Thursday, December 20, 2012

Ahli akademik akan jalankan R&D berkaitan sosial




Pelajar antarabangsa mengagumi perpaduan rakyat Malaysia


Satu pasukan ahli akademik akan ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan isu sosial di negara ini bagi membantu usaha kerajaan memperkasa perpaduan dan merealisasikan Wawasan 2020.
  
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri berkata pasukan penyelidik itu, yang turut disertai beliau, akan diketuai Pengerusi MPN Prof Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid.

Pasukan penyelidikan itu juga akan berfungsi sebagai pemantau mengenal pasti masalah atau ketidakpuasan hati rakyat hingga ke peringkat akar umbi, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama bertajuk 'Wawasan 2020: Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina' pada Konvensyen Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini

Beliau berkata sudah sampai masanya "Malaysia, kalau benar-benar ingin melanjutkan kelangsungan Wawasan 2020, memikirkan bagaimana kita boleh memantau kejayaan kita dari segi perpaduan."

Shamsul turut mengambil contoh pendekatan untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sebagai satu kejayaan kerana setiap pandangan dan cadangan rakyat diambil kira sebelum pelan itu dilancarkan

Dalam ucapannya Shamsul berkata situasi ketegangan dan konflik terbuka tidak lagi menjadi dominan dalam kalangan rakyat Malaysia selepas tragedi 13 Mei 1969.

"Memang benar, sekali-sekala ketengangan itu menjelma dalam wacana umum. Tetapi ia tidak dominan dan tidak mencorakkan kehidupan kita di Malaysia. Yang dominan adalah suasana aman dan tenteram.

"Apa yang lebih kerap berlaku adalah konflik bersifat lisan atau bertikam lidah sesama sendiri. Ada ketikanya secara terbuka dan kebanyakannya pada peringkat individu atau kelompok," katanya.

Beliau juga berkata hasrat untuk mencapai perpaduan tetap diteruskan dan dipertingkat walaupun pemimpin negara bertukar ganti, bermula dengan konsep perpaduan dan integrasi nasional kepada konsep sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.

"Dan ia terus dijayakan melalui konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya. - Bernama

(Sinar Harian, 20 Disember 2012)


No comments:

Post a Comment