Sunday, November 11, 2007

Revolusi tandas

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menganggarkan kira-kira 2.5 bilion orang masih hidup tanpa kebersihan kesihatan atau bekalan air yang sempurna.

Kesedaran terhadap menjaga kebersihan diri khususnya tandas menjadi agenda penting ketika Korea Selatan menjadi hos kepada Sukan Olimpik 1988 dan bolasepak Piala Dunia 2002. Bekas Datuk Bandar Suwon, Sim Jae-duck memulakan kempen untuk mencantikkan tandas bandar raya berkenaan sehingga beliau digelar Mr. Toilet, panggilan yang melonjakkan namanya dan mendapat idea untuk membina rumah yang berbentuk tandas.

Rumah tandas ini mempunyai empat buah bilik mandi termasuk satu kolah mandian pusaran air, tandas awam dan kaca besar tempat mandi.

Di bahagian atas, terdapat laluan tambahan bagi penghuni untuk ke bumbung yang berbentuk mangkuk. Untuk naik ke bahagian ini, penghuninya perlu mendaki anak tangga yang lengkap dengan tempat mengumpul air hujan.

Sim bercadang mengenakan bayaran kepada sesiapa yang berminat untuk mendiami rumah ini. Beliau sedia mencari seorang tetamu yang sanggup membayar US$50,000 semalam untuk didermakan kepada negara-negara membangun bagi membina lebih banyak tandas yang baik.

Pelawat-pelawat yang ingin melihat bahagian dalam rumah ini dikenakan bayaran US$1 sebagai sumbangan.

Usaha Sim melalui Pertubuhan Tandas Sedunia tidak berhenti setakat itu. Beliau bercadang mengadakan persidangan tandas di samping ekspo yang berkaitan dengan tandas. Salah satu acara yang akan dipamerkan ialah "Hansel dan Gretel" iaitu bilik mandi yang memberi biskut dan gula-gula kepada kanak-kanak apabila mereka menarik pam tandas dan "galeri kafe tandas" di mana orang ramai boleh duduk bersantai dalam ruang yang luas sambil minum teh.

Tandas yang pelbagai fungsi juga direka di
Jerman, Italy, Perancis, Taiwan, Jepun dan China. Tetapi tandas di India agak aneh.

Masyarakat bukan Islam mendahului kepentingan menjaga kebersihan tandas. Mereka sanggup melaburkan wang dan membuat pelbagai kempen bagi membaiki amalan dan budaya masyarakat antarabangsa untuk mempastikan tandas sentiasa bersih dan terjaga.


Masyarakat Islam di Malaysia yang mementingkan kebersihan tandas kadang kala menghadapi masalah apabila menggunakan tandas awam atau hotel. Kebanyakan tandas yang disediakan siap dengan pancutan air daripada "paip siap bina" yang dibuat di bahagian bawah adalah tetap, sedangkan bentuk dan saiz punggung setiap orang adalah berbeza-beza.

Seorang rakan yang pernah tinggal di sebuah hotel menceritakan kisahnya yang sangat sukar untuk mencari paip di tandas bilik hotelnya ketika membuang air besar. Mahu atau tidak, beliau terpaksa juga menggunakan tandas yang ada. Ketika ditanya apa perasaannya ketika menggunakan tandas jenis itu, beliau menjawab seronok menahan pancutan air yang tepat ke punggungnya sambil menggayakan goyangan pinggang.

Bagi pengguna yang tidak tahu cara menggunakan tandas jenis ini, ia memberi masalah besar. Kalau tidak seluar yang basah, satu gulung tisu dalam tandas akan habis.

Pengguna juga merungut jika ada paip tetapi tidak ada cangkuk kerana tidak pasti sama ada kepala paip itu bersih atau tidak. Mana tahu jatuh di atas lantai yang basah, jatuh ke dalam mangkuk tandas atau terkena najis. Tandas yang disediakan di tempat perhentian bas, keadaannya lebih teruk. Lubang tandas yang kehitaman, tidak ada paip getah, kepala paip rosak, pam air yang tidak dibaiki dan pintu tandas yang tidak ada selak.

Sesetengah penumpang bas sanggup menahan kencing daripada mengunjungi tandas yang disediakan kerana pihak pengurusan tandas tidak prihatin dan mengekalkan mentaliti "tandas kotor adalah lebih baik." Fenomena ini berlaku di seluruh negara termasuk di tandas di kebanyakan masjid dan surau. Ada masjid yang sangat besar dan cantik di pandang dari luar tetapi apabila masuk ke bilik air dan tandas, keadaannya serupa dengan tandas di perhentian bas. Dari jauh bau hapak sudah dihidu.

Di tempat ibadat sekali pun masyarakat Islam masih tidak peduli saranan Rasulullah saw untuk menjaga kebersihan diri.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pernah menganjurkan Forum dan Ekspo Tandas Kebangsaan (NATEF) 2006 yang lalu dengan menjemput pengasas Pertubuhan Tandas Sedunia, Jack Sim dari Singapura. Beliau mempunyai impian untuk melihat setiap orang mempunyai sebuah tandas yang selamat dan seronok menggunakannya apabila mereka pergi ke mena-mana tempat.

Bagi merealisasikan impian tersebut, beliau menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan profesion tandas seperti pencuci tandas, mendedahkan arkitek dan pengurus bangunan kepada reka bentuk susun atur ergonomi tandas, melatih masyarakat miskin berkaitan rekaan tandas moden, melencongkan takungan air kencing dan beberapa kaedah ekologi yang lain.

Pada 2005, pertubuhan beliau menubuhkan Kolej Tandas Dunia di Singapura dan bersedia untuk membuka sebuah kolej tandas di Indonesia.

Kesungguhan bukan Islam seperti Jack Sim untuk melihat orang ramai menggunakan tandas dengan sempurna sangat membanggakan. Walau bagaimanapun konsep kebersihan yang diperjuangkan berbeza dengan kefahaman umat Islam kerana biar pun di dalam tandas, hubungan dengan Tuhan perlu tetap dipelihara.

Amalan kebersihan yang diajar oleh Nabi Muhammad saw sangat jelas dan mengaitkan diri dengan Allah swt. Dalam kehidupan harian Rasulullah saw, Baginda memulakan setiap hari dengan berdoa kepada Allah dan untuk masuk ke tandas, beliau masih lagi berdoa yang bermaksud: "Ya Allah! Aku berlindung dengan Mu daripada kejahatan (syaitan) dan ahli-ahlinya."

Kebersihan diri dengan tandas yang baik mesti diutamakan kerana kebersihan adalah sebahagian daripada iman.

[
Latihan tandas untuk kucing]

Asas penyelidikan kualitatif

Penyelidikan kualitatif adalah satu konsep yang menaungi beberapa jenis penyelidikan bagi memahami dan menerangkan fenomena sosial dengan cara pemecahan kepada susunan topik tertentu. Kaedah ini juga dikenali dengan nama yang berbeza seperti kajian semula jadi, kajian interpretasi, kajian lapangan, pemerhatian ke atas bahan kajian, kajian induktif, kajian kes dan etnografi.

