Hari ini, saya berkongsi fikiran dengan pelajar-pelajar tentang perkembangan pendidikan untuk Tingkatan Enam yang boleh belajar di universiti—satu idea baharu yang menarik.
Apabila saya bertanya kepada pelajar-pelajar, masing-masing tidak dapat memberikan pandangan yang kritikal tentang mengapa Tingkatan Enam perlu masuk ke universiti. Barangkali mereka tidak terfikir bahawa suatu hari nanti akan ada perancangan untuk meletakkan pelajar Tingkatan Enam di universiti.
Semua pelajar dalam kelas saya sedang berada di tahun dua dalam bidang pemasaran, dan kebanyakannya berumur 22 tahun.
Jadi, saya membuka peluang untuk perbincangan. Saya memilih untuk memulakan topik “Malaysia Negara Maju 2025”. Untuk maju, saya menunjukkan dua elemen penting: pertama, berkaitan dengan ekonomi, dan kedua, berkaitan dengan pendidikan.
Ekonomi Malaysia pada tahun 1970-an masih bergantung pada sektor pertanian dan bergelut dengan kemiskinan. Bayangkan, pada tahun 1970, hampir separuh (49.3%) rakyat Malaysia hidup dalam kemiskinan. Daripada sepuluh orang, terdapat lima orang miskin.
Jadi, bagaimana hendak menjadi sebuah negara maju?
Selepas berpuluh-puluh tahun dengan pelbagai dasar, kadar kemiskinan mutlak kini berada di bawah satu peratus—pencapaian yang sangat membanggakan. Saya menceritakan isu kemiskinan supaya pelajar dapat membuka minda mereka untuk melihat bahawa suatu ketika dahulu, rakyat Malaysia menghadapi kesusahan.
Saya mengembangkan lagi kaitan ekonomi dengan pendidikan. Saya berkongsi latar belakang keluarga saya yang hidup di kampung, jauh dari pembangunan. Ayah saya hanya belajar hingga tahun dua atau tahun tiga di sekolah rendah. Begitu juga dengan ibu saya.
Kedua-duanya tidak menghabiskan persekolahan walaupun di peringkat rendah kerana kemiskinan.
Kemudian, saya bertanya kepada beberapa pelajar tentang tahap pendidikan tertinggi ibu bapa mereka. Kebanyakan menjawab peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermakna, ibu bapa mereka mewakili tahap pendidikan yang lebih baik.
Di sini, saya menjelaskan betapa ekonomi dan pendidikan di Malaysia telah berubah dengan ketara. Orang miskin yang semakin berkurangan bermakna orang yang berkemampuan semakin bertambah.
Apabila saya memberikan kenyataan ini, ada pelajar yang tersengih-sengih dan mengangguk-angguk kepala. Barangkali mereka mula menyedari keadaan negara kita sekarang.
Saya juga menyatakan, “Jika ayah saya yang tidak habis belajar sanggup bersusah payah menyekolahkan saya hingga ke universiti, anak-anak kamu semua nanti tentu bangga dengan ibu bapa yang telah berjaya belajar di universiti.”
Harapannya, kata-kata saya ini dapat memberi semangat kepada pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.
Kembali kepada isu Tingkatan Enam di universiti, saya menerangkan bahawa perubahan sentiasa berlaku dalam pendidikan di semua peringkat. Jadi, kita tidak perlu memandang satu idea sebagai penghalang kemajuan. Sebaliknya, ia harus menjadi pendorong kepada kemajuan yang lebih pantas. Idea perlu dilihat daripada perspektif yang lebih luas, pelbagai sudut dan yang paling penting adalah impak pelaksanaannya.
Di akhir kelas, saya dapat merasakan kebanyakan pelajar masih belum jelas dengan impak pelaksanaan idea ini. Namun, sekurang-kurangnya mereka mula berfikir bahawa pendidikan di Malaysia telah berubah dan akan terus membawa kebaikan.
No comments:
Post a Comment