Thursday, December 06, 2012

Indeks rasuah negara menurun




Pembangunan negara lebih rancak tanpa rasuah


Pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2012 bertambah baik dengan kedudukan di tangga 54 daripada 176 negara berbanding ke-60 daripada 183 negara, tahun lalu.

Pencapaian terbaru dikeluarkan Transparency International (TI) menunjukkan skor CPI Malaysia pada 49 mata daripada skala 0 hingga 100 berbanding 43 mata pada 2011.

Kejayaan Presiden TI Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low, berkata kejayaan itu menyaksikan kedudukan negara sebaris dengan Republik Czech, Latvia dan Turki yang turut meraih 49 mata.

Beliau berkata, Malaysia juga mengekalkan kedudukan di tangga ketiga dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura yang memungut 87 mata dan Brunei (55 mata).

Katanya, kedudukan itu menunjukkan Malaysia mengatasi Thailand yang berada di tangga ke-88, Filipina (105) dan Indonesia (118).

“Ia adalah peningkatan yang baik, kami percaya ia mungkin kerana ETP (Pelan Transformasi Ekonomi), GTP (Program Transformasi Kerajaan), dan NKRA (Bidang Utama Keberhasilan Negara).

“Usaha yang dijalankan PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuahkan hasil... memang ada beberapa isu, tetapi ia berhasil.

“Penghargaan wajar diberikan kepada kerajaan yang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membanteras kegiatan rasuah. Kami berharap akan terus ada perkembangan pada tahun-tahun akan datang.

“Kedudukan ini boleh diperbaiki lagi pada masa hadapan dengan kerjasama semua pihak termasuk usaha mengikis persepsi rasuah di kalangan penjawat awam,” katanya pada sidang media mengumumkan CPI Malaysia sempena pelancaran CPI seluruh dunia.

Turut hadir, Timbalan Presiden TI-M, Prof Datuk Mohamad Ali Hasan dan Pengarah NKRA & NKEA Jabatan Perdana Menteri, D Ravindran.

Low yang memuji langkah Malaysia menjadikan CPI sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menangani rasuah di negara ini berkata penilaian bagi mengukur tahap penerimaan rasuah sektor awam tahun ini menggunakan metodologi baru bagi membolehkan perbandingan lebih tepat.

Kajian itu, katanya dilakukan badan bebas merangkumi pelbagai latar belakang termasuk ahli ekonomi, peniaga dan perundangan dari seluruh dunia.

“Jumlah mata diberikan sebelum ini adalah antara satu hingga 10, kali ini julat baru diberikan antara kosong hingga 100 (kosong – rasuah paling banyak dan 100 – bebas rasuah).

“Sebanyak dua pertiga daripada 176 negara memperoleh mata CPI bawah 50. Negara yang tergolong dalam kumpulan 10 terbaik iaitu hampir bebas rasuah adalah Denmark, Finland dan New Zealand yang meraih 90 mata; Sweden (88 mata); Singapura (87 mata); Switzerland (86 mata); Australia dan Norway (85 mata) dan Kanada serta Belanda (84 mata),” katanya.
 
(Berita Harian, 6 Disember 2012)
 
 

No comments:

Post a Comment