Salah satu daripada tujuan penyelidikan kualitatif ialah memahami bagaimana manusia memenuhi keperluan asas mereka. Ia menggabungkan pengalaman dan persepsi. Justeru, penggunaan istilah atau frasa sangat jelas jika dibandingkan dengan kuantitatif. Salah satu perbezaan tersebut ialah sampel atau responden kajian.

Bilangan responden yang diperlukan bagi kajian kualitatif adalah kecil berbanding kuantitatif. Penyelidik kuantitatif sering merasa ragu-ragu mengenai bilangan responden yang kecil ini. Hakikatnya ialah bilangan sampel yang kecil ini sudah cukup untuk menjelaskan fenomena yang dikaji. Kefahaman sesuatu fenomena adalah dari perspektif bahan yang dikaji, bukannya penyelidik. Walau bagaimanapun penyelidik adalah instrumen utama bagi pengumpulan data dan analisis.

Bilangan sampel yang kecil memberi ruang yang sangat luas kepada penyelidik untuk membuat pemerhatian ke atas tingkah laku yang dikaji. Cara ini dapat mengekalkan hubungan yang berterusan di antara pengkaji dan responden tersebut. Ketika temu bual dilakukan, penyelidik akan melibatkan diri dengan cara yang tidak mengganggu proses yang hendak dikaji. Lagi pun soalan yang hendak ditanya adalah mendalam supaya subjek dapat menceritakan pengalaman, keprihatinan atau pandangan terhadap isu yang dikaji.

Secara umum, penyelidikan kualitatif adalah langkah untuk memahami sesuatu situasi berdasarkan konteks dan interaksi yang unik. Ia bukannya satu cubaan untuk meramalkan masa depan sebaliknya memahami keadaan apa yang berlaku dan akan berlaku selepas itu.


[Kritik ke atas penyelidikan kualitatif 1 & 2]

Saturday, November 10, 2007

THES, apa lagi yang hendak dibuat?

"Tidak ada satu pun universiti di Malaysia disenaraikan dalam ranking 200 universiti terbaik dunia 2007 oleh Times Higher Education Supplement (THES), kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed hari ini."

Tahun lepas Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya berbangga kerana dapat berada dalam kelompok 200 universiti terbaik, tahun ini diletakkan dalam senarai di luar 200 terbaik di dunia. Penilaian THES juga difahamkan menggunakan pendekatan berbeza pada tahun ini.

THES menyenaraikan UM pada kedudukan 246 daripada tangga 192 tahun lepas dan UKM pada tangga 307 tahun ini berbanding 185 sebelumnya.

USM pula yang berada kedudukan 277 tahun lepas, jatuh ke tangga 307 tahun ini manakala UPM pula turun dari tangga 292 ke 364.


Inilah realiti universiti awam di Malaysia. Sekejap cemerlang, sekejap malang. Tidak dapat dipastikan apakah yang menjadi punca utama keadaan ini. Setelah 50 tahun merdeka, institusi pendidikan kita masih lagi jauh daripada mendapat penfiktirafan antarabangsa yang boleh dijadikan tiket untuk menyerlahkan kempen menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan cemerlang serantau. Kita masih berada di belakang Singapura jika dinilai dari kedudukan kualiti universiti ini.

Keputusan tahun ini barangkali kerana naib canselor sedia ada tidak bekerja kuat untuk memenuhi kriteria penilaian. Jika tahun lepas, naib canselor UKM tersenyum bangga, tahun ini keadaannya berubah. Begitu juga universiti yang lain, masing-masing cuba mencari formula kenapa keadaan tersebut berlaku.

Memberi gelar kepada universiti penyelidikan, universiti apex dan sebagainya belum dapat menjamin institusi pengajian awam di Malaysia akan tersenarai dalam seratus yang terbaik. Jika diperhati dengan teliti, universiti di Britain semakin hampir mencabar universiti di Amerika Syarikat dalam lima kedudukan teratas.

Sektor pendidikan Britain mula menunjukkan ego mereka dengan mula mencadangkan kenaikan yuran pengajian di universiti-universiti hebat mereka seperti Oxford dan Cambridge (sini) apabila kedua-dua buah universiti dan institusi pengajian lain menduduki tempat yang lebih baik sejak 2006.

Menilai salah satu aspek pendidikan di Malaysia, masyarakat masih lagi tidak dapat menerima pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini pun, masih ada saranan untuk mengambalikan pengajaran subjek tersebut ke bahasa Melayu.

Ulasan dari blog Kartun Malaysia ini lebih menarik untuk dibaca,

"Mula matematik dan sains dalam bahasa Melayu, lepas tu bahasa Inggeris, sekarang nak ke bahasa Malaysia pula! Dulu bahasa Melayu, sekarang bahasa Malaysia, lepas ni? Dulu Kementerian Pelajaran, lepas tu Kementerian Pendidikan, balik ke Kementerian Pelajaran. Yang untung penulis, penerbit dan pencetak buku. Yang rugi anak-anak kita semua, anak saya, anak tuan. Akhir sekali, keputusannya ialah universiti di Malaysia gagal dapat tempat ranking 200 terbaik dunia."

Apa yang cuba disampaikan oleh blog berkenaan ialah pemikiran dan tindakan pemimpin yang tidak berprinsip, menukar kaedah setelah kaedah sebelum itu gagal dilaksanakan. Beliau menyifatkan kementerian tersebut sebagai Kementerian YOYO. Begitulah pola pemikiran yang boleh kita lihat secara umum.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan akan dipuji jika memberi kejayaan kepada masyarakat dan negara. Jika ada yang tidak kena, mereka akan bersuara dan suara tersebut harus diberi perhatian.

Jadi, apakah bentuk kepimpinan kementerian yang akan datang supaya institusi pengajian tinggi di Malaysia akan kembali berada dalam kelompok 200 yang terbaik?

Sudah masanya kementerian memikirkan dengan serius tanda aras kecemerlangan pendidikan negara. Ukuran akademik, memenuhi sektor industri dan kelemahan komunikasi yang dijadikan sandaran kepada tiket kecemerlangan pelajar tidak sesuai dengan ukuran penilaian kita walaupun ia memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan ekonomi dan sosial negara. Asas kepada ukuran ini adalah kapitalis dan meminggirkan soal agama dan budaya.

Kita harus memikirkan dengan serius tentang kualiti pelajar kita dari sudut akhlak, kekentalan membudayakan ilmu dalam hidup dan kuat cita-cita. Keegoan tamadun Baghdad ialah apabila mempunyai tradisi ilmu yang menjadi rujukan masyarakat dunia suatu ketika dulu.

Jika kita mempunyai kehebatan seperti ini, kita tidak memerlukan penilaian dari luar kerana nilaian dari dalam sudah dapat memenuhi kehendak kita sendiri.

