Saturday, November 24, 2007

Kesatuan sekerja: Hak dan tuntutan

Sejarah penubuhan kesatuan sekerja bermula di Britain hasil daripada perkembangan pesat pembukaan kilang dalam pelbagai bidang dan cabang industri. Kesatuan sekerja mula mendapat hak pada tahun 1915 seterusnya menjadi ikutan di seluruh dunia sehingga kini.

Di Malaysia, MTUC ditubuhkan pada tahun 1957 untuk melindungi dan meningkatkan kualiti kehidupan.


Definisi kesatuan sekerja

Seksyen 2(1) Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang bermaksud seperti berikut:

"…apa-apa perhubungan atau gabungan pekerja-pekerja atau majikan-majikan yang menjadi pekerja di mana tempat pekerjanya adalah di Malaysia Barat, Sabah atau Sarawak mengikut mana yang berkenaan."

a) dalam mana-mana pertubuhan, trend, pekerjaan atau industri yang tertentu atau dalam apa-apa industri yang serupa;
b) sama ada secara sementara atau tetap; dan
c) yang mempunyai antara tujuan-tujuannya satu atau lebih daripada tujuan-tujuan berikut…….”

Akta-akta yang berkaitan pula ialah:

1. Perkara 10(1)(c) Perlembangaan Persekutuan menjamin hak warganegara untuk menyertai persatuan.

2. Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967 seksyen 4 dan 5 yang memperuntukkan jaminan hak pekerja. Seksyen 4 menjamin kebebasan kedua belah pihak iaitu tidak boleh ada campur tangan atau ancaman daripada pihak yang satu lagi berhubung hak untuk menubuhkan atau menyertai atau terlibat dalam aktiviti kesatuan pekerja. Seksyen 5(1)(a), 5(1)(b), 5(1)(c), 5(1)(d) dan 5(1)(e).


Peranan kesatuan sekerja

Kebajikan pekerja menjadi fokus kesatuan sekerja kerana banyak perkara yang melibatkan pekerja. Antaranya ialah:

1. perubahan struktur pekerjaan, terma dan keadaan pekerjaan.

2. pembangunan sumber manusia.

3. mobiliti antara kerja secara mendatar dan menegak.

4. kesihatan dan keselamatan pekerja.

5. kualiti kehidupan pekerja dan keselamatan sosial (PERKESO)


Balakrishnan (2003) menyatakan fokus kesatuan sekerja adalah seperti berikut:

-Memperluas ruang antara pembahagian pendapatan dengan kekayaan dalam masyarakat
-Memperkembang sektor informal dalam pasaran buruh
-Kemerosotan keselamatan dalam sistem pekerjaan, upah benar dan faedah minimum pekerja menurut kehendak undang-undang
-Isu pengangguran dan guna tenaga
-Peningkatan dari segi kadar kemiskinan
-Hilangnya ciri demokrasi dan juga hak kesatuan sekerja di tempat kerja
-Penswastaan tanpa mengambil kira kesan-kesan sosial terhadap golongan pekerja
-Peningkatan marginal pekerja terutamanya pekerja wanita, golongan pekerja asing dan peningkatan buruh kanak-kanak dalam pasaran buruh.

Peranan kesatuan sekerja adalah mengikut kesatuan masing-masing. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Awang Abdullah (2002), perjuangan MTUC adalah lebih tertumpu kepada:

a. hak gaji minimum
b. hak pekerja
c. pembangunan kemahiran dan buruh asing
d. piawaian keselamatan dan kesihatan pekerja
e. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Fungsi kesatuan sekerja

Kuasa pekerja yang dikumpulkan daripada individu memberi manfaat kepada setiap ahli dalam perundangan ekonomi, perundangan kerja, perubahan sosial dan kepuasan diri.

Kesatuan memberi balik tanggungjawab yang diamanahkan oleh individu dengan harapan setiap ahli mendapat apa yang dikehendaki.

Kenapa pula pekerja melibatkan diri dalam kesatuan sekerja?

Maimunah (2007) menyatakan tiga tujuan utama pekerja ingin melibatkan diri dalam kesatuan pekerja iaitu:


1. untuk membaiki keadaan ekonomi mereka
2. untuk menentukan hak mereka dilindungi
3. atas sebab-sebab sosial


Motif ekonomi

Ekonomi sentiasa menjadi dorongan di mana sahaja. Keadaan hidup yang lebih baik menjadi pilihan pekerja dan cara untuk mendapatkan apa yang diingini ialah dengan menyertai kesatuan sekerja yang ditubuhkan.

Melalui kesatuan, mereka dapat memperbaiki syarat-syarat perkhidmatan pekerjaan yang lebih baik dan memuaskan. Contohnya tuntutan kenaikan gaji oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) awal tahun yang lalu telah menyebabkan kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji baru kepada kakitangan kerajaan seluruh negara.

Meningkatkan kekuatan perundingan pekerja di mana pekerja mempunyai kuasa apabila bergabung dan kuasa untuk berunding dengan majikan berkaitan syarat-syarat pekerjaan yang lebih baik.

Mendapatkan faedah yang ditawarkan oleh majikan sepertimana MTUC yang menyediakan pendidikan kesatuan dan latihan, NUEB menyediakan perlindungan insuran, NUPW memberi biasiswa kepada anak-anak ahli dan NUPCIW menyediakan pampasan kepada keluarga ahli yang meninggal dunia, banjir, kebakaran atau mala petaka yang lain.

