‘Shaping the future’ iaitu satu slogan yang saya nampak ditulis besar-besar pada dinding sebuah trak semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat. Lalu saya terus berfikir-fikir apakah yang saya boleh lakukan dalam hidup.
Soalan yang bermain di fikiran saya adalah apakah yang membentuk masa hadapan?
Banyak faktor yang menentukan hala tuju hidup kita seperti ibu bapa, saudara-mara, rakan-rakan, bos di tempat kerja, wang ringgit, persekitaran dan pendidikan yang diterima.
Ketika kecil, katakan umur enam tahun, agak-agaknya siapakah yang menentukan masa hadapan ketika itu?
Tentulah kedua-dua ibu dan bapa namun bagi mereka yang kehilangan ibu dan bapa, ada orang lain yang mengambil tugas berkenaan.
Ibu bapa atau penjaga mengambil tanggungjawab menghantar anak-anak ke sekolah, menyediakan makan dan minum serta menentukan dengan siapa yang boleh dibuat kawan.
Apabila meningkat dewasa, kita terdedah pula dengan persekitaran yang lebih besar dan mencabar.
Sekiranya persekitaran tersebut mendorong ke arah kecemerlangan, kualiti diri yang sedia ada akan lebih kuat dan mantap.
Jika tidak, kualiti diri akan merosot sedikit demi sedikit. Begitulah masa hadapan kita dibentuk.
No comments:
Post a Comment