Pasar sehari kebun getah di Jalan Arau-Pauh, Perlis sudah
sinonim dengan masyarakat Perlis dan bahagian utara Kedah. Dalam dialek
tempatan pasar sehari dipanggil ‘nat’.
Nat kebun getah merupakan kawasan pasar yang dapat memenuhi
keperluan harian penduduk sekitar. Kawasan kebun getah yang dulunya sunyi sepi
kini riuh-rendah dengan pembeli dan orang ramai yang mahu mendapatkan sayur,
ikan dan makanan yang dijual dengan harga yang murah.
Ada dua bahagian jualan, pertama, bahagian yang menjual
ikan, sayur, buah dan rokok daun manakala satu lagi menjual pakaian, barang
elektrik dan makanan.
Saya sempat merayau-rayau sekitar nat ini untuk mendapatkan
barangan di samping membandingkan harga.
Dari segi harga, barang-barang di sini jauh lebih murah. Sekilogram
ikan kembung berharga lima ringgit manakala seikat sayur yang agak banyak berharga
seringgit. Namun harga daging lembu agak mahal iaitu RM32 sekilogram.
Ada juga penjual barangan elektrik terpakai seperti kipas angin
pada harga diskaun 50 peratus.
Apa yang saya lihat di sini agak menarik iaitu penjualnya
terdiri daripada wanita dan orang-orang muda.
Pasar sehari ini dimilki oleh sepasang suami isteri yang
juga tuan kebun getah sebagai cara menambah pendapatan di samping memudahkan
orang ramai mendapatkan barangan keperluan. Mereka tidak perlu bersusah-payah
ke Arau atau Kangar semata-mata mendapatkan ikan atau sayur. Namun banyak
perkara yang boleh ditingkatkan untuk memberi keselesaan kepada pengguna.
Pertama, gerai jualan. Keadaannya dhaif dan mencacatkan
pandangan. Gerai yang tidak diselenggara ini memudarkan imej pasar sehari kebun
getah di samping tidak selamat.
Kedua, laluan pejalan kaki yang lecak dan berair. Laluan
berkenaan diletakkan kepingan kayu supaya orang ramai dapat melepasi tempat
berkenaan. Jika tidak disinting seluar, air lecak ini boleh terpercik pada
seluar dan kain.
Ketiga, gerai jualan yang terlalu hampir dengan jalan raya.
Kenderaan yang lalu di antara pasar sehari ini perlu memperlahankan kereta atau
lori masing-masing bagi mengelakkan orang ramai yang leka dengan membeli-belah.
Ibu bapa yang membawa anak-anak juga mengambil langkah berhati-hati dengan
memegang erat tangan anak-anak supaya tidak memasuki laluan jalan raya utama.
Mungkin pihak berkuasa boleh membantu pemilik kebun getah
itu untuk membuat pelan pasar yang lebih baik dan manambahbaik infrastruktur
sedia ada. Cara ini dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli
dengan lebih selesa di samping menaikkan imej pasar sehari kebun getah itu.
No comments:
Post a Comment