Motif sosial

Hidup berkumpulan menjadikan setiap individu merasa diri mereka mendapat sokongan dan bantuan. Justeru, dalam kesatuan ini mereka juga mempunyai motif sosial iaitu:


a) Keperluan untuk dipunyai dalam kumpulan (teori hirarki keperluan)
Dalam kumpulan, hubungan yang rapat, minat dan keperluan sosial yang sama memberi semangat kepada pekerja untuk membina faedah yang lebih banyak seperti polisi insuran, pusat jagaan dan lain-lain faedah. Contohnya MTUC menyediakan faedah yang diberikan merupakan keperluan sosial yang diperlukan oleh pekerja.

b) Pengaruh rakan sejawat
Perlu beberapa ahli untuk mendapatkan pengiktirafan supaya dapat mendorong pekerja lain menyertai kesatuan bagi menyokong aktiviti rakan sejawat.

c) Memperlihatkan daya kepimpinan
Memberi peluang kepada pekerja mengamalkan sifat-sifat kepimpinan dalam hirarki kesatuan. Seterusnya dapat membantu rakan sejawat untuk membaiki syarat-syarat dan keadaan pekerjaan.


Perlindungan hak
a) Diskriminasi, eksploitasi dan layanan yang tidak adil di tempat kerja
Contohnya kes yang berlaku di Sea Firebricks di mana pembayaran gaji yang berlainan berdasarkan gender untuk jumlah kerja yang sama, Di sini jelas terdapat layanan yang tidak adil berdasarkan gender pekerjanya.

b) Jaminan kerja – dari pembuangan atau pemecatan yang tidak adil
Menyertai kesatuan agar dapat melindungi pekerja dari segi jaminan kerja melalui kontrak kesatuan yang mengandungi peraturan-peraturan tegas berkenaan jaminan pekerja.

Terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi pekerja untuk menyertai kesatuan sekerja telah dijelaskan oleh Farnham dan Pimplott (1995) sebagai:


i) Pertukaran struktur di dalam corak pekerjaan kebangsaan (structural changes in the pattern of national employment)
ii) Pertumbuhan dan penurunan di dalam ekonomi nasional
(growth and decline in the national economy)
iii) Politik, perundangan dan persekitaran sosial perusahaan perindustrian
(political, legal and social climate of industrial relations)
iv) Imej kesatuan, tarikan dan pemimpin (trade union image, appeal and leadership)


Kenapa majikan menghalang penubuhan kesatuan?

Walaupun kesatuan sekerja memberi banyak faedah kepada pekerja, ianya tidak membawa manfaat yang besar kepada majikan kerana meningkatkan kos tenaga buruh, pekerja yang tidak cekap diberikan perlindungan dan mengganggu perkhidmatan awam.

Contohnya syarikat makanan segera, McDonalds. R. Queenland (eksekutif dan pengurus) menyatakan bahawa implikasi pertama berurusan dengan kesatuan sekerja ialah peningkatan kos gaji dan lain-lain faedah sampingan. Justeru ini membebankan majikan untuk jangka masa panjang.


Tindak balas majikan terhadap kesatuan

Kesatuan sekerja dilihat daripada perspektif positif dan negatif oleh majikan. Biasanya, kekuatan kesatuan sekerja ialah berjaya dalam konflik yang dibuat secara terbuka dengan majikan seperti yang berlaku di Perancis iaitu mogok pekerja kereta api. Selagi permintaan mereka tidak ditunaikan oleh majikan, mogok akan diteruskan. Apabila kerajaan bersetuju dengan beberapa tuntutan kesatuan, para pekerja kembali bekerja dan perkhidmatan pengangkutan awam kereta api pulih seperti sedia kala.

Pertelingkahan secara terbuka tetapi terkawal dapat mengurangkan tempoh konflik kerana kedua-dua pihak, pekerja dan majikan dapat mengawal keadaan.

Apabila Cuepacs memohon bonus diberikan kepada kakitangan kerajaan tetapi tidak dapat, Cuepacs masih cuba mencari penyelesaiannya.

Permintaan kesatuan sekerja bagi sesuatu isu kadang kala diterima dengan senang hati. Apabila majikan mendapati prestasi organisasi sangat memberangsangkan, mereka memikirkan bentuk penghargaan yang boleh diberikan kepada pekerja. Biasanya kesatuan sekerja memohon kenaikan gaji, bonus atau kebajikan pekerja yang lebih baik. Jika permintaan berpatutan, majikan akan tunaikannya dengan mudah.

Suasana yang lebih mudah ialah wujud kerjasama di antara kesatuan sekerja dan majikan. Kerjasama ini pasti membantu pekerja dan majikan meningkatkan kualiti dan produktiviti masing-masing. Kedua-dua pihak mendapat manfaat yang berkekalan.
Cara majikan menghalang kesatuan
Di sesetengah negara, majikan akan mencari jalan menghalang kesatuan sekerja bertindak kerana imej yang dibawa kesatuan sekerja membawa trauma kepada majikan.

Keadaan ini amat mencemaskan jika kesatuan sekerja merancang mengadakan demonstrasi atau mogok. Ini kerana satu sebab: mencemarkan imej majikan seterusnya menjejaskan produktiviti organisasi. Jadi, bagi mengelakkan kesatuan sekerja "naik kepala" dengan membuat tuntutan yang melampau, ada beberapa cara yang digunakan oleh majikan seperti:


-bayar gaji dan faedah lebih baik
-libatkan pekerja dalam pembuatan keputusan, laksana polisi sistem terbuka secara efektif
-tawarkan latihan, pembangunan dan jaminan tempoh jawatan
-mengembangkan perasaan percaya dan setia dalam organisasi dengan cara pihak pengurusan mendapatkan maklum balas terhadap ketidakpuasan pekerja terhadap organisasi.


Contohnya kilang-kilang elektronik di Malaysia. Majikan berjaya mengelakkan pekerjanya mempunyai kesatuan selama 15 tahun. Langkah yang diambil oleh mereka ialah:

-bayaran gaji berpatutan
-khidmat nasihat kepada pekerja yang bermasalah
-keadaan tempat kerja yang selamat
-menjaga kebajikan pekerja seperti sambutan hari lahir
-tempat makanan yang bersih dan berhawa dingin
-sediakan pengangkutan percuma pergi dan balik
Kesimpulan
Di bawah Dasar Pandang Ke Timur, kerajaan Malaysia menggalakkan kegiatan kesatuan sekerja dalaman. Ini kerana ia amat praktikal kerana golongan pekerja dan majikan dapat membuat sesuatu keputusan dengan segera demi meningkatkan produktiviti syarikat.

