Serangan bom di Nice, Perancis baru-baru ini mengejutkan masyarakat
dunia. Dilaporkan lebih 80 orang terkorban dan puluhan lagi cedera. Kejadian
terbaru ini menambahkan siri peristiwa berdarah dalam tempoh dua tahun kebelakangan
ini. Islamic State (IS) dikatakan bertanggungjawab dalam serangan ini.
Di negara kita, polis telah mengesahkan letupan bom di
hadapan sebuah kelab malam di Puchong adalah angkara IS, yang pertama dalam wilayah
Malaysia.
Ancaman IS terhadap Malaysia dijangka menjadi lebih agresif
dan berskala besar. Sebelum ini IS hanya dikenali sebagai pertubuhan yang
merekrut rakyat Malaysia untuk berperang di Syria, kini anggota yang direkrut
telah kembali dengan pelbagai cara untuk meneruskan misi mereka. Di samping
mengebom, mereka juga membuat ancaman kepada pihak berkuasa dan pemimpin
negara.
Penglibatan takyat Malaysia sebagai anggota dan rangkaian IS
dapat dilihat dalam laporan media berkaitan siri tangkapan yang dilakukan oleh
pihak polis. Mereka yang terlibat ini terdiri daripada pelbagai latar belakang,
lelaki dan perempuan dan ada juga yang aktif menjadi ejen secara tidak
langsung.
Besar kemungkinan operasi IS di Malaysia sudah melepasi
tahap pengenalan. Kini, mereka bersedia melancarkan serangan selepas mempunyai
sejumlah anggota yang mahir dalam strategi perang dan membuat bahan letupan.
IS akan mengiktiraf setiap kejadian letupan sebagai hasil
kerja mereka apabila dapat membunuh mangsa dalam jumlah yang besar dan
kecederaan yang ramai. Sasaran mereka juga tidak mengira umur.
Kehadiran kelompok IS di Malaysia dan melancarkan serangan
di tempat awam amat membimbangkan. Keadaan ini bukan lagi berlaku di luar
negara sebaliknya ia sedang berlaku di hadapan kita. Sedikit sebanyak
perkembangan ini bakal memberi impak ke atas keselamatan orang ramai. Rutin
harian pasti akan terjejas kerana orang ramai bakal mengambil kira keselamatan
persekitaran sebelum membuat perjalanan.
Tumpuan di kawasan perniagaan dan rekreasi juga akan
berkurangan kerana wujud keadaan trauma dan bimbang.
Tanggungjawab memastikan keselamatan dan ketenteraman awam
terletak di atas pasukan keselamatan khususnya pasukan polis. Mereka perlu
mengambil langkah wajar untuk menyekat ideologi IS dari berkembang, memerangi
kelompok yang taksub dan memastikan setiap kawasan adalah selamat.
Kita tidak mahu mendengar apa-apa juga letupan berlaku di
negara kita. Pihak polis patut menggunakan seluruh kekuatannya untuk menjejaki
anggota IS dan membuat pemantauan ke atas sebarang maklumat biarpun tidak ada
sumber sahih kerana serangan boleh berlaku bila-bila masa dan kepada sesiapa
sahaja.
No comments:
Post a Comment