Monday, January 14, 2013

Urus kejayaan diri





Sebahagian besar daripada kita mengenali peninju terkenal, Mike Tyson. Biasanya, dalam pusingan pertama perlawanan, lawan akan jatuh bergolek kerana tumbukan Mike Tyson sangat kuat.

Oleh kerana terlalu biasa sebagai juara, dia mula rasa megah.

Selepas dikalahkan oleh James Buster Douglas, barulah dia tahu seorang juara ada tempohnya. Kisah ni sangat mudah untuk kita analisis dan ambil iktibar.

Pada saya, kegagalan berpunca daripada diri sendiri. menyimpang sedikit daripada rutin kejayaan, hasil akhirnya adalah kegagalan.

Atlet olahraga yang tidak jaga makan atau makan lebih banyak, berat badan akan bertambah. Macam mana hendak lari, melompat atau melontar kalau badan semakin berat?

Jadi, kejayaan bergantung kepada keupayaan kita menguruskan diri sendiri.


 

Sunday, January 13, 2013

Bukti cinta seorang suami





Penyakit boleh menyerang sesiapa sahaja meski dengan amaran atau tanpa sebarang tanda. Seperti kanser yang menyerang isteri tercinta, tidak pernah kami menduga, tidak pernah kami meminta, penyakit datang sekelip mata. 
 
Namun saya galas semuanya, menjaga isteri sedaya upaya, agar dia kembali seperti sediakala.
 
Kami mendirikan rumah tangga pada 1999 dan dikurniakan seorang anak lelaki. Isteri saya guru sekolah dan saya pula pegawai di sebuah syarikat petroleum.
 
Episod kanser isteri saya bermula pada 2008. Ketika itu, dia mengalami kencing berdarah. 
 
Saya membawanya menjalani pemeriksaan dan doktor mendapati buah pinggang sebelah kiri isteri saya agak besar (hampir 13 sentimeter) berbanding sebelah kanan. Isteri saya disahkan menghidap kanser buah pinggang.
 
Pada 2010, isteri menjalani pembedahan membuang buah pinggang sebelah kirinya. Pasca pembedahan, isteri nampak sembuh namun beberapa bulan selepas itu, dia mula hilang selera makan dan demam. Tubuhnya jadi teramat letih dan seluruh badannya kekuningan. 
 
Saya sedaya-upaya membawa isteri berubat, berulang-alik ke hospital mendapatkan rawatan.
 
Semakin lama, keadaan isteri bertambah tenat. Saya ambil keputusan berhenti kerja demi memberi 100 peratus perhatian kepadanya. 
 
Pemeriksaan doktor mendapati pankreas isteri saya telah rosak. Diabetesnya menunjukkan kandungan tahap gula 17 hingga 19 dan tidak pernah turun akibat kerosakan pankreas. 
 
Saya bawa isteri bertemu pelbagai pakar untuk membantunya kembali pulih.
 
Pada 2011, doktor menjalankan rawatan ke atas isteri saya berikutan buah pinggang dan pankreas gagal berfungsi. Ketika itu, isteri saya koma selama seminggu.
 
Doktor panggil saya dan memberitahu bahawa tahap penyakit isteri saya sudah kronik. Doktor mengesan kanser sudah merebak ke seluruh anggota tubuhnya.
 
Saya tidak mampu berkata apa-apa melainkan reda dan berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan getir ini. 
 
Di samping menjaga isteri yang sakit, saya perlu melakukan tugas harian, memasak, menghantar anak ke sekolah dan segalanya. Saya tidak pernah berehat kerana perjuangan menyembuhkan isteri tercinta, tidak perlukan rehat. Melihatnya kembali senyum, sudah cukup menghilangkan segala lelah saya.
 
Pada masa isteri melalui saat-saat kritikal, doktor mengesan satu lagi penyakit iaitu ketumbuhan dalam bahagian kiri otaknya. 
 
Ketika itu, hanya Allah yang tahu perasaan saya. Namun, saya tabahkan hati dan kuatkan semangat. Bagi saya, tiada yang mustahil dengan izin-Nya.
 
Setelah itu, isteri menjalani rawatan radioterapi di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur. Setiap hari, Isnin hingga Jumaat, lima kali seminggu. Ketika itulah isteri mula mengalami kesan-kesan sampingan. 
 
Dia tidak boleh mengunyah makanan, percakapannya makin perlahan dan berat badannya susut mendadak. 
 
