Tuesday, March 12, 2024

Ramadhan bawa perubahan


1 Ramadhan, Melaka cuti. Anak-anak dan keluarga dapat bersama-sama membersihkan rumah dan juga menguruskan persekitaran rumah dengan lebih berkesan. Cuti satu hari ini merupakan satu tempoh yang singkat namun memberi makna yang sangat besar kepada mereka yang bercuti kerana ia dapat menjadikan puasa lebih teratur susun. Tidak banyak negeri yang memilih satu Ramadhan sebagai cuti awam berbanding memilih malam isra’ dan mi’raj atau nisfu sya'ban  sebagai cuti umum.

Bulan puasa adalah bulan yang memiliki tiga kelebihan, pertama sebagai bulan rahmat, kedua adalah bulan pengampunan dan yang ketiga adalah bulan yang bebas daripada api neraka. Ketiga-tiga kelebihan ini menjadikan umat Islam sentiasa berlumba-lumba untuk membuat sebanyak-banyaknya kebaikan dan memohon keampunan serta memberikan infak beserta sedekah.

Ada juga memilih untuk belanja berbuka puasa secara berkumpulan.

Jika diimbau pengalaman berpuasa ketika kita kanak-kanak dahulu, dalam suasana kampung yang tenang dan damai, kita akan kembali bernostalgia apabila orang kampung beramai-ramai pergi ke madrasah, surau atau masjid untuk menunaikan solat tarawih.

Di sini orang kampung berkumpul beramai-ramai bagi menunaikan solat sunat tarawih yang sangat digalakkan dilaksanakan secara berjemaah sama ada lapan rakaat ataupun 20 rakaat. Suasana keramaian inilah yang dapat membina jaringan sosial dan rangkaian ekonomi yang terbaik sesama ahli masyarakat.

Imam atau ketua kampung dapat mengetahui siapa yang tidak dapat datang ke surau dan masjid untuk berjemaah. Mungkin mereka ada halangan-halangan tertentu seperti bekerja lebih masa, tidak ada pengangkutan ataupun ada masalah-masalah lain seperti sakit dan keuzuran.

Apabila tibanya bulan puasa, perkara yang sering menjadi perbincangan adalah bagaimana mereka boleh berbuka puasa bersama-sama. Seingat saya, ketika saya di kampung, amalan bertukar-tukar juadah berbuka puasa adalah lumrah. Saling bertukar makanan menjadikan hubungan kejiranan lebih erat dan akrab.

Pada malam hari, kanak-kanak adalah kelompok yang paling gembira kerana dapat menunaikan solat tarawih dan bermain mercun. Sebaik sahaja solat Isyak selesai, mereka bertempiaran lari meninggalkan saf solat untuk turut serta dengan rakan-rakan yang sedang membakar mercun dan bunga api.

Tahun 80-an dahulu, harga mercun tidak begitu mahal kerana mata wang ringgit agak tinggi, jadi anak-anak yang banyak duit berkongsi mercun beramai-ramai. Bagi yang kreatif, mereka ubah suai serbuk mercun untuk jadikan bahan letupan baharu yang mengeluarkan bunyi lebih kuat.

Rakan sekampung saya, namanya Basuni, terkenal kerana berani mencuba sesuatu yang baru. Dia kumpulkan belerang mercun untuk jadikan bahan letupan yang lebih besar dan tahan lama. Pernah sekali ketika orang kampung solat tarawih di madrasah, letupan kuat telah menggegarkan persekitaran madrasah dan ada ahli jemaah yang terkejut.

Antara mercun yang popular adalah mercun gasing, katak, ayam dan roket.

Selain mercun, yang popular juga adalah main tikam iaitu kita membeli dengan meneka beberapa gambar untuk mendapatkan mercun atau bunga api. Biasanya sekali tikam dalam sepuluh sen. Kalau ada tuah, dapatlah merasa main mercun pada sebelah malam, kalau tidak, tumpang kawan untuk main mercun bersama-sama.

Kita membesar dengan suasana ini setiap tahun. Ada ada solat tarawih, mercun dan juga persekitaran orang berbuka puasa serta bazar ramadhan. Setiap tahun kita mengulangi budaya yang sama dan tidak memberi tumpuan kepada amalan yang sepatutnya difokuskan iaitu membanyakkan beribadah dan juga memohon keampunan.

Antara amalan yang kita perlu tambah semasa bulan Ramadan ini ialah kita membanyakkan bacaan al-quran, mendengar tazkirah dan juga bersedekah. Membanyakkan bacaan al-quran boleh diatur setiap hari iaitu lima muka surat setiap kali selepas solat fardhu. Dalam sehari kita dapat sempurnakan 20 muka surat dan dalam sebulan boleh khatam 30 juzuk. Manakala mendengar tazkirah boleh dibuat pada bila-bila masa kerana boleh sahaja memilih mana-mana topik dan mendengarnya di YouTube.

Amalan yang sangat menonjol dan menjadi rebutan adalah sedekah. Tempat untuk bersedekah terbuka luas jika kita mahu. Contohnya memberikan makanan dan minuman untuk berbuka puasa di surau atau masjid, mengunjungi orang sakit dan mendoakan mereka, membantu orang yang dalam kesusahan mendapatkan makan dan minum dan juga meraikan anak-anak yatim dan orang susah.

Wajar bagi kita untuk berusaha meningkatkan amalan lahir dan batin pada bulan Ramadhan ini supaya dapat menepati objektif berpuasa iaitu bertaqwa. Dengan memenuhi ketiga-tiga ciri tadi iaitu mendapat rahmat, pengampunan dan bebas dari api neraka, mudah-mudahan Allah swt menganjarkan kita dengan taqwa.

Tidak juga lupa merebut pencarian malam lailatul qadar yang boleh dimulakan pada malam pertama lagi. Latihan awal dapat mengekalkan momentum sepanjang bulan khususnya sepuluh malam terakhir, jadi tidaklah terkial-kial berjaga malam dan keletihan sepanjang hari berpuasa.

No comments:

Post a Comment