Tuesday, September 20, 2016

Nasi lemak membina jambatan etnik di Malaysia







Zainudin MZ, Siti Aishah Abdul Rahim, Nurul Fahana Zizam,
Tan Jian, Simon Liew Hong Xin, Chai Jun Qi


1.0 Pendahuluan

Di Malaysia, makanan tradisi mempunyai keunikan yang tersendiri dan ia merupakan salah satu identiti negara yang mempunyai pelbagai jenis makanan yang merangkumi pelbagai kaum, etnik dan budaya yang tersendiri dan patut dibanggakan. Setiap kaum dan etnik di Malaysia mempunyai makanan tradisi dan mempunyai resepi, rupa bentuk, cara hidangan dan rasa yang tersendiri. Sebagai contoh, makanan yang sinonim dan terkenal bagi masyarakat Melayu ialah nasi lemak, manakala bagi masyarakat Cina ialah kuey teow goreng atau makanan bersup manakala makanan yang terkenal bagi masyarakat India ialah capati atau roti canai.

Kepelbagaian makanan di Malaysia mewujudkan hubungan yang utuh dikalangan rakyatnya yang berbilang kaum hasil daripada perkongsian makanan tradisi walaupun pada awalnya makanan-makanan tersebut dihidangkan pada waktu-waktu tertentu atau pada waktu perayaan, tetapi kini telah disediakan sebagai hidangan biasa dan umum terutamanya di gerai atau kedai makan di Malaysia.

Pada masa ini, kaum lain dapat menerima dan menikmati keenakan makanan etnik lain di Malaysia. Contohnya, kaum Cina dapat menikmati dan turut menjadikan makanan kaum Melayu sebagai menu makanan harian mereka seperti nasi lemak begitu juga dengan kaum lain. Kini, pelbagai restoran turut menyediakan pelbagai menu makanan yang merangkumi makanan mengikut kaum-kaum di Malaysia seperti Melayu, Cina, India dan makanan etnik lain. Situasi ini menggambarkan bahawa Malaysia berjaya mewujudkan perpaduan dan konsep Satu Malaysia melalui aspek makanan. Selain itu, masyarakat Malaysia juga dapat makan di bawah satu bumbung malah semeja bersama kaum lain seperti mana yang dapat kita perhatikan di tempat makanan kawasan umum seperti medan selera di pusat membeli belah, pusat rawat dan rehat dan sebagainya.

Oleh itu, kesepaduan yang terjalin ini haruslah terus diperkukuh dan faktor kepada hubungan ini haruslah dikekalkan ke generasi seterusnya dan kesinambungan dalam mengekalkan kepelbagaian makanan tradisi terus menjadi teras kepada jalinan ini bersesuaian dengan tajuk kajian ini iaitu Nasi Lemak Membina Jambatan Etnik di Malaysia.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengenal pasti keistimewaan nasi lemak dalam kalangan rakyat Malaysia dan mengenal pasti pengaruh nasi lemak terhadap hubungan etnik di Malaysia.

1.2 Skop Kajian

Kajian ini dijalankan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kolej Kediaman UTeM Bunga Raya. Melibatkan pelajar dan staf dari semua fakulti di UTeM dan khusus kepada yang menggemari nasi lemak sahaja.


2.0 Sorotan Kajian

Nasi lemak adalah contoh makanan orang Melayu yang dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dan ia patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Nasi lemak bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut dipelopori oleh kaum Cina, India dan bangsa lain. Nasi lemak dahulunya dihidangkan untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Jelasnya, ramai bersependapat bahawa nasi lemak atau makanan tradisi selainnya mampu membentuk muafakat melalui perpaduan yang terjalin melalui makanan.

Makanan pelbagai cita rasa yang dinikmati rakyat Malaysia mencerminkan kumpulan etnik dan budaya yang terdapat di negara ini. Oleh itu, aktiviti yang melibatkan makanan seperti promosi makanan tradisi pelbagai kaum dan program menjamu selera yang dapat menarik penyertaan masyarakat pelbagai lapisan perlu ditingkatkan. Perkara ini jelas mencerminkan bahawa makanan itu sendiri memberi kesan yang sangat besar dan cepat untuk mengumpulkan pelbagai etnik pada satu-satu masa tanpa ada kekangan dan secara harmoni lantas dapat memperkukuh jalinan antara pelbagai etnik di Malaysia.

