Saturday, May 17, 2025

Lapan ringgit


Setiap kali sambutan Hari Guru, saya teringatkan guru-guru saya yang pernah mengajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Sekolah saya ialah Sekolah Kebangsaan Kodiang di Kedah dan kemudian di sebuah sekolah asrama di Beseri, Perlis.

Semasa di sekolah rendah, barangkali saya antara pelajar yang bernasib baik kerana pernah belajar di sekolah lama dan juga sekolah baharu.

Sekolah lama terletak di dalam pekan Kodiang, iaitu bersebelahan pasar basah, arah jalan menuju ke kawasan Pida.

Bangunan sekolah lama ini terdiri daripada bangunan utama yang mempunyai kantin, kelas, bilik guru dan sebuah rumah guru. Tandas dan bilik air pula terletak di kawasan luar bangunan kelas.

Saya belajar dari tahun satu hingga tahun tiga, kemudian berpindah ke bangunan baharu yang terletak di tengah-tengah sawah bendang di Jalan Kodiang-Jitra. Bangunan ini mempunyai tiga tingkat dan sebuah kantin. Hari ini, sudah ada bangunan tambahan dan rumah guru yang dibina bersebelahan kantin. Saya yakin bilangan pelajar juga semakin bertambah.

Kali ini, saya mengimbau kembali zaman tahun 1980-an ketika saya berada di tahun empat hingga tahun enam. Ketika itu, simpang empat pekan Kodiang belum lagi mempunyai lampu isyarat, manakala restoran pasembor Hussain yang terkenal sentiasa dipenuhi pelanggan dan kedai buku Toko Othman menjadi tumpuan orang ramai dan pelajar untuk membeli surat khabar dan peralatan sekolah. Tuan punya kedai ini kami panggil "Pak Man".

Semua orang Kodiang kenal Pak Man.

Kenangan yang ingin saya ceritakan adalah tentang seorang guru kelas yang sentiasa bertanyakan saya tentang bayaran lawatan ke Cameron Highlands.

Namanya Cikgu Saad.

Lawatan ini melibatkan pelajar tahun lima yang telah selesai Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Kami akan pergi dengan bas sewa khas.

Untuk bayaran lawatan, semua pelajar diminta membayar lapan ringgit seorang. Lalu, saya beritahu kepada ayah saya jumlah ini dan meminta agar ia dibayar segera kerana Cikgu Saad akan bertanya setiap kali beliau masuk ke kelas.

Sayangnya, saya tidak dapat memberi wang tersebut kerana ayah saya belum mempunyai wang pada masa itu. Setiap kali Cikgu Saad meminta wang, semua pelajar dalam kelas akan melihat saya yang tersipu-sipu malu sambil memaklumkan bahawa ayah saya masih belum memberi duitnya.

“Zahir, mana duitnya?”

Pertanyaan tersebut berulang-ulang dalam tempoh seminggu sehingga saya berasa sangat malu kepada rakan-rakan.

Sehinggalah suatu pagi, ayah saya akhirnya memberikan wang syiling sebanyak lapan ringgit yang saya masukkan ke dalam poket seluar sekolah. Saya ke sekolah bersama ayah saya dengan motosikal kapcai tanpa memakai topi keledar.

Ketika mendapat wang ini, saya sangat gembira dan tidak lagi berasa malu jika Cikgu Saad bertanya. Wang syiling lapan ringgit ini saya masukkan ke dalam laci meja dalam kelas.

Suatu hari, apabila Cikgu Saad masuk dan bertanyakan wang lawatan, saya segera mengambil duit syiling tersebut dan berjalan ke arahnya untuk menghulurkan duit itu.

Saya berikan kepada Cikgu Saad dan berasa sangat puas. Cikgu Saad juga tersenyum.

Fikiran dan hati saya berasa lapang kerana tidak lagi tertekan setiap kali Cikgu Saad masuk ke kelas dan bertanyakan wang lawatan.

Kisah ini masih saya ingat kerana ia amat dekat dengan hati saya. Perasaan malu dan tertekan selama beberapa hari menjadikan saya beremosional dan berfikir panjang.

Mendapatkan lapan ringgit bagi seorang petani bukanlah perkara yang mudah. Petani tidak mempunyai kerja tetap dan masa lebih banyak dihabiskan di sawah. Apabila musim menuai tiba, barulah ada wang untuk membayar hutang dan belanja keluarga.

Jika belanja agak banyak, ayah saya akan menjual padi yang disimpan di jelapang, membawanya ke kilang padi dan dapatlah tujuh atau lapan puluh ringgit. Jumlah ini dianggap besar pada tahun 1980-an kerana nilai ringgit ketika itu sangat tinggi.

Untuk belanja harian di sekolah, saya diberi empat puluh sen, cukup untuk membeli sepinggan nasi dan air sirap. Jumlah ini sudah memadai untuk mengisi perut sepanjang sesi persekolahan.

Cikgu Saad dan duit syiling lapan ringgit akan terus saya ingat. Kedua-duanya menjadi motivasi untuk saya tidak lagi memaksa sesiapa sahaja tanpa mengetahui masalah dan latar belakang hidup yang dihadapi.

Saya mesti sedar bahawa tidak semua orang mempunyai wang yang diminta, sebaliknya saya perlu mengambil tahu masalah mereka dan bersedia untuk membantu.

Setiap kali kelas pertama di awal semester, saya akan bertanya kepada pelajar-pelajar tentang keadaan mereka, pekerjaan ibu bapa dan masalah yang mereka hadapi supaya saya dapat membantu mereka, tidak kira dari kampung atau bandar.

Saya juga meminta mereka tidak malu-malu untuk berkongsi keadaan hidup keluarga masing-masing supaya saya dapat menawarkan bantuan yang sesuai.

Beberapa tahun lalu, kita pernah mendengar ada pelajar yang terpaksa menahan lapar sepanjang hari atau membeli nasi dengan kuah kari sahaja kerana tidak mempunyai wang. Pelajar-pelajar ini datang dari keluarga miskin, mempunyai adik-beradik yang masih bersekolah, dan ibu atau bapa yang menghadapi masalah kesihatan.

Untuk pelajar-pelajar ini, saya sentiasa membantu dan mendoakan kejayaan mereka di universiti. Seterusnya, semoga mereka mendapat pekerjaan yang baik supaya dapat mengubah kehidupan keluarga.

Cikgu Saad telah memberikan inspirasi positif kepada saya untuk tabah dan menghargai kesungguhan ayah saya untuk memberikan rasa bahagia. Walaupun hanya lapan ringgit, ia telah membentuk set minda yang tangguh dan sentiasa menghargai kisah-kisah ketika zaman persekolahan.

No comments:

Post a Comment