[200 universiti terbaik]

Friday, November 09, 2007

Orang Melayu perlu ubah minda jadi bangsa angkasa

Ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno kelmarin, Datuk Seri Najib Razak mengajak generasi muda Umno menggalas amanah mengangkasakan tamadun bangsa bagi mengangkat martabat orang Melayu ke tahap setinggi mungkin dalam 50 tahun kedua pembinaan peradaban negara.

Timbalan Presiden Umno berkata, orang Melayu mesti menjadi 'bangsa angkasa', yang sentiasa mempunyai impian tertinggi dan memiliki tamadun yang hebat untuk cemerlang dalam persaingan global. Pesanan Najib itu walaupun bukan perkara baru, tetapi menggunakan istilah baru iaitu 'mengangkasakan', dengan matlamat memacu semangat unggul masyarakat Malaysia supaya tidak terus berada pada takuk lama.

Sebelum ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu orang Melayu lebih yakin pada diri sendiri dan menghapuskan perasaan bimbang menguasai pemikiran selama ini. Dua peringatan itu adalah sama bagi menyedarkan rakyat khususnya orang Melayu bahawa tiada bangsa akan mundur jika lebih yakin pada diri sendiri, berfikiran positif dan tidak mudah mengaku salah. Maksud 'mengangkasa' seperti dinyatakan Najib adalah menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada yang ada sekarang ke tahap lebih tinggi.

Dalam persaingan global sekarang, sikap 'jaguh kampung' perlu dikikis dan orang kita perlu membuka minda untuk melihat jauh ke depan. Ia bermakna, orang Melayu dan Umno tidak boleh terlalu dibuai dengan nostalgia lalu. Justeru, orang Melayu perlu mencipta pemikiran baru dalam persekitaran dan realiti baru supaya roh perjuangan sentiasa segar dan relevan kerana kuasa minda paling penting bagi memastikan kegemilangan tamadun dibina.

Berdasarkan hakikat ini, minda Melayu juga perlu dipacu supaya lebih terarah kepada pemikiran positif, kreatif, inovatif dan proaktif. Contoh terbaik ialah kejayaan angkasawan negara iaitu satu pencapaian yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran kita ketika menuntut kemerdekaan 50 tahun lalu, selepas manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan pada 1969 lalu.

Bagi mencapai sesuatu kejayaan luar biasa seperti itu memerlukan komitmen dan apa yang penting, sebagai asasnya ialah ilmu pengetahuan. Pelaburan dalam pendidikan seharusnya sentiasa menjadi keutamaan terpenting sesebuah keluarga Melayu yang tidak seharusnya terus berbangga dengan pemilikan harta seperti tanah, rumah dan kereta besar.

Kepada sayap muda dalam parti iaitu Pemuda dan Puteri, di tangan mereka harapan diletakkan bagi menggalas tanggungjawab memimpin masa depan. Pada bahu mereka nantilah diharapkan dapat bersama-sama mendidik anak bangsa bagi menjayakan misi nasional dan menempuh gelombang pembangunan fasa kedua bagi 50 tahun akan datang, menjelang 2057.

Golongan muda ini harus ingat perjuangan mulia mendaulatkan Islam hendaklah sentiasa dikekalkan sejajar dengan perjuangan Umno sebagai peneraju, pembela dan pejuang agama. Pendekatan Islam Hadhari adalah contoh kreatif pemikiran yang melihat Islam melebihi kebiasaan daripada agama yang hanya berbentuk ritual.

Umat Islam wajar menjadi contoh, termasuk dalam mencipta sejarah dan membina personaliti terbilang seperti pada zaman kegemilangannya. Sempena perhimpunan agung ke-58 ini, ahli Umno, terutama generasi muda harus merenung sejenak apakah bentuk Malaysia yang mereka inginkan untuk 50 dan 100 tahun akan datang.

Kita sudah melalui episod pengisian kemerdekaan dengan penuh gemilang dan bagi mengisi cabaran 50 tahun akan datang, komitmen lebih jitu diperlukan. Jadikan kejayaan ke angkasa itu sebagai lonjakan menggubah persepsi kita bahawa Melayu tidak boleh selama-lama bersikap mengalah.

[Berita Harian Online]

Thursday, November 08, 2007

Bisnes 3 Bagaimana satu idea melahirkan jutawan di China?

Amerika Syarikat, negara yang mempunyai paling ramai jutawan dalam kategori bilionaire di dunia. Negara yang paling hampir ialah China.

Tahun lepas terdapat 15 bilionaire di China. Kini terdapat lebih daripada 100 orang, seperti yang dinyatakan oleh Hurun Report. Tokoh-tokoh ini sangat sukar dikenali sekali pun di China. Siapa yang kenal Yang, Guo atau Zhang berbanding Gates, Buffett atau Brin?


Siapa mereka, apa yang mereka rancang akan lakukan atau dibenarkan untuk membuat sesuatu, akan mempengaruhi ekonomi dan politik tanah besar China, dan kemungkinan lebih jauh daripada itu.

"Mereka boleh mula membeli syarikat-syarikat di Amerika Syarikat," ulas Chang Chun, ahli ekonomi di China-Europe International Business School, Shanghai. "Mereka mempunyai pengaruh yang besar."

Dalam pada itu, jutawan-jutawan baru China ini sedang membina kekuatan kekayaan mereka di sebalik syarikat-syarikat besar yang kita tidak pernah dengar. Perubahan regim ekonomi komunis kepada kapitalis menolak pendekatan memiliknegarakan syarikat kepada pasaran saham yang boleh berubah dalam sekelip mata.

PetroChina, syarikat senaraian awam di Bursa Saham Shanghai mempunyai nilai saham melebihi US$1 trilion.

Para penganalisis merasa sangsi terhadap kaedah menilai potensi saham-saham China tetapi pembeli saham di Shanghai menolak keluar ExxonMobil sebagai syarikat paling bernilai di dunia. Kriteria yang sama, mereka cenderung menganggap China Mobile sebagai syarikat telekomunikasi paling berharga di dunia. ICBC, bank milik negara, dianggarkan mempunyai kekayaan lebih daripada Citigroup.


Apabila Country Garden, syarikat hartanah disenaraikan di Hong Kong pada April lepas, jumlah modal terkumpul adalah US$1.9 bilion, jauh lebih banyak daripada Google. PetroChina mengumpul kekayaan sebanyak US$8.9 bilion dan ICBC sebanyak US$21 bilion.

Pendatang baru, Alibaba.com, salah sebuah syarikat Internet terbesar di China, meningkat secara mendadak seperti mana Google. Hari pertama disenaraikan, sahamnya naik 193 peratus dengan anggaran saham bernilai US$26 bilion.

Sesetengah penganalisis melihat tidak ada yang aneh dalam ekonomi China. Jika ekonomi negara itu meluap dengan cepat, jutawan-jutawan yang ada akan lenyap dengan pantas kerana kekayaan mereka banyak dijana daripada pasaran saham.

