Wednesday, May 21, 2025
Papan tanda anti-homoseksual: Antara mesej agama dan respons masyarakat
Kemunculan papan tanda peringatan tentang larangan terlibat dalam hubungan songsang atau homoseksual di kawasan strategik sekitar Kuala Terengganu telah menarik perhatian apabila media memaparkan imej papan tanda berkenaan.
Tujuan tindakan ini dapat dilihat melalui reaksi orang ramai yang dikongsi bersama untuk kita menilai sejauh mana isu ini menarik perhatian untuk dibincangkan secara terbuka.
Pandangan daripada aktivis dan ahli akademik turut diberi perhatian. Seorang aktivis yang terlibat secara langsung mempertahankan golongan transgender telah memberi reaksi tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri Terengganu tersebut kerana berpendapat ia menggalakkan kebencian.
Apakah maksud kebencian yang dinyatakan? Adakah benci kepada transgender atau benci kepada perbuatan songsang berkenaan?
Wakil kerajaan negeri Terengganu menegaskan bahawa papan tanda tersebut dipasang untuk menimbulkan rasa benci kepada perbuatan songsang dalam masyarakat di negeri itu.
Hubungan songsang homoseksual dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran. Ia merupakan tindakan menjijikkan dan membahayakan kemanusiaan (Al-‘Ankabut, ayat 28), dan perbuatan ini dianggap lebih buruk daripada binatang kerana haiwan pun tidak melakukan hubungan sesama jenis.
Nabi Luth menegur mereka seperti yang dirakamkan dalam Surah Asy-Syu’ara (ayat 165 hingga 166) dengan bertanya mengapa mereka memilih lelaki daripada wanita yang diciptakan Allah SWT sebagai pasangan.
Namun masyarakat Barat yang tidak peduli dengan ancaman ini sedang giat mempromosikan nilai dan budaya hidup golongan songsang ini ke seluruh dunia. Mereka berusaha menerapkan nilai-nilai ini melalui filem, pendidikan prasekolah dan melobi undang-undang anti-diskriminasi.
Di media sosial, mereka membentuk saluran khas yang mendedahkan identiti dan ciri-ciri homoseksual seperti logo dan gambar pelangi, karnival pelangi serta mengetengahkan golongan artis dan tokoh pemimpin politik yang menyokong homoseksual ini.
Kempen mereka ini telah berjaya mempengaruhi kerajaan-kerajaan negara di Barat dan sebahagiannya di Asia untuk membenarkan homoseksual dengan alasan hak asasi manusia serta disebabkan oleh kelemahan perundangan yang boleh menyebabkan kerajaan disaman.
Tindakan yang dilihat sebagai sokongan terhadap golongan ini termasuk kebenaran berkahwin sesama jantina. Ia berlaku tidak jauh dari sempadan negara kita. Membenarkan perkahwinan sejenis adalah bom jangka yang akan memusnahkan moral dan merendahkan martabat kemanusiaan.
Usaha kerajaan negeri Terengganu menaikkan papan tanda mengingatkan tentang homoseksual ini bermula daripada keazaman untuk membanteras salah laku songsang dalam masyarakat Islam. Ia selari dengan kenyataan dalam Al-Quran yang sentiasa menyatakan bahawa pada setiap masa akan ada sekumpulan orang yang sentiasa mencegah maksiat dan kemungkaran supaya masyarakat tidak menerima bala dan ditimpa musibah. Bala dan musibah ini akan menghalang keberkatan dan rahmat Allah SWT.
Kita berharap usaha ini akan turut diikuti oleh kerajaan negeri-negeri lain supaya masyarakat kita terhindar daripada salah laku moral dan juga tindakan yang boleh merosakkan institusi masyarakat keseluruhannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment