Saranan bekas ahli parlimen, Tony Pua supaya ahli-ahli parlimen Malaysia memahami dan menguasai dasar-dasar awam sangat menarik untuk diberi perhatian. Alasannya adalah bagi memudahkan perbahasan di parlimen supaya dapat menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan. Dasar-dasar awam ini merangkumi ekonomi, sains, budaya dan pelbagai bidang yang boleh meleraikan masalah masyarakat.
Beliau melihat topik perbincangan masa kini yang cenderung membahas dan memberi penekanan kepada satu dimensi iaitu mengenai kaum, agama, alkohol dan pemakaian.
Bagi merungkai perspektif Tony Pua ini, kita harus melihat sejarah pembangunan negara yang bertitik tolak daripada isu pembangunan, kaum dan agama. Penentangan politik masyarakat Melayu ketika berhadapan dengan penjajahan bukannya singkat.
Pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu berhempas-pulas memastikan masyarakat mereka terpelihara daripada godaan dan tekanan penjajah yang mahu mengubah status agama khususnya ketika berhadapan dengan Portugis.
Kesultanan Melaka berperang dengan Portugis untuk memastikan agama Islam terus hidup subur di bumi Melaka dan empayarnya dengan cara bekerjasama dengan kesultanan Acheh dan kesultanan Melayu dari Sumatera supaya masyarakat Melayu terus beristiqamah dengan agama Islam.
Kesungguhan ini terus disambung oleh pemimpin dan pendekar Melayu yang menentang penjajah Inggeris biarpun Inggeris lebih mengutamakan hasil kekayaan Tanah Melayu untuk dibawa ke London.
Apabila merdeka, kekhuatiran tentang nasib agama dan bangsa Melayu terus dibincangkan dan empat perkara utama dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga sekarang. Empat perkara tersebut adalah agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu.
Sepanjang 60 tahun merdeka, penguasaan UMNO dalam politik Malaysia telah memastikan keempat-empat perkara itu dipertahankan dan diperkuatkan. Lebih banyak ruang dan peluang diberikan kepada masyarakat Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak untuk memajukan diri dalam pendidikan dan pekerjaan.
Dalam pendidikan, pelajar dari latar belakang luar bandar diberi keutamaan untuk belajar di sekolah berasrama penuh dan maktab sains, ruang untuk melanjutkan pelajaran di universiti berasaskan kouta dan kemasukan lebih mudah ke dalam perjawatan di sektor awam.
Hari ini kita dapat melihat semakin ramai orang Melayu dan bumiputera yang mampu bersaing dalam pelbagai bidang yang mencabar kerana kejayaan dasar-dasar awam negara yang melahirkan dan membentuk pemikiran baharu masyarakat Melayu yang lebih progresif dan dinamik.
Keadaan ini mewujudkan kestabilan hubungan kaum yang masing-masing dapat merasai kekayaan negara. Kejayaan ini dapat dilihat melalui kadar peratusan kemiskinan di seluruh negara yang semakin berkurangan dan berada di bawah paras lima peratus. Begitu juga dengan kecenderungan agensi kerajaan yang menggunakan lapis sosial seperti B40 atau M40 untuk menggambarkan keadaan tahap pendapatan yang mengetepikan rujukan kaum.
Saranan Tony Pua ini mungkin boleh dikaitkan dengan perubahan tahap pendidikan dan pendapatan rakyat Malaysia yang semakin baik. Isu-isu peminggiran dan ketinggalan tidak lagi serius seperti dahulu sebaliknya semua kaum masing-masing merasai susah dan payah untuk mencari pendapatan sendiri ketika ekonomi dunia yang tidak menentu keadaannya.
Justeru beliau melihat adanya keperluan ahli parlimen mengembangkan pemahaman mereka dalam isu-isu yang besar dan dapat menjangkau penyelesaian masalah.
Menyatakan bahawa ahli parlimen sebelum ini tidak peka dengan dasar--dasar awam adalah satu kejanggalan kerana ramai juga ahli parlimen yang memiliki kelayakan akademik yang tinggi dapat berbahas dan memberi input penting dalam pembangunan negara. Ada parti politik yang memberi keutamaan kepada pemimpin berlatar belakang profesional untuk menjadi calon parti di kawasan parlimen.
Mereka berbahas dan membangkitkan isu-isu nasional untuk dijadikan perhatian kepada agensi kerajaan agar dapat bertindak. Buah fikiran dan usaha mereka telah dapat menyelesaikan banyak isu tertangguh sama ada di bandar atau luar bandar seluruh negara.
Cumanya, sentimen untuk menarik sokongan kepada ideologi parti yang nampaknya kekal sepanjang masa. Parti yang berideologi sosialis sudah tentu akan berkempen menarik lebih ramai calon pengundi dengan janji dan tindakan ke arah sekularisme manakala parti yang bertemakan kaum dan agama akan melakukan perkara yang sama.
Perubahan akan berlaku juga namun ia mengambil masa, mungkin 20 tahun lagi. Tahap kematangan pengundi akan meningkat seiring dengan kemajuan negara dan liberalisasi pendidikan. Ketika masa tersebut sampai, perbahasan di parlimen akan menyentuh lebih banyak isu-isu umum yang ada pada setiap kawasan.
No comments:
Post a Comment