"Ramai orang merasa hairan bagaimana keadaan ini berlaku dalam masa yang singkat," kata Jing Ulrich, penganalisis di JPMorgan. "Tetapi inilah kuasa pasaran bebas. Kekayaan ramai orang berdasarkan syarikat-syarikat yang disenaraikan."

Mereka yang membayangi jutawan-jutawan ini satu hal, kerana terlampau kaya menjadikan mereka melangkaui sempadan negara. Mereka menukar pemandangan budaya melalui "bantuan kemanusiaan."

Ramai penganalisis percaya jutawan di China tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan wang yang banyak. Di sebalik ramai yang kaya-raya ini, pendapatan per kapita rakyat China masih di bawah US$1,000. Jurang di antara yang kaya dan miskin semakin melebar.

"Satu isu lagi ialah kestabilan sosial," kata Emmaneul Saez, profesor ekonomi di University of California. "Di Amerika Latin, para pembaharuan akan cuba mengagihkan kekayaan yang ada."

Dengan alasan demikian, ramai usahawan China ini enggan dimasukkan ke dalam senarai individu yang kaya-raya kerana hendak mengelak daripada di siasat akibat rasuah atau melarikan diri dari membayar cukai.

Tetapi masa telah berubah. Dengan ekonomi yang semakin baik dan setiap orang merasai kekayaan saham, ramai usahawan melihat perkembangan ini dari sudut positif.

Antara jutawan muda China ialah taukeh Internet, Robin Li, 38 tahun yang mengasaskan Baidu. Syarikat ini juga digelar "Google China" dengan kekayaan dianggarkan US$2.4 bilion dan lebih kaya daripada Jerry Yang, pengasas Yahoo. Ma Huateng, 36 tahun adalah pengasas Tencet, satu lagi empayar Internet yang diunjurkan kekayaan sebanyak US$1.9 bilion. Jason Jiang, 34 tahun, pengasas Focus Media yang mempunyai kekayaan US$1.1 bilion.

Jiang belajar sastera sebelum beralih kepada perniagaan ketika masih di universiti. Memulakan usaha menjual iklan di Shanghai dan pada 1997, menubuhkan Focus Media dengan idea menggantikan iklan video di kompleks, apartment, pasar raya dan liku-liku jalan. Dengan bantuan Goldman Sacks dan Credit Suisse, Focus Media disenaraikan di Nasdaq pada 2005 yang mana sahamnya meningkat 200 peratus dalam masa 2 tahun.

Dorongan kejayaan Focus Media lebih daripada wang. "Saya mahu syarikat ini menjadi kumpulan media terbesar di dunia." Beliau bekerja dari pukul 8 pagi hingga 2 pagi keesokan harinya. Masih lagi bujang, Jiang bekerja sepanjang masa dan membelanjakan US$2 sehari untuk makan tengah hari.

Orang muda seperti Jiang adalah harapan negara untuk perubahan. Umur 30-an, imej usahawan jutawan, bakal menjadi model kepada orang ramai.

Ropert Hoogewerf, penerbit Hurun Report berkata, 6 daripada 10 wanita terkaya di dunia adalah dari China termasuk Zhang Tin, pengasas Nine Dragons Paper yang mengumpul kertas kitar semula di Amerika Syarikat dan menukarkannya menjadi kotak apabila tiba di China.

Orang yang paling kaya di China juga seorang wanita: Yang Huiyan dari Country Garden, syarikat hartanah. Yang, 26 tahun ada dalam senarai wanita terkaya di Asia. Lepasan dari Ohio State University, kekayaannya dianggarkan sebanyak US$16 bilion, lebih kaya daripada George Soros, Rupert Murdoch dam Steve Jobs. Ayahnya seorang pemaju hartanah di selatan China, menyerahkan masa depan keluarga kepadanya, sebelum Country Garden "meletup" di Bursa Saham Hong Kong.

Walaupun kaya-raya dan bergelar jutawan, ada di antara mereka yang masih mengunjungi kedai gunting rambut US$2. Kisah mereka sangat dikagumi. Huang Guangyu, 38 tahun, membesar di sebuah perkampungan miskin di selatan China, di mana dia dan adiknya mula menjual botol-botol plastik dan kertas surat khabar. Sekarang beliau mengawal Gome, salah satu daripada kedai elektrik terkemuka di China.


Kemunculan jutawan-jutawan China amat ketara, bukan kerana kepantasan regim kapitalis bertapak 25 tahun yang lalu, tetapi disebabkan tidak ada satu pun syarikat bertaraf global: tidak ada Sony atau Toyota. (Jepun hanya ada 24 bilionaire).

Kekayaan China dengan adanya jutawan hartanah atau industri, muncul bersendirian di dalam wilayah China.

Banyak lagi cabaran yang akan dihadapi oleh jutawan-jutawan China pada masa depan. Shi Zhengrong, belajar fizik dan tenaga solar di Australia sebelum pulang ke China pada 2001 untuk memulakan syarikat Suntech Power. Enam tahun kemudian, syarikat tenaga solar Shi bernilai US$9 bilion, sahamnya meningkat melebihi 300 peratus sejak disenaraikan di pasaran saham pada Disember 2005.

Dalam temubual di ibu pejabat syarikat Shi di Shanghai, ayat terakhir Shi ialah, "Suatu hari nanti, syarikat ini akan menjadi sangat besar seperti Microsoft."

Wednesday, November 07, 2007

Berhadapan dengan konfrantasi

Konflik mempunyai beberapa kaedah untuk diselesaikan. Salah satu daripadanya adalah konfrantasi. Tujuan konfrantasi adalah untuk:

~menerangkan situasi negatif yang dihadapi.
~memperlihatkan emosi yang negatif sebagai tindak balas kepada sesuatu keadaan.
~bertujuan untuk individu lain dapat memahami dan merasai apa yang dirinya alami.
~meluahkan ketidakpuasan atau kemarahan secara terbuka.
~mengubah pemikiran, sikap dan tingkah laku ahli kelompok yang lain.
~mengubah apa yang menyebabkan dirinya marah atau tidak puas hati.
~mempertahan hak apabila merasakan haknya dicerobohi.
~mengenal pasti apa yang telah berlaku dan menyebabkan dirinya berasa kecewa.
~mengambil langkah-langkah yang bijak, betul dan berkesan.
~meluahkan kepada individu lain lebih baik daripada mensasarkan objek tertentu.


Daripada huraian di atas, dapatlah kita mengenal pasti bahawa konfrantasi melibatkan berbagai-bagai situasi dan keadaan. Namun begitu kita harus mengetahui beberapa jenis konfrantasi yang wujud. Pengkelasan terhadap jenis-jenis konfrantasi dapat membantu kepimpinan kelompok untuk menyelesaikan konflik yang berlaku di dalam kelompoknya dengan lebih berkesan. Antara jenis-jenis konfrantasi tersebut adalah seperti berikut:

Konfrantasi marah – keadaan ini berlaku apabila seseorang menunjukkan emosi marahnya sama ada dengan perkataan atau perbuatan. Konfrantasi jenis ini diiringi dengan ledakan emosi yang berapi-api.

