Monday, September 11, 2017

Pendidikan mengubah masa hadapan







Hari ini merupakan hari permulaan kepada pelajar-pelajar baru dan lama memulakan kuliah bagi sesi 2017/2018. Pelajar-pelajar baru mulai mendapat pengalaman menimba ilmu di menara gading seperti yang diimpikan sebelum ini. Berada di universiti adalah cita-cita dan impian tertinggi seorang pelajar sama ada dari latar belakang keluarga berada atau tidak berada, kampung atau bandar.

Berada di universiti juga merupakan ukuran kemampuan untuk mengubah kehidupan sedia ada. Nelson Mendela berkata “Education is the most powerful weapon which you can use to change the world”. Tidak syak lagi pendidikan adalah alat paling berkesan untuk mengubah kehidupan seseorang.

Di Malaysia, pendidikan merupakan satu wadah yang telah digunakan oleh kerajaan untuk mengubah dan menambah baik kehidupan rakyat. Keadaan ini dapat kita lihat apabila terdapatnya pelbagai jenis sekolah yang telah diberi bantuan bantuan dari semasa ke semasa untuk mencari pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan tetapi memiliki tahap pendidikan yang sangat baik melalui saringan peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah.  Wujudnya sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang dikenali sebagai Sekolah Berasrama Penuh ataupun Maktab Rendah Sains Mara yang memberi tumpuan kepada kepada pelajar-pelajar luar bandar dan berkebolehan untuk meneruskan pendidikan mereka seterusnya dapat mengubah kehidupan keluarga mereka sendiri.

Pada hari ini. kita melihat bilangan Universiti Awam di Malaysia telah menjangkau kepada 20 buah di samping beratus-ratus buah Universiti Swasta. Para pelajar yang berada di sekolah menengah rata-ratanya telah pun mendapat laluan pendidikan mereka sendiri. Bagi mereka yang mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang di peringkat SPM, mereka ini ditawarkan masuk ke universiti-universiti yang sedia ada.

Manakala pelajar-pelajar yang tidak cemerlang dalam peperiksaan ini tetapi mereka memiliki bakat dan kemahiran dalam bidang teknikal, mereka boleh memilih untuk meneruskan pengajian mereka di Kolej Komuniti, politeknik ataupun ataupun kolej-kolej universiti swasta yang menawarkan bidang teknikal dan kemahiran.

Pendek kata peluang pendidikan di Malaysia sangat luas dan ia bergantung kepada sama ada seseorang itu hendak ataupun tidak meneruskan pengajian mereka. Selain daripada tempat belajar, kerajaan dan juga agensi-agensi yang berkaitan dengan kerajaan juga menawarkan tempat untuk para pelajar yang memiliki kemahiran teknikal dan vokasional ini terus belajar di institusi pengajian yang dibuat khusus sebagai platform melahirkan tenaga mahir untuk bekerja di syarikat mereka.

Bagi pelajar yang berpendapatan rendah, Universiti Awam sememangnya menyediakan dana dan bantuan kewangan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan ini meneruskan pengajian. Dana ini disediakan melalui wakaf yang ditubuhkan oleh universiti sendiri.

Pendek kata, untuk belajar di sesebuah universiti di Malaysia, kemudahan pendidikan banyak disediakan oleh kerajaan dan institusi berkaitan kerajaan seperti Yayasan Pelajaran Negeri, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan syarikat-syarikat swasta yang memperuntukkan sejumlah perbelanjaan bagi membiayai para pelajar ini.

Terpulanglah kepada pelajar untuk memastikan pendidikan mereka ini berada pada pada landasan yang betul dan dapat menamatkan pengajian mereka dengan sempurna. Walaupun tempoh empat tahun mungkin dianggap sebagai agak panjang tetapi hakikatnya ialah dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi semasa di universiti ini dapat membantu mereka bersaing selepas menamatkan pengajian mereka.

Selama empat tahun di universiti, sewajarnya pelajar mengambil beberapa kursus yang boleh meningkatkan nilai diri mereka dan juga berupaya memenangi persaingan untuk mendapatkan pekerjaan. Antara kursus yang sangat penting ini adalah kursus bahasa. Menguasai kemahiran bahasa Inggeris menjadikan pelajar lebih terdedah kepada dunia luar yang lebih kompleks dan pada masa yang sama berupaya membentuk jaringan yang lebih luas. Jadi, di sinilah pentingnya mereka mempunyai media sosial yang tersendiri dan pautan antarabangsa. Selain bahasa Inggeris, pelajar juga boleh mengambil bahasa dunia yang lain seperti bahasa Mandrin, Arab, Perancis mahupun Jepun.

Memandangkan Malaysia pada hari ini mula menarik minat pelabur pelabur dari China, penguasaan bahasa mandarin amat strategik dan signifikan jika pelajar-pelajar mahu menggunakan negara China sebagai landasan meningkatkan kemahiran pekerjaan.

Peluang belajar di universiti wajar digunakan sebaik-baiknya supaya masa hadapan lebih terjamin.


Post a Comment