Tuesday, May 06, 2025

Kerja bukan sekadar dapat gaji


Kerja adalah sumber pendapatan – tak kira kecil atau besar jumlahnya. Ada yang dapat gaji secara bulanan, ada yang terima komisen dan ada juga yang dapat bayaran selepas menyiapkan projek. Pendek kata, kerja adalah duit. Tapi betul ke kerja cuma pasal duit?

Bayangkan, lepas seharian penat bekerja atau sebulan berusaha kejar tarikh akhir, akhirnya kita terima bayaran. Rasa puas yang dialami sangat susah digambarkan!

Berbeza bagi yang menganggur, mereka tidak dapat merasai ‘nikmat’ itu. Tak hairanlah sekarang ini, hampir semua orang mesti bekerja demi survival hidup.

Cuma, kerja bukan semata-mata kerana hendak beli barang dapur, bayar bil atau simpan duit. Sebenarnya, kerja juga membantu perkembangan mental dan emosi kita.

Kalau kita kerja hanya untuk kejar duit, lama-lama kita akan rasa letih dan kosong. Sebab tu penting untuk faham konsep rezeki dalam pekerjaan kita.

Contohnya, ada orang yang rajin dan bijak berstrategi dalam kerja – akhirnya dia berjaya capai impian, boleh beli rumah, pakai kereta idaman, makan sedap-sedap, malah boleh melancong ke luar negara. Tapi, apa sebenarnya makna kerja yang betul-betul memberi erti?

Saya teringat kata-kata Buya Hamka, seorang tokoh agamawan dari Indonesia, “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.”

Padu, kan? Maksudnya, kalau kita hidup tanpa arah, cuma ikut rutin – tidak ubah seperti haiwan. Kita manusia ada akal dan nilai – hidup kita sepatutnya lebih bermakna.

Sama juga dengan kerja. Kerja bukan sekadar membuat tugasan. Ia sepatutnya membina akal, mendidik jiwa, dan menyumbang kepada masyarakat.

Kerja sebenarnya boleh jadi satu bentuk terapi mental. Kita berfikir, selesaikan masalah, bercambah idea dan hasilkan sesuatu. Ini semua membuatkan minda ‘bersenam’. Apabila otak aktif, badan pun lebih bertenaga.

Lagi satu cara untuk aktif secara mental? Menulis! Dulu, orang menulis di majalah dan surat khabar. Sekarang lebih mudah, ada Facebook, blog dan pelbagai platform dalam talian. Kita boleh berkongsi idea, pengalaman, atau pandangan pada bila-bila masa saja.

Sebab itu kerja sangat penting dalam hidup sehingga kerajaan menyediakan cuti umum untuk pekerja sebagai penghargaan dan motivasi. Bukan itu sahaja, ada juga ganjaran seperti bonus, kenaikan gaji, dan cuti panjang semasa perayaan.

Selepas bersara pun, ramai yang masih terus bekerja, bukan kerana mengejar wang tetapi mengekalkan kecergasan mental dan fizikal. Anak-anak pun sudah besar, jadi boleh fokus kepada minat sendiri, berkhidmat dalam komuniti atau menyertai aktiviti kembara di dalam dan luar negara.

Pesara yang bijak akan mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat, contohnya, beri infaq, bantu orang susah dan menyumbang kepada masyarakat. Apabila kita buat semua ini dengan ikhlas, baharulah betul-betul terasa, kerja itu menyuburkan jiwa dan akal.

Kerja bukan semata-mata tentang dapat wang atau menghabiskan masa. Ia adalah ruang untuk kita berkembang. Apabila kita bekerja dengan tujuan dan kesedaran, baharulah hidup terasa bermakna. Seperti kata Hamka, jangan hidup umpama babi dan jangan bekerja umpama kera. Kita manusia, hidup dan kerja kita seharusnya lebih tinggi nilainya.


No comments:

Post a Comment