Wednesday, October 04, 2017

Kelestarian alam sekitar








oleh Muhammad Akmal Saaerdol


Isu alam sekitar semakin dipandang enteng oleh masyarakat masa kini. Hal ini kerana masyarakat masa kini tidak mempunyai pengetahuan mengenai kepentingan alam sekitar yang harmoni.

Alam sekitar pada masa kini menghadapi permasalahan yang kian menjadi-jadi. Perkara ini kian kronik disebabkan oleh sikap manusia yang semakin membongkak. Sejak kebelakangan ini alam sekitar kian diancam dari pelbagai sudut disebabkan oleh aktiviti tidak beretika manusia sehingga mengakibatkan kelestariannya tergugat.

Kegagalan sikap dan cara berfikir masyarakat terhadap alam sekitar dapat dilihat dengan jelas terutamanya dari aspek kebersihan dan permasalahan sampah di persekitaran kita tanpa adanya titik noktah.

Natijahnya, ia membawa kepada kegagalan melahirkan masyarakat minda kelas pertama terhadap aspek kelestarian alam sekitar, sekali gus gagal menzahirkan peranan selaku khalifah dalam memakmurkan bumi.

Antara cara yang boleh dilakukan supaya kemusnahan alam sekitar dapat dibendung ialah melakukan pemasangan perangkap pencemaran kasar atau Gross Pollutants Traps (GTP) pada setiap salur pengaliran air mahupun kumbahan.

Perkara ini dapat mengelakkan sampah-sampah atau barang-barang yang dibuang oleh individu yang tidak bertanggungjawab tidak akan disalirkan bersama air kumbahan tersebut sehingga boleh menyebabkan saliran itu tersumbat. Hal ini, sedikit sebanyak membantu menjadikan sungai itu lebih bersih keadaannya berbanding sebelum pemasangan alat tersebut.

Selain itu, pihak berkuasa perlu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan alam sekitar bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dan sesuai dengan matlamat melestarikan alam sekitar.

Pihak berkuasa perlu bertindak dengan lebih tegas terhadap pesalah laku dalam hal ini. Sebagai contoh, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman yang setimpal terhadap mereka yang bersalah. Misalnya mengenakan bayaran saman pada nilai yang tinggi agar mereka berasa gentar untuk mengelakkan perkara ini berulang seperti “pisang berbuah dua kali”.

Kesimpulannya, semua pihak harus bersikap proaktif dalam menjayakan usaha untuk melestarikan alam sekitar supaya alam sekitar yang indah dan harmoni dapat dikekalkan pada masa hadapan.


Post a Comment