Doktor memberitahu keadaan isteri teramat tenat. Sel kanser telah merebak ke seluruh tubuh dan berada pada tahap empat. Isteri saya koma bermula Februari sehingga Jun 2011.
 
Lebih perit, doktor yang merawatnya memberitahu bahawa ilmu perubatan beliau hanya setakat itu sahaja. Tiada lagi kaedah rawatan lain yang boleh digunakan kerana kanser yang dihidapi isteri saya ketika itu telah merebak ke seluruh anggota badan. 
 
Rawatan kemoterapi tidak boleh diberi memandangkan keadaan tubuhnya yang sangat lemah. 
 
Kanser tersebut merosakkan organ utama tubuhnya. Bermula saat itu, saya bawa isteri pulang dan menjaganya sendiri di rumah. Bermacam-macam ikhtiar saya lakukan. 
 
Ketika itu juga ujian berat datang menimpa keluarga kami. Kami hadapi kesulitan wang. Saya terpaksa berniaga kecil-kecilan untuk menampung kos perubatan isteri.
 
Pada masa sama, kami terima surat tuntutan hutang kad kredit isteri bernilai hampir RM20,000. Baki hutang meningkat, dicampur faedah tahun ke tahun. Allah sahaja tahu penderitaan kami ketika itu.
 
Pada April 2011, saya kunjungi Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah. Mulanya, saya hanya bawa gambar isteri berserta sebotol air kerana isteri saya sedang koma. Kemudian saya dukung dia ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan. 
 
Setiap kali rawatan, saya terima beberapa ayat al-Quran untuk dibaca kepada isteri serta doa mohon keberkatan dan rahmat Allah menyembuhkan penyakit isteri yang saya cintai. 
 
Saya juga amalkan solat malam, solat hajat dan segala zikir yang disarankan. Ketika itu, hati saya terasa amat dekat dengan Allah. Saya serahkan urusan ini kepada-Nya. Saya berdoa dengan penuh pengharapan agar Allah sembuhkan penyakit isteri saya. 
 
Ketika itu jugalah saya amalkan solat sunat taubat, menangisi kiranya ada dosa silam kami terdahulu yang tidak disedari. 
 
Setelah mengamalkan bacaan ayat-ayat al-Quran ini, saya dapat lihat perubahan isteri. Dia mula sedar dan mampu duduk. Ingatannya makin pulih, memori lama dia boleh ingat. Tangan dan kakinya boleh bergerak. Isteri makin pulih dan boleh bertindak balas bila saya bertanya.
 
Tidak lama kemudian dia boleh bercakap. Derianya makin bertambah. Makan tidak lagi pakai tiub. Hanya mata masih kabur. Perubahan itu beransur-ansur baik hari demi hari. 
 
Saya tidak tinggalkan amalan membaca al-Quran ini kerana saya yakin, inilah ubat yang saya cari selama ini. 
 
Ketika itu juga, pihak bank menghantar surat melupuskan hutang kad kredit isteri. Saya menangis dan bersyukur. Betapa Allah mendengar doa para hamba-Nya.
 
Memasuki 2013, meskipun isteri sudah beransur baik, mampu mengunyah makanan sendiri, duduk di atas kerusi roda, bercakap semula biarpun tersekat-sekat, saya masih tetap meneruskan amalan bacaan al-Quran ini. 
 
Itulah hikmah dugaan ini. Kini, saya berasa lebih dekat dengan Allah dan kasih kepada isteri semakin hari semakin bertambah.
 
Pada 21 Disember lalu, saya bawa isteri menjalani ujian darah kanser antigen dan hasilnya: Alpha-Fetoprotein pada tahap 1.8 (normal bawah 15), ujian CA 19.9 pada tahap 22.9 (normal bawah 37), ujian CA 15.3 pada tahap 14 (normal bawah 28) dan CA 125 pada tahap 21.8 (normal bawah 35). 
 
Nasihat saya buat para suami yang senasib dengan saya, jagalah isteri kita sebaik mungkin. Ini adalah amanah Allah kepada kita.

(Utusan Malaysia, 13 Januari 2013)


 

Saturday, January 12, 2013

Kenderaan milik JPJ kena bakar





Tindakan sepasukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dipercayai cuba memintas sebuah kenderaan lain mengundang padah apabila menimbulkan kemarahan orang ramai yang bertindak membakar kenderaan itu dalam satu insiden di Kilometer 12 Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran Sekolah Menengah Methodist Ayer Tawar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, kenderaan jenis Toyota Harrier milik JPJ yang membawa tiga anggota dari arah Lumut ke Ipoh, dikatakan menaiki pembahagi jalan untuk memintas sebuah kenderaan dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, tindakan drastik kenderaan itu menyebabkan sembilan kenderaan lain yang berada di laluan bersebelahan tidak sempat mengelak lalu berlanggar sesama sendiri.