Konfrantasi asertif – hak seseorang individu adalah sangat penting. Justeru konfrantasi ini adalah untuk mempertahankan hak seseorang yang dirasakannya tidak dipedulikan.

Konfrantasi langsung – memerlukan keberanian yang berterus-terang bagi menyatakan pendapatnya secara jelas. Kadang kala diperlihatkan secara jelas dan ada ketika secara bersahaja.

Konfrantasi tidak langsung – bersifat umum dan bukan ditujukan secara khusus.

Tunjuk ajar - sesuatu arahan yang dikemukakan adalah jelas dan terperinci.

Tuduhan – konfrantasi secara langsung terhadap seseorang tanpa mengambil kira perasaan individu yang terlibat.

Arahan – adalah kaedah yang berterus-terang, nyata dan bersifat rasmi yang biasanya disusuli secara bertulis.

Menyalahkan – menyerupai konfrantasi jenis tuduhan tetapi keseluruhan tanggung jawab ditujukan kepada individu yang lain.

Memperkecil-kecilkan – mengkritik tentang sesuatu yang tidak boleh diterima oleh individu tertentu disebabkan oleh rasa tidak puas hati yang timbul pada awalnya seperti tingkah laku atau sikapnya yang tidak elok.

Menegur – apabila rasa kecewa dengan sikap seseorang, akan menuding jari ke arah individu tersebut sebagai tanda ketidakpuasan hatinya.

Mengejek – apabila kemarahan tidak dapat dikawal, akan melontar kata-kata kesat kepada individu berkenaan.

Sindiran – apabila seseorang individu membangkitkan kemarahan, individu itu akan disindir sehingga dia merasa terhina dan malu.

Rujukan

Asmawati Desa (2002). Psikologi Untuk Golongan Dewasa. Kuala Lumpur: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.

Tuesday, November 06, 2007

Mengurus konflik dalam kelompok

Pengertian konflik

Mengikut Asmawati Desa (2002), konflik adalah satu situasi di mana dua atau lebih keperluan, matlamat atau tindakan yang tidak boleh seiring bertanding di antara satu dengan lain. Konflik juga boleh diertikan sebagai perbezaan pendapat. Daripada dua pengertian ini dapatlah kita melihat bahawa konflik merupakan satu situasi semula jadi kepada kumpulan komuniti dan juga perhubungan. Konflik selalunya ditekankan sebagai keharmonian kelompok.

Konflik dapat merangsang pendapat dan pandangan pemikiran baru yang boleh menjana penyelesaian kreatif dan memastikan kelompok bersedia dengan berbagai-bagai kehendak ahli kelompok tersebut. Justeru itu secara keseluruhan, kumpulan akan menjadi lebih bertanggungjawab. Potensi untuk konflik wujud apabila terdapat perhubungan di antara kelompok manusia yang melibatkan satu atau lebih daripada keadaan berikut:

a. Percanggahan matlamat atau kehendak


Jika seseorang ingin membeli rumah dan kereta secara serentak pada satu masa tetapi di luar kemampuannya pada ketika itu, maka akan menimbulkan rasa kecewa kerana hanya satu keinginan yang dapat dicapai pada ketika itu.

b. Perbezaan idea untuk melaksana kaedah mencapai matlamat

Sekumpulan guru sedang mencari kaedah untuk meningkatkan prestasi pelajar yang gagal menguasai bahasa Inggeris, ada guru berpendapat dilaksanakan kelas tambahan, manakala sebilangan kecil lagi berpendapat diadakan klinik untuk pelajar yang benar-benar lemah sahaja.

c. Tidak cukup kefahaman, perasaan dan nilai yang disembunyikan

Seorang remaja perempuan yang berada di dalam keadaan serba salah, sama ada untuk menurut kehendak ibu bapanya yang tidak suka anak gadis keluar rumah atau keluar juga untuk bertemu teman lelakinya tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Sebab-sebab berlakunya konflik


Konflik berlaku disebabkan perkara-perkara berikut:

1. Kurang komunikasi di antara ahli kelompok akan mengakibatkan ahli kelompok gagal memahami idea dan perasaan di antara satu dengan lain. Justeru akan menimbulkan jurang di dalam proses interaksi mereka. Maka akan berlaku kecenderungan persepsi negatif yang menyebabkan provokasi yang memudaratkan kelompok.

2. Nilai konflik terhasil daripada perbezaan sikap, jangkaan dan kepercayaan di kalangan ahli-ahli kelompok. Ini akan mempengaruhi keputusan dan tindakan mereka.

3. Kurang keberkesanan kepimpinan di dalam membuat keputusan untuk mencapai sesuatu kata putus tentang siapa yang akan bertanggungjawab dalam menentukan keputusan dan bagaimana hendak melaksanakan sesuatu keputusan adalah merupakan punca konflik dalam apa jua keadaan.

4. Kegagalan dan kesukaran dalam memahami peranan masing-masing akan menyebabkan jangkaan berbeza di kalangan mereka. Oleh itu mereka melihat matlamat dan kepentingan mengikut pandangan peribadi masing-masing.

5. Produktiviti yang rendah pula menyebabkan konflik di dalam kelompok. Mereka akan menjadi cenderung untuk mengkritik di antara satu satu dengan lain.

6. Ketidakseimbangan berlaku akibat daripada perubahan diri dan persekitaran.

7. Konflik yang tidak dapat diselesaikan tentu akan melahirkan konflik-konflik sampingan lain yang boleh meninggalkan kesan dalam masa yang panjang di kalangan ahli kelompok.

Kaedah menangani konflik


1. Menghindari - Apabila ahli kelompok cuba mengelak konflik, mereka tidak bersedia untuk mempertahankan keinginan sendiri ataupun untuk membantu orang lain mendapat apa yang mereka mahu. Sebagai contoh, mereka tidak campur tangan dalam urusan kerja yang melibatkan orang lain di pejabat.

2. Berkompromi – menggunakan kaedah perundingan dan penawaran bagi memisahkan sebarang perbezaan. Kompromi memerlukan persetujuan ramai untuk mendapat keputusan “menang-menang.” Hikmah di sebalik berkompromi akan dapat menghasilkan kejayaan kecil daripada tanpa apa-apa hasil.

3. Undian – satu kaedah berhemah di dalam menangani konflik. Walau bagaimanapun undian dapat dilaksanakan seperti berikut:

a. ahli kelompok menukar pendirian asal mereka setelah diyakinkan.
b. ahli kelompok percaya dan memberi komitmen bagi meneruskan perhubungan.
c. ahli kelompok akan akur kepada keputusan majoriti.