Elemen-elemen baru hubungan industri seperti kerja dalam pasukan, penglibatan pekerja, perkongsian keuntungan akan menjadi perhatian utama kesatuan sekerja dan majikan pada masa depan.

Thursday, November 22, 2007

Penerimaan (1)

Prinsip utama dalam disiplin diri ialah penerimaan. Penerimaan bererti merasai keadaan sebenar dan secara sedar mengakui apa yang dilihat.

Kedengaran mudah dan jelas tetapi untuk melaksanakannya, sangat sukar. Jika kita menghadapi kesukaran hidup dalam beberapa bidang, di sana ada satu peluang yang sangat besar iaitu akar umbi kepada masalah ialah gagal menerima kenyataan yang sebenar.

Kenapa penerimaan dianggap sebagai salah satu daripada tonggak disiplin diri? Asas kepada kebanyakan kesilapan yang berlaku kepada ramai orang ialah kegagalan melihat dengan tepat dan menerima keadaan sebenar yang sedang berlaku.

Jika kita belum secara sedar mengakui kedudukan sebenar khususnya disiplin diri, hampir mustahil untuk kita memperbaiki kehidupan sedia ada. Jika kita mahu meningkatkan disiplin diri, kita wajar mengambil tahu di mana kita berada sekarang. Apakah tahap kekuatan disiplin diri kita sekarang? Cabaran manakah yang paling mudah dan cabaran yang mana hampir mustahil untuk diatasi?

Berikut adalah senarai cabaran yang boleh kita fikir dan mula membuat tindakan:

-bagaimana sembahyang kita setiap hari?
-adakah kita bangun pagi pada masa yang sama setiap hari termasuk hari minggu?
-apakah bentuk badan kita - kurus atau obes?
-minuman kegemaran, perokok?
-adakah pejabat kita kemas dan teratur?
-berapa banyak masa yang dibazirkan dalam satu hari atau di hujung minggu?
-jika kita membuat temu janji dengan rakan-rakan, adakah kita akan menunaikannya dengan serta-merta atau menunggu hari esok untuk memberi jawapan?
-jika kita membuat temu janji kepada diri sendiri, adakah kita akan menunaikannya 100 peratus?
-bolehkah kita berpuasa sunat untuk satu hari?
-berapa kerap kita melakukan senaman untuk kecergasan diri?
-apakah cabaran fizikal yang paling besar kita pernah hadapi?
-berapa jam kita boleh fokuskan kepada kerja-kerja kita dalam satu hari?
-berapa banyak tugasan dalam senarai kerja kita yang telah melebihi tempoh 90 hari?
-adakah kita mempunyai matlamat yang jelas dan bertulis?
-adakah kita merangka perancangan untuk merealisasikan matlamat tersebut?
-jika kita kehilangan kerja, berapa lama kita memperuntukkan masa untuk mencari pekerjaan baru dan mengekalkan usaha-usaha tersebut?
-berapa banyak set televisyen yang kita ada?
-bagaimana penampilan kita hari ini?
-adakah kita sedar bahawa penampilan diri (pakaian, hiasan) mempengaruhi disiplin diri?
-apakah jenis pilihan makanan kita berdasarkan pertimbangan kesihatan atau kerana hendakkan kenyang?
-bilakah kali terakhir kita melaksanakan satu tabiat baru yang positif? Menamatkan secara bersungguh-sungguh satu tabiat yang tidak produktif?
-adakah kita sedang berhutang? Adakah hutang berkenaan satu kesilapan atau satu pelaburan?
-pada skala 1-10, bagaimana kita menganggap tahap keseluruhan disiplin diri kita?

Terdapat perbezaan dalam disiplin diri ini seperti tidur, makan, tabiat bekerja, komunikasi dan sebagainya. Setiap satunya mempunyai pendekatan latihan yang berbeza-beza.

Nasihat saya, untuk mengenal pasti mana-mana disiplin diri kita yang lemah, nilailah diri kita, akui dan terima kelemahan tersebut sebagai titik untuk mula berubah, seterusnya rancang program dan tindakan untuk perubahan tersebut.

Mulakan dengan latihan yang mudah-mudah, yang kita tahu dan secara beransur-ansur bergerak kepada latihan yang lebih mencabar.

Sebagai contoh, jika kita dapat mengatasi tabiat bangun pagi pukul 10, adakah kita bangun pada pukul 5? Peringkat awalnya sangat sukar tetapi jika menetapkan matlamat untuk bangun pada pukul 6, ia dikira sudah memadai.

Apabila bangun pagi pada jam 6 secara berterusan, tabiat lama sebelum itu akan hilang. Tempoh minimum untuk melakukan perubahan secara berterusan ini ialah 21 hari. Lama kelamaan kelaziman bangun lewat akan hilang dan digantikan dengan bangun pada awal pagi.

Kenalan saya, seorang profesor dari Italy, bangun pada pukul 3 pagi setiap hari (termasuk hari minggu dan cuti am) untuk ke pejabat bagi menyiapkan bukunya. Hasilnya, profesor ini dapat menyiapkan sebuah buku setebal 685 muka surat dalam tempoh tiga bulan.

Saya sangat teruja dengan disiplin menulis beliau dan menjadi perangsang untuk berjaya dalam bidang penulisan ini.

Penerimaan terhadap keadaan diri sangat penting untuk memulakan perubahan. Tanpa penerimaan, kita berhadapan dengan kejahilan atau penafian. Berada di bawah payung kejahilan, kita tidak tahu tahap disiplin diri - mungkin juga kita tidak pernah berfikir tentangnya.