Dikatakan menjadi punca kemalangan, orang ramai yang berang bertindak lepaskan geram sebelum membakar kenderaan JPJ itu.

Kemalangan melibatkan dua lori tiga tan, dua bas sekolah, empat kereta dan sebuah motosikal itu mengakibatkan empat parah sementara 11 yang lain cedera.

Saksi kejadian, Saravanan, 44, berkata, selang 20 minit selepas pelanggaran, orang ramai dilihat mengerumuni kenderaan JPJ berkenaan yang terbalik merintangi laluan.

Menurutnya, beberapa individu dilihat cuba melepaskan geram dengan menendang dan memukul kenderaan tersebut menggunakan topi keledar.

“Ada beberapa anggota pihak berkuasa yang cuba untuk meleraikan, namun situasi tenang tidak lama.

“Mereka kembali merusuh dan ketika itu orang ramai sekali lagi mengerumuni kenderaan berkenaan dan menterbalikkan kereta itu sebanyak dua kali,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Saravanan berkata, dalam keadaan tidak terkawal itu, secara tiba-tiba api dilihat dari bahagian bawah kenderaan menyebabkan orang ramai bertempiaran lari. Tindakan pantas anggota bomba memadam kebakaran berjaya menyelamatkan keadaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Rizuan Ramli berkata, kebakaran itu berlaku ketika kerja selamat mangsa dilakukan.

“Kita tiba di tempat kejadian sebaik terima panggilan kira-kira 12.21 tengah hari. Ketika itu semua mangsa dibawa keluar orang awam dan dihantar ke hospital rawatan lanjut,” katanya.

Bunyi dentuman kuat

“Ketika itu saya sedang menunggu anak yang mahu pulang dari sekolah, tiba-tiba saya terdengar bunyi satu dentuman yang kuat dari arah jalan.

“Saya yang mula mengesyaki sesuatu terus menuju ke tempat kejadian dan melihat beberapa kenderaan telah berlanggar,” demikian kata seorang saksi, Asrol, 36.

Katanya, ketika itu dia berada 20 meter sahaja dari tempat kejadian.

“Saya melihat beberapa mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing dan bertindak membantu mereka, ketika itu dia tidak memikirkan apa-apa kecuali mahu menyelamatkan mangsa,” katanya.

Asrol berkata, mereka terpaksa mengumpil bahagian pintu serta beberapa bahagian lain kenderaan untuk mengeluarkan mangsa.

Kenderaan saling berlanggar

Seorang lagi saksi dikenali Raja, 47, berkata, insiden itu menyebabkan beberapa kenderaan saling berlanggar sesama sendiri.

Katanya, lori, kereta, bas dan motosikal yang berada di laluan berkenaan masing-masing tidak sempat mengelak sebelum saling berlanggar.

“Ini kejadian pertama seumpama ini yang pernah saya lihat melibatkan begitu banyak kenderaan,” katanya.

Anggota JPJ selamatkan diri

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan semua mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, ketika kejadian, tiga anggota JPJ berjaya keluar dari kenderaan yang dinaiki sebelum melarikan diri kerana khuatir dicederakan orang ramai.

“Ketiga-tiga mereka menumpang kenderaan orang awam untuk ke Balai Polis Seri Manjung.

“Siasatan mendapati, kenderaan JPJ telah dirosakkan, cubaan membakar turut berlaku, namun berjaya diselamatkan bomba yang berada di tempat kejadian,” katanya.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, insiden itu berlaku apabila kenderaan JPJ berkenaan berhenti di lampu yang menunjukkan isyarat merah di Pekan Ayer Tawar.

“Semasa tunggu lampu bertukar hijau, tiba-tiba sebuah lori bawa muatan kelapa sawit dari arah Ipoh melanggar kenderaan JPJ itu,” katanya.


(Sinar harian 12 Januari 2013)

 

Friday, January 11, 2013

Pengaruh pujian pada jiwa





Apabila kita mula terpengaruh dengan kata-kata dan pujian orang lain, itu adalah petanda jiwa dan fikiran kita agak lemah.

