Friday, February 06, 2015

Yakin pada idea









Idea tidak memiliki jangka hayat yang panjang. Boleh jadi lima minit, 10 minit, setengah jam, sehari atau seminggu. 

Jika idea boleh bertahan sebulan, memang hebatlah idea itu. Sama ada seminit atau sebulan, sesuatu idea ada jangka hayat. 

Kita mesti membuat sesuatu sebelum tarikh luput kerana selepas tarikh luput ini, idea sudahpun tidak berguna lagi. 

Saya teringat seorang profesor yang mempunyai idea besar iaitu menubuhkan sebuah unit penyimpanan data sosial peringkat serantau dan antarabangsa. 

Semasa idea ini dibawa ke dalam mesyuarat, ramai yang tidak setuju. Tetapi dia berfikir idea tersebut sangat bagus dan berusaha mencari jalan merealisasikannya. Dia bertemu ramai orang untuk mengenengahkan idea ini dan terus berusaha. Dia menetapkan masa enam bulan untuk institusi ini menjadi kenyataan. 

Kalau kita ada idea, teruskan tanpa berlengah.


Thursday, February 05, 2015

Cabaran usahawan burger








Wawasan 2020 tidak akan tercapai jika tiada pembangunan yang dibina. Kini, Malaysia dikenali seantero pelosok dunia sehingga Malaysia dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Malaysia sekarang sedang berlumbalumba untuk mencapai kemajuan untuk dirasai rakyat Malaysia. Salah satu aspek yang akan menyumbang kepada pembangunan Malaysia ialah pembangunan sosioekonomi masyarakat Malaysia. Sosioekonomi adalah kajian hubungan antara aktiviti ekonomi dan kehidupan sosial. Sosioekonomi begitu penting dalam memacu pembangunan Malaysia.

Arif
Assalamualaikum, saya ingin mengambil sedikit masa saudara untuk mendapatkan
maklumat untuk digunkan bagi melengkapkan kajian ini.  Boleh saudara terangkan
serba sedikit tentang latar belakang saudara, khususnya nama, umur, tempat
tinggal, pendidikan dan keadaan kesihatan saudara ketika ini?

Pengusaha
Nama saya Taufiq. Berumur 22 tahun. Saya merantau sendiri untuk mencari
peluang perniagaan. Pada mulanya saya hanya menolong ayah saudara. Saya
 mendapat pendidikan di SMK Dato Harun.

Arif
Adakah saudara melibatkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan
keusahawanan ataupun kemasyarakatan di tempat tinggal saudara? Jika ada
persatuan berkenaan, adakah saudara akan melibatkan diri dalam membina
kerjasama dengan rakan-rakan usahawan yang lain?

Pengusaha
Saya tidak pernah melibatkan diri dalam mana-mana persatuan keusahawanan. Jika
saya ada kelapangan masa, saya mungkin akan melibatkan diri. Saya tidak
mempunyai masa kerana sibuk menguruskan perniagaan ini. Terdapat kekangan
 masa, jika ada masa yang terluang, saya berminat juga kerana dapat mengeratkan
 hubungan dengan rakan-rakan bisnes yang lain.

Arif
Pada pandangan saudara, sejauh mana aktiviti dalam masyarakat dapat membantu
saudara lebih aktif untuk mengubah keadaan hidup? Sebanyak manakah
perubahan yang saudara rasai?

Pengusaha
Aktiviti dalam masyarakat sedikit sebanyak membantu saya, Bagi saya aktiviti
kejiranan di tempat saya tinggal banyak memberi galakan untuk mengubah hidup
saya dengan berniaga. Mereka memberi saya motivasi untuk meneruskan bisnes ini.
Bagi saya, hampir 50% hidup saya telah berubah kearah yang lebih baik dan saya
ingin meningkatkan lagi peratusan tersebut.

Arif
Adakah saudara merasai perubahan keadaan hidup selepas menyertai persatuan
masyarakat seperti menghadiri kursus-kursus berkaitan keusahawanan atau
peningkatan kemahiran? Adakah kursus-kursus ini membantu saudara lebih berjaya
 dalam bidang keusahawanan?

Pengusaha
Saya tidak pernah menyertai, tetapi saya berpendapat bahawa persatuan seperti
kejiranan ini banyak membantu untuk meningkatkan kemahiran untuk berniaga,
seperti saya beritahu sebentar tadi.

Arif
Bagaimana saudara memulakan bisnes ini?

