklan oleh pihak musuh Islam.

Jasser Auda adalah seorang pemikir Islam yang sedang meningkat baik. Banyak tulisan beliau yang bermutu tinggi dan menjadi rujukan oleh sarjana Islam pada hari ini. Beliau juga mempamerkan keberanian bagi mengupas pelbagai isu yang dekat dengan realiti semasa.

Dalam prakata penulis, Jasser menceritakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang dekat di hati kerana negara itu menerima Islam tanpa sebarang peperangan. Islam adalah cahaya yang menawan jantung-jantung hati.

Buku ini penting untuk kita memahami maqasid syariah, suatu ketika dulu hanya dibicarakan sebagai sebahagian daripada ilmu usul al-fiqh, namun kini ia menjadi sebuah disiplin dan diajarkan di institusi pengajian tinggi sebagai suatu subjek tersendiri dengan nama maqasid syariah. 

Saturday, July 16, 2016

Keganasan gugat keamanan







Serangan bom di Nice, Perancis baru-baru ini mengejutkan masyarakat dunia. Dilaporkan lebih 80 orang terkorban dan puluhan lagi cedera. Kejadian terbaru ini menambahkan siri peristiwa berdarah dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Islamic State (IS) dikatakan bertanggungjawab dalam serangan ini.

Di negara kita, polis telah mengesahkan letupan bom di hadapan sebuah kelab malam di Puchong adalah angkara IS, yang pertama dalam wilayah Malaysia.

Ancaman IS terhadap Malaysia dijangka menjadi lebih agresif dan berskala besar. Sebelum ini IS hanya dikenali sebagai pertubuhan yang merekrut rakyat Malaysia untuk berperang di Syria, kini anggota yang direkrut telah kembali dengan pelbagai cara untuk meneruskan misi mereka. Di samping mengebom, mereka juga membuat ancaman kepada pihak berkuasa dan pemimpin negara.

Penglibatan takyat Malaysia sebagai anggota dan rangkaian IS dapat dilihat dalam laporan media berkaitan siri tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis. Mereka yang terlibat ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, lelaki dan perempuan dan ada juga yang aktif menjadi ejen secara tidak langsung.

Besar kemungkinan operasi IS di Malaysia sudah melepasi tahap pengenalan. Kini, mereka bersedia melancarkan serangan selepas mempunyai sejumlah anggota yang mahir dalam strategi perang dan membuat bahan letupan.

IS akan mengiktiraf setiap kejadian letupan sebagai hasil kerja mereka apabila dapat membunuh mangsa dalam jumlah yang besar dan kecederaan yang ramai. Sasaran mereka juga tidak mengira umur.

Kehadiran kelompok IS di Malaysia dan melancarkan serangan di tempat awam amat membimbangkan. Keadaan ini bukan lagi berlaku di luar negara sebaliknya ia sedang berlaku di hadapan kita. Sedikit sebanyak perkembangan ini bakal memberi impak ke atas keselamatan orang ramai. Rutin harian pasti akan terjejas kerana orang ramai bakal mengambil kira keselamatan persekitaran sebelum membuat perjalanan.

Tumpuan di kawasan perniagaan dan rekreasi juga akan berkurangan kerana wujud keadaan trauma dan bimbang.

Tanggungjawab memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terletak di atas pasukan keselamatan khususnya pasukan polis. Mereka perlu mengambil langkah wajar untuk menyekat ideologi IS dari berkembang, memerangi kelompok yang taksub dan memastikan setiap kawasan adalah selamat.

Kita tidak mahu mendengar apa-apa juga letupan berlaku di negara kita. Pihak polis patut menggunakan seluruh kekuatannya untuk menjejaki anggota IS dan membuat pemantauan ke atas sebarang maklumat biarpun tidak ada sumber sahih kerana serangan boleh berlaku bila-bila masa dan kepada sesiapa sahaja.


Wednesday, July 13, 2016

Perceraian dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam







1.0 Pendahuluan

Perceraian adalah suatu ungkapan yang sering kali didengar oleh masyarakat kita pada hari ini. Malah, setiap hari boleh dikatakan terdapat kes perceraian yang berlaku oleh pelbagai sebab seperti terdapat sesuatu keadaan yang bertentangan dengan agama atau hukum dan sebagai jalan keluar daripada perselisihan yang tidak mungkin ada penyelesaian. Perceraian sah apabila terjadinya talak dan gugatan perceraian iaitu membuat tuntutan cerai (fasakh) di mahkamah syariah (N Fatmah, 2011).