Pujian datang kepada kita apabila ada kejayaan, tunjukkan hasil dan ada perubahan yang lebih baik.

Contoh mudah ialah prestasi pasukan bola sepak. Kalau menang, ramailah yang memuji, maknanya jiwa dan fikiran pemain sangat bahagia.

Pemuji dan pengkritik hanya memberi ucapan atau kata-kata tetapi kata-kata itu mempunyai tenaga yang kuat untuk mendorong kita bertindak.

Orang yang kuat jiwanya tidak mudah terkesan dengan kata-kata kerana dia tahu matlamat hidup dan kerjayanya.


 

Thursday, January 10, 2013

Berjaya atau gagal adalah pilihan





Pada saya kejayaan dan kegagalan boleh berlaku bila-bila masa. Kadang-kadang bersifat subjektif.

Seorang remaja yang rajin dalam pelajaran, berusaha gigih untuk belajar dan diterima masuk ke universiti amat bertuah kerana berjaya dalam cita-citanya. Ramai orang suka dengannya.

Seorang remaja lagi agak berbeza. Belajarnya tidak tinggi. Siang dan malam berusaha sendiri. Siangnya berniaga, buat bisnes, malamnya berfikir bagaimana hendak majukan bisnes untuk hari esok.

Remaja pertama, selepas belajar besar kemungkinan akan kerja makan gaji kerana dia memilih untuk begitu sejak awal. Begitu juga remaja kedua, dia mungkin bekerja sendiri kerana ada pengalaman bekerja.

Kedua-duanya ada nilai masing-masing. Cuma Rasulullah saw lebih galakkan jadi usahawan kerana sembilan persepuluh rezeki ada dalam perniagaan.




 

Wednesday, January 09, 2013

Bantu polis jejak penjenayah





Kisah banduan atau tahanan melarikan diri daripada pengawasan polis amat jarang kita dengar. Seorang dua tahanan yang berjaya melarikan diri ini biasanya dapat ditangkap semula dan dibicarakan dengan sempurna. Biasanya tahanan berjaya melarikan diri akibat kecuaian polis pengiring atau keadaan luar biasa seperti kenderaan yang membawa mereka terbabas dan peluang melarikan diri terbuka luas. Bagaimanapun Standard of Procedure (SOP) pihak polis sangat tinggi untuk mengawal sebarang kejadian melarikan diri daripada kerap berlaku.

Namun tujuh tahanan meloloskan diri dari kenderaan polis adalah luar biasa. Kejadian di Pulau Pinang itu menunjukkan SOP yang diguna pakai perlu dirombak apabila melibatkan pergerakan ramai tahanan kerana membawa ramai tahanan dengan kawalan yang minimum boleh mengundang padah.

Kehilangan tahanan-tahanan itu memberi kesan besar ke atas kredibiliti pasukan polis dalam mengurus penjenayah berbahaya. Ia juga turut menjejaskan keselamatan penduduk sekitar tempat kejadian kerana setiap orang tidak kira umur akan berasa terancam takut-takut rumah mereka menjadi sasaran penjenayah untuk bersembunyi. Penjenayah ini boleh melakukan apa sahaja bagi mengelak dari ditangkap. Mereka boleh menculik anak-anak sebagai tebusan, mengugut warga emas atau merompak wang untuk keluar dari kawasan tersebut. Andainya tuntutan tidak dipenuhi, mereka ini tidak teragak-agak mendatangkan kecederaan kerana ada antara mereka ini yang pernah memukul orang dan membunuh.

Menjejak seorang demi seorang penjenayah bukannya mudah. Mengerahkan lebih ramai anggota polis adalah langkah awal untuk menghalang penjenayah tersebut melepasi sempadan kawasan terlibat. Sekatan jalan raya dan mengedarkan poster suspek adalah langkah segera tetapi melibatkan kos yang perlu ditanggung oleh polis. Namun ada langkah lain yang boleh diminta oleh polis untuk mempercepat gerakan mencari dan memburu suspek.

Bantuan paling penting ialah keluarga dan saudara-mara tahanan yang melarikan diri. Mereka perlu dihubungi serta-merta bagi memaklumkan perkembangan terbaru operasi polis di samping bersedia dengan sebarang bentuk komunikasi daripada penjenayah. Jaminan polis untuk membantu keluarga  penjenayah tentu memberi keyakinan untuk mereka menyalurkan maklumat.