Nasi lemak bukan sekadar makanan semata-mata malah ia dikira sebagai lambang perpaduan orang ramai kerana ia seolah-olah telah sebati dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Perkara ini sememangnya sudah terbukti sekian lama kerana pelbagai kaum boleh duduk semeja tanpa mengira status pekerjaan malah bertegur sapa untuk mengeratkan lagi perpaduan yang sekian lama terjalin di antara kaum di Malaysia.

Walaupun nasi lemak ini hanya sebagai makanan rutin kepada masyarakat Malaysia namun impak di sebaliknnya mempunyai maksud yang tersirat yang membawa kepada kemesraan dan menyatupadukan rakyat. Jelasnya bahawa nasi lemak bukan sekadar membawa identiti sebagai makanan semata-mata tetapi membawa identiti yang lebih besar iaitu identiti Malaysia.

Nasi lemak yang berbalutkan daun pisang bukan sahaja dinikmati orang Melayu sahaja namum melibatkan semua kaum di negara di samping menjadi penghubung kepada masyarakat. Keadaan ini jelas menggambarkan bahawa semua orang tidak kira bangsa mahupun agama mampu menikmati nasi lemak seolah-olah ada daya tarikannya yang tersendiri sehingga tidak dapat terungkai rahsianya walaupun dinikmati di tepi jalan ataupun kedai selainnya.

Mengekalkan makanan Melayu sangat penting untuk menyatukan rakyat negara yang berbilang kaum. Nasi lemak merupakan makanan melayu yang sangat terkenal dan hampir digemari oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira umur, pangkat, kaum, agama dan sebagainya Oleh itu, sekiranya makanan tradisi ini tidak dikekalkan ia akan memberikan impak yang besar terhadap hubungan antara etnik di Malaysia kerana makanan merupakan salah satu sumber yang dapat mengeratkan hubungan perpaduan berlainan etnik dan boleh didapati di mana sahaja.

Makanan merupakan elemen terpenting dalam memupuk perpaduan kaum. Misalnya, majoriti rakyat Malaysia tidak dapat menolak keinginan untuk menikmati keenakan rasa nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang. Jika dahulu, nasi lemak hanya sinonim sebagai makanan orang Melayu, tetapi kini perkara ini telah berubah dan menjadi makanan rutin kaum Cina, India dan bangsa lain malah ada antara mereka menikmati nasi lemak panas ini menggunakan tangan. Tiada siapa yang dapat menafikan budaya ‘memakan nasi lemak’ mampu menjadi kuasa perpaduan antara kaum.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian ini melibatkan soal selidik dan temu bual. Bagi memperolehi dapatan kajian yang lebih tepat, borang kaji selidik telah dibentuk berpandukan kepada tujuan dan objektif kajian dan diedarkan kepada responden. Selain itu, borang kaji selidik ini juga dibentuk agar dapat membantu pengkaji menjawab persoalan-persoalan kajian yang telah ditetapkan. Soalan-soalan yang terdapat di dalam borang soal selidik ini terdiri daripada tiga bahagian. Temu bual dijalankan melalui sesi soal jawab di antara pengkaji dan responden. Seramai tiga orang responden ditemu bual mengikut tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.


4.0 Hasil Kajian

Hasil kajian melalui temu bual, responden pertama, Sakthivel berumur 22 tahun dan merupakan pelajar FKP mengatakan bahawa nasi lemak merupakan makanan yang paling popular dan digemari oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan lapisan umur. Beliau juga mengakui bahawa nasi lemak adalah salah satu makanan kegemarannya dan sering mengambil nasi lemak sebagai sarapan pagi.

Menurut responden kedua, Seah Mei berumur 22 tahun dan pelajar FKP sangat setuju bahawa makan nasi lemak semeja dengan kaum lain sememangnya dapat mengeratkan hubungan etnik di Malaysia kerana komunikasi akan berlaku ketika mereka makan bersama. Selain itu, mereka juga dapat bertukar pendapat mengenai makanan tradisi etnik masing-masing lantas mengukuhkan lagi kesepaduan antara kaum.