"Kadang kala kita tidak tahu yang sebenarnya kita tidak tahu."

Wednesday, November 21, 2007

Pengucapan awam (1)







Pengucapan awam atau berucap di khalayak adalah satu kaedah penyebaran maklumat yang telah lama digunakan secara meluas bagi mengubah pemikiran, sikap dan tingkah laku anggota masyarakat.

Pengucapan awam boleh ditakrifkan sebagai satu komunikasi lisan yang teratur, menggunakan perkataan sebagai asasnya dan melibatkan komunikasi bukan lisan serta dibantu oleh alat pandang dengar bagi menambah atau mengubah pengetahuan dan pengalaman atau untuk mempengaruhi sikap dan tingkah laku khalayak.

Sebagai satu kemahiran, pengucapan awam boleh dipelajari melalui latihan untuk menguasai daya konsentrasi fikiran, penyelarasan dan daya tindak balas yang cepat dari segi mental dan fizikal. Pengucapan awam sesuai digunakan dalam keadaan berikut:

-perucap mempunyai pengetahuan melebihi apa yang sudah diketahui oleh penerima.
-bilangan audiens yang besar.
-perucap boleh mengawal dan mempengaruhi audiens.

Asas-asas komunikasi

Komunikasi adalah proses membina dan membentuk persefahaman melalui pertukaran mesej. Ada dua elemen yang penting iaitu pengirim dan penerima mesej. Bagi menghantar mesej, pengirim menggunakan saluran yang menentukan sama ada mesej berkenaan laju atau perlahan.

Tahap-tahap komunikasi

Ada lima tahap komunikasi yang biasa didapati iaitu:

Interpersonal

-asas komunikasi
-berinteraksi dengan diri sendiri (self-talk)
-pengirim dan penerima adalah orang yang sama
-mudah dan ringkas
-contoh: duduk termenung di tepi tasik memikirkan masa depan

Intrapersonal

-bentuk komunikasi yang lebih ramai (2-3 orang)
-melibatkan pengirim dan penerima yang meluas
-gangguan semasa interaksi lebih banyak
-bentuk formal dan informal
-contoh: formal – berbincang dengan pengurus mengenai prestasi kerja.
informal – berbual-bual semasa makan tengah hari

Kumpulan kecil

-libatkan ramai pengirim dan penerima (4-12 orang)
-mesej dan gangguan lebih kompleks
-tujuannya ialah penyelesaian masalah, mesyuarat dan perbincangan dalam kumpulan.

Pengucapan awam

-daripada seorang pengirim kepada ramai (lebih 20 orang)
-audiens lebih ramai dan meluas
-lebih banyak gangguan semasa interaksi
-ada "give and take"
-contoh: ceramah, pidato, kempen politik

Mass

-bilangan audiens yang paling ramai dan pelbagai
-mesej disampaikan melalui pelbagai cara seperti televisyen, radio atau surat khabar
-libatkan pengaruh yang luas dan mampu mengubah keadaan kepada situasi baru

Keberkesanan mesej bergantung kepada pemilihan tahap komunikasi yang betul kerana salah menentukan saluran dan audiens, ia akan menyebabkan proses komunikasi yang diingini tidak tercapai.

Proses komunikasi

Komunikasi adalah satu proses yang sentiasa berlaku sama ada disedari atau tidak. Kekuatan proses komunikasi terletak pada pengirim, penerima, saluran dan maklum balas yang diterima.

Sunday, November 18, 2007

Kerangka teoritikal

Kerangka teoritikal menentukan persoalan kajian yang hendak dilakukan. Ia menjadi panduan bagi menentukan orientasi penyelidikan yang akan dilakukan. Ia juga mengenal pasti apa yang menjadi minat pengkaji, soalan-soalan yang berlegar-legar di mindanya dan yang menjadi teka-teki.

Satu kaedah untuk menentukan kerangka pemikiran ialah melalui tinjauan literasi dengan pembacaan yang berkait rapat dengan tajuk yang sedang dikaji. Tajuk jurnal, kata kunci dan maklumat-maklumat lain yang didapati sepanjang pencarian berkenaan, penyelidik akan berjumpa dengan konsep, model dan teori yang berbagai-bagai jenis. Yang boleh dibuat ialah memberi pengkelasan terhadap hasil dapatan tersebut untuk menjadi kunci utama kepada kerangka teoritikal nanti.

Kepentingan kerangka teoritikal


Kerangka teoritikal membentuk konsep, terma, definisi, model dan teori yang menjadi asas dan orientasi disiplin bagi kajian yang hendak dilaksanakan. Seterusnya akan membentuk "masalah" bagi kajian, soalan kajian, pengumpulan data dan analisis serta bagaimana hendak mentafsir data.

Penyelidik harus bijak memilih kerangka teoritikal kerana ia akan menjadi panduan dalam proses penyelidikan bagi mengenal pasti terma yang relevan dengan konsep, definisi pemboleh ubah, soalan-soalan khusus yang hendak diselidik, memilih responden kajian, prosedur pemilihan, strategi pengumpulan data, teknik menganalisis dan interpretasi hasil dapatan kajian.

Perkara yang harus diberi perhatian ialah semua aspek kajian akan mendapat kesan daripada kerangka teoritikal yang telah dibentuk tadi. Ciri-ciri kerangka teoritikal yang baik meliputi:


-Membantu penyelidik mengenal pasti topik yang hendak dikaji.
-Panduan mencari kajian-kajian lepas.
-Memilih aspek yang difokus.
-Merapatkan jurang di antara maklumat yang diketahui dan tidak diketahui.
-Memberi panduan kepada pengkaji memilih responden yang sesuai.

Kajian lepas

Bagi mengenal pasti dan mengesahkan kerangka teoritikal, membuat tinjauan terhadap hasil kajian lepas dapat memberi penjelasan terhadap bidang kajian dan asas data kajian mengenai seseorang yang telah melaksanakan kajian, mengumpul dan menganalisis data.

