Monday, September 26, 2016

Elak tragedi "go-kart" berulang







Kematian dua beranak ketika menonton perlumbaan “go-kart” di Educational Innovation of Motorsports and Automotive (EIMARace) 2016 Kuantan baru-baru ini amat menyedihkan. Kehilangan dua nyawa serentak adalah peristiwa paling pahit yang tidak disangka oleh kita semua lebih-lebih lagi keluarga mangsa. Kesedihan mereka kita turut berkongsi bersama.

Walaupun kereta “go-kart” ini bersaiz kecil, ia tidak bermakna selamat jika aspek keselamatan diabaikan.

Perlumbaan kereta jenis ini memerlukan sistem pengurusan yang lebih terperinci termasuk hal yang dianggap remeh seperti kehadiran penonton berhampiran kawasan litar. Orang ramai yang teruja dengan perlumbaan ini akan menerpa ke arah litar kerana ingin mengambil gambar atau melihat dengan lebih dekat pelumba kegemaran mereka untuk memberi semangat.

Dalam kejadian di Kuantan itu, pihak penganjur memaklumkan mereka telah mengambil semua langkah keselamatan. Andaian awal ialah terdapat kelonggaran dalam menguatkuasakan peraturan keselamatan perlumbaan. Penganjur menyatakan kawasan kemalangan adalah kawasan larangan tetapi mengapa orang ramai boleh masuk ke kawasan berkenaan.

Tanggungjawab perlumbaan ini terletak kepada penganjur sepenuhnya. Mereka mesti memastikan semua kemungkinan yang boleh menjejaskan perlumbaan dan mencemarkan nama baik mereka sendiri.

Orang ramai tidak akan datang jika mereka mengetahui penganjur mengabaikan aspek keselamatan yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.

Selain kawasan perlumbaan, aspek teknikal dan kemahiran pengendalian jentera juga perlu diberi perhatian.

Pemandu “go-kart” mesti memiliki kemahiran memandu yang merangkumi keupayaan mengendalikan jentera ketika keadaan panik. Oleh kerana perlumbaan ini melibatkan antara universiti, terdapat kemungkinan pemandu “go-kart” yang kurang berpengalaman mengendalikan jentera mereka.

Keadaan litar juga mempengaruhi tahap keselamatan pemandu dan penonton. Pihak penganjur perlu juga memastikan keadaan litar yang menitikberatkan keselamatan semua pihak seperti ruang perlumbaan yang besar dan sistem menyerap kemalangan yang berkesan. Keadaan ini dapat mengelakkan pemandu dan jentera terpelanting jauh dari litar.

Kemalangan jiwa yang melibatkan perlumbaan “go-kart” ini jarang-jarang kita dengar.
Sebelum ini terdapat pertunjukan helikopter kawalan jauh yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berlaku di Negeri Sembilan. Walaupun dianggap kecil, helikopter jenis ini boleh menjadi pembunuh jika tidak dikawal oleh pengendali yang mahir. Sebelum itu terdapat perlumbaan “drift” kereta yang menyebabkan kecederaan kerana kereta perlumbaan terbabas.

Kemalangan ketika perlumbaan “go-kart” atau seumpama dengannya boleh dielakkan jika penganjur memberi keutamaan kepada aspek keselamatan. Biasanya pihak penganjur akan terus mempertahankan langkah-langkah keselamatan mereka kerana sudah tentu mereka telah mengambil kira semua aspek bagi memastikan perlumbaan itu berjaya.


Post a Comment