Adakah kehidupan pada zaman yang moden ini telah menyebabkan pasangan suami isteri mudah menuntut cerai atas sebab-sebab yang tidak munasabah seperti pergaduhan kecil?

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  menunjukkan  jumlah perceraian pada tahun 2007 ialah sebanyak 20,259 kes berbanding 131,086 perkahwinan yang telah didaftarkan. Pada tahun 2009 pula sebanyak 27,116 kes perceraian telah dicatatkan daripada sejumlah 135,136 perkahwinan didaftarkan pada tahun yang sama. Statistik perceraian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi tahun 2011 mencatatkan purata 70 kes perceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes dilaporkan sebulan dan sejumlah 25,000 kes setahun di seluruh negara bagi tahun 2011 (Utusan Malaysia, 2013).

Bukan sahaja kes pencerian banyak direkodkan oleh mahkamah syariah, malah juga turut direkodkan di mahkamah sivil. Mahkamah sivil yang antara tugasnya mengendalikan kes perceraian bagi komuniti bukan Islam seperti Buddha, Kristian, Hindu dan sebagainya. Mereka juga menghadapi masalah yang sama, justeru,  perceraian bukanlah suatu perkara yang asing.

Sedar atau tidak, sesuatu perceraian itu sendiri boleh menyebabkan pelbagai konflik atau akibat. Gejala sosial yang berleluasa seperti berzina  semakin parah dari hari ke sehari. Apabila diselidiki, antara puncanya adalah daripada sesuatu masalah rumah tangga itu sendiri yang menyebabkan suami atau isteri bertindak melakukan maksiat bagi melupakan masalah. Daripada peningkatan gejala seperti ini juga telah mengurangkan keharmonian masyarakat. Seperti yang kita biasa lihat, fenomena perceraian itu sendiri boleh dikatakan ibarat ‘menconteng arang’ ke muka keluarga kerana menjadi buah mulut masyarakat sekitar.

Walau bagaimanapun, sesuatu perceraian itu sebenarnya boleh dilakukan secara baik dan berhemah dengan mengikuti prosedur-prosedur yang ditetapkan. Biarpun perceraian itu bagi Islam adalah sesuatu yang tidak disukai tetapi dengan bercerai secara baik akan membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak. Di Malaysia, setiap negeri telah didirikan mahkamah syariah bagi kemudahan penduduk setempat. Di mahkamah syariah juga terdapat jawatankuasa pendamai dan hakam yang boleh membantu menyelesaikan sesuatu pertelingkahan di antara sepasang suami isteri. Di sini mahkamah syariah akan berusaha membantu pasangan suami isteri yang ibarat ‘retak menanti belah’ dengan cara memberikan nasihat dan panduan untuk membaiki hubungan mereka.

1.1 Objektif Kajian

Terdapat tiga objektif kajian iaitu, pertama, mengkaji  jenis-jenis perceraian yang terdapat dalam masyarakat Islam dan bukan Islam. Kedua, mengkaji bagaimana perceraian  dalam masyarakat Malaysia boleh menggugat keharmonian etnik berbilang bangsa. Ketiga, memberitahu cara-cara perceraian yang betul mengikut hukum syarak bagi Islam dan undang-undang sivil bagi bukan Islam.


2.0 Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif. Menerusi kaedah ini, maklumat atau data yang didapati adalah lebih humanistik, induktif dan holistik. Proses temu bual dapat menghasilkan data yang bersifat fleksibel kerana pengkaji boleh mengemukakan soalan bagi mendapatkan data menyeluruh. Manakala melalui dokumentasi dan kepustakaan dapat memperkukuh lagi data yang dipungut dari awal melalui proses temu bual.

Temu bual ke atas responden dibuat secara berperingkat melibatkan pelajar institusi pengajian tempatan dan orang ramai. Satu set soalan disediakan sebagai pemandu dalam sesi berkenaan. Lima orang responden telah dikenal pasti dan mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan keluarga.

Bagi menambahkan pengetahun terhadap topik ini, pengkaji mendapatkan pelbagai maklumat di perpustakaan di samping membuat carian di Internet.


