Sunday, August 28, 2016

Dasar Mahathir pro pembangunan dan perubahan







Kata-kata yang menyifatkan semua masalah di Malaysia hari ini berpunca daripada tindakan Tun Dr Mahathir adalah ungkapan yang menidakkan sumbangan beliau dalam pembangunan negara selama 22 tahun. Tidak kira sama ada yang membuat kenyataan itu merupakan orang besar atau berkuasa, realiti menunjukkan sebaliknya.

Berikut adalah petikan daripada seorang pelajar Haqib Shaker, yang juga merupakan seorang penulis yang kini sedang belajar di sebuah universiti di Turki menceritakan kisahnya bersama rakan-rakan yang berasal dari pelbagai pelosok dunia. Beliau telah memuat naik sebuah artikel yang ditulisnya di laman Facebook menceritakan tentang pengalamannya di dalam kelas yang mana mereka berdebat mengenai negara Islam dan pandangan rakan-rakannya mengenai Malaysia.

“Warga asing khususnya dari kalangan negara-negara Islam sering melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang paling maju, moden dan membangun. Rakyat Malaysia dilihat sebagai bangsa yang pintar, kreatif juga berdaya saing bahkan ditambah dengan keberadaan Pemerintah negara yang sangat berkualiti (khususnya era Mahathir) menjadikan Malaysia pada satu tahap berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain”.

Dalam perenggan yang lain, beliau menulis,

“Bagi rakan-rakan Eropah pula, mereka melihat Malaysia sangat membangun. Kerajaan Malaysia (era Mahathir khususnya) sangat bijak dalam mengambil peluang membangunkan negara dengan mengambil contoh negara maju yang lain dan berani bersuara (mengkritik barat dan amerika) sekiranya pada pandangan mereka tidak benar. Sikap Malaysia dalam berdiplomasi perlu dijadikan contoh dan sikap disiplin rakyat Malaysia perlu diterapkan untuk umat Islam yang lain khususnya ketika melancong ke negara Eropah”.

Tulisan beliau seterusnya boleh diikuti di sini.

Tun Dr Mahathir telah menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa perancangan dan tindakan yang berani dapat memajukan negara, jauh lebih baik daripada negara-negara di di Asia Tenggara malah dalam kalangan negara-negara Islam. Banyak bidang pembangunan yang beliau telah tunjukkan khususnya dalam pembangunan sosial masyarakat pelbagai kaum.

Kita ambil contoh kadar kemiskinan di Malaysia sejak tahun 1990. Ketika itu kadar kemiskinan adalah 17 peratus, lima tahun selepas itu menurun kepada 8.9 peratus. Pada tahun 1997, kadar kemiskinan menurun lagi kepada 6.8 peratus. Kemiskinan semakin berkurangan kepada 5.1 peratus pada tahun 2002 seterusnya pada tahun 2015, dianggarkan kadar kemiskinan di Malaysia ialah pada 0.6 peratus.

Impak yang ketara ialah kelompok miskin orang Melayu semakin berkurangan kerana dasar-dasar pembangunan yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir yang pro kemiskinan dan menjadikan pendidikan sebagai instrument utama pembasmian kemiskinan. Malahan beliau merupakan perdana menteri yang paling banyak memperkenalkan dasar dalam pelbagai segmen pembangunan negara seperti Buy British Lasts dan Dasar Pandang ke Timur.

Beliau juga mahukan rakyat Malaysia menguasai teknologi permotoran sehingga muncul Proton Saga, Formula 1 di Sepang dan pesawat terbang Eagles X-TS serta merealisasikan impian rakyat Malaysia menjejakkan kaki ke angkasa lepas. 

Era pentadbiran Tun Dr Mahathir selama 22 tahun telah membawa banyak perubahan dan transformasi kepada ekonomi, politik, sosial dan budaya rakyat Malaysia keseluruhannya. Pembangunan infrastruktur merentas utara, selatan, timur dan barat menjadikan semua kawasan bandar utama di negara ini dapat dihubungkan.

Beliau juga bukan sekadar berupaya dapat mengisi erti kemerdekaan bagi rakyat Malaysia malah berusaha membantu negara-negara merdeka yang masih mundur walaupun telah lama merdeka.

Jika pembangunan dan perubahan yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir pada masa lalu menyebabkan kita boleh hidup senang, apakah kesenangan ini dikatakan sebagai masalah?




No comments:

Post a Comment