Melengkapkan kerangka teoritikal bukanlah satu proses yang mendatar sahaja seperti membaca literatur, mengenal pasti dan menulis pernyataan masalah. Tetapi adalah proses yang aktif. Soalan-soalan yang ditimbulkan akan menjurus kepada hasil kajian yang berkait dengan fenomena kajian yang sedang dilakukan.


Kajian-kajian dahulu boleh dianalisis, dikritik dan diulas supaya ruang lingkup kajian berkenaan lebih menarik. Literatur mengandungi tiga bahagian iaitu pengenalan, isi mengenai kajian-kajian lepas dan kesimpulan.

Saturday, November 17, 2007

5A bukan jaminan ke sekolah berasrama penuh

5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bukanlah jaminan untuk mendapat tempat di sekolah berasrama penuh kerana hanya 6,000 tempat yang disediakan di seluruh negara.

Tahun demi tahun, ramai pelajar yang mendapat 5A dalam peperiksaan ini khususnya di bandar. Selain mendapat segala kemudahan pembelajaran, dorongan dan semangat untuk belajar sentiasa diberikan oleh ibu bapa dan guru. Masalah bahasa Inggeris tidak banyak menjadi halangan kerana pelajar-pelajar ini telah didedahkan dengan istilah bahasa ini sejak kecil.

Pernah saya mendengar seorang kerani di sektor swasta bercakap menggunakan bahasa Inggeris dengan anaknya ketika berkelah di tepi pantai di Port Dickson. Pendedahan ini banyak memberi rangsangan kepada anak-anak kecil untuk bersedia mempelajari bahasa Inggeris walaupun dianggap susah oleh pelajar-pelajar di luar bandar.

Kejayaan Terengganu menjadi negeri terbaik dalam UPSR kali ini sukar ditandingi oleh negeri-negeri lain. Mengekalkan keputusan selama tujuh tahun berturut-turut adalah usaha yang menakjubkan kerana ia memerlukan iltizam semua pihak; guru, ibu bapa, pelajar, pegawai pendidikan daerah dan masyarakat sendiri. Sokongan semua pihak yang bersama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan kejayaan ini sangat menggembirakan.

Ada anak nelayan, pemandu lori, tukang kebun dan ibu tunggal yang mendapat 5A kerana kegigihan pelajar dan guru sekolah. Ibu atau bapa mungkin tidak ada wang untuk memberi sokongan kerana kesempitan hidup tetapi di sinilah peranan guru, Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) dan pemimpin masyarakat dilihat sangat berpengaruh.

Pelajar-pelajar luar bandar yang serba-serbinya kurang tetapi semangat mereka kental. Kejayaan yang diraih sejak dari sekolah inilah yang menjadi azimat penguat semangat apabila mereka menjejakkan kaki ke sekolah menengah kelak.

Kecemerlangan boleh diraih oleh sesiapa sahaja. Anak orang miskin dan kaya tidak ada bezanya jika mendapat 5A, yang beza ialah sahsiah diri dan cara berfikir. Justeru, mendapatkan kejayaan yang lebih bermakna ialah mendapat kejayaan dalam akademik dan berakhlak mulia. Sahsiah diri yang terpuji adalah jaminan kepada pembentukan generasi muda yang mampu menghadapi cabaran masa depan kerana masyarakat hari ini lebih cenderung membuat hal sendiri. Elemen mengambil berat masalah orang lain kurang diberi perhatian menyebabkan masing-masing mendiamkan diri dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Jika tidak mendapat tempat di sekolah yang diidamkan, ianya tidak perlu dikhuatiri kerana kemudahan sekolah dan kaedah pengajaran di sekolah-sekolah harian hari ini semakin baik. Berbanding 20 tahun lalu, guru-guru semakin proaktif dan mahu mengambil cabaran untuk bersaing demi kecemerlangan pelajaran pelajar mereka.

Friday, November 16, 2007

Republik mimpi

Republik Mimpi, rancangan televisyen yang meniru watak-watak pemimpin Indonesia telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton. Disiarkan pada setiap malam Jumaat di Metro TV, ia mendapat kritikan dan pujian.

Dibarisi kabinet Republik Mimpi (meniru Republik Indonesia), ia diketuai oleh Butet Kertaradjasa yang menggunakan nama Si Butet Yogya, manakala wakilnya pula ialah Sujarwo yang menggunakan gelaran Jarwo Kwat.


Nama-nama lain ialah Suharta, Habudi/Budi, Gus Pur dan Megakarti. Para pembantu presiden dan rakan sejawat juga menjadi bahan mimikan seperti Setiausaha Rasmi Presiden Si Butet Yogya dimainkan oleh Anya Dwinov. Olga Lydia
yang sebelumnya dilantik sebagai Setiausaha Istana dinaikkan pangkat menjadi "Utusan Khusus Presiden Untuk Masalah yang Mengalami Kebuntuan" atau singkatannya "Usus Buntu."

Rancangan ini diusahakan oleh sekelompok intelektual muda dan pelakon komedi yang cerdas bergabung membentuk news.com. Keupayaan kumpulan ini menerbitkan rancangan yang dikhuatiri menerima tekanan terserlah apabila dipilih menerima Anugerah Suardi Tasrif.

Pemberian anugerah ini adalah kerana program tersebut dinilai mampu membuka ruang kepada masyarakat umum untuk menyampaikan pendapat dan pandangan. Selain itu program ini dilihat sangat peka terhadap persoalan yang berlegar-legar di dalam masyarakat serta menongkah dominasi kapitalisme yang tidak telus.

Mengkritik pemimpin negara secara terbuka tidak pernah dibayangkan sedekad yang lalu tetapi rancangan ini memecahkan pemikiran masyarakat dengan meniru aksi beberapa orang pemimpin kerajaan.

