Monday, July 17, 2017

Konflik perpaduan kaum masyarakat Melayu di Malaysia








oleh Tun Muhammad Syafiq Iman Tun Abdul Razak


Konflik perpaduan sering terjadi antara kaum-kaum yang ada di Malaysia terutama melibatkan etnik di Semenanjung Malaysia iaitu etnik Bumiputera(Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak), India dan Cina.

Pada pandangan saya, perkara seperti ini seharusnya tidak boleh berlaku kerana keharmonian dan persetujuan antara kaum sudah pun termeterai terutama selepas kemerdekaan pada tahun 1957.

Hal ini seperti tiada penghujungnya disebabkan perasaan takjub dan taksub dengan kaum masing-masing yang menyebabkan perbalahan terutama menyentuh hal-hal berkaitan budaya dan agama. Sensitiviti agama dan budaya yang tidak dijaga menyebabkan ketidakpuasan hati antara dua individu berlainan kaum.

Konflik perpaduan kaum yang berlaku dalam negara bukan sahaja datang dari pihak orang bukan Islam kepada agama Islam, malah ada juga konflik yang ditimbulkan oleh orang Islam kepada agama lain.

Usaha serius Malaysia ke arah perpaduan kaum dillihat mula bercambah setelah tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 apabila Majllis Perpaduan Negara dan selaras dengan itu Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan.

Namun saya lihat bahawa bibit-bibit usaha ke arah yang sama juga telah dibenihkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjurus kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi peruntukan pelaksanaan sekolah jenis kebangsaan dan penggunaan bahasa kaum minoriti, telahpun dimaktubkan melalui artikel 152 dan 153, sering kali kita rujuk sebagai ‘kontrak sosial’ antara pemimpin-pemimpin parti pelbagai etnik yang dominan di Malaysia.

Kesimpulannya, rentetan peristiwa dahulu rakyat Malaysia seharusnya dapat melihat dan menilai semua perkara yang pernah dialami oleh pejuang negara suatu ketika dahulu. Banyak perkara yang boleh kita teladani oleh para perjuang kemerdekaan negara. Oleh itu, rakyat Malaysia juga harus tidak lupa kejayaan kita pada hari ini adalah hasil perpaduan daripada masyarakat terdahulu dan tidak ada daripada mereka di negara ini yang menyokong perjuangan komunis.

Mustahil untuk kita mengecapi kejayaan seperti hari ini secara bersendirian, ini kerana dorongan oleh perbezaan lapisan masyarakat yang mempunyai kelebihan masing-masing telah membuatkan kita mampu berjuang hingga ke peringkat global.

Oleh itu, kita haruslah mengingati jasa pejuang yang telah mewariskan kita sebuah negara merdeka dengan perkembangan ekonomi yang menakjubkan seperti hari ini. Semua ini terjadi disebabkan oleh semangat perpaduan yang tinggi sehingga telah menjadi simbol kejayaan kepada negara. Dengan adanya perpaduan, segalanya dapat dilaksanakan termasuklah menjadikan negara kita negara yang berpontensi tinggi dan terus gemilang pada masa akan datang.

Bak kata pepatah bersatu kita teguh bercerai kita roboh, itulah kata pepatah nenek moyang kita yang mengenal erti sebenar dalam perpaduan.


No comments:

Post a Comment