Wednesday, July 09, 2014

Kesedaran keselamatan motosikal di IPTA: kajian kes di UTeM


 
 


 
1.0 Pengenalan

Penggunaan motosikal merupakan suatu kebiasaan yang digunakan oleh pelajar-pelajar dan staf UTeM di mana kewujudannya boleh ditafsir daripada pelbagai aspek. Dari aspek sosiobudaya, pelajar UTeM menjadikan penggunaan motosikal sebagai satu cara hidup untuk menghadiri kelas dengan mudah manakala staf UTeM menggunakannya untuk ke tempat kerja. Perkara ini biasa kita lihat dalam pelbagai situasi. Kebanyakan pelajar UTeM tidak menghiraukan keselamatan motosikal sama ada di kampus atau di tempat kediaman berbanding staf UTeM yang sudah biasa menggunakan motosikal. Sikap sambil lewa yang diamalkan boleh menyebabkan kerugian harta benda. Tingkah laku ini wajar dihentikan bagi membentuk golongan pelajar yang berwawasan. Faktor umur turut mempengaruhi pandangan mereka terhadap keselamatan motosikal. Mereka sedar akan pentingnya keselamatan motosikal tetapi tidak mengindahkannya dan mengetepikan keselamatan tersebut serta mementingkan aspek yang lain.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui tahap kesedaran keselamatan motosikal dalam kalangan penunggang motosikal di UTeM, mengetahui kesalahan yang kerap dilakukan oleh penunggang motosikal serta mencadangkan langkah-langkah keselamatan motosikal.


2.0 Sorotan Kajian

Motosikal merupakan kenderaan berenjin dua roda yang menjadi sebahagian besar dalam kelompok kenderaan peribadi selepas kereta. Penggunaan motosikal menjadi popular disebabkan ianya mudah dikendalikan, selain harga kenderaan tersebut boleh katakan murah dan praktikal serta boleh dipercayai (Conrad et al., 1996; Kulanthayan et al., 2000; Pang et al., 1999; Hsu et al., 2005; Ibrahim et al., 2006). Senario ini boleh dilihat di kebanyakan negara-negara membangun seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Loas, Kemboja dan termasuk negara Asia lain yang menjadikan motosikal sebagai kenderaan penting dalam aktiviti perjalanan dan pengangkutan mereka.

Menurut laporan perangkaan yang dikeluarkan PDRM (2009) dan JPJ (2010), bilangan jumlah motosikal berdaftar di Malaysia didapati kian meningkat sehingga melebihi angka lapan juta. Peningkatan jumlah motosikal berdaftar sejak 1998 hingga 2009 iaitu daripada 4,692,183 ke 8,940,230 atau 90.5% dalam tempoh tersebut. Senario ini bagaimanapun tidak bermakna satu perkembangan yang baik, sebaliknya negara berhadapan dengan kesan dan akibat terhadap peningkatan kemalangan dan kematian di jalan raya.

Keselamatan jalan raya menjadi isu serius dan agenda penting di Malaysia. Bermula titik tolak melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia pada tahun 1995 untuk menilai semula aspek keselamatan jalan raya dengan membuat sasaran sebanyak 30% pengurangan kematian di jalan raya. Ini melibatkan pendekatan yang bersepadu melalui pelbagai agensi-agensi yang bertangungjawab terhadap keselamatan jalan raya dalam negara (Radin 2005, 2007). Maka, Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya di UPM telah diberi mandat melaksanakan tugasan dan membangunkan sasaran yang lebih realistik, sementara agensi-agensi lain digesa untuk menyediakan program intervensi mereka berdasarkan pendekatan sainstifik. Antara strategi-strategi tersebut ialah kawalan pendedahan, pencegahan dan pengurangan kemalangan, kawalan kecederaan, dan pengurangan selepas kecederaan (Law et al., 2005; Radin 2007). Selain itu, program keselamatan juga difokuskan dan disepadukan kepada pengguna motosikal, pejalan kaki dan pengguna kereta. Perincian program tersebut adalah seperti berikut (Radin 2005, 2007):

