Thursday, August 31, 2017

Bangga dengan kemerdekaan negara






Latar belakang pembangunan di Malaysia seharusnya menjadi cerminan kepada pembangunan yang berterusan selama enam dekad. Sejak program pembangunan dilaksanakan 60 tahun yang lalu, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang pesat membangun daripada sebuah negara yang berorientasikan pertanian kepada sebuah negara yang membangun berorentasikan perkhidmatan dan industri serta teknologi tinggi. Dalam pada itu, kemajuan Malaysia dalam pelbagai sektor telah pun dipelbagaikan, dan pada hari ini, Malaysia telah menjadi antara negara industri yang pesat membangun di Asia Tenggara.

Kemajuan yang dicapai ini menjadikan Malaysia destinasi pilihan kepada pelabur-pelabur asing khususnya di Asia Tenggara dan juga pada hari ini dari Timur Tengah seperti negara-negara Arab. Rakan dagang Malaysia yang tradisinya dipelopori oleh negara-negara jiran seperti Singapura, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah masih lagi mendominasi orientasi import dan eksport Malaysia.

Data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA menunjukkan pelaburan asing pada tahun 2016 meningkat sebanyak 63.4 peratus berbanding tahun 2015. Sebanyak RM59 bilion telah diraih melalui pelaburan asing pada tahun tersebut berbanding RM36 bilion pada tahun 2015. Ini menjadikan jumlah pelaburan pada tahun lepas sebanyak RM207.9 bilion.

Malaysia telah dapat mempertahankan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.4 peratus setiap tahun sejak tahun 1970. Dalam tahun-tahun terakhir ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia sedang menghadapi pelbagai asakan di peringkat global tetapi kekal kukuh.

Unjuran pertumbuhan ekonomi berada pada paras melebihi 4 peratus bagi tahun 2016-2017. Dasar kewangan dan penjimatan kekal kukuh bagi menggalakkan pertumbuhan dan mengekalkan daya saing dan menyerap kejutan ekonomi.

Harapan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 kelihatan sangat mencabar namun ia ada satu yang boleh dicapai.

Sempena hari ulang tahun Malaysia ke-60 tahun ini, kejayaan yang dicapai oleh negara ini jika dibandingkan dengan negara-negara yang mendapat kemerdekaan pada tempoh yang sama, kejayaan yang dicapai ini sangat membanggakan. Jika hari ini kita melihat anak-anak muda kita meraih pendapatan yang mencukupi untuk kehidupan mereka, anak-anak muda di Ghana, Kenya dan negara-negara jiran kita seperti Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan sebagainya masih lagi mencari-cari peluang pekerjaan yang sesuai dengan mereka. Malah ada dalam kalangan mereka ini yang mengambil keputusan berhijrah ke luar negara khususnya ke Malaysia untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Malaysia juga dalam tempoh 60 tahun yang lalu telah mengharungi pelbagai rintangan dan halangan untuk mendapat kejayaan seperti hari ini. Sepatutnya kita bersyukur di atas kejayaan pembangunan yang kita kecapi selama ini.

Sensitiviti dan merasa bertuahnya hidup di negara yang aman ini masih lagi boleh diperbaiki. Rata-ratanya kita melihat masyarakat di taman-taman perumahan masih lagi merasa malu dan Enggan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di hadapan rumah masing-masing.

Apakah mereka hendak menunggu diberikan sehelai Jalur Gemilang baharulah mereka mahu mengibarkan bendera tersebut? Dimanakah rasa bangga dan hormat mereka terhadap keamanan yang mereka kecapi selama ini?

Dari setahun ke setahun kita melihat suasana ini sentiasa berlaku ketika tibanya 31 Ogos setiap tahun. Tidak banyak program yang dijalankan di taman-taman perumahan ini ketika menyambut 31 Ogos berbanding sekiranya dilaksanakan oleh agensi kerajaan ataupun swasta yang prihatin dengan keamanan yang ada di Malaysia pada hari ini.

Jawatankuasa pembangunan penduduk dan taman boleh merancang dan juga berfikir bentuk-bentuk aktiviti yang boleh dilaksanakan sebagai rasa bangga dan menghargai keamanan dan kebahagiaan ini.


Post a Comment