3.0 Hasil Kajian

Dapatan kajian dibahagi kepada empat bahagian utama berdasarkan jenis agama yang diletakkan dibawah satu tajuk utama iaitu Standard Operasional Prosedur Perceraian.
        
Bagi agama Islam, perceraian adalah suatu yang tidak digalakkan. Namun, bagi pasangan yang tidak dapat menyelamatkan rumah tangga mereka, perceraian adalah suatu penyelesaian akhir. Perceraian dalam Islam boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti talaq, khuluk, taklik, fasakh dan sebagainya. Setiap perceraian haruslah didaftarkan dan pasangan hendaklah memaklumkan kepada mahkamah syariah. Pelbagai prosedur yang harus dijalani oleh pasangan yang akan bercerai. Walau bagaimanapun, jika pihak mahkamah merasakan bahawa perhubungan rumah tangga tersebut masih boleh diselamatkan, maka jawatankuasa pendamai ataupun hakam akan dilantik.
         
Bagi penganut agama Kristian, perkahwinan ialah satu ikatan yang suci antara seorang lelaki dengan seorang wanita untuk sepanjang zaman. Oleh sebab itu, perceraian dalam Kristian adalah tindakan yang menyedihkan. Seorang lelaki hanya dibenarkan berkahwin sekali sahaja seumur hidup, demikian juga wanita. Perkahwinan bagi agama Kristian terutama bagi aliran Roman Katolik menganggap perkahwinan sebagai suatu perhubungan antara lelaki dan wanita yang telah sama-sama bersetuju untuk hidup sebagai suami isteri untuk sepanjang hayat. Penganut agama ini mengikut ajaran mereka percaya bahawa suami dan isteri disatukan oleh Tuhan melalui perkahwinan.
        
Seterusnya, bagi prosedur perceraian sepasang suami isteri yang ingin bercerai di dalam agama Buddha atau Hindu, mereka harus merujuk kepada mahkamah sivil.
         
Justeru bagi pasangan yang merasakan bahawa perceraian adalah jalan penyelesaian yang terakhir, maka mereka haruslah mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh mahkamah syariah bagi Islam dan mahkamah sivil bagi bukan Islam.
  

4.0 Kesimpulan

Masalah perceraian yang berlaku di Malaysia pada masa ini bukanlah satu masalah kecil lagi dan boleh dipandang ringan. Namun ianya sudah bertukar menjadi satu masalah besar. Perceraian ini boleh dikatakan semakin meningkat kerana semakin hari semakin banyak kes perceraian yang difailkan di mahkamah.

Permasalahannya di sini, kenapa perceraian lebih banyak berlaku dalam masyarakat Islam? Apakah yang akan terjadi kepada institusi kekeluargaan akibat perceraian ini? Siapakah yang harus dipersalahkan ataupun siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam perceraian?
         
Prosedur perceraian bagi penganut empat agama ini harus dijalankan menurut undang-undang yang telah ditetapkan bagi mengelakkan konflik pada masa depan. Mahkamah syariah dan mahkamah sivil perlu bersedia membantu pasangan yang menghadapi cabaran berumah tangga ini. Selain itu, pasangan yang baru berkahwin harus mempunyai persiapan yang cukup untuk melayari bahtera perkahwinan ini. Hal ini kerana, kebanyakan kes perceraian adalah daripada pasangan yang muda yang baru berkahwin.


Rujukan

N Fatmah. (‎2011). Faktor penyebab terjadinya perceraian dan akibatnya terhadap hak pemeliharaan anak. Diakses dari http://repository.usu.ac.id/bitstream/123456789/
23509/3/Chapter%20II.pdf.
  
Utusan Malaysia, 9 Ogos 2013. “3 pasangan Islam bercerai setiap jam di Malaysia”. Diakses di http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130809/dn_05/3-pasangan-Islam-bercerai-setiap-jam-di-Malaysia.      


MZ Zainudin, Nurul Farah Atiqah Mohd Tahir, Aiman Najwa Mohd Shamsidi, Maizatul Hafizah Aripin, Ummi Sorayya Baharam, Nurul Najeeha Sahdan.            



Tuesday, July 12, 2016

Impak Ramadhan 2016 terhadap pembangunan diri







Ramadhan 2016 telah pun kita lalui dengan jaya. Sebulan menahan lapar, dahaga dan larangan ketika berpuasa ini menjadi latihan atau ujian paling mencabar bagi umat Islam seluruh dunia. Di Afrika, Timur tengah atau Asia, umat Islam menghadapi ujian ini dengan tabah dan sabar sehinggalah menyambut 1 Syawal.