i. Peningkatan sistem pengkalan data kemalangan kebangsaan
ii. Pengenalan penyiasatan kecelakaan kemalangan 20
iii. Pelaksanaan lima peringkat audit keselamatan jalan raya
iv. Pelaksanaan program titik hitam kebangsaan
v. Memasang lampu kepala siang hari inisiatif untuk motosikal
vi. Kempen keselamatan jalan raya kebangsaaan
vii. Pengubalan Akta Pengangkutan Jalan 1999
viii. Penguatkuasaan bersepadu semasa musim perayaan
ix. Topi keledar standard MS1-1996
x. Topi keledar kanak-kanak
xi. Polisi lorong motosikal eksklusif dan tidak eksklusif

Seterusnya kerajaan Malaysia telah meletak sasaran baru untuk sepuluh tahun akan datang negara akan menerima pakai tanda aras sebagaimana di negara-negara maju dengan menurunkan kadar kematian kurang daripada 2.0 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar, 10 kematian setiap 100,000 populasi dan 10 kematian setiap bilion kilometer kenderaan bergerak. Begitu pun, sasaran 10 kematian masih terlalu jauh untuk dicapai dan disebabkan kadar kematian penunggang motosikal lebih tiga kali ganda pengguna kereta, maka keselamatan penunggang motosikal perlu difokuskan dan diberi keutamaan (Radin 2007).



3. Metodologi Kajian

Kajian ini adalah berdasarkan penyediaan soalan kaji selidik. Soalan-soalan ini dijawab oleh staf dan pelajar UTeM. Seterusnya adalah proses mengalisis kembali semua data yang telah diterima kembali untuk soalan-soalan kaji selidik yang mana telah siap dijawab oleh responden.


4.0 Hasil Kajian 

Rajah 1: Jantina

Sebanyak 20 borang soal selidik di mana 16 responden (80%) responden adalah lelaki dan empat orang (20%) perempuan.

Rajah 2: Fakulti

Pecahan pelajar dan staf UTeM menunjukkan lapan daripadanya dari FKP, dua dari FTMK, empat FKEKK, lima dari fakulti FKE dan seorang dari FKM.

Rajah 3: Kaum

Responden terdiri daripada 14 Melayu (61%), lima Cina (22%) dan seorang responden India (17%).

Rajah 4: Cara menitikberatkan keselamatan motosikal sangat penting

Empat responden tidak pasti keselamatan motosikal sangat penting, berbeza dengan 18 resonden yang bersetuju.

Rajah 5: Sistem keselamatan motosikal sangat penting dalam kehidupan seharian

Seramai 11 responden mengakui sistem keselamatan motosikal sangat penting dalam kehidupan seharian manakala lapan responden memilih setuju untuk menjawab soalan yang dikemukakan manakala seorang daripadanya bingung dengan soalan yang dikemukakan.

Rajah 6: Info keselamatan motosikal banyak memberi pengetahuan yang berguna

Sepuluh responden bersetuju bahawa info keselamatan banyak memberi pengetahuan yang berguna. Tiga responden yang lain sangat setuju manakala enam yang lain tidak pasti.

Rajah 7: Mendapat lesen motosikal dapat menjamin keselamatan motosikal

Seramai 11 responden tidak setuju bahawa mendapat lesen motosikal dapat menjamin keselamatan motosikal manakala empat responden menjawab tidak pasti, lapan yang lain setuju.

Rajah 8: Kerap melakukan kecuaian di jalan raya 

Tujuh responden setuju bahawa mereka kerap melakukan kecuaian di jalan raya. Lima responden tidak setuju dan selebihnya tidak pasti bahawa mereka kerap melakukan kecuaian di jalan raya.

