Tuesday, October 03, 2017

Buli di kawasan sekolah







oleh Ahmad Sollehin Zulkeflee

Kejadian buli di sekolah merupakan masalah disiplin yang sukar dibanteras dan ia mungkin membawa kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Perasaan ego, cepat marah, balas dendam, rasa seronok, pengaruh kawan dan elemen perkauman yang lain menjadi punca di sebalik kejadian buli.

Hal ini dapat ditunjukkan melalui kajian yang dijalankan di sekolah-sekolah Malaysia yang mana setiap hari terdapat pelajar yang takut ke sekolah kerana khuatir akan dibuli.

Sebagai contoh, kes pelajar sekolah di Kuala Lipis, Pahang yang mengalami kecederaan teruk tulang belakang selepas disepak oleh sekumpulan pelajar tingkatan tiga dan tingkatan lima menggunakan kasut kadet polis.

Bukan itu sahaja, terdapat juga kes di mana seorang pelajar sekolah menengah mengalami kecederaaan organ dalaman selepas dipukul oleh pelajar senior yang mana berlaku di Batu Pahat.
Cadangannya adalah pihak sekolah boleh merancang program yang membabitkan penyertaan pelajar daripada pelbagai kaum etnik. Dengan cara ini, pihak sekolah boleh membangunkan modal insan yang berkualiti dan mengelakkan masalah buli dalam kalangan pelajar.

Badan pentadbir sekolah juga perlu telus dalam dalam melaporkan masalah disiplin khasnya yang membabitkan buli dan pergaduhan kepada Kementerian Pendidikan yang menandakan pembabitan proaktif mereka dalam memerangi masalah ini di peringkat nasional.

Dari segi keluarga pula, ibu bapa perlu menunjukkan peranan yang baik agar dapat dicontohi oleh anak-anak yang bergelar pelajar. Hal ini kerana setiap tingkah laku ibu bapa akan diwarisi oleh anak-anak mereka.

Oleh yang sedemikian, jika terdapat masalah yang berlaku antara ahli keluarga, mereka perlulah menyelesaikannya dengan cara yang baik agar fikiran anak-anak yang masih bersekolah tidak akan terganggu. Tambahan lagi, media juga memainkan peranan kritikal. Filem “Ola Bola” membawa perubahan kepada senario bola sepak Malaysia.

Begitu jugalah, perlu ada filem yang menampilkan keburukan perbuatan buli di peringkat sekolah bagi mencetuskan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, guru, pelajar, polis, kementerian dan pembuli.



Post a Comment