4. Arbitrasi – adalah hasil daripada strategi tempur apabila dua pihak yang mempunyai kekuatan yang seimbang dan hak yang sama telah menemui jalan buntu. Ketika inilah peranan pihak ketiga diperlukan untuk memberi kata putus. Masalah akan timbul apabila pihak yang kalah menganggap keputusan yang dibuat itu tidak adil kerana tidak menyebelahinya. Rasa tidak puas hati ini akan berterusan menjadi dendam yang mungkin akan diungkit di kemudian hari.

5. Bekerjasama – usaha menghimpun ahli-ahli yang terlibat dalam konflik bagi mencapai penyelesaian yang dapat menyatupadukan semua ahli melalui persetujuan bersama.

Kesimpulan

Kadangkala seseorang individu di dalam kelompok harus berhadapan dengan lebih daripada dua pilihan dan besar kemungkinan pula setiap pilihan adalah separuh positif dan separuh negatif. Jadi mungkin boleh dikatakan bahawa kebanyakan konflik yang dialami oleh manusia adalah bersifat mendekati – mengelak berganda; konflik antara dua atau lebih matlamat yang mana setiap matlamat adalah separuh positif dan separuh negatif.

Rujukan:

Asmawati Desa (2002). Psikologi Untuk Golongan Profesional. Kuala Lumpur: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.

Sunday, November 04, 2007

Beri perhatian kepada isu pendidikan bangsa

Perhimpunan Agung UMNO ke-58 yang akan berlangsung esok hingga Jumaat ini sekali lagi akan diberi perhatian oleh rakyat Malaysia. UMNO sebagai parti politik yang berpengaruh khususnya kepada orang Melayu memberi harapan kepada pembangunan dan perubahan. Dari isu ekonomi kepada politik dan sosial, aspek pendidikan sentiasa menjadi perhatian kerana setelah 50 tahun merdeka, masih banyak ruang pembaikan yang boleh diberi tumpuan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Ketika Malaysia berbangga kerana Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, dipilih sebagai salah seorang ahli lembaga eksekutif Unesco dengan jumlah undi paling banyak, sistem pendidikan negara sedang berhadapan dengan cabaran bagi menempuh 50 tahun yang akan datang.

Isu akhlak pelajar, pendidikan di sekolah agama rakyat, sistem vernakular dan perkhidmatan perguruan dan pencapaian universiti tempatan adalah cabaran yang sedang dihadapi dan menuntut penyelesaian yang terbaik.

Semua negara di dunia impikan pencapaian pendidikan dalam semua bidang: perubatan, kejuteraan, sains, politik atau ekonomi, begitu juga Malaysia. Justeru kita menghantar pelajar ke Ireland dengan melibatkan kos sebanyak €35 juta (RM145 juta) setiap tahun untuk pengajian, timbul pertanyaan: kenapa kita perlu belajar di Ireland atau luar negara? Kenapa kita tidak belajar sahaja di dalam negara?

Apakah Malaysia dapat bertahan dengan sistem pendidikan sedia ada jika menilai semua masalah yang berkaitan dengan pelajar dan pendidikan sekarang? Antaranya:

Pengangguran. Hampir 60,000 pelajar yang masih belum bekerja, kenapa? Alasan yang diberi ialah kemahiran komunikasi yang lemah; jika mereka bercakap dalam bahasa Inggeris, kefasihannya sangat kurang dan lemah ketika memilih perkataan. Tidak menghairankan jika universiti awam gagal melahirkan pelajar yang diingini oleh pasaran.

Salah pasangan. Terdapat kelemahan ketika menentukan apa yang dilahirkan oleh universiti dengan kehendak pasaran. Universiti terasing daripada pasaran semasa seperti dalam industri yang mana prestasi kerja yang diinginkan amat tinggi.

Pengaruh politik. Dalam semua peringkat pendidikan, ia berada dalam pengaruh politik. Sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Malaysia, sementara sekolah vernakular menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Memperkasa sekolah kebangsaan untuk menarik perhatian kelompok etnik lain nampaknya masih belum berjaya. Hampir 95 peratus pelajar Cina masih memilih sekolah jenis kebangsaan sebagai pilihan utama ketika sekolah rendah.

Diketepikan. Suatu masa dulu parti politik dikuasai oleh guru tetapi kini didominasi oleh kelompok korporat. Pendidikan secara beransur-ansur dipandang sebelah mata dan terpisah daripada agenda pokok pembangunan negara.

Kawalan. Hanya baru-baru ini Kementerian Pengajian Tinggi memberi penarafan kepada universiti awam dengan meletakkan Universiti Sains Malaysia sebagai universiti cemerlang. Ada pelajar yang melihat universiti swasta menawarkan pengajian yang lebih berkualiti, ataupun melanjutkan pelajaran ke luar negara sama ada ke Ireland atau UK.

Kurang tempat. Pelajar-pelajar muda yang layak tidak mendapat tempat kerana terhad.

Kurang dana. Tidak banyak peruntukan yang diberi untuk penyelidikan dan pembangunan. Pensyarah mengeluh tidak cukup data sedangkan bidang yang hendak dikaji amat banyak. Kekurangan dana ini amat ketara bagi penyelidikan sains sosial.

Pembaharuan pengajaran. Disebalik kualiti pengajaran, inovasi kaedah pengajaran datang daripada pihak atasan iaitu pembuat polisi tetapi kerap kali ada ketirisan dalam pelaksanaan.

Bahasa. Apabila kita berbicara mengenai globalisasi, kita juga berbicara mengenai rentas sempadan bahasa. Hari ini, lebih banyak bahasa yang dituturkan, lebih banyak pasaran boleh diterokai dan lebih banyak perniagaan dapat diceburi. Tetapi di Malaysia orang ramai masih belum memberi perhatian kepada perkara ini. Pengajaran menggunakan bahasa Malaysia kerana jika dilakukan dalam bahasa Inggeris, dikhuatiri akan merendahkan martabat bahasa kebangsaan.

Isu-isu pendidikan ini amat berkait dengan usaha Malaysia untuk masuk ke dalam masyarakat berasaskan berpengetahuan. Bagi mempercepatkan proses ini, kerajaan mesti mula memberi fokus kepada usaha meningkatkan kreativiti dan pemikiran kritikal pelajar, bukannya pembelajaran menghafal.

Untuk maju seperti negara-negara lain, pendidikan adalah kunci kepada pencapaian tersebut. Anjakan paradigma masyarakat menjadi teras kepada pelaksanaan sistem pendidikan yang berkesan walaupun peringkat awal mendapat tentangan. Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan adalah langkah betul tetapi jurang di antara sekolah bandar dan luar bandar mesti dikecilkan. Jika tidak, akan berlaku keciciran pelajar secara besar-besar dan menjejaskan perancangan sumber manusia pada masa depan.


Keberanian pemimpin membuat perubahan amat dihargai kerana memacu masyarakat kepada pola pemikiran baru. Barangkali tulisan Bakri Musa ini dapat membuka minda kita untuk melihat kejayaan negara Ireland merubah masyarakat Irish yang kerap kali dibayangi kehebatan bangsa Inggeris.

