Tuesday, September 19, 2017

Jenayah siber ancaman terbesar di Malaysia







oleh Mohamad Syaffiq Mohd Yusoff

Saya bersetuju dengan artikel jenayah siber merupakan ancaman terbesar di Malaysia. Di Malaysia terdapat banyak kes penipuan yang berlaku di antara kita. Misalnya penipuan dalam proses jual beli atas talian, pemalsuan dokumen, judi siber dan sebagainya. Perkara seperti ini boleh mendatangkan kerugian besar kepada syarikat di Malaysia.

Salah satu kesan terbesar daripada jenayah siber terhadap syarikat adalah kerugian hasil. Perkara ini boleh berlaku apabila maklumat sulit kewangan syarikat dibocorkan atau dicuri dan digunakan oleh pihak luar untuk mengeluarkan dana dari akaun syarikat secara haram.

Perkara ini juga boleh berlaku kepada peniaga yang laman e-dagangnya telah terjejas akibat daripada jenayah siber. Hal ini menyebabkan kerugian pendapatan berharga kerana pengguna tidak boleh mengakses laman sesawang itu.

Perkara ini sukar untuk dibendung kerana penjenayah siber sukar untuk dikenal pasti siapa yang menyerang dan di mana mereka menyerang.

Selain itu, pihak yang berkenaan juga tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menangkap penjenayah siber kerana mereka menggunakan maklumat palsu. Akhir sekali, sikap manusia sendiri yang sukar untuk dikawal juga menyebabkan perkara ini terus berlaku.

Cadangan yang boleh saya ketengahkan untuk mengatasi jenayah siber ini adalah dengan memberikan maklumat kepada masyarakat mengenai jenayah siber dan cara mengelaknya. Cadangan ini bertujuan untuk mengelakkan rakyat kita daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Selain itu, dengan meningkatkan kemampuan anggota keselamatan boleh mengurangkan jenayah siber ini. Misalnya, melatih kakitangan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang forensik komputer untuk menyiasat dan menganalisis bagi mendapatkan bukti yang kukuh.

Selain daripada itu, syarikat yang ingin memulakan e-dagang perlu melakukan langkah keselamatan terlebih dahulu. Tujuannya adalah untuk mengelakkan penjenayah siber membuat dokumen palsu ke atas syarikat itu.

Akhir sekali, dicadangkan supaya pihak polis meronda di internet melalui unit “cyber crime”. Perkara ini amat penting supaya pihak polis dapat memerhatikan tingkah laku pengguna siber pada setiap masa. Oleh itu, melalui cadangan ini pihak polis dapat membanteras jenayah siber di laman sosial seperti facebook.

No comments:

Post a Comment