Orang ramai di sekitar kawasan kejadian wajar didekati dan diberi penerangan. Sebuah bilik gerakan yang melibatkan koordinasi polis-rela-Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) peru segera diaktifkan supaya rondaan dapat diselaraskan. JKKK boleh menjadi mata dan telinga pasukan polis untuk memberi maklumat baru bagi mengesan kehadiran orang asing di kampung masing-masing.

Bantuan media amat penting. Sebaik sahaja berita tahanan melarikan diri diketahui, perkembangan kejadian sentiasa dikemas kini melalui siaran dalam talian akhbar. Berita di televisyen dan radio turut memuatkan perkembangan kes berkenaan supaya orang ramai berwaspada.

Pelarian tahanan polis ini cukup menjadi iktibar khususnya pelaksanaan SOP yang berkesan. Hidup anggota polis yang terlibat dalam kes ini tentu tidak tenteram selepas dipukul dan mungkin juga dikenakan tindakan akibat kecuaian. Jika Mas Selamat boleh meloloskan diri dan hilang selama setahun, bagaimana pula dengan tujuh penjenayah berbahaya yang melarikan diri itu?

Kita tidak ada masa lagi untuk berdebat siapa yang betul dan siapa yang salah. Kerjasama semua pihak amat perlu ketika ini bagi menangkap tahanan yang melarikan diri itu.


 

Tuesday, January 08, 2013

Padah menunggang motosikal tanpa lesen





Masih ada ibu bapa yang tidak mengambil iktibar kejadian yang berlaku ke atas remaja yang memandu kereta tanpa lesen, Amirul sehingga beliau ditembak dan meninggal dunia. Membiarkan anak-anak remaja memandu kenderaan di atas jalan raya tanpa memiliki lesen memandu yagn sah mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

Kematian seorang pelajar tingkatan tiga di Putrajaya merupakan kisah malang pada tahun ini. Menunggang motosikal bersama rakannya, pelajar berkenaan terjatuh dan terlentang di atas jalan berhadapan sekolahnya. Fizikalnya tidak ada sebarang kecederaan yang teruk tetapi hentakan kepala di atas permukaan jalan menyebabkannya parah dan disahkan meninggal dunia pada jam 6 petang. Jenazahnya disemadikan di Presint 20, Putrajaya sebelum tengah hari ini.

Rakannya pula sedang koma.
 
Saya berjumpa dengan ayahnya untuk menyatakan takziah dan mendapat gambaran bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Di rumah mereka tidak ada motosikal, kalau ke sekolah pun hanya berjalan kaki. Mungkin disebabkan tidak ada motosikal, arwah kepingin membonceng motosikal kawannya.

Orang yang paling sedih ialah ibunya, seorang guru. Walaupun nampak mengukir senyuman, keadaannya tidak sama. Senyuman diiringi dengan air mata berlinang dan mata sedikit kemerah-merahan. Selepas orang ramai meninggalkan tanah perkuburan, ibunya duduk di sisi pusara arwah beberapa ketika. Sedih hati seorang ibu tidak sama sedihnya hati seorang bapa. Hati bapa lebih cekal dan tabah. Namun, paling penting ialah redha dengan kematian anak lelaki kerana Allah swt lebih sayang kepadanya. 

Lima hari sebelum itu saya sempat menyampaikan pulut kuning dan kari ayam kepada arwah. Ayahnya memaklumkan dia bersarapan pagi dengan pulut kuning pada keesokan harinya. Pada wajahnya tidak nampak tanda-tanda akan meninggal dunia mungkin kerana suasana yang agak kelam semasa saya menghukurkan bungkusan pulut kepadanya.

Tidak apa yang boleh dibuat kerana kedua-duanya tidak memiliki lesen memandu dan tidak pula memakai topi keledar. Kejadian yang berlaku di luar kawasan sekolah menyebabkan tanggungjawab membiarkan anak-anak remaja bawah umur membawa motosikal terletak di atas bahu ibu bapa. Keprihatinan ibu bapa terhadap bahaya menunggang motosikal tanpa lesen memandu mesti ditingkatkan di seluruh negara melalui kempen dari semasa ke semasa.