Amalan berpuasa merupakan salah satu daripada rukun Islam. Menjadi kewajipan setiap muslim untuk berpuasa bagi yang mampu selepas mencapai umur baligh. Jika seseorang itu berumur 30 tahun, beliau mungkin telah berpuasa selama 15 atau 16 tahun. Jika berumur 50 tahun, beliau mungkin telah pun berpuasa selama 35 atau 36 tahun. Jika berumur 80 tahun, beliau mungkin tidak perlu berpuasa lagi memandangkan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Impak ramadhan berlaku dalam tiga keadaan. Pertama, fizikal. Orang yang berpuasa akan merasai perubahan berat badan dan tabiat yang merugikan seperti bangun lewat pagi atau tidur lewat malam. Kedua, intelektual. Bentuk pemikiran orang yang berpuasa berubah 360 darjah iaitu kemampuan berfikir dan bertindak yang luar biasa. Keinginan ketika tidak berpuasa tidak lagi menjadi fokus. Contohnya jika diletakkan segelas air di hadapan mereka, tidak ada keinginan pun untuk mereka minum kerana pemikiran mereka memiliki keupayaan luar biasa untuk menolak minuman berkenaan. Ketiga, spiritual. Keinginan untuk mengerjakan yang suruhan agama semakin membuak-buak dan sangat mudah. Buktinya ialah setiap malam pasti masjid dan surau dipenuhi orang yang inginkan pahala mengerjakan solat tarawih.

Latihan yang dilalui sepanjang ramadhan ini bakal menjadi bekalan selama sebelas bulan yang datang. Latihan bersabar, berlapar dan menahan cabaran dapat membina ketahanan diri yang lebih ampuh dan bersedia dengan pelbagai cabaran.

Sepatutnya semangat ramadhan ini dibawa ke dalam kehidupan masyarakat Islam. Tabiat buruk yang dihilangkan dalam sepanjang bulan ramadhan itu tidak perlu lagi dibawa lagi dalam bulan-bulan seterusnya. Namun, ada yang tidak kena apabila ada lagi masalah masyarakat yang dialami oleh masyarakat Islam negara kita.

Di mana masalahnya? Apa masalahnya yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam kita ini?

Kita wajar bersama-sama menghayati melihat kembali permasalahan yang sedang dihadapi di peringkat remaja, dewasa dan kanak-kanak. Masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat ini mesti diterjah, dikaji dan diselesaikan bersama, bukannya membiarkan masalah itu berlalu begitu sahaja dan orang lain yang menyelesaikannya.

Justeru, semangat ramadhan 2016 ini perlu sentiasa berada dalam hati dan jiwa kita supaya ia dapat menjadi pembakar semangat kepada bulan-bulan yang akan datang.

Friday, July 08, 2016

Perkukuh mesej maaf dalam iklan raya







Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan agama terbesar di Malaysia. Ia disambut oleh masyarakat Islam yang memberi pengaruh besar kepada aktiviti sosial dan ekonomi penduduk negara ini. Justeru, sebahagian besar agensi kerajaan memberi tumpuan kepada kelancaran sambutan perayaan ini supaya budaya "balik kampung" terus menjadi tradisi masyarakat.

Baru-baru ini terdapat keluhan pengguna lebuh raya yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama beberapa jam akibat kebanjiran kenderaan di atas jalan. Fenomena ini akan terus berlarutan sepanjang masa sekiranya kerajaan lambat menyediakan pengangkutan alternatif yang lebih pantas dan cekap seperti laluan trek keretapi dan kekerapan penerbangan.

Kemalangan pada musim perayaan menjadi ancaman besar kepada negara. Kadar kemalangan dan kematian yang menunjukkan trend meningkat setiap tahun merugikan negara kerana melibatkan kos operasi penguatkuasaan dan keselamatan yang besar. Kos yang sepatutnya boleh digunakan untuk meningkatkan infrastruktur, mengatasi kemiskinan dan masalah sosial telah digunakan untuk menguruskan keselamatan orang ramai dari segi kelancaran jalan raya, elaun petugas, keselamatan petugas dan advokasi keselamatan awam.