Pengusaha
Pada mulanya saya hanya menolong bapa saudara berniaga burger di Ayer Keroh.
Dari pengalaman yang saya dapat, saya mula berminat untuk membuka cawangan
gerai burger sendiri. Ketika bekerja dengan bapa saudara saya, beliau banyak
memberi nasihat dan tunjuk ajar untuk memulakan sesuatu perniagaan. Saya
bersyukur kerana pada mulanya saya bercadang untuk membuka gerai sendiri,
namun bapa saudara saya telah memberi kepercayaan kepada saya untuk
mengambil alih terus perniagaan beliau. Hal demikian, saya hanya perlu
menambah baik perniagaan dengan  berbekalkan duit yang saya simpan ketika
bekerja dibawah jagaan beliau. Sehingga kini saya telah membuka empat cawangan
di Melaka. Untuk membuka empat cawangan ini saya memerlukan tempoh selama
empat tahun. Saya membuka setiap cawangan satu per satu.

Arif
Adakah saudara mempunyai pekerja untuk membantu perniagaan ini?

Pengusaha
Ya, saya ada mempunyai tujuh orang pekerja. Saya akan menjaga gerai bersama
seorang pekerja di Ayer Keroh. Bagi pekerja lain akan menjaga perniagaan
 dicawangan yang berasingan.

Arif
Bagaimana saudara membantu pekerja saudara untuk mengubah hidup?

Pengusaha
Saya banyak memberi nasihat dan perangsang kepada mereka. Saya berkongsi
pengalaman untuk membuka bisnes, bercerita tentang jatuh bangun dalam bisnes.
Ada antara pekerja saya yang sudah berjaya membuka perniagaan sendiri dan saya
berasa bangga kerana serba sedikit dapat membantu mereka.

Arif
Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi untuk mengembangkan bisnes ini?

Pengusaha
Terdapat banyak cabaran yang terpaksa dihadapi. Cabaran yang paling besar bagi
saya ialah dari segi kewangan, keadaan sekeliling dan juga pesaing-pesaing. Jika
kita lihat sekarang, pasaran perniagaan burger ini begitu meluas dan saya terpaksa
bersaing dengan mereka. Jika tidak kuat semangat, memang gulung tikar jawabnya.
Kita juga haruslah konsisten dalam perniagaan. Sebagai contoh, waktu operasi
gerai saya ini sehingga jam 12.45 malam. Saya akan terus membuka gerai sehingga
waktu tersebut walaupun tiada pelanggan. Untuk berjaya, kita juga perlu jujur dan
mempunyai azam yang kental. Saya berusaha untuk membaiki perniagaan ini
supaya bertambah maju.

Arif
Adakah saudara mendapat pembiayaan perniagaan untuk menjalankan bisnes ini?
Adakah pembiayaan berkenaan mencukupi? Sekiranya tidak mencukupi,
bagaimana saudara berusaha mengembangkan perniagaan ini?

Pengusaha
Tidak, saya tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana badan semasa
membuka perniagaan ini. Semuanya saya mulakan dengan duit saya sendiri. Saya
mendapat modal hasil daripada pertolongan keluarga dan rakan-rakan.
Alhamdulillah, setakat ini mencukupi kerana saya mulakan secara kecil-kecilan dan
jika ada modal lebih, barulah saya berani untuk menambahkan perniagaan ini.

ArifAdakah saudara menerima galakan dari mana-mana pihak untuk menyimpan
wang atau membeli aset? Pada pandangan saudara, adakah perniagaan dapat
membantu mengubah hidup dengan memiliki aset yang lebih banyak?

Pengusaha
Ya, saya menerima galakan daripada pelbagai pihak. Saya bersyukur kerana ramai
yang menyokong usahawan bumiputera seperti saya. Saya mendapat sokongan
daripada pihak MARA dan juga dari usahawan-usahawan kecil di Melaka. Keluarga
juga banyak membantu. Ya, sudah tentu perniagaan membantu hidup saya kerana
saya dapat menambah aset. Hal ini kerana saya dapat menambah cawangan baru
dari tahun ke tahun. Saya juga bercadang untuk membuka dua atau tiga lagi
cawangan baru di luar negeri Melaka tapi bukan pada masa yang terdekat.

Arif
Pada pandangan saudara, hidup telah berubah kerana melibatkan diri dalam
perniagaan?

Pengusaha
Ya, dengan berniaga saya dapat mengubah hidup yang dengan sebatang kara
kepada hidup yang lebih senang. Kita juga tahu 9 dari 10 punca rezeki adalah
dengan perniagaan.

Arif
Terima kasih saudara kerana sudi berkongsi sedikit maklumat tentang saudara dan
perniagaan saudara. Saya berdoa dan berharap cita-cita saudara untuk
memngembangkan perniagaan akan berjaya.

Pengusaha
Sama-sama.



Wednesday, February 04, 2015

Pelbagaikan idea










Satu idea yang baik tidak dapat bertahan lama. Orang yang mendapat satu idea dan cuba untuk membina kerjaya berdasarkan satu idea sahaja selalunya tidak ke mana. 

Samalah dengan seorang penyanyi yang hanya mempunyai sebuah lagu popular (killer song), seorang penulis yang hanya menulis sebuah buku atau jurujual yang hanya ada satu dua strategi pemasaran- mereka ini berhempas-pulas menghabiskan masa dan tenaga mempertahankan satu idea sahaja. 

Apabila zaman berubah, kerjaya mereka pun turut berubah. 

Kejayaan adalah untuk mereka yang menjumpai lombong emas dan sentiasa menggali secara berterusan, bukannya mereka yang terjumpa seketul emas dan hidup dengan seketul emas tersebut selama 100 tahun. 

Untuk melombong emas, kita perlu sentiasa mengulangi proses berfikir.


Tuesday, February 03, 2015

Beri sokongan keluarga










Semasa berhenti membeli minuman di R&R Bukit Gantang, Perak hari isnin yang lalu, saya dengar bunyi siren ambulans yang bergerak laju di lebuh raya. Tidak ada syak apa-apa.

Sepuluh minit sebelum itu saya makan tengah hari di digerai kesukaan saya iaitu kedai makan bertentangan plaza tol Bukit Merah. Saya keluar plaza tol dalam pukul 12.27 tengah hari dan selesai makan pada puul 1.30 petang.

Perjalanan ke Putrajaya terasa lebih segar. Ketika bergerak menuju laluan Bukit Gantang-Taiping, saya perasaan ada dua buah kereta di tepi lebuh raya dengan salah satunya Proton Perdana berwarna hitam. Agak pelik juga kenapa kereta ditinggalkan disitu tanpa ada sesiapa.

Rupa-rupanya ada kes pembunuhan melibatkan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah dikelar dan dikejarkan ke hospital. Pelajar perempuan ini cedera parah dan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar.

Suspek merupakan seorang lelaki yang bekerja di Melaka dan dikatakan telah mengambil mangsa di UiTM. Semasa berhampiran tempat kejadian, saksi mengatakan mereka nampak pertengkaran di dalam kereta dan kereta tersebut tiba-tiba berhenti. Suspek mengheret mangsa ke tepi jalan dan melarikan diri.

Keluarga mangsa dikatakan telah membuat laporan polis ke atas suspek empat tahun lalu kerana sering mengganggu mangsa.

Dalam kejadian ini, hubungan mangsa-suspek telah pun berakhir tanpa ada kegembiraan. Mangsa telah meninggal dunia dan suspek ditahan dan disiasat di bawah Skesyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Kisah begini amat menyedihkan. Bagaimana seorang lelaki sanggup membunuh seorang perempuan? Apa motifnya? Bagaimana ia boleh berlaku? Apa peranan keluarga?

Kepada pasangan muda yang menghadapi masalah dalam hubungan mereka, adalah lebih baik mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada keluarga dan kumpulan sokongan supaya masalah yang dihadapi dapat diselesaikan. Mengambil jalan penyelesaian sendiri mungkin menyebabkan sebuah tragedi.



Monday, February 02, 2015

Mydin di sebalik tabir






Penulis: Siti Hawa Mohd
Tahun: 2011
Penerbit: MPH Group Publishing Sdn Bhd, Petaling Jaya, Selangor
Muka Surat: 251

Slogan korporat Mydin adalah "Mengapa Bayar Lebih? Belilah Dengan Harga Borong!" Berjimat cermat menjadi amalan kebanyakan usahawan yang berjaya.

Tidak ada sebarang rahsia untuk mencapai kejayaan dan memiliki kekayaan. Semua usahawan yang berjaya akan mengatakan perkara yang serupa iaitu kerja keras, set pemikiran yang betul, berkeyakinan dan fokus.

Semua orang yang boleh mengurus atau mengendalikan sesuatu tidak semestinya boleh menjadi seorang ketua atau pemimpin.

Secara logiknya, Mydin boleh mendapatkan pekerjaan dengan mudah iaitu bekerja dengan bapanya. Namun ini bermakna kebolehan Mydin tidak akan diuji dan diketahui. Oleh yang demikian, Gulam (bapa kepada Mydin) telah mengaturkan supaya anaknya bekerja di kedai kawannya. Tidak lama selepas itu Mydin pula bekerja dengan abang iparnya, Peerbhai.

Mydin mengetahui bagaimana cara untuk berniaga tetapi beliau masih memerlukan bimbingan dan panduan kepada hala tuju yang betul.

Dalam bidang peruncitan, kita mestilah mengetahui dengan menjual apa yang dikehendaki oleh pelanggan, bukan apa yang kita kehendaki.