Rajah 9: Peminjaman motosikal kepada orang lain sangat digalakkan

Majoriti responden tidak setuju peminjaman motosikal kepada orang lain sangat digalakkan. Tiga responden menjawab tidak pasti dan tiga yang lain sangat setuju.

Rajah 10: Pemasangan alat keselamatan motosikal dengan baik sangat penting

Majoriti 14 responden berpendapat bahawa pemasangan alat keselamatan motosikal dengan baik sangat penting. Empat responden yang lain hanya bersetuju manakala dua responden tidak pasti.

Rajah 11: Meletakkan penggera pada motosikal dapat menjamin keselamatan motosikal

Seramai sembilan responden berpendapat bahawa meletakkan penggera pada motosikal dapat menjamin keselamatan motosikal. Lima responden tidak setuju penggera perlu diletakkan pada motosikal bagi menjamin keselamatan motosikal.

Rajah 12: Meletakkan motosikal di kawasan yang sunyi merupakan keselamatan yang baik

Majoriti responden sangat tidak setuju bahawa meletakkan motosikal di kawasan yang sunyi merupakan langkah keselamatan yang baik. Hanya dua responden berpendapat tidak pasti.

Rajah 13: Tahap keselamatan motosikal perlu membabitkan pihak berkuasa

Tujuh responden sangat setuju bahawa tahap keselamatan motosikal perlu membabitkan pihak berkuasa manakala empat responden sangat tidak setuju. Lima responden tidak pasti.


5.0 Kesimpulan

Artikel ini telah mengupas pelbagai mod tahap keselamatan motosikal yang telah digunakan oleh pelajar dan staf UTeM untuk menunggang di kawasan tempat tinggal dan kampus. Tahap kesedaran keselamatan motosikal ini digunakan bagi pelbagai tujuan. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pelajar dan staf UTeM tidak mengamalkan keselamatan motosikal dan telah mendatangkan pelbagai kesan sama ada ke atas persekitaran ataupun keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Bagi mengatasi masalah ini, beberapa langkah telah dicadangkan supaya para pelajar dan staf UTeM dapat mengambil berat keselamatan tahap keselamatan motosikal mereka supaya berada dalam keadaan baik.


Rujukan

Ahmad Hariza H., Kulanthyan S., Mohd Nasir, T. & Radin Umar R.S. (2002). Keberkesanan kempen keselamatan motosikal ke atas penunggang motosikal. Malaysian Journal of Consumer and Family Economics 5: 99-107.

Che Su, I. (2000). Keberkesanan program keselamatan motosikal di kalangan penunggang motosikal. Tesis M.Sc. Universiti Utara Malaysia.

Fah, L.Y. & Hoon, K.C. (2010). Pengenalan kepada analisis statistik dalam penyelidikan sains sosial siri 3. Selangor: Venton Publishing.

Fazrina, I. (1995). Perkaitan antara tahap pengetahuan dan sikap dengan amalan semasa di jalan raya. Tesis Sarjana Muda. Universiti Pertanian Malaysia.

Polis Diraja Malaysia. (2009). Laporan perangkaan kemalangan jalan raya Malaysia 2007. Cawangan Trafik Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Radin Umar R.S. (1998). Model kematian jalan raya di Malaysia: Unjuran tahun 2000. Pertanika Journal Science and Technology 6(2): 107-119.



Zahir Zainudin, Muhammad Adib Ismail, Syahrul Zhafri Basri, Muhammad Faisal Ishak, Muhammad Azizi Mohd Nazir, Azizil Hakim Isnin, Muhammad Naim Ab Rahman



Tuesday, July 08, 2014

Berubah








Sebelum negara Jepun menjadi sebuah negara maju dan kuat dalam ekonomi, masyarakat Jepun berhadapan dengan kelembapan ekonomi dan kemusnahan infrastruktur akibat peperangan. 

Bagaimana Jepun yang lemah boleh bertukar menjadi kuat? Apakah resepinya? 

Satu petua yang hebat ialah mereka mahu belajar daripada kesilapan, mendapatkan nasihat dan panduan dariada pakar-pakar tentang bagaimana hendak berubah. 

Kepada kita, jika hendak berjaya, wajarlah melihat kelemahan diri dan mencari jalan untuk mengubahnya.



Monday, July 07, 2014

Terbuka terhadap perubahan








Persekitaran sentiasa berubah. Lebih-lebih lagi pada hari ini. 

Masyarakat berubah seiring dengan perubahan di sekitar mereka. Perubahan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada fikiran, sikap, tingkah laku ataupun boleh berlaku dalam bentuk objektif dan objektif. 

Jadi, kita wajar mengamalkan sikap terbuka terhadap perubahan. Orang yang memandang kehadapan mengambil pendekatan mengalu-alukan perubahan yang dapat mencetuskan kemajuan, dinamik dan inklusif. 

Hanya dengan membuat penelitian dan melihat kembali idea dan pendapat kita, barulah kita dapat bergerak maju.


Sunday, July 06, 2014

Pengorbanan dan kecekalan hati







Hidup perlukan pengorbanan, pengorbanan perlukan perjuangan, perjuangan perlukan keyakinan, ketabahan perlukan keyakinan, keyakinan pula menentukan kejayaan, seterusnya kejayaan menentukan kebahagiaan. 

Kitaran kehidupan kita kerapkali bermula dengan pengorbanan membentuk hati yang cekal dan berkeyakinan tinggi, jarang merasa terancam dengan perkataan atau perbuatan yang remeh, sebaliknya tumpuan ke arah mencapai matlamat. 

Kita menjadi arkitek kepada kehidupan dan masa hadapan kita. Marilah kita membina asa hadapan ini untuk kebahagiaan.




Rajin dan suka belajar








Kecantikan lahir dan batin terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu. 

Kata-kata dari Confucius amat baik untuk kita renungi iaitu “Ciri orang yang beradab ialah dia sangat rajin dan suka belajar, dia juga tidak malu untuk belajar daripada orang yang berkedudukan lebih rendah daripadanya”. 

Memupuk adab sejak kecil tentulah menyerlahkan peribadi yang tinggi budi pekerti, memiliki nilai-nilai berprestasi tinggi dan memberi manfaat kepada orang lain. 

Personaliti sebeginilah yang membuatkan orang lain boleh tumpang hidup.



Saturday, July 05, 2014

Jangan terpengaruh dengan kata-kata








Jangan mengukur kebijaksanaan seseorang hanya kerana kepandaian berkata-kata sebaliknya perlu dinilai buah fikiran dan tingkah laku. 

Petah berkata-kata tanpa ada makna tentulah tidak membawa impak kepada perubahan jika tidak disertai dengan fakta-fakta yang kukuh. 

Bercakap dan mengeluarkan pandangan positif mempunyai banyak kesan ke atas kehidupan yang berkualiti seperti mampu membuat keputusan yang realistik berdasarkan pertimbangan yang rasional. 

Jadi, lebih baik bagi kita untuk memikirkan sesuatu perkara berasaskan fakta berbanding emosi.



Friday, July 04, 2014

Cara orang bujang buka puasa








Puasa adalah amalan wajib kepada umat Islam. Bulan puasa di Malaysia sangat meriah ketika petang kerana di sana-sini terdapat bazar Ramadhan. Sesetengah orang memanggilnya sebagai pasar Ramadhan. Di sinilah semua jenis makanan ada, mengikut selera masing-masing.

Kehidupan berpuasa orang yang berkeluarga dan orang bujang sangat jauh berbeza. 

Orang yang sudah berkeluarga berbuka puasa dengan berteman, sama ada diteman isteri atau anak-anak tetapi orang bujang berteman rakan-rakan atau tidak ada teman langsung.