Keberanian ini dicetuskan kerana "rakyat Indonesia ingin merasai kebebasan" setelah sekian lama berada di bawah bayang-bayang sekatan dan larangan kebebasan media.

Menteri Komunikasi dan Informasi, Sofyan A. Djalil berkata bukan zamannya lagi untuk melarang atau menapis sesuatu program televisyen. Bahkan beliau juga setuju tidak ada polisi untuk melarang tayangan Republik Mimpi.

Dilancarkan dua tahun yang lalu, rancangan ini memberi fokus kepada personaliti negara seperti B.J. Habibie, Abdurrahman Wahid dan Susilo Bambang Yudhoyono. Ia disiarkan secara langsung di hadapan penonton Metro TV.

Dalam salah satu episod, pelakon yang meniru watak bekas presiden Abdurrahman Wahid yang mana dalam kehidupan sebenar sering kali mengantuk ketika mesyuarat dan terlentuk keletihan.

Hubungan yang muram di antara Susilo Bambang Yudhoyono dan Jusuf Kalla juga menjadi perhatian kerana dijangka pada pilihan raya 2009 kelak, Jusuf akan menentang SBY bagi jawatan presiden.


Keadaan yang berlaku di negara-negara jiran juga dijadikan isu.

Kebebasan media di Indonesia datang sekali bersama bantahan besar-besaran ke atas Suharto yang mana kerajaannya kerap menggertak media.

Ramai percaya rancangan satira komedi politik ini memainkan peranan penting mendidik masyarakat Indonesia mengenai demokrasi dan kebebasan bersuara.

"Saya percaya rancangan ini memberi impak yang besar bagi mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai demokrasi, sekurang-kurangnya kami dapat memberitahu mereka supaya berfikiran kritikal apabila berjuang untuk hidup," kata Butet Kartaredjasa, yang berlakon menjadi presiden.

Sujarwo, berlakon sebagai timbalan presiden bersetuju dengan pendapat tersebut menegaskan bahawa rancangan ini juga mengenengahkan isu-isu yang serius seperti banjir di Jakarta dan pentadbiran yang tidak cekap.

"Cerita satira lebih cepat dekat di hati," kata Agus Apriyanti, pelajar bidang kewartawanan yang menjadi sebahagian daripada penonton di studio.

Di sebalik pujian, ada juga yang meminta rancangan ini dihentikan kerana memalukan bangsa Indonesia. Ketua Partai Reformasi Tionghoa Indonesia, Lius Sungkharisma menyatakan Suruhanjaya Penyiaran Indonesia wajar memberi perhatian ke atas rancangan ini kerana dikatakan akan membawa pengaruh buruk kepada masyarakat.


"Dari sudut agama mana sekali pun tidak wajar memperolok-olok orang tua. Reformasi bukan bererti segalanya boleh dilakukan," katanya.

Thursday, November 15, 2007

Disiplin diri

Disiplin diri adalah keupayaan diri untuk mengambil tindakan tanpa menghiraukan keadaan emosi - marah, kasihan atau cemburu.

Bayangkan apa yang kita akan dapat capai jika menurut rasa hati tanpa menghiraukan apa yang bakal berlaku. Gambarkan diri kita adalah seorang yang sangat malas dan tiba-tiba berbisik kepada diri sendiri, "Tiga bulan dari sekarang, aku mesti mendapat RM10,000." Tanpa disiplin diri, niat kita ini tidak akan menjadi kenyataan.

Tetapi dengan disiplin diri yang dibina melalui latihan yang mantap, ianya boleh direalisasikan.

Mercu tanda disiplin diri ini ialah apabila kita menjejakkan seluruh hidup kepada kata putus yang penuh dengan kesedaran dan jaminan mencapai kejayaan apabila melaksanakan keputusan berkenaan.

Contohnya, berusaha menjadi seorang hafiz al-quran perlukan disiplin diri yang tinggi. Bangun pukul 3 pagi untuk menghafal surah-surah indah di dalam al-quran setiap malam adalah satu kaedah disiplin diri yang dapat memberi jaminan bahawa kita bakal menjadi seorang hafiz al-quran dalam tempoh tertentu.

Disiplin diri adalah salah satu mekanisme pembangunan diri yang boleh diberi perhatian. Tentulah ia bukannya ubat segala penyakit yang ada pada kita. Namun begitu, cabaran-cabaran dalam mendisiplinkan diri jika dapat diatasi, menjadi bonus kepada usaha membaiki diri.

Disiplin diri dapat memperkasa sebarang kelemahan diri. Ia dapat menekan sifat malas, membazir masa dan tidak peduli. Tambahan pula, jika digabungkan dengan sibat sabar, orientasi matlamat dan perancangan, kombinasi sifat-sifat ini dengan disiplin diri akan menzahirkan individu yang serba-serbinya hebat.

Membina disiplin diri

Disiplin diri umpama otot-otot pada badan kita. Lebih banyak latihan yang diberikan, otot-otot badan akan menjadi lebih sasa, kental dan badan menjadi tegap. Sebaliknya, badan akan lesu dan lemah tanpa latihan dan senaman.

Seperti mana perbezaan kekuatan otot pada setiap orang, kita juga mempunyai aras yang berbeza dalam disiplin diri ini. Ada orang yang mampu membina disiplin diri dan keazaman yang luar biasa. Ada pula yang tidak mampu membentuk disiplin diri walaupun dalam tempoh yang panjang kerana asas nilai terhadap disiplin diri yang tidak mantap.

Perkara asas kepada pembinaan disiplin diri ialah berhadapan dengan cabaran-cabaran yang kita mampu capai. Ini tidak bermakna mencuba dan gagal setiap hari atau berada dalam zon selesa. Kita akan gagal jika cuba melakukan sesuatu yang berada di luar kemampuan. Kita mesti bermula dengan cabaran-cabaran yang mampu kita atasi sendiri.

Latihan yang berterusan kunci kepada pencapaian yang lebih cemerlang. Melalui cara ini, kita dapat meningkatkan tahap kesukaran cabaran-cabaran yang seterusnya. Jika kita masih berusaha sama seperti sebelumnya sedangkan cabaran semakin besar dan hebat, kita tidak dapat membaiki prestasi sedia ada.

Amat menyakitkan jika kita cuba memaksa diri untuk membina disiplin diri. Jika kita cuba sedaya upaya mengubah diri dalam sehari semalam dengan berbelas-belas matlamat dan mengharapkan berlaku perubahan pada hari esok, kita sedang memilih jalan kegagalan sebenarnya. Keadaan ini sama seperti seseorang yang baru pertama kali berlatih mengangkat berat dan mencuba sedaya upaya mengangkat ketul besi seberat 100 kilogram!

Jika kita mampu mengangkat 10 kilogram, hanya 10 kilogram yang kita boleh dan mampu angkat. Tidak perlu rasa malu jika kita mampu buat berdasarkan kemampuan yang kita ada. Sekiranya latihan yang berterusan, teknik yang betul, insya Allah kita dapat membaiki keupayaan tersebut sehinggalah meningkat kepada 60, 70 ataupun 100 kilogram.

Apakah tidak ada langsung di dalam diri kita disiplin diri? Lebih banyak disiplin diri, hidup tentu lebih senang. Cabaran-cabaran yang nampak sukar dan mustahil diatasi terasa mudah. Semakin kuat semangat kita, semakin besar pula cabaran-cabaran yang bakal dilalui.

Jangan dibandingkan diri kita dengan orang lain. ianya tidak akan banyak membantu. Jika kita rasa lemah, orang lain kita nampak kuat. Justeru, tidak ada faedah membandingkan tahap keupayaan kita dengan orang lain kerana besar kemungkinan kita akan kecewa nanti.

Mari kita lihat contoh berikut.

Saya bercadang bekerja 8 jam sehari kerana sedar ianya akan memberi perbezaan yang ketara ke atas kerjaya saya selama ini. Jika saya berjaya, maknanya saya telah meningkatkan tahap cabaran kerjaya dengan menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Perubahan yang berterusan dapat mencerahkan peluang saya bagi menghasilkan pencapaian matlamat yang membanggakan.

Perubahan disiplin diri sama seperti perubahan suhu dalam ukuran darjah celsius. Semakin meningkat suhu, bacaan termometer juga meningkat. Walaupun satu darjah, perubahannya sangat ketara. Begitu juga disiplin diri, perubahan yang sedikit ke arah penambahbaikan diri yang positif, akan memberi erti yang besar kepada nilai hidup diri kita.

Wednesday, November 14, 2007

Kadar bunuh diri masih tinggi di Jepun

Sepanjang 2006, seramai 32,155 orang telah membunuh diri di Jepun, menjadikan jumlah ini sembilan tahun berturut-turut melebihi 30,000 orang. Pada 2003, jumlah ini adalah 34,427 orang.

Walaupun jumlah ini berkurangan sebanyak 397 daripada tahun sebelumnya, Jepun masih lagi berada pada kedudukan ke-10 sebagai negara yang paling tinggi kadar membunuh diri di dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan bahawa Lithuania menjadi negara paling tinggi kadar membunuh diri iaitu 42.1 peratus daripada 100,000 penduduk, diikuti Belarus dan Rusia.

Gelombang membunuh diri bermula pada 1958 dengan jumlah kematian adalah 23,641. Membunuh diri di Jepun tidak sama seperti di Iraq, Palestine atau Afghanistan kerana konsep membunuh diri sangat berkait rapat dengan keberanian dan mempertahankan diri (valiance and vindication). Konsep hara-kiri dan shinjyuu menunjukkan kedudukan sosial dalam masyarakat bagi kelas yang berbeza. Hara-kiri adalah keistimewaan yang diberikan kepada samurai bagi melindungi diri mereka daripada dibunuh oleh musuh. Manakala shinjyuu adalah bentuk membunuh di kalangan orang biasa.

Punca utama kejadian membunuh diri di Jepun ialah masalah kesihatan iaitu hampir 50 peratus, diikuti beban kewangan dan kesusahan hidup. Sebanyak 48 peratus daripada mereka ini tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Kadar 30,000 orang yang membunuh diri ini dikesan sejak 1998 apabila keadaan ekonomi yang teruk menyebabkan ramai yang muflis, hilang pekerjaan dan kecewa dengan hidup.

Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan Jepun memperkenalkan undang-undang yang menghendaki pihak majikan menyediakan perkhidmatan kesihatan mental kepada pekerja mereka. Di samping itu berusaha mengurangkan kadar pengangguran dan menapis laman web yang menggalakkan membunuh diri.

Hasrat kerajaan Jepun ialah mengurangkan kadar membunuh diri sehingga 20 peratus dalam masa 10 tahun.

Tuesday, November 13, 2007

Hulu Selangor diberi Anugerah Penyapu

Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menjadi penerima pertama 'Anugerah Penyapu' daripada kerajaan negeri kerana gagal mencapai sasaran kutipan hasil cukai semasa dan tunggakan tahun lalu.

Anugerah Khas sebatang penyapu yang diikat riben itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kepada wakil jabatan dan agensi berkenaan pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, semalam.


PTD Hulu Selangor dan MDHS hanya memungut 55 peratus cukai semasa dan 56 peratus cukai tertunggak, manakala MDHS memungut 66.9 peratus hasil cukai semasa dan 23.4 peratus cukai tertunggak tahun lalu.

Kerajaan Selangor menetapkan semua sembilan PTD serta 12 PBT memungut 90 peratus hasil cukai semasa dan 70 peratus hasil tunggakan cukai setiap tahun.

Dr Mohamad Khir berkata, anugerah itu diberi sebagai simbolik kepada PTD Hulu Selangor dan MDHS supaya berusaha membaiki prestasi untuk memenuhi sasaran yang ditetapkan kerajaan.

