Saturday, July 22, 2017

Ideologi komunisme







oleh Danial Irfan Abd Halim

Negara komunis merupakan istilah digunakan oleh ahli-ahli sains politik bagi menggambarkan satu bentuk pemerintahan/kerajaan negara yang berada di bawah sistem satu parti dan mengisytiharkan taat setia kepada Marxisme-Leninisme, Maoisme dan terbitannya. Negeri-negeri komunis mungkin mempunyai beberapa majlis politik undang-undang, tetapi parti komunis adalah menurut perlembagaan dijamin mendapat peranan besar dalam kerajaan.

Fahaman komunisme sering dianggap kejam dan korup, manakala pemimpin Komunis berwatak antagonis (jahat) kerana bersifat diktator serta menafikan terus kebebasan dan hak memilih kerajaan. Fahaman komunis juga dianggap menyeleweng (dari ajaran Islam) seperti mana fahaman kapitalis dan sosialis.

Komunis berbeza dengan dengan Islam yang berpandukan al-quran, hadis dan ijmak ulamak. Dalam sistem politik Islam, tiada kebebasan mutlak dalam memilih kerajaan.

Pemimpin perlu dipilih dari kalangan orang yang beriman dan bertakwa, mursyid (pembimbing), berakhlak dan berketrampilan dalam mengurus hal dunia (worldly affair) serta berorientasikan akhirat (hereafter oriented).

Manakala komunis pula berpandukan falsafah/pemikiran yang dicipta manusia bernama Karl Marx (Marxime), Lenin(Leninisme) dan Mao Tse Tung (Maoisme).

Dari sudut yang positif, idea komunis yang digubal menjadi ideologi telah berjaya membentuk sistem hidup sehinggalah ianya diangkat menjadi sistem pemerintahan negara dan menyatukan rakyatnya buat beberapa ketika.

Antara contoh akan era kejayaan pemerintahan komunis adalah era pemerintahan Joseph Stalin iaitu pemerintah Soviet Union sebagai diktator pada tahun 1920-1953  yang mana beliau berjaya mengalahkan dan mengusir tentera Jerman yang menjajah bumi Russia dengan menyatukan rakyat Russia dan memaksa semua lelaki Russia untuk menyertai angkatan Red Soviet Union. Dalam “Order 227” , kebenaran diberi kepada pegawai atasan untuk membunuh askar lelaki yang berundur dari tentera. Keadaan ini memaksa tentera Russia tetap maju kehadapan dan akhirnya menjamin kemenangan ke atas Jerman.

Kelemahan ideologi ini pula dapat dikaitkan dengan kegagalan sistem pemerintahan yang mengamalkan sistem pemerintahan bercorak komunis tidak bertahan lama kerana rakyat di bawah pemerintahannya acap kali membuat revolusi bagi menjatuhkan kerajaan pada era itu kerana tidak tahan dengan corak pemerintahannya yang zalim.

Contohnya negara-negara yang dipengaruhi oleh Soviet Rusia dilabel sebagai negara “Blok Merah”. Negara-negara di bawah pengaruhnya semakin tertekan dari segi ekonomi. Penentangan timbul dalam bentuk kuasa rakyat seperti di Poland dan Jerman Timur.

Pada pendapat saya, khususnya sebagai orang Islam, saya menolak ideologi komunisme kerana bertentangan dengan etika kemanusiaan dan bertentangan dengan ajaran Islam yang mengangkat Allah sebagai Tuhan kita.

Konklusinya, meskipun fahaman ideologi komunis mempunyai kelebihannya tersendiri, namun keburukannya menutupi kebaikan yang ditawarkan di dalam fahaman ini menyebabkan fahaman ini harus ditolak oleh mana-mana manusia yang mempunyai etika kemanusiaan.


Post a Comment