Maghrib hari ini saya singgah di Pasar Tani, Tedungan, Limbang. Biasanya surau di kawasan ini dibuka sehingga ke waktu isyak.
Selepas solat maghrib, saya meredah hujan barai-barai melintasi bonet hadapan teksi berwarna merah kuning kepunyaan Pakcik Daimon, pemandu teksi yang sentiasa bersiap sedia membawa saya ke Limbang untuk makan-makan di samping melihat perkembangan sosial masyarakat di sana.
Setiba di hujung deretan gerai, saya terlihat seorang lelaki sedang mengcekak rambut kanak-kanak lelaki, sekitar 9 atau 10 tahun yang sedang menangis tersedu-sedu. Saya tidak tahu apa sebabnya lelaki berkenaan berbuat begitu.
Mata tertumpu kepada mulut lelaki yang sekali-sekala menjerkah seperti memarahi kanak-kanak itu.
Dia juga menepuk belakang kepala kanak-kanak itu dan bercakap seolah-olah marah memberitahu sesuatu.
Saya menuju ke gerai menjual kepak ayam dan memesan sepuluh ringgit bersamaan enam kepak. Sambil melihat penjual remaja perempuan memanaskan enam kepak yang diminta, mata saya menjeling ke arah lelaki tadi.
Lelaki tadi berjalan ke arah gerai kepak ayam sambil dua jari kananya menyepit sebatang rokok yang masih tinggal suku batang, dia memeriksa beberapa buting kepak ayam, hati buyah dan bontot ayam di bahagian belakang gerai. Mungkin dia sebahagian daripada pengusaha kepak ayam ini.
Selepas membayar harga kepak ayam, saya beredar dan melalui tempat duduk kanak-kanak tadi. Kali ini saya lihat lelaki berkenaan menyua sehelai tuala kecil berwarna biru tetapi kanak-kanak itu tidak mempedulikannya. Sambil teresak-esak dia membiarkan lelaki berkenaan mengesat air mata yang mengalir keluar sambil bercakap sesuatu.
Saya lihat kanak-kanak ini mengangguk sahaja, tersedu-sedan.
Peristiwa ini mengingatkan saya kepada kisah seorang ayah yang menengking anak perempuan berumur dalam lingkungan enam hingga tujuh beberapa tahun lalu. Ia berlaku di sebuah restoran yang saya kerap bersarapan dan makan tengah hari.
Mungkin kerana marahkan anak, si ayah menguatkan suara meminta anaknya pergi ke sekolah. Dengan marah-marah beliau mengambil motosikal dan meminta si anak membonceng. Hidupkan dan enjin dan terus pergi.
Baiknya dia tidak menyokoh kepala atau menampar pipi si anak.
Menjadi ayah atau bapa sangat mencabar. Lebih-lebih lagi ketika anak-anak sedang meniti umur lapan hingga sebelas tahun. Perkembangan emosi, psikologi dan mental mereka sedang berkembang dan ingin tahu banyak perkara.
Dalam mencari dan menemui nilai dan norma hidup yang betul, kadangkala mereka melakukan salah dan silap. Di sinilah peranan bapa untuk menunjuk ajar dan membimbing anak-anak menggunakan pelbagai pendekatan kreatif dan sesuai dengan personaliti anak-anak.
Ada anak lelaki yang sangat sensitif dengan ucapan dan tindakan bapa. Kata-kata yang menyinggung emosi membuatkannya bebai atau merajuk sepanjang hari. Ada anak perempuan yang tidak kisah malah senang dipujuk dengan kata-kata manis.
Pokoknya, bapa kenalah mengambil tahu kaedah menunjuk ajar anak-anak supaya perkembangan emosi, psikologi dan mental mereka dapat dibina ke tahap optimum.
No comments:
Post a Comment