Seterusnya, responden ketiga,  Nuraina berumur 21 tahun merupakan FKE menyatakan nasi lemak akan terus menjadi makanan yang dapat mengeratkan perpaduan di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik selagi makanan tersebut diwarisi dari generasi ke generasi. Nasi lemak sememangnya mempunyai banyak keistimewaan antaranya rasa yang enak, cara hidangan yang pelbagai serta harga yang berpatutan yang mampu menarik pelbagai etnik untuk menggemarinya.

Rajah 1: Ciri-ciri nasi lemak yang popular dan digemari

Merujuk kepada Rajah 1, nasi lemak mempunyai pelbagai keistimewaan antaranya resipi yang pelbagai, cara hidangan yang menarik dengan bahan tambahan yang membangkitkan selera seperti kacang tanah goreng, ayam goreng dan sebagainya. Di samping itu, harga berpatutan juga menjadi antara salah satu faktor penarik responden untuk menggemari nasi lemak. Melalui kajian, sebanyak 50% iaitu sepuluh orang responden berpendapat bahawa cara hidangan yang membuatkan mereka untuk menggemari nasi lemak manakala sebanyak 40% responden iaitu lapan orang bersetuju bahawa mereka menggemari nasi lemak kerana resipi yang bersesuai dengan citarasa mereka. Sebanyak 25% responden iaitu lima orang berpendapat harga yang berpatutan merupakan punca utama mereka menggemari nasi lemak dan diikuti dengan sebanyak 5% iaitu seorang berpendapat yang berbeza dan lain-lain seperti mereka lebih memetingkan kebersihan makanan dan sebagainya.

Rajah 2: Nasi lemak memberikan pengaruh dan impak yang besar terhadap hubungan etnik di Malaysia

Rajah 2 menunjukkan bahawa sebanyak sepuluh orang bersamaan 50% responden sangat setuju bahawa nasi lemak memberikan pengaruh dan impak yang besar terhadap hubungan etnik di Malaysia dan diikuti seramai lima orang iaitu 25% setuju seterusnya seramai tiga orang iaitu 15% tidak pasti dan seramai dua orang iaitu 10% kurang setuju bahawa nasi lemak memberikan pengaruh dan impak yang besar terhadap hubungan etnik di Malaysia manakala tidak ada responden sangat tidak setuju dengan soalan yang dikemukakan.


5.0 Kesimpulan

Nasi lemak merupakan makanan tradisi bagi orang Melayu. Nasi lemak pada mulanya diperkenalkan dan digemari oleh masyarakat Melayu tetapi kini masyarakat dan etnik lain juga turut menggemarinya. Kajian ini menunjukkan nasi lemak sememangnya sinonim dengan juadah sarapan pagi namun peredaran masa membuatkannya bukan sekadar dinikmati pada waktu pagi namun ia juga dinikmati dan boleh didapati pada waktu-waktu lain. Hal ini jelas menggambarkan bahawa penerimaan nasi lemak sebagai salah satu menu makanan popular dan makanan kebangsaan di Malaysia oleh masyarakat etnik yang lain. Selain mempunyai rasa yang enak, nasi lemak juga mempunyai cara hidangan yang menarik serta harga yang berpatutan yang menjadi faktor utama masyarakat dan etnik lain untuk meminatinya.


Rujukan

Abu Musa. (2012). Pengalaman harian: menjalin kesepaduan dan melahirkan keharmonian, diakses jun 14, 2012, dari http://notactu553.blogspot.my/2012/11/tajuk-09.html
Hazlianayati, S. (2014). Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, diakses Oktober 9, 2014, dari http://www.1malaysia.com.my/affiliates/bersatu-kita-teguh-bercerai-kita-roboh-0
Shamsul Amri Baharudin. (2012). Modul Hubungan Etnik. Ed.ke-2. Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zahir Zainudin. (2014). Perpaduan kaum melalui makanan tradisi, diakses dari http://zahirzainudin.blogspot.my/2014/03/perpaduan-kaum-melalui-makanan-traisi.html
Chef Ismail memartabat makanan Melayu. Utusan Melayu, (2014, Jun 29).
Nasi lemak satukan rakyat. Utusan Melayu, (2008, Mei 23).
Tingkat perpaduan rakyat melalui makanan pelbagai kaum. Utusan Melayu, (2003, Jun 16).


No comments:

Post a Comment