Penulis buku “Malaysia in the Era of Globalization,” Bakri Musa, seorang pakar bedah rakyat Malaysia di Lembah Silikon, California. Dalam majalah “Malaysia Today” pada 21 Ogos 2006 berkata:

“Semasa zaman Titanik, Ireland adalah sinonim dengan kemiskinan dan kemelaratan. Ireland waktu itu ialah sumber yang tidak pernah berpenghujung membekalkan pendatang-pendatang yang miskin ke Amerika Syarikat dan di tempat lain. Terdapat lebih ramai orang Ireland yang keluar meninggalkan negara berkenaan daripada yang sedia ada. Di Amerika, notis dan papan tanda seperti “Orang Ireland tidak perlu memohon!” ada di mana-mana.

Hari ini, sebagai tambahan kepada pencapaian cemerlang Ireland, individu atau yang ada pertalian darah dengan Ireland, mereka menjadi kedengkian kepada negara-negara Eropah khususnya dan dunia amnya. Orang-orang Melayu hari ini, seperti orang Ireland sebelum itu, berada dalam sangkar ketaatan beragama (Islam untuk Melayu, Khatolik untuk Irish). Anak-anak muda Melayu berkerumun ke madrasah untuk belajar bahasa Arab, hadis dan ilmu wahyu berbanding mempelajari bahasa Inggeris, sains dan matematik. Orang Ireland juga mencari biara-biara untuk belajar pelajaran agama. Orang-orang Melayu hari ini berada dalam cengkaman psikologi ulama dan ustaz, sebagai mana orang Ireland dicengkam oleh uskup dan paderi mereka.

Orang Ireland dimomok untuk menghidupkan semula bahasa mereka yang telah mati, Gaelic. Anak-anak muda Melayu hari ini diingatkan untuk memastikan bahawa mereka tidak perlu mempelajari apa-apa bahasa selain daripada bahasa Melayu. Mempelajari bahasa lain, seperti bahasa Inggeris, dilihat sebagai satu tanda penyataan benci kepada bahasa sendiri.

Dalam perniagaan, perusahaan-perusahaan utama berada di tangan minoriti etnik Cina, dan politik dikuasai Melayu. Ireland juga begitu. Syarikat-syarikat utama berada di tangan bangsa Inggeris manakala orang Ireland sendiri terlibat dengan politik dan usaha penyatuan semula negara. Pendidikan di Ireland berada dalam kawalan dan arahan gereja, institusi intelektual utama dan kolej swasta bahasa Inggeris pula menekankan sains, teknologi dan ilmu sekular yang lain.”

Dia kemudian menyimpulkan:

“Pengajaran daripada Ireland adalah secara langsung. Pertama, menghapuskan pengaruh pertubuhan keagamaan, bukannya menghapuskan agama. Seperti Ireland, kita harus menghadapi globalisasi dan syarikat-syarikat yang bebas. Menarik pelaburan asing dengan cara mengurangkan cukai korporat dan menjadikan undang-undang lebih telus dan mudah. Syarikat-syarikat global ini membawa banyak pelaburan yang diperlukan di samping kepakaran pengurusan dan teknologi.

Membuka ruang ekonomi dan mempunyai satu dasar fiskal yang mendorong kepada pelaburan lapangan terbang, jalan dan sekolah, bukannya projek mega yang menunjuk-nunjuk. Pelaburan dalam sumber manusia, bukannya dalam saham syarikat.

Pengajaran daripada Ireland adalah mudah: the challenge is with their execution. Tidak perlu untuk satu 'revolusi mental' atau untuk Melayu menjadi kurang ajar (uncouth). Jika kita memerlukan satu revolusi, biarkannya seperti yang dilakukan oleh orang Ireland iaitu
Irish Quiet Revolution."

Pengalaman Ireland dan negara-negara lain yang berjaya membuat transformasi masyarakat melalui pendidikan harus diperhalusi. Tidak perlu untuk meniru bulat-bulat sistem mereka tetapi wajar disesuaikan dengan keperluan dan kehendak kita. Membina nilai supaya pelajar kita, dari tadika hinggalah universiti dapat berfikir dengan bebas dan bijak mengambil tindakan.

Arab Saudi yang mula melihat kebebasan akademik sebagai tonggak memajukan bidang pendidikan, mendirikan King Abdullah University of Science and Technology (KAUST) dengan pelaburan sebanyak US$3 bilion (RM10.5 bilion) bagi menarik ahli akademik antarabangsa dan pelajar lepasan ijazah dengan tujuan menjadikan penyelidikan mereka bertaraf dunia.

Pada masa yang sama, mengurangkan kadar pengangguran dan pergantungan kepada hasil minyak dan gas. Di KAUST, pelajar dan pensyarah boleh berbincang secara terbuka dan bebas, manakala wanita dapat memandu kereta di dalam kawasan kampus. Wanita juga akan dipilih untuk megetuai beberapa jabatan.

Malaysia tidak perlukan tindakan radikal seperti Arab Saudi untuk mengubah paradigma masyarakat. Banyak kaedah lain untuk berhadapan dengan cabaran pendidikan ini.

Kepada peserta perhimpunan kali ini, mengutamakan pendidikan bangsa dan negara adalah nadi kepada pencapaian masa depan yang cemerlang. Berbincang dan berbahas, tetapi jangan lupa isu pendidikan.

Pandangan umum tentang penyelidikan kualitatif

Penyelidikan kualitatif digunakan untuk mengkaji suasana atau proses yang sukar diukur dengan nombor seperti imej diri, tingkah laku atau perasaan ibu bapa apabila berhadapan dengan anak-anak yang nakal.

Contoh-contoh kajian seperti ini ialah bagaimana pelajar dewasa membahagikan keseimbangan antara kerja, keluarga dan pembelajaran, peranan kenaikan gaji terhadap produktiviti kakitangan kerajaan dan keberkesanan larangan kawasan merokok di kalangan pembantu am kesihatan di kawasan hospital.


Penyelidikan kualitatif mempunyai lima jenis iaitu;

1. Fenomenologi
Ia berkaitan kajian terhadap sesuatu keadaan. Ianya mungkin dalam bentuk peristiwa, situasi, pengalaman atau konsep. Fenomena yang ada walaupun banyak, kita belum dapat memahaminya dengan lebih mendalam. Biasanya pengkaji berminat ingin memahami lebih mendalam mengenai tindak balas keseluruhan manusia dan memahami pengalaman individu.


2. Etnografi
Istilah ethnos adalah dari Greek yang bermaksud manusia, bangsa atau budaya. Graphy bererti penjelasan mengenai sesuatu. Justeru, etnografi merupakan sejenis kajian lapangan yang berbentuk pemerhatian yang sering digunakan dalam kajian sosiologi dan anthropologi. Ia berkait dengan keinginan pengkaji untuk memahami pengaruh budaya ke atas tingkah laku manusia dan kesihatan.

