Thursday, September 01, 2016

Pembangunan berasaskan kelas sosial







Keputusan kerajaan Selangor mengenakan diskaun ke atas semua pembeli hartanah tanpa mengira bangsa wajar diberi berhatian serius. Langkah ini dengan sendirinya menidakkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak-hak istimewa Melayu dan bumiputera dalam memiliki harta sendiri khususnya rumah pada kadar harga yang lebih rendah.

Kita tidak tahu bagaimana keputusan ini diputuskan tetapi ia menggambarkan rakyat Selangor telah mencapai tahap pemilikan harta yang semakin baik dan layak bersaing sesama sendiri. Jika inilah alasannya, kaedah mengukur tahap pendapatan sedia ada perlu dinilai kembali.

Dalam statistik kadar kemiskinan 2015, orang miskin semakin berkurangan di negara ini. Jumlah yang miskin cuma 0.6 peratus. Justeru, keputusan kerajaan Selangor mengenakan diskaun untuk semua bangsa bagi memiliki hartanah di negeri itu mungkin atas anggapan bahawa semua bangsa telah berada dalam kelompok yang sama untuk bersaing dan berhak mendapat diskaun.

Tambahan pula kaedah menentukan golongan miskin tidak bersandarkan kepada bangsa sebaliknya berdasarkan kelas sosial. Kelompok kelas sosial yang miskin perlu dibantu tanpa mengira bangsa. Jika Melayu yang ramai miskin maka mereka perlu dibantu.

Dalam kaedah ini, elemen bangsa tidak penting. Sehingga satu tahap, negeri Selangor memiliki tiga kelas sosial yang jelas iaitu atas, menengah dan bawah.

Mereka akan berusaha untuk meramaikan kelompok menengah yang berpendapatan tinggi bagi mengurangkan kelompok bawahan.

Kaedah ini merupakan satu bentuk pembangunan sosial masyarakat yang boleh juga membantu mengurangkan kemiskinan di Malaysia. Namun harus diingat bahawa negara ini mempunyai perlembagaan yang menentukan pembangunan negara berasaskan bangsa.

Kita berpendapat tindakan kerajaan Selangor telah mengetepikan hasrat perlembagaan ini dan ia boleh memberi implikasi politik yang tidak sihat kepada hubungan etnik. Kerajaan persekutuan perlu melihat perkara ini supaya semangat Perlembagaan Persekutuan terpelihara dan tidak sewenang-wenangnya disalah guna untuk kepentingan politik sahaja.


Post a Comment