Agensi kerajaan yang terlibat dalam menjaga keselamatan awam terdiri daripada penguatkuasa, keselamatan dan kesihatan. Pasukan polis, anggota Jabatan Pengangkutan jalan, pasukan bomba dan penyelamat, petugas kesihatan, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela dikerah memastikan orang ramai khususnya pengguna jalan raya dapat menggunakan laluan lebuh raya dan jalan raya dengan selamat dan lancar.

Berdasarkan keadaan ekonomi masyarakat Malaysia, kemunculan kelas menengah yang lebih ramai menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi untuk pengangkutan alternatif biarpun tawaran harga yang mahal kerana kelompok ini mampu berbelanja.

Hari Raya Aidilfitri juga menjadi medan mencetuskan emosi orang ramai khususnya menilai kembali kepentingan memberi maaf, bersyukur dan menghargai ibu bapa. Iklan hari raya yang disiarkan di media sosial banyak mempamerkan nilai-nilai ini. Iklan dari Tenaga Nasional Berhad berkaitan memaafkan kesilapan dan mesejnya ialah jangan takut mengaku salah kerana sampai masanya akan ada kemaafan. 

Begitu juga iklan Petronas. Tahun ini syarikat minyak itu menyampaikan mesej menghargai ayah. Agak menarik juga apabila anak muda mahu menjaga ayahnya yang lanjut usia dan cuba menghiburkannya melalui pengalaman semasa kanak-kanak. Kehidupan ayah juga menyentuh emosi kita.

Sepanjang ramadhan lalu, pesta makanan dan jual beli menarik perhatian ramai orang. Pada masa inilah kita dapat melihat ramai usahawan muda yang mengambil peluang belajar berniaga. Biarpun hanya menjual air, jualannya tetap mendapat sambutan kerana kewujudan bazar ramadhan telah memberi peluang kepada anak-anak muda berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Usahawan pakaian dan tudung juga tidak menang tangan untuk menyediakan tempahan.

Secara tradisi, hari raya yang disambut setiap tahun boleh diintegrasikan dalam masyarakat sebagai budaya menyuburkan nilai-nilai kekuatan yang ada pada setiap orang. Tema memaafkan harus menjadi teras kepada sambutan perayaan ini supaya ia menjadi unsur paling dominan dalam pemikiran rakyat Malaysia.



Monday, June 20, 2016

English grammar in comics (basic)







Penulis: Anna Fung Wai Choo
Tahun: 2015
Penerbit: MBP Publications Sdn Bhd, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Muka Surat: 132

Buku ini ditulis khusus untuk pelajar yang mahu membina asas tatabahasa bahasa Inggeris yang kuat supaya mereka dapat menulis dan bertutur dengan lancar.

Komponen tatabahasa yang diperkenalkan ini dibuat dalam bentuk ilustrasi yang menarik. Terdapat juga kuiz, tips maklumat dan analisis latihan kesalahan bagi membantu pengajaran tabahasa. Terdapat jawapan di belakang buku ini supaya pelajar dapat menyemak kembali kemajuan tatabahasa masing-masing.

Buku ini diselarikan dengan KBSM pelajar sekolah menengah yang bakal memberi manfaat yang sangat banyak kepada pelajar.

Ibu bapa yang berharap anak-anak mereka mahir bertatabahasa Inggeris sudah tentu memerlukan sebuah buku yang mudah untuk difahami di sampign emnarik minat anak-anak untuk belajar bahasa ini.


Friday, June 10, 2016

Pedofilia hidup dua alam







Pedofilia Britain, Robert Huckle, 30 tahun telah menggemparkan masyarakat negara ini dan antarabangsa apabila mengaku bersalah terhadap 71 tuduhan nejayah serangan seksual kanak-kanak di Malaysia dan Kemboja. Mangsa serangan seksual ini merangkumi kanak-kanak dan bayi yang berusia 6 bulan hingga 12 tahun.

Hakim Peter Rook menjatuhkan hukuman penjara minimum 25 tahun dengan mesej yang sangat jelas iaitu ‘... adalah jelas, jika kamu tidak ditahan, kamu merancang meneruskan gaya hidup yang sama dengan menggunakan kepakaran kamu untuk memujuk dan berkongsi dengan pendera seksual lain untuk terus-menerus mengeksploitasi aktiviti seksual kamu terhadap kanak-kanak dalam masyarakat berkenaan’.

