Anak perempuan tunggalnya telah meninggal dunia ketika sedang tidur. Sekitar pukul tiga pagi, rakan-rakan sebilik mendengarnya menarik nafas yang agak keras kemudiannya senyap sehinggalah ke subuh. Apabila dikejutkan, tubuhnya tidak ada lagi tindak balas.
Di bawah mesej terdapat gambar jenazah anaknya di dalam keranda van jenazah yang akan dibawa pulang ke Setiu, Terengganu. Dia sendiri meletakkan kepala dan tangannya di atas usungan jenazah, menerima takdir yang tidak disangka-sangka itu.
Anaknya berusia 20 tahun itulah satu-satunya anak yang dia ada bersama suaminya, Luqman.
Saya turut bersedih dan meninggalkan ucapan takziah di ruang komen.
Selepas itu muncul pula kematian yang sangat tragik. Lapan orang kakitangan FRU (Federal Reserve Unit) telah terkorban kerana kemalangan jalan raya di Teluk Intan, Perak. Kemalangan ini melibatkan trak FRU dan sebuah lori pasir. Kematian ini bukannya kisah sedih yang biasa sebaliknya menghimpunkan semua perasaan kecewa, marah, sedih dan bimbang yang berterusan.
Selain kematian, mangsa-mangsa juga mengalami kecederaan parah kerana terhimpit dan hentakan yang kuat secara tiba-tiba.
Kita sedih dan kecewa kerana jumlah kematian yang besar dalam kemalangan jalan raya ini menyebabkan lapan keluarga hilang tempat bergantung dan pasukan FRU hilang anggota yang berkemahiran.
Kita marah, bimbang dan merasa cemas kerana punca kemalangan adalah kegagalan teknikal pada lori pasir. Sudah tentu lori ini tidak diselenggara dengan baik, dibawa di atas jalan raya yang mana setiap kenderaan ada kemungkinan besar untuk terlibat dalam kemalangan dan akhirnya takdir menetapkan kemalangan harus berlaku kepada kenderaan yang membawa anggota FRU tadi.
Kematian adalah pemutus hidup. Mati ini boleh berlaku pada bila-bila masa, ke atas sesiapa sahaja dan di mana-mana saja. Al-Quran menyebut hal kematian ini dalam surah An-Nisa’ ayat 78 iaitu, “Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh”.
Konsep mati dalam Islam jauh berbeza dengan agama-agama lain. Mati hanya menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang manusia yang akan berakhir dengan penentu sama ada di syurga mahupun di neraka.
Apabila memahami dan menerima konsep ini, orang-orang Islam tidak terlalu emosional dalam meratapi orang-orang yang meninggal dunia. Sehabis-habis tinggi ratapan mereka hanyalah ucapan ‘innalillah…” ataupun membaca Al-Fatihah, selepas itu ada sedikit tahlil, itu pun diadakan mengikut kemampuan keluarga.
Tidak ada iringan muzik, pukulan gendang atau bunga jambak besar untuk mengiringi jenazah. Sebaliknya bacaan talkin sebaik sahaja jenazah dikebumikan. Semua proses ini diselesaikan dalam tempoh yang singkat, mungkin dua hingga tiga jam dan sesegera yang boleh.
Berhampiran kawasan kejiranan rumah saya terdapat perkuburan pelbagai agama. Bermula dengan kawasan kubur orang-orang Buddha, di sebelahnya terdapat perkuburan Khatolik, di depannya pula ada kawasan perkuburan penganut Hindu dan Bahai. Manakala di hujung sekali adalah kawasan perkuburan orang-orang Islam.
Oleh kerana setiap hari saya melalui kelima-lima kawasan perkuburan ini, rasa gentar dan berdebar-debar sudah tidak ada lagi. Namun, ada sedikit perasaan apabila melalui kawasan kubur orang Islam. Timbul sedikit sebanyak rasa cemas kerana suatu hari nanti saya juga mungkin ditempatkan di situ.
Ketika itu ingatan kepada kematian agak kuat.
Sebagai orang yang masih hidup, setiap hari kita berada di atas jalan raya dengan kenderaan kita sama ada dengan kereta atau motosikal. Kebarangkalian terlibat dalam kemalangan jalan raya adalah tinggi kerana kita tidak tahu kenderaan yang mana satu dalam keadaan terbaik, selalu diselenggara dan sesuai di atas jalan raya. Kita juga tidak tahu perangai dan sikap pemandu kerana silap hari bulan kita berhadapan dengan pemandu yang agresif dan baran.
Kematian tidak mengenal tempat, masa dan keadaan. Ia boleh datang pada bila-bila masa. Bersedia untuk menghadapi kematian adalah peringatan yang terbaik. Ada orang yang sentiasa bersedia dan ada pula yang bersikap sambil lewa. Apabila ajal telah sampai, tidak ada apa-apa yang dapat dicapai lagi.
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan". (Surah Al-Anbiya’, ayat 35)
No comments:
Post a Comment