Hari ini merupakan hari permulaan kepada pelajar-pelajar baru dan lama
memulakan kuliah bagi sesi 2017/2018. Pelajar-pelajar baru mulai mendapat
pengalaman menimba ilmu di menara gading seperti yang diimpikan sebelum ini.
Berada di universiti adalah cita-cita dan impian tertinggi seorang pelajar sama
ada dari latar belakang keluarga berada atau tidak berada, kampung atau bandar.
Berada di universiti juga merupakan ukuran kemampuan untuk mengubah
kehidupan sedia ada. Nelson Mendela berkata “Education is the most
powerful weapon which you can use to change the world”. Tidak syak lagi
pendidikan adalah alat paling berkesan untuk mengubah kehidupan seseorang.
Di Malaysia, pendidikan merupakan satu wadah yang telah digunakan oleh
kerajaan untuk mengubah dan menambah baik kehidupan rakyat. Keadaan ini dapat
kita lihat apabila terdapatnya pelbagai jenis sekolah yang telah diberi bantuan
bantuan dari semasa ke semasa untuk mencari pelajar-pelajar yang kurang
berkemampuan tetapi memiliki tahap pendidikan yang sangat baik melalui saringan
peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Wujudnya sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang
dikenali sebagai Sekolah Berasrama Penuh ataupun Maktab Rendah Sains Mara yang
memberi tumpuan kepada kepada pelajar-pelajar luar bandar dan berkebolehan
untuk meneruskan pendidikan mereka seterusnya dapat mengubah kehidupan keluarga
mereka sendiri.
Pada hari ini. kita melihat bilangan Universiti Awam di Malaysia telah
menjangkau kepada 20 buah di samping beratus-ratus buah Universiti Swasta. Para
pelajar yang berada di sekolah menengah rata-ratanya telah pun mendapat laluan
pendidikan mereka sendiri. Bagi mereka yang mendapat keputusan peperiksaan yang
cemerlang di peringkat SPM, mereka ini ditawarkan masuk ke
universiti-universiti yang sedia ada.
Manakala pelajar-pelajar yang tidak cemerlang dalam peperiksaan ini tetapi
mereka memiliki bakat dan kemahiran dalam bidang teknikal, mereka boleh memilih
untuk meneruskan pengajian mereka di Kolej Komuniti, politeknik ataupun ataupun
kolej-kolej universiti swasta yang menawarkan bidang teknikal dan kemahiran.
Pendek kata peluang pendidikan di Malaysia sangat luas dan ia bergantung
kepada sama ada seseorang itu hendak ataupun tidak meneruskan pengajian mereka.
Selain daripada tempat belajar, kerajaan dan juga agensi-agensi yang berkaitan
dengan kerajaan juga menawarkan tempat untuk para pelajar yang memiliki
kemahiran teknikal dan vokasional ini terus belajar di institusi pengajian yang
dibuat khusus sebagai platform melahirkan tenaga mahir untuk bekerja di
syarikat mereka.
Bagi pelajar yang berpendapatan rendah, Universiti Awam sememangnya menyediakan
dana dan bantuan kewangan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan ini
meneruskan pengajian. Dana ini disediakan melalui wakaf yang ditubuhkan oleh universiti
sendiri.
Pendek kata, untuk belajar di sesebuah universiti di Malaysia, kemudahan pendidikan
banyak disediakan oleh kerajaan dan institusi berkaitan kerajaan seperti
Yayasan Pelajaran Negeri, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan
syarikat-syarikat swasta yang memperuntukkan sejumlah perbelanjaan bagi
membiayai para pelajar ini.
Terpulanglah kepada pelajar untuk memastikan pendidikan mereka ini berada
pada pada landasan yang betul dan dapat menamatkan pengajian mereka dengan
sempurna. Walaupun tempoh empat tahun mungkin dianggap sebagai agak panjang tetapi
hakikatnya ialah dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi
semasa di universiti ini dapat membantu mereka bersaing selepas menamatkan pengajian
mereka.
Selama empat tahun di universiti, sewajarnya pelajar mengambil beberapa
kursus yang boleh meningkatkan nilai diri mereka dan juga berupaya memenangi
persaingan untuk mendapatkan pekerjaan. Antara kursus yang sangat penting ini
adalah kursus bahasa. Menguasai kemahiran bahasa Inggeris menjadikan pelajar
lebih terdedah kepada dunia luar yang lebih kompleks dan pada masa yang sama
berupaya membentuk jaringan yang lebih luas. Jadi, di sinilah pentingnya mereka
mempunyai media sosial yang tersendiri dan pautan antarabangsa. Selain bahasa
Inggeris, pelajar juga boleh mengambil bahasa dunia yang lain seperti bahasa Mandrin,
Arab, Perancis mahupun Jepun.
Memandangkan Malaysia pada hari ini mula menarik minat pelabur pelabur dari
China, penguasaan bahasa mandarin amat strategik dan signifikan jika
pelajar-pelajar mahu menggunakan negara China sebagai landasan meningkatkan
kemahiran pekerjaan.
Peluang belajar di universiti wajar digunakan sebaik-baiknya supaya masa
hadapan lebih terjamin.
No comments:
Post a Comment