Ada orang yang rajin, ada orang yang malas dan kedua-duanya adalah lumrah hidup setiap orang. Kalau tidak ada turun naik dalam kedua-dua sifat ini, kita tidak tahu kelebihan dan kekurangan diri kita sendiri.
Ciri-ciri rajin dan malas sangat ketara, jauh perbezaannya. Kita boleh nampak sifat orang yang rajin, sama juga kita boleh nampak sifat orang yang malas. Kedua-dua sifat ini sangat jelas di hadapan kita, tidak kiralah sama ada orang itu di hadapan kita ataupun di belakang kita.
Akhirnya kita boleh simpulkan “Orang yang rajin tunjukkan hasil, orang yang malas berikan alasan”. Jadi, hendak bezakan antara rajin dan malas adalah dengan mengenal pasti hasil akhir yang dilihat sama ada hasil ataupun alasan.
Hasil ini boleh dilihat apabila ada objektif ataupun matlamat yang hendak dicapai, tidak kiralah satu ataupun 10 matlamat. Tidak kira jugalah sama ada matlamat ini mudah atau pun susah. Memberi tumpuan kepada pencapaian objektif ataupun matlamat adalah lebih mudah, boleh diukur dan menggerakkan seluruh pemikiran dan tindakan kita untuk menuju ke arah merealisasikan sifat rajin. Kesedaran seperti ini melenyapkan sama sekali rantai-rantai kemalasan yang melekat pada fikiran kita.
Jadi, rajin ini ada hubungan rapat dengan fokus dan matlamat yang hendak dicapai. Kita boleh bergerak dan membuat transformasi apabila terdapat sokongan untuk membentuk matlamat. Ia boleh dibuat kepada diri sendiri, rakan-rakan, pelajar ataupun keluarga sendiri.
Pelbagai jenis sokongan yang boleh diberi seperti kata-kata yang baik, nasihat, tunjuk ajar, ajak berbincang, memberi bimbingan ataupun menunjukkan contoh.
Dalam hal ini, banyak teladan yang kita boleh lihat. Katakan kita ambil contoh yang terbaik sepanjang masa iaitu Nabi Muhammad SAW yang telah membuat perubahan kepada sahabat-sahabatnya untuk memiliki sebuah kehidupan yang sangat bermakna.
Kenapa Nabi Muhammad SAW menjadi contoh perubahan yang terbaik? Kerana kita telah lihat hasilnya iaitu dalam kalangan sahabat-sahabat ada yang yang berubah 100 peratus dari segi watak dan pemikiran mereka.
Watak yang paling menarik pada saya ialah perubahan pada Umar Al-Khattab iaitu seorang yang beripadi keras kepala, berjiwa protes dan boleh membuat keputusan yang ekstrem.
Soalan di sini adalah bagaimana Umar boleh berubah?
Begini kisahnya.
Di tengah debu dan angin padang pasir, seorang lelaki gagah berjalan pantas, matanya menyala dengan kemarahan. Tangannya menggenggam pedang. Umar al-Khattab, nama yang ditakuti Quraisy. Tegas, lantang dan tiada kompromi bagi sesiapa yang menentang agama nenek moyang.
“Hari ini, aku akan tamatkan ajaran Muhammad!” tekadnya bergema dalam hati. Setiap langkah menuju ke arah rumah Nabi Muhammad SAW sarat dengan niat membunuh.
Namun, takdir Allah mendahului manusia.
Di pertengahan jalan, Umar terserempak dengan seorang lelaki Quraisy. Lelaki itu terkejut melihat wajah Umar yang merah menyala. Dengan cemas dia bertanya, “Wahai Umar, ke mana kau menuju dengan pedangmu yang terhunus?”
Dengan dada yang membuak kemarahan, Umar menjawab, “Aku mahu membunuh Muhammad! Dia telah memecah-belahkan Quraisy, mencaci tuhan kita, dan menyesatkan anak-anak muda!”
Lelaki itu menelan liur. Tapi dengan keberanian, dia berkata, “Wahai Umar… Sebelum kau pergi ke Muhammad, tidakkah kau tahu… adikmu Fatimah dan suaminya juga telah memeluk Islam?”
Petir seakan menyambar dada Umar. Wajahnya bertukar, bibirnya mengetap geram. Tanpa banyak bicara, dia membelok arah. Langkahnya laju menuju ke rumah adiknya sendiri.
Di sebuah sudut rumah, Fatimah binti al-Khattab dan suaminya, Said bin Zaid sedang belajar membaca al-Quran bersama seorang sahabat, Khabab bin al-Aratt. Suasana tenang, cahaya iman menyinari wajah mereka.
Tiba-tiba—DUMM!
Pintu diketuk kuat. Langkah deras, suara kasar bergema, “Fatimah! Said! Buka pintu sekarang!”
Wajah Fatimah berubah. Khabab segera menyembunyikan lembaran al-Quran. Fatimah membuka pintu—dan di hadapannya berdiri Umar, matanya merah, nafasnya deras seperti singa lapar.
“Aku dengar kau berdua ikut Muhammad! Betul?!”
Said cuba menenangkan. Namun satu tamparan padu hinggap di wajah Fatimah. Darah mengalir dari hidungnya. Namun dari bibirnya, tidak ada rintihan.
Yang ada hanya kata-kata, “Ya Umar, kami beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Buatlah apa yang kau mahu. Kami tidak akan berpaling”.
Tangan Umar terhenti. Nafasnya perlahan. Dia menoleh ke arah lembaran yang tersembunyi. “Apa itu? Bacaan apa yang kalian tadi baca?”
Fatimah menjawab dengan tenang, “Itulah ayat-ayat dari al-Quran. Tapi kau tidak layak menyentuhnya dalam keadaan tidak suci.”
Umar terdiam. Kali ini, tidak ada kemarahan. Yang ada hanyalah… rasa ingin tahu yang luar biasa. Dia melangkah ke luar, menyucikan dirinya. Lalu kembali dan berkata, “Berikan padaku… aku mahu membacanya”.
Suasana sunyi. Hanya nafas Umar yang terdengar. Matanya semakin berkaca. Hatinya, yang keras seperti batu, mulai retak. Ayat itu... ayat itu menyelinap masuk seperti cahaya yang menembusi malam yang gelap.
“Ini… ini bukan kata-kata manusia…” bisiknya perlahan.
Umar berdiri. Lembaran itu masih di tangannya. Wajahnya berubah—dari kemarahan kepada ketundukan. Lalu dia berkata dengan suara rendah, “Tunjukkan aku di mana Muhammad”.
Petang itu, langkah Umar menuju rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam bukan lagi dengan pedang yang ingin membunuh, tetapi dengan hati yang ingin tunduk. Para sahabat di dalam rumah itu gempar apabila mendengar Umar mahu masuk. Tapi Nabi Muhammad SAW tenang.
Umar masuk, menatap wajah Rasulullah SAW.
“Wahai Muhammad, aku datang bukan untuk membunuh. Aku datang… untuk beriman kepadamu dan kepada Tuhanmu”.
Allahu Akbar!
Takbir bergema memenuhi rumah. Hari itu, langit Mekah menyaksikan keislaman Umar al-Khattab, singa padang pasir yang kini menjadi pelindung Islam.
Begitulah kisah bagaimana Surah Taha, ayat 1–5 yang menjadi pemicu kepada hidayah Umar al-Khattab. Dari seorang yang paling keras menentang Islam kepada seorang pemimpin agung dalam sejarah umat.
Hidayah datang bukan dengan paksa tetapi dengan cahaya. Kadangkala, cukup hanya dengan lima ayat al-Quran untuk mengubah sejarah dunia.
Pada saya, perubahan itu bermula dengan doa Nabi Muhammad SAW yang mengharapkan hidayah pada dua Umar. Di sinilah titik penting untuk membuat perubahan iaitu doa.
Untuk berubah, pilihan terbaik adalah doa. Doalah sebanyak-banyaknya untuk siapa sahaja sama ada diri kita, anak-anak kita, rakan kita, pemimpin atau bangsa kita.
Ulang doa setiap hari untuk membantu orang lain membuat perubahan. Permintaan kita dimasukkan dalam doa selepas solat ataupun waktu ketika dalam perjalanan ataupun bermusafir.
Salah satu kaedah untuk menjadi rajin dan meninggalkan sifat malas ialah berdoa. Jadikan doa sebagai satu tabiat yang dilakukan setiap hari di mana-mana saja khususnya selepas kita bersolat. Dalam al-quran Allah SWT menyebut “berdoalah kepadaKu nescaya Aku perkenankan”.
No comments:
Post a Comment