Orang yang sudah berkeluarga makan dengan tertib, berdoa dan makan sedikit kemudian bersoalat tetapi orang bujang makan ikut dan. Ketertiban makan kadang-kadang tidak menjadi keutamaan.

Orang bujang yang alim dan yang ingin mengimarah masjid memilih iftar beramai-ramai di masjid dan surau sebagai amalan sepanjang bulan puasa. Di samping menjimatkan wang belanja, iftar jamae' seperti ini membantu mereka berkenal-kenalan dengan masyarakat Islam lain di kariah yang sama.

Orang bujang yang terpaksa balik ke rumah ketika hampir berbuka tentulah tidak sempat ke masjid lalu berbukalah seorang diri di rumah. 

Sama ada orang bujang atau berkeluarga, puasa adalah kewajipan kita dan berebut-rebut amalan ketika bulan ramadhan ini amatlah digalakkan.




Thursday, July 03, 2014

Ibu restu Felicia masuk Islam






 
Model Felicia Yeap, 28, menganggap hari ini adalah hari kelahiran semula dirinya setelah menganut agama Islam secara rasmi dengan mengucap dua kalimah syahadah. 

“Hari ini bukan hanya hari lahir saya (ulang tahun), tetapi hari kelahiran semula saya. Hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang. Pada hari ini, iaitu hari bersejarah dalam hidup, saya akan menjadi seorang Islam secara rasmi. 3 Julai 2014, bersamaan dengan 5 Ramadan 1435," kata Felicia berkongsi perasaan dalam laman Fanpage Felicia Yeap.

Berkongsi tentang penghijrahannya kepada agama Islam juga, menurut Felicia, dia sangat bertuah kerana mendapat sokongan keluarga dalam penghijrahannya untuk memeluk agama Islam, terutamanya ibu yang melahirkannya.

“Saya bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja tabah untuk membesarkan saya dan adik dalam keluarga, tetapi rahmat yang terbesar adalah apabila dia, seorang yang bukan Islam, langsung tidak mengetahui tentang agama Islam (kecuali yang Islam tidak boleh makan khinzir) dan seringkali disindir saudara mara yang lain kerana anak perempuannya bertudung sehingga ke muka depan suratkhabar dan sebagainya, tidak membantah.

“Malah, ibu merestui keputusan ini apabila saya memberitahunya yang saya sedang mempelajari tentang agama Islam dan bercadang untuk memeluknya. Ibu kata saya sudah banyak berubah lebih baik," tulis Felicia lagi.

Bekas model majalah Playboy itu dikatakan bakal mengucap syahadah di satu lokasi yang dirahsiakan kepada pihak akhbar, di sini, sekitar pukul 11 pagi ini.

Sebelum ini, menurut Felicia, dia tidak menganut sebarang agama kerana dibesarkan dalam keluarga yang tidak mempercayai sebarang agama.

“Tidak ada apa-apa bimbingan agama, cuma berbekalkan nasihat daripada ibu saya iaitu jangan menyusahkan orang lain, jangan membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan, jangan berbuat jahat, jangan tertipu dengan orang di bandar dan jaga diri baik-baik.

Dalam pencariannya sebelum memeluk Islam, dia pernah ke gereja Katolik setiap petang Ahad, dalam tempoh selama dua tahun. Dia juga pernah cuba memahami agama Kristian, selain mengamalkan amalan seorang penganut Buddha.

“Tetapi hati saya tidak pernah merasa dekat dengan Tuhan. Hati saya tidak pernah rasa tersentuh. Saya rasa lebih dekat dengan agama Islam, dengan Allah SWT. Sejak saya mula mengenali ajaran-ajaran agama Islam, saya lebih reda, lebih tenang dan lebih senang bersyukur dalam hidup yang serba sederhana," katanya yang mula mengenakan tudung kepala semenjak lebih enam bulan lalu.