Etnografi juga dianggap sebagai kajian paling asas dalam penyelidikan sosial. Ia juga merangkumi penjelasan bertulis mengenai sesuatu budaya tentang adat, kepercayaan, tingkah laku dan sebagainya.


3. Kajian Kes
Ia merupakan sejenis kajian untuk mengkaji dan menjelaskan satu kelompok yang kecil secara mendalam. Ia melibatkan pengumpulan maklumat yang ektensif untuk memahamkan sesuatu entiti yang dikaji sama ada individu, organisasi atau situasi di mana tingkah laku yang tidak dijangka atau tidak jelas dijadikan sebagai fokus kajian.

Kajian kes memberikan penjelasan mendalam secara deskriptif dan penghuraian satu unit tertentu. Kajian ke atas individu boleh dipelbagaikan kepada kelompok seperti penagih dadah, eksekutif, remaja delikuen atau kumpulan etnik.


Ciri-ciri kajian kes ialah ia dilakukan pada jangka masa panjang dan merangkumi keseluruhan tingkah laku yang berlaku dalam keadaan semula jadi. Jadi, ia dapat memberikan kefahaman yang mendalam.

Di samping itu memberikan takrifan dari sudut emosi terhadap situasi yang dikaji. Jadi, ia memberikan ruang untuk pengembangan idea atau hipotesis yang hendak dikaji oleh penyelidik.


4. Analisis Naratif
Ia berdasarkan pada perkataan yang digunakan oleh pembeli maklumat untuk menjelaskan pengalaman responden. Analisis naratif tidak memberi perhatian yang ketara pada kuantiti subjek sebaliknya kepadatan maklumat atau fakta, pemerinciannya, interaksi yang terlibat yang mana mungkin terlepas pandang oleh orang lain.

5.
Grounded Theory
Dua tokoh yang dikaitkan dengan kajian jenis ialah Glaser dan Strauss. Kaedah ini muncul daripada disiplin sosiologi dan sangat berguna untuk menerangkan jenis masalah yang wujud di dalam masyarakat dan proses seseorang untuk menanganinya. Kerapkali mereka berkongsi simbol dan makna-makna umum berkenaan dengan simbol berkenaan.


Dua buah buku yang menjadi rujukan penyelidikan kualitatif ialah "Qualitative Research and Case Study Applications in Education" oleh Sharan B. Merriam, seorang profesor dalam pendidikan dewasa dan pengembangan di University of Georgia, Athens, Amerika Syarikat. Bidang tumpuan beliau ialah pendidikan dewasa, pembangunan dan pembelajaran dewasa dan kaedah penyelidikan kualitatif. Di Malaysia, beliau telah beberapa kali datang ke Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Buku kedua ialah "Qualitative Research for Education: An introduction to theory and methods" oleh Robert C. Bogdan dan Sari Knopp Biklen. Manakala buku tambahan yang boleh dijadikan rujukan ialah "Penyelidikan sains sosial: Pendekatan pragmatik" oleh Sabitha Marican.

Siri-siri artikel yang akan datang adalah berkaitan penyelidikan kualitatif yang semakin mendapat tempat di kalangan pelajar sarjana, masters dan PhD.

Saturday, November 03, 2007

Peraturan baru mampu sekat lambakan pekerja asing

Langkahkerajaan untuk mewajibkan semua syarikat swasta mengiklankan kekosongan jawatan selama dua minggu sebelum mengambil pekerja asing, jika dilaksanakan secara berkesan, boleh mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini yang kini semakin ramai dan sudah sampai ke tahap membimbangkan. Keputusan Kabinet berhubung perkara itu kelmarin sekurang-kurangnya membawa membawa dua kebaikan - pertama, memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan kedua, mengawal penambahan pekerja asing yang diambil oleh majikan mereka secara sah.

Ketika ini ada syarikat dilihat sengaja memilih untuk mengambil pekerja asing supaya tidak perlu membayar gaji yang tinggi, berbanding pekerja tempatan. Akibatnya, setelah bertahun-tahun lamanya, kini sudah ada lebih dua juta pekerja asing di negara ini. Bayangkan berapa pula jumlah pekerja asing yang mungkin berada di negara ini dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang sekiranya tiada langkah drastik diambil untuk membendung kemasukan mereka. Itu pun belum diambil kira jumlah pendatang asing yang masuk atau tinggal secara haram selepas tempoh permit mereka tamat.

Lambakan pekerja asing dan pendatang tanpa izin ini juga menyebabkan timbul pelbagai masalah sosial sehinggakan ramai orang awam kini menyuarakan kebimbangan dengan kebanjiran warga asing di kompleks beli-belah pada hujung minggu seolah-olah kita bukan berada di tanah air sendiri.

Kita berharap langkah ini juga satu permulaan bagi menangani lambakan pekerja asing dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara ini sekarang seperti dinyatakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn. Ia tidak seharusnya terhenti di situ saja tanpa langkah susulan.

Menerusi peraturan yang diwajibkan serta-merta itu, syarikat yang memerlukan pekerja dikehendaki mengiklankan jawatan berkenaan di Bursa Buruh Elektronik kementerian selama dua minggu sebelum dibenarkan mengambil pekerja asing. Sebuah jawatankuasa ditugaskan untuk memantau agar syarikat yang memohon pekerja asing telah mengiklankan kekosongan jawatan itu di bursa berkenaan.

Agak menghairankan mengapa lambakan pekerja asing itu tidak dipantau dengan berkesan oleh jabatan berkenaan selama ini. Kerana itu, Kementerian Sumber Manusia perlu melakukan kajian bagi mengenal pasti mengapa sebahagian besar masyarakat di negara ini khususnya yang tidak berpendidikan tinggi tidak suka bekerja dalam sektor tertentu. Apakah pembangunan negara yang begitu pesat dan perubahan gaya hidup menyebabkan mereka memandangkan rendah sesetengah pekerjaan sehingga mereka lebih sanggup menganggur atau melakukan kerja lain secara haram untuk mendapat pendapatan lebih lumayan.

Kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim bahawa keengganan kebanyakan rakyat kita untuk melakukan kerja yang susah, kotor dan berbahaya adalah satu pemerhatian menarik. Mungkin apa yang dikatakannya ada kebenarannya sehingga kita terpaksa bergantung kepada pekerja asing untuk pelaksanaan projek pembinaan selain kerja lain yang dianggap susah, kotor dan berbahaya.

Buat masa ini, kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan dan terpaksa mengambil pekerja asing. Cuma kita berharap jumlah yang diambil dapat dikawal dan peluang utama diberikan kepada rakyat tempatan.

Serentak dengan itu adalah wajar kementerian berkenaan menyediakan pelan untuk menarik lebih ramai warga tempatan untuk sanggup bekerja keras seiring dengan semangat yang ditunjukkan pekerja asing itu. Semoga pada satu hari nanti kita tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada tenaga luar untuk membangunkan negara sendiri.

[Berita Harian Online]