Friday, October 06, 2017

Memupuk semangat perpaduan di sekolah







oleh Muhammad Alzam Hakimi Baharudin

Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diterapkan dengan cara melakukan aktiviti-aktiviti berunsur perpaduan bermula di bangku sekolah lagi. Perpaduan merupakan teras utama kepada pembangunan sesebuah negara.

Membina perpaduan bagi negara berbilang bangsa seperti Malaysia merupakan satu perkara yang tidak mudah. Oleh itu, perpaduan haruslah diterapkan dari kecil supaya dapat membina jati diri yang kuat dalam diri rakyat Malaysia.

Sudah sekian lama kerajaan berusaha untuk memupuk perpaduan di antara rakyat Malaysia. Usaha yang dilakukan kerajaan ini adalah bagi menjadikan hidup rakyat Malaysia aman dan mengelakkan pergolakkan antara kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 berulang lagi.

Antara usaha dilakukan ialah memperkasa slogan 1Malaysia. Penubuhan gagasan 1Malaysia ini telah banyak menyatukan kaum di Malaysia. Justeru, amatlah penting program pemupukan perpaduan ini bagi memupuk semangat perpaduan dalam rakyat Malaysia.

Perpaduan adalah amat penting bagi sesuatu negara yang mempunyai kaum yang pelbagai seperti Malaysia. Kerajaan haruslah memperbanyakan kempen-kempen dan program berkonsep perpaduan di sekolah.

Contohnya adalah dengan mengadakan kempen minggu perpaduan di sekolah di mana pelajar yang berbeza kaum diberi peluang bergaul dan mengeratkan hubungan sesama mereka. Program seperti ini dapat membina asas perpaduan yang kuat dalam diri murid-murid yang akan membawa kepada lahirnya insan-insan yang bersepadu pada masa hadapan.

Oleh itu, wajarlah bagi kerajaan untuk mengadakan kempen-kempen dan program berkonsep perpaduan demi mencorakkan masa depan Malaysia yang lebih baik.

Selain itu, pemikiran rakyat Malaysia juga perlulah diubah bagi membina perpaduan antara kaum. Pemikiran yang bersifat perkauman haruslah dibuang. Oleh itu, media massa haruslah dipantau oleh kerajaan. Hal ini kerana media massa dapat mempengaruhi pemikiran rakyat terutama pemikiran pelajar sekolah.

Hasutan-hasutan perkauman di media massa perlulah disekat dan pelakunya perlulah diambil tindakan undang-undang. Rakyat Malaysia sendiri juga perlulah dididik dari bangku sekolah lagi untuk menggunakan media massa sebagai satu medium mengeratkan hubungan antara kaum dan tidak menggunakannya ke arah negatif.

No comments:

Post a Comment