"Anugerah ini bukan bertujuan memalukan, menjatuhkan atau merendahkan semangat individu atau jabatan kerajaan dan PBT, tetapi memberi kesedaran supaya berusaha membaiki prestasi pada masa datang.

"Kita dapati tiada tindakan diambil oleh pegawai terbabit walaupun gagal mencapai tahap minimum yang ditetapkan," katanya.

Dr Mohamad Khir berkata, anugerah penyapu itu sebagai simbolik dan peringatan kepada pegawai atasan jabatan kerajaan dan PBT supaya membersihkan sikap tidak produktif kakitangan bawahan.

Katanya, sejak dimaklumkan pemberian Anugerah Penyapu itu awal tahun ini, PTD Hulu Selangor dan MDHS menunjukkan prestasi membanggakan sehingga September lalu.

Tujuh PTD dan PBT mencatatkan kutipan melebihi sasaran ditetapkan tahun lalu didahului PTD Sepang yang mengutip 112 peratus hasil cukai semasa dan 73 peratus cukai tertunggak diikuti PTD Hulu Langat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Semua jabatan dan agensi terbabit dibawa mengadakan lawatan ke Melbourne, Australia, selama lima hari pada pertengahan April lalu sebagai insentif.

[Berita Harian Online]

Monday, November 12, 2007

A giving society? The state of philanthropy in Malaysia

Editor: Josie M.F dan Abdul Rahman Ibrahim
Tahun: 2002
Penerbit: Penerbit Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Muka surat: 326

Sifat dermawan atau pemurah adalah fenomena kompleks yang dicirikan oleh nilai-nilai, aktiviti dan penglibatan institusi. Ia termasuk kesukarelaan, perkhidmatan percuma dan pertubuhan sukarela yang memberi faedah kepada sebahagian masyarakat ataupun masyarakat keseluruhannya.

Buku ini memberikan penerangan yang membezakan sifat dermawan dengan amalan kebajikan. Kebajikan bertujuan memberi bantuan yang segera dalam bentuk keperluan asas seperti makanan, tempat perlindungan, pakaian atau wang. Sifat dermawan adalah proses yang panjang kerana ia melibatkan komitmen atau iltizam yang menyumbang kepada pembangunan kemanusiaan, modal sosial dan mempermudahkan perubahan sosial masyarakat. Faktor-faktor seperti agama, budaya, kesejahteraan ekonomi dan ketelusan undang-undang memberi peranan yang kritikal ke atas pelaksanaan sifat ini. Namun begitu, arus hidup yang moden dan pengaruh globalisasi memberi impak kepada tingkah laku yang berbeza ke atas sifat dermawan ini.

A giving society? The state of philanthropy in Malaysia adalah kajian akar umbi yang menjadi mukaddimah kepada tingkah laku dermawan dan baik hati dalam masyarakat kita.

Susah untuk menghuraikan apakah yang dimaksudkan dengan sifat dermawan dan pemurah ini kerana ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. M. Nadarajah memberikan definisi umum untuk menghuraikan ertinya iaitu: sifat memberi dan menerima (masa, sumber) bagi meningkatkan kualiti hidup, kesukarelaan yang berkait dengan tingkah laku penyayang, konsep sukarela yang mempromosi nilai-nlai baik, sifat rela hati dan elemen "yang baik akan menang."

Walau bagaimanapun tiga elemen yang memudahkan pemahaman kita berkaitan sifat ini ialah mengambil berat kesejahteraan orang lain, menyedari kesengsaraan, kesusahan dan situasi sukar orang lain, dan dengan sukarela hendak membantu secara material atau bukan material.

Masyarakat yang memberi sangat rapat dengan kesedaran moral. Salah satu bentuk kesedaran moral ialah sumbangan badan-badan korporat kepada orang ramai yang menjadi mangsa kepada bencana alam, kemiskinan atau menghadapi masalah kesihatan. Badan-badan korporat ini lebih menjurus kepada sumbangan berbentuk tradisional iaitu kebajikan, kesihatan dan pendidikan. Sumbangan mereka ini berjumlah RM2,000 hingga RM5.5 juta iaitu kira-kira 38 peratus daripada jumlah sumbangan keseluruhan. Selebihnya diperolehi daripada tabung atau sumbangan khas yang disediakan.

Dapatan kajian juga melaporkan bahawa rayuan di media kerap berkaitan kanak-kanak kerana maklumat yang disampaikan oleh media ini lebih cepat dan maklum balas yang diterima meruntun hati banyak pihak. Justeru, surat khabar menjadi saluran penting kepada pertubuhan, kelab, badan korporat, sekolah dan institusi pengajian untuk mencanangkan sebarang bentuk bantuan.

Peranan kerajaan juga penting bagi menggalakkan sifat pemurah ini. Berbanding Malaysia, kerajaan Pakistan menjadi pihak yang berpengaruh untuk menggalakkan sifat dermawan masyarakat dengan menyediakan tanah bagi kerja-kerja kebajikan. Kerajaan Malaysia lebih bersikap "bekerja di sebalik tabir' dengan cara menyediakan peruntukan dan dana melalui kementerian, jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan khususnya untuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Secara ringkas buku ini mendedahkan sifat dermawan dan pemurah yang ada di dalam masyarakat Malaysia dari perspektif agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian, badan korporat (Petronas, Yayasan Lee dan Yayasan Sarawak), media massa dan individu.

Ulasan Editor: Menjadi masyarakat yang memberi adalah amalan mulia. Di Amerika Syarikat, individu kekal menjadi penyumbang yang terbanyak kepada usaha-usaha kebajikan dan kesukarelaan yang mana trend ini selari dengan rakyat Malaysia. Ia harus dikekalkan supaya masyarakat dan negara Malaysia dikenali sebagai negara penyumbang kepada kesejahteraan sejagat.

[Pekerja sosial di sekolah]