(Utusan Malaysia, 3 Julai 2014)

Wednesday, July 02, 2014

Cara buka akaun simpanan Tabung Haji anak-anak







Mengerjakan haji ke Mekah merupakan impian dan hajat setiap umat Islam di Malaysia kerana ibadah haji menyempurnakan kelima-lima Rukun Islam. Justeru, mendaftarkan diri sebagai calon jemaah haji adalah langkah awal untuk merealisasikan impian yang hebat ini.

Tabung Haji menjadi instrumen terbaik untuk umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji. Ia mempunyai mekanisme yang teratur bagi memastikan calon haji dapat beribadat dengan selesa bermula dari Malaysia sehinggalah selesai mengerjakan tuntutan haji.

Mekanisme yang dimaksudkan ialah membuka akaun di Tabung Haji dan mendaftarkan nama sebagai calon jemaah haji di bawah seliaan Tabung Haji. Menggunakan konsep menabung dan simpanan, kini sesiapa sahaja boleh membuka akaun simpanan dan mendaftarkan diri termasuk anak-anak.

Prosedur membuka akaun Tabung Haji bagi anak-anak sangat mudah. Dapatkan borang maklumat ahli, JP003 dan lengkapkan semua maklumat dengan jelas dan tepat. Dengan RM20, anak-anak sudah mempunyai akaun simpanan Tabung Haji mereka sendiri. 

Katakan yang pergi mendaftar anak-anak adalah bapa. Apa yang perlu dibawa sekali ialah kad pengenalan bapa dan kad pengenalan (MyKid) anak atau surat beranak. Biasanya MyKid lebih mudah kerana ia dilengkapi mikro cip yang merekodkan maklumat anak-anak terus ke dalam sistem simpanan Tabung Haji.

Tidak perlu membawa salinan kad pengenalan kerana sistem yang digunakan adalah tanpa kertas (paperless).

Semasa di kaunter, bapa diminta memberi kad pengenalan dan MyKid anak dan mengimbas cap ibu jari tangan kiri. Di samping itu bapa juga perlu mengisi borang maklumat waris (dua penama). Sebaiknya penama ini masih muda.







Seterusnya bapa diminta mengecap ibu jari tangan kiri sekali lagi di atas tiga borang iaitu dua borang sedia ada dan satu borang tambahan. Semua dokumen yang mempunyai cap jari ini adalah bukti pendaftaran dan sebagai tujuan rekod perundangan pada masa hadapan.

Selepas itu bapa akan diberi buku simpanan Tabung Haji berwarna kuning dan berakhirlah proses membuka akaun simpanan di Tabung Haji.

Syarat untuk mendaftarkan nama anak sebagai calon jemaah haji tidak berubah iaitu simpanan minimum sebanyak RM1,300. Jumlah ini sama seperti yang diperlukan oleh calon jemaah dewasa.

Bagaimana hendak menambah simpanan haji anak-anak?

Pertama, duit raya yang diperolehi setiap tahun jangan dibelanjakan terlalu banyak, sebaliknya ambil sedikit dan masukkan ke dalam simpanan.

Kedua, wang lebihan belanja pemberian kerajaan seperti BR1M boleh dimasukkan ke dalam simpanan ini.

Ketiga, jika anak-anak kecil sering menerima wang daripada saudara mara yang datang berziarah, kumpulkan wang ini dan masukkan ke dalam simpanan.

Keempat, peranan ibu bapa sendiri yang memperuntukkan sedikit wang daripada pendapatan bulanan mereka. Katakan setiap anak diperuntukkan RM50 sebulan. Dalam tempoh 20 tahun simpanan Tabung Haji sudah mencecah RM12,000 yang cukup untuk membayar kos mengerjakan haji. Ketika sudah sampai masa menunaikan haji, anak-anak ini sudah cukup dewasa dan mereka hanya perlu mencari wang belanja ketika di Tanah Suci Mekah nanti. Jelas sekali bebanan kewangan telah dapat dikurangkan jika ada kesedaran menyimpan di Tabung Haji sejak kecil.

Perancangan masa hadapan anak-anak menunaikan haji terletak di atas kesedaran ibu dan bapa. Melalui perancangan yang berkala dan teratur, impian mengerjakan haji akan menjadi kenyataan, Insya Allah.


Tuesday, July 01, 2014

Dekan jawatan bergilir







Tugas Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman sebagai Pengarah UMcedel dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya sudah berakhir. Untuk seketika, ia menjadi isu. Media melaporkan keputusan berkenaan ada kaitan dengan rasa kurang senang Kementerian Pendidikan terhadap keputusan penyelidikan pilihan raya yang dilaksanakan oleh UMcedel.

Beberapa protes kecil muncul sebaik sahaja isu ini diketengahkan seperti pengunduran bekas calon Barisan Nasional di Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah sebagai felo penyelidik kanan di Universiti Malaya dan kecaman ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan. Walau bagaimanapun tindakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar yang mahu kedua-dua jawatan dikembalikan kepada Prof Datuk Mohammad Redzuan dilihat sebagai tidak munasabah.

Jawatan dekan dalam sesebuah fakulti ditentukan oleh universiti selepas melalui beberapa proses seperti pencalonan dan temuduga. Profesor Redzuan telah pun menjadi dekan selama lima tahun, satu jangka masa yang panjang selepas disambung bagi penggal kedua. Apabila Universiti Malaya membuat keputusan tidak lagi perlukan khidmat beliau, tindakan tersebut merupakan hak universiti. Tentulah Universiti Malaya ada program penggantian bakat baru (succession planning) untuk mendedahkan pemimpin akademik yang lebih muda supaya universiti tidak ketandusan pemimpin.

Jarang berlaku dekan yang dilantik kemudiaannya ditarik balik lantikan berkenaan. Jika ini berlaku, memang terdapat sesuatu yang besar sedang berlaku dan naib canselor boleh menamatkan pelantikan lalu digantikan dengan orang baru. Kes seperti ini memang pernah berlaku di universiti apabila naib canselor merasakan beliau perlu menggantikan seorang dekan.

Lagi pun jawatan dekan bersifat penggiliran. 

Dekan bukannya jawatan tetap dan berpencen sebaliknya ada tempoh dan terma syarat tertentu. Ada dekan hanya diberi dua tahun atau disambung penggal kedua tetapi amat jarang disambung berterusan. Melalui cara ini pensyarah akademik dapat belajar urusan pentadbiran dan pada masa yang sama memahirkan mereka dalam urusan birokratik dan prosedur kerajaan.

Dalam kes Profesor Redzuan yang tidak disambung sebagai dekan, sudah tentu hubungannya dengan staf akademik diambil kira. Tidak dinafikan beliau menghadapi masalah dengan pensyarah di fakulti tetapi ia adalah lumrah kerana perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara. Biasanya perbezaan ini disambut baik oleh ahli akademik kerana mereka dapat memperkaya ilmu masing-masing. Tetapi saya melihat faktor ini kurang penting berbanding faktor penggantian bakat baharu dalam kalangan kakitangan muda akademik Universiti Malaya.

Universiti Malaya juga sudah tentu tidak mahu menyimpan seseorang profesor di sesuatu tempat pada tempoh yang lama sehingga peluang orang baharu tergugat. Justeru melantik timbalan dekan fakulti adalah langkah tepat untuk mengenengahkan bakat-bakat baharu yang boleh memimpin dan membawa perubahan. Jika Prof Redzuan tidak ralat, beliau boleh membantu kepimpinan muda untuk meneruskan tradisi kepimpinnan dan kecemerlangan beliau.

Universiti Malaya tidak perlu melayan pelbagai kerenah ini sebaliknya memberi tumpuan kepada program penggantian yang menyeluruh supaya ranking universiti dapat ditingkatkan dari tahun ke tahun.