Huckle membesar di Ashford, England dan telah melawat Malaysia pada tahun 2005 semasa berusia 19 tahun. Pada tahun berikutnya beliau ke Kemboja dengan menyasarkan kanak-kanak berusia empat tahun dan kakaknya enam tahun.

Di Malaysia dan Kemboja, Huckle menunjukkan sikap amat mengambil berat kebajikan kanak-kanak dan mempamerkan dirinya sebagai seorang penganut Kristian yang taat untuk mengajar bahasa Inggeris dan berkongsi cerita dari kitab Injil. Beliau turut memuat naik gambarnya bersama dengan kanak-kanak di Facebook malahan gambarnya dimasukkan dalam video promosi yang dikeluarkan oleh British Council Malaysia.

Mangsa keganasan seksual Huckle terdiri daripada kanak-kanak miskin dari keluarga Kristian. Beliau mengambil masa bertahun-tahun untuk menjalin hubungan dengan masyarakat sekitar sehingga sangat dipercayai. Niatnya hanyalah mencari kanak-kanak dan melakukan serangan seksual tanpa dapat ditangkap.

Richard Huckle akan melatih kanak-kanak sasarannya sehingga ke tahap beliau amat yakin yang kanak-kanak itu tidak akan memberitahu sesiapa termasuk ibu dan bapa mereka.

Semasa dalam siasatan, pasukan penyiasat menemui fail simpanan yang mengandungi lebih daripada 20,000 imej lucah dan video perbuatan serangan seksual. Salah satu panduan penderaan seksual turut dijumpai dalam komputer peribadinya dan bersedia untuk diterbitkan melalui pautan ‘sesewang gelap’ yang kemudiannya ditukarkan kepada wang maya, Bitcoins.

Beliau juga menyimpan kad skor yang menunjukkan jumlah kanak-kanak yang menjadi mangsanya. Buku lejar yang mengandungi 191 nama telah diubah suai kepada permainan kejam yang mana Huckle memberi ganjaran kepada dirinya berdasarkan identiti kanak-kanak dan bentuk penderaan yang dilakukan. Peraturan permainan ini mengatakan beliau tidak akan menerima ganjaran jika melakukan aktiviti yang sama ke atas kanak-kanak yang sama pada minggu yang sama.

Dalam kenyataan kesalnya, Huckle berkata selagi mana beliau menyimpan senarai nama kenalan orang-orang miskin yang diketahui, beliau pasti ada yang cenderung kepada seseorang yang ‘berstatus tinggi’ sepertinya untuk menjaga kebajikan anak-anak mereka sama ada dalam tempoh yang singkat atau lebih lama.

Sebaik sahaja hukuman ke atas Huckle dijatuhkan, seorang wanita di galeri awam mahkamah menjerit ke arahnya, ‘1000 kematian juga sangat baik untuk kamu!’

Kisah Huckle ini mengingatkan kita kepada seorang lagi pedofilia pelajar Malaysia, Nur Fitri Azmeer Nordin yang ketika ditahan sedang menuntut di Imperial College London. Beliau dipenjara selama lima tahun kerana memiliki ribuan video dan gambar lucah kanak-kanak termasuk dalam kategori A iaitu gambar yang menunjukkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Kes pedofilia ini membuka mata masyarakat kita untuk melihat sejauh mana negara kita memiliki kepakaran dalam jenayah keganasan seksual terhadap kanak-kanak. Keberkesanan agensi penguatkuasa dalam menangani kes-kes sebegini menjadi tanda tanya kerana tidak banyak makluamt atau berita yang dikongsi bersama masyarakat. Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan yang menjadikan aktiviti pencegahan jenayah seksual kanak-kanak juga jarang kita dengar.

Semua ini menunjukkan isu berkaitan keganasan seksual terhadap kanak-kanak masih berada di peringkat taboo dalam masyarakat kita. Kerajaan perlu berusaha giat menggerakkan usaha dan kempen kesedaran bagi menggalakkan masyarakat untuk melihat kembali keselamatan diri dan keluarga di samping mengambil sikap berwaspada dengan orang luar yang ‘nampak cantik di luar tetapi buruk di dalam’.



