Sunday, September 18, 2016

Harun Din contoh peribadi berilmu








Kali terakhir saya melihat allahyarham Datuk Harun Din , musryidul am PAS adalah pada pilihan raya umum lalu. Ketika itu beliau sedang berjalan menuju ke tempat pengundian, Sekolah Kebangsaan Jelempok, Arau, Perlis. Beliau diiringi beberapa orang rakan yang rata-ratanya memakai ketayap.

Harun Din kelihatan kemas dan sentiasa melemparkan senyuman kepada orang yang memerhatinya.

Beberapa hari lalu, beliau kembali ke rahmatullah akibat komplikasi jantung yang telah lama dihadapinya.

Harun Din merupakan anak jati Perlis, bersekolah di Arau dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir. Keperibadian dan keilmuan yang ada pada beliau membawa sekali kebanggaan masyarakat Perlis ke seluruh negara.

Ketokohan dan keilmuan beragama beliau dapat dilihat dan didengar melalui pelbagai siri ucapan dan buku yang menyingkap soal kefahaman beragama seperti Manusia dan Islam, Hukum Hudud dalam Perundangan Islam, Pengantar Perubatan Islam dan banyak lagi. Ucapan dan buku-buku inilah yang menjadi panduan kepada umat Islam di Malaysia dalam memenuhi keperluan beragama. Beliau juga menubuhkan Darussyifa' (Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia) yang berkembang sehingga ke Brunei.

Peribadi Harun Din yang mudah berkawan dengan ramai orang membuatkan ilmunya berkembang dengan meluas dalam masyarakat. Beliau berjaya membina hubungan dengan pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi jambatan persahabatan dalam politik.

Kemesraannya bersama pemimpin-pemimpin kerajaan dalam isu-isu berkaitan Islam membuktikan sikap terbukanya terhadap perbezaan pendapat dan perjuangan. Bukan mudah bagi seseorang yang berlainan bentuk pemikiran membuka ruang kerjasama dengan seteru politik melainkan seorang yang berjiwa besar.

Selain daripada perjuangan politik, ketokohannya dalam agama sentiasa menjadi perhatian. Beliau mempunyai prinsip hidup yang tegas dan tidak gentar menyatakan kebenaran. Kepakaran beliau dalam isu-isu masyarakat Islam wajar menjadi contoh kepada generasi muda untuk membina masyarakat Malaysia yang dinamik.

Harun Din juga mempamerkan strategi politik Islam yang diyakini. Peranan beliau sebagai musryidul am PAS mempengaruhi corak berfikir dan tindakan ahli PAS seluruh negara. Sumbangannya dalam memperkasa dakwah Islamiah bersama-sama kerajaan Malaysia membuka mata ramai orang supaya dapat melihat dan menjadikan kepentingan ummah sebagai agenda. Beliau menunjukkan cara tentang bagaimana parti-parti politik yang berbeza ideologi boleh duduk semeja membincangkan pelbagai perkara yang melibatkan masyarakat Islam.

Ilmu yang disampaikan oleh beliau akan terus mekar dalam minda pelajar-pelajarnya yang dikembangkan kepada masyarakat. Mudah-mudahan ilmu yang bermanfaat itu akan memberi sinar kepada kehidupan kita.

No comments:

Post a Comment