Ada orang yang tidak belajar apa-apapun daripada kesilapan atau musibah yang mereka lalui. Namun bukannya Mydin. Ilham-ilham baru sentiasa datang mencurah-curah dan salah satu daripadanya adalah mengambil keuntungan dengan menjual barang-barangan keperluan berkaitan banjir pada musim banjir.

Apabila ditanya mengenai kekayaan yang dimiliki, "Saya tidak mempunyai harta, tiada tanah, tiada banglo atau kereta mewah yang banyak. Apa yang saya miliki adalah empat orang anak lelaki saya. Mereka adalah permata yangs angat berharga".


Sunday, February 01, 2015

Banyak pilihan sebelum merotan








Susulan cadangan memasukkan hukuman ke atas ibu bapa yang merotan anak dalam rang undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001, banyak pihak yang menyuarakan pandangan kurang bersetuju. Pelbagai alasan yang diberi dan dihujah termasuk rasional hukuman tersebut patut dibincangkan lebih lanjut.

Antara yang mengemukakan pandangan adalah golongan mufti, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik, akademia dan orang ramai sendiri. Alasan yang paling popular adalah terdapat saranan hadis Nabi Muhamad saw yang memberi ruang kepada ibu bapa untuk merotan anak-anak yang enggan bersolat apabila mencapai usia sepuluh tahun selepas melalui proses nasihat dan tindakan merotan tidak sehingga mencederakan anak-anak.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mewakili suara kerajaan berkata mereka tidak ada pilihan selain menjadikan merotan sebagai satu kesalahan kerana Malaysia telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

Dari perspektif agama, keadaannya jelas iaitu boleh dirotan kerana tidak mahu bersolat. Dalam budaya masyarakat Melayu, ada pepatah yang berbunyi, “sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan bini tinggal-tinggalkan”. Maksud tangan-tangankan adalah memukul (denga tangan) supaya jera dan mengajar. Selain tangan, masyarakat Melayu turut menggunakan rotan sebagai proses pendidikan.

Masyarakat Cina juga turut menggunakan elemen tangan-tangankan dalam proses mendidik anak-anak selain meninggikan suara supaya anak berasa takut dan mengikut arahan.

Dalam hal ini, merotan dan memukul telah diterima sebagai satu bentuk pendidikan kepada anak-anak sama ada menyuruh solat ataupun membentuk akhlak mereka. Anak-anak kampung yang malas mengaji tentu sudah kena rotan sama ada dengan batang rotan atau ranting kayu. Saya sendiri pernah kena rotan di betis kerana main hujan. Sedikit rotan dan tarik telinga sudah menyerikkan anak-anak kampung yang malas mengaji al-quran atau tak dengar cakap.

Tidak semua pukulan rotan mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak asalkan tindakan tersebut dalam sempadan untuk mendidik supaya menjadi lebih baik.

Anak-anak adalah permata hati ibu dan bapa. Anak-anak adalah waris yang akan menjaga kebajikan ibu bapa hingga ke akhir hayat dan menyedekahkan al-fatihah semasa menziarahi kubur kedua-duanya. Doa anak-anak ibarat bara yang sentiasa memberikan kepanasan ketika dingin malam.

Mendidik anak bersolat sejak usia setahun tentu memudahkan ibu bapa. Ajak mereka solat bersama-sama supaya hati dan fikiran mereka cenderung kepada amalan-amalan agama, cenderung mendengar cakap dan mengutamakan kehendak agama apabila membuat pilihan.

Dalam tempoh setahun hingga lima tahun, anak-anak yang dilatih bersolat sudah tidak ada masalah apabila diajak atau disuruh bersolat. Malah mereka akan ambil sejadah dan melaungkan azan. Biarpun sebutan huruf dan bacaan ayat al-quran masih pelat, proses begini akan membiasakan anak-anak dengan prosedur dan peraturan solat.

Jadi, apabila mencapai umut tujuh tahun, anak-anak tidak perlu disuruh dengan rotan untuk bersolat kerana asasnya sudah ada. Masalahnya adalah proses pendidikan tidak dimulakan sejak awal tahun sebaiknya bermula pada usia tujuh tahun. Malah ada ibu bapa yang mula menyuruh anak-anak bersolat pada umur sepuluh tahun. Ada juga yang tidak pernah suruh kerana ibu bapa juga tidak bersolat.

Menggunakan rotan merupakan satu kaedah mendidik. Kaedah yang terbaik adalah memberi nasihat dan menjadi contoh teladan yang hebat kepada anak-anak. Memukul boleh menjadi tindakan akhir jika mereka enggan atau tidak mahu mendengar kata. Tanpa rotan, ibu bapa masih punya banyak pilihan untuk menjadikan anak-anak mereka seorang insan yang cemerlang.