Monday, June 06, 2016

33 pesan nabi- jaga mata, jaga telinga, jaga mulut








Penulis: Vbi_djenggotten
Tahun: 2016 (cetakan kesebelas)
Penerbit: Humaira Publication Sdn Bhd, Semenyih, Selangor, Malaysia.
Muka Surat: 126

Tajuk buku ini sangat menarik tetapi kandungannya adalah dalam bentuk komik. Di bahagian belakang buku ini dinyatakan pendekatan yang digunakan adalah bentuk baru untuk mempelajari Islam. Petikan hadis disampaikan dalam bahasa komik yang menarik dan sesuai untuk kanak-kanak.

Penerbit memuatkan beberapa maklum balas daripada pelbagai latar belakang pembaca seperti artis, usahawan, kakitangan awam dan peguam.

Di bahagian hadapan buku ini dimuatkan malum balas daripada penyanyi Hafiz Hamidun yang berbunyi, 'Saya tidak ingat bila kali terakhir membaca komik, mungkin 20 tahun yang lalu, komik ini membuat saya membaca komik semula. Perasaan yang hebat'.

Pesan nabi yang dimaksudkan ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Antara tajuk yang disediakan ialah pujian, hantaran zina, malu dan pemimpin yang sia-sia.

Sebaris kata daripada Raja Kami, usahawan internet, 'Komik ini bukan sahaja santai, malah memberi kesan kepada hati. Sambil tersenyum dengan lawak sentap yang disajikan dalam komik ini, dapat juga belajar dan memahami hadis-hadis yang sahih dari Bukhari dan Muslim'.


Friday, June 03, 2016

Nat kebun getah








Pasar sehari kebun getah di Jalan Arau-Pauh, Perlis sudah sinonim dengan masyarakat Perlis dan bahagian utara Kedah. Dalam dialek tempatan pasar sehari dipanggil ‘nat’.

Nat kebun getah merupakan kawasan pasar yang dapat memenuhi keperluan harian penduduk sekitar. Kawasan kebun getah yang dulunya sunyi sepi kini riuh-rendah dengan pembeli dan orang ramai yang mahu mendapatkan sayur, ikan dan makanan yang dijual dengan harga yang murah.

Ada dua bahagian jualan, pertama, bahagian yang menjual ikan, sayur, buah dan rokok daun manakala satu lagi menjual pakaian, barang elektrik dan makanan.

Saya sempat merayau-rayau sekitar nat ini untuk mendapatkan barangan di samping membandingkan harga.

Dari segi harga, barang-barang di sini jauh lebih murah. Sekilogram ikan kembung berharga lima ringgit manakala seikat sayur yang agak banyak berharga seringgit. Namun harga daging lembu agak mahal iaitu RM32 sekilogram.

Ada juga penjual barangan elektrik terpakai seperti kipas angin pada harga diskaun 50 peratus.

Apa yang saya lihat di sini agak menarik iaitu penjualnya terdiri daripada wanita dan orang-orang muda.

Pasar sehari ini dimilki oleh sepasang suami isteri yang juga tuan kebun getah sebagai cara menambah pendapatan di samping memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan. Mereka tidak perlu bersusah-payah ke Arau atau Kangar semata-mata mendapatkan ikan atau sayur. Namun banyak perkara yang boleh ditingkatkan untuk memberi keselesaan kepada pengguna.

Pertama, gerai jualan. Keadaannya dhaif dan mencacatkan pandangan. Gerai yang tidak diselenggara ini memudarkan imej pasar sehari kebun getah di samping tidak selamat.

Kedua, laluan pejalan kaki yang lecak dan berair. Laluan berkenaan diletakkan kepingan kayu supaya orang ramai dapat melepasi tempat berkenaan. Jika tidak disinting seluar, air lecak ini boleh terpercik pada seluar dan kain.

Ketiga, gerai jualan yang terlalu hampir dengan jalan raya. Kenderaan yang lalu di antara pasar sehari ini perlu memperlahankan kereta atau lori masing-masing bagi mengelakkan orang ramai yang leka dengan membeli-belah. Ibu bapa yang membawa anak-anak juga mengambil langkah berhati-hati dengan memegang erat tangan anak-anak supaya tidak memasuki laluan jalan raya utama.

Mungkin pihak berkuasa boleh membantu pemilik kebun getah itu untuk membuat pelan pasar yang lebih baik dan manambahbaik infrastruktur sedia ada. Cara ini dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli dengan lebih selesa di samping menaikkan imej pasar sehari kebun getah itu.