Di sekolah, guru boleh mengingatkan pelajar pada perhimpunan mingguan betapa kesan buruk ke atas mereka yang berani menunggang motosikal tanpa ada lesen dan tidak dibenarkan ibu bapa. Remaja yang ingin mencuba hanya ada tiga pilihan iaitu selamat pulang ke rumah, cedera dan dimasukkan ke hospital ataupun menjadi arwah kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kita yakin agensi kerajaan, swasta malah pihak sekolah sendiri sentiasa mengadakan kempen keselamatan jalan raya dan membuat pemeriksaan mengejut ke atas motosikal yang dibawa ke sekolah, ia masih belum mencukupi kerana terdapat ibu bapa yang masih berfikiran "tidak apa" dengan membenarkan anak-anak ini membawa motosikal ke sekolah atau bersiar-siar di jalan raya.

Apabila berlaku tragedi, semuanya sudah terlambat.




Monday, January 07, 2013

Ikut arahan jurulatih untuk menang





Kemampuan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjuarai Piala Sumbangsih 2013 amat membanggakan. ATM yang jarang-jarang sekali menjadi pasukan hebat dalam sejarah bola sepak negara memperlihat peningkatan yang ketara dalam pelbagai aspek yang diperlukan oleh sebuah pasukan yang hebat.

Selepas kalah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 kepada Kelantan, ATM menyusun strategi bagi memperkemaskan jentera serangan, memperkukuh barisan pertahanan dan memantapkan mental pemain. Kesungguhan TM terserlah hingga minit terakhir permainan melalui jaringan penyamaan yang cantik.

Penentuan juara ditentukan oleh sepakan penalti yang berakhir dengan kemenangan 4-3.

Ciri paling menarik pasukan juara ATM kali ini ialah semangat juang untuk menjadi pasukan terbaik. Resepi juara perlukan adunan dari pelbagai sudut seperti kekuatan mental, ketangkasan fizikal dan koordinasi setiap pemain. Arahan jurulatih dari tepi padang amat penting dan mematuhi arahan adalah karektor pasukan juara.

Pasukan yang sering kali menidakkan arahan jurulatih akan pincang di tengah padang dan menjadi belasahan pasukan lawan. Banyak pasukan yang hebat dan memuncak suatu ketika dulu hanya tinggal nama pada hari ini gara-gara pemain yang memandang rendah arahan dan strategi jurulatih.

Tahniah ATM.

 

Sunday, January 06, 2013

Lebih dan kurang





Lebih dan kurang boleh menjadi madu dan racun dalam hidup. Banyak contoh yang kita boleh ambil.

Katakan saya jadikan tubuh badan kita sebagai model. Badan kita perlukan makanan pada kadar tertentu, jika diambil lebih daripada kadarnya, muncullah simptom atau gejala penyakit.

Contohnya, kerap minum minuman manis, lama-kelamaan dapat penyakit kencing manis atau diabetik. Jika selalu sangat kurang makan sayur atau buah-buah-buahan, boleh dapat sembelit.

Jadi, lebih dan kurang ada baik dan buruknya.

Sebaik-baiknya kita cuba ambil tahu apa yang sesuai dengan kesihatan kita. Maklumat kesihatan diri sangat banyak. Kalau tidak mahu beli buku-buku, cari saja di internet.

 

Saturday, January 05, 2013

Salah faham punca konflik rumah tangga






"Ustaz, tengok ni.."

Saya menunjukkan tajuk berita tentang seorang wanita dalam pantang yang dibelasah suami kepada rakan semasa kami bersama-sama membaca surat khabar.

Puncanya ialah si suami berang kerana isteri berpelukan dengan lelaki lain. Namun si isteri menyatakan ia hanyalah salah faham kerana sebelum kejadian, ada dua jiran lelaki sedang mencucuh rokok dalam kawasan rumah dan terserempak dengan suaminya.

Kisah ini sangat mudah difahami kerana kejadian yang berlaku melibatkan salah faham tetapi impkanya ialah seluruh badan isteri cedera, motosikal dibakar dan pakaian mangsa turut musnah.

Keluarga menjadi nukleus kepada masyarakat dan negara. Keluarga yang bahagia tidak akan berlaku kecederaan kepada mana-mana pihak walaupun wujud salah faham dan prasangka kerana penyelesaiannya berbagai-bagai.

Mangsa lain ialah anak-anak yang bakal kehilangan sentuhan kasih-sayang kedua-dua ibu dan bapa. Dalam kes ini, anak yang masih kecil tentulah masih perlu diberi perhatian khususnya hubungan kasih-sayang, pendidikan dan perbelanjaan harian. Selepas suami dihukum nanti, siapa pula yang akan bertanggungjawab menguruskan anak-anak mereka? Akhirnya, datuk dan nenek yang membesarkan cucu.