oleh Zulkifli Jalil
THEODORE Roosevelt (27 Oktober 1858 - 6
Januari 1919), Presiden Amerika Syarikat ke-26 pernah mengungkapkan: "Kita
tidak boleh sediakan masa hadapan untuk orang muda, tetapi kita boleh sediakan
orang muda untuk masa hadapan."
Sebenarnya sudah menjadi rahsia terbuka
bahawa penentu kejayaan semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum
Ke-13 adalah anak muda. Mereka mewakili 40 peratus (di bawah usia 40 tahun)
daripada keseluruhan 3.1 juta pengundi berdaftar yang disahkan setakat
September 2012.
Adakah sesuatu parti itu mampu menang
bergaya atau menang 'handsome' dalam pandangan anak muda? Ini nanti antaranya
terletak pada sokongan majoriti orang muda.
"Anak muda umpama air dalam cawan
atau boleh saya umpamakan sebagai nasi lemak. Cuba saudara (penulis) perhatikan
gelas berisi separuh air ini. Adakah separuh kosong atau setengah penuh?
"Kalau kita lihat separuh kosong,
kita sebenarnya melihat anak muda sebagai penentang. Kalau lihat setengah
penuh, kita melihat mereka ini sebagai peluang.
Maknanya, sesuatu parti boleh ada
perasaan pesimistik atau opitimistik," kata Datuk Idris Haron yang
mengetuai Pertubuhan Belia Sedunia (WAY), badan yang disertai pertubuhan-pertubuhan
belia seluruh dunia kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Demikian juga dengan analogi nasi
lemak. Kata Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ada satu kisah berkisar
interaksi dua orang, masing-masing berusia 56 tahun dan seorang lagi 20-an
berebutkan sebungkus nasi lemak.
"Kalau yang berusia 50-an itu
seorang yang optimistik, dia akan kata, anak ambillah nasi lemak tu, pakcik dah
puas makan (sebelum-belumnya). Dan kalau anak muda tadi juga ada nada
sedemikian, dia pula akan kata, tak apa pakcik, pakcik ambillah...saya ada
banyak masa lagi (lepas-lepas ni boleh makan).
"Kalau ada dua situasi ini yang
bernada optimistik, maka kita akan menjadi sumber yang saling lengkap
melengkapi," kata beliau.
Idris bagaimanapun lebih gemar memberikan
input-input berikut untuk dijadikan renungan ahli-ahli parti Barisan Nasional
(BN) dalam 'tempoh kritikal' lima bulan mendatang ini. Ini berdasarkan
pengalaman luas beliau dalam WAY mendekati denyut nadi anak muda:
Tambat hati anak muda
Kita tidak boleh menjala angin atau
serkap jarang. Maknanya agak-agak sahaja apa yang anak muda hendakkan. Perlu
terus dekati mereka. Program-program yang dianjurkan mesti mesra orang muda.
Dalam konteks ini, program-program biro-biro pemuda dan pemudinya jangan nampak
rigid, tak eksklusif tetapi mesti inklusif. Ini ditunjukkan oleh Datuk Seri
Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah Datuk Seri Mohd. Ali Rustam
sendiri yang meskipun anak muda sekarang tidak setara dengan kehendak era anak
muda semasanya, - dengan tidak ada fotostat, hologram, cuma mesin taippun -
tiga pemimpin tadi akan tetap menyesuaikan diri.
Di sini ada jurang perbezaan 'peta
minda'. Anak muda sekarang pakai telefon bimbit, barangkali tak tahu pun ada
public phone. Di Klebang Kecil, Melaka tak ada satu pun telefon awam. Di sini,
orang muda secara semulajadi menolak sistem tersedia ada yang tidak mesra
dengan mereka. Apabila ada unsur penolakan ini, secara automatik tidak ada
magnetik. UMNO mesti perhebatkan pola magnetik anak muda dengan memberikan
sentuhannya.
Bukan pencabar tapi peluang
Orang muda tidak boleh dilihat sebagai
pencabar sebaliknya peluang. Kalau boleh tukar masalah yang dihadapi mereka
kepada peluang. Antaranya beri peluang kepada mereka memegang jawatan-jawatan
yang perlukan ketekunan. Contohnya, penolong setiausaha dan ahli-ahli
jawatankuasa biro selain penggerak kepada pengurusan masyarakat seperti belia
dan keagamaan.
Macam mana caranya? Dia (anak muda itu)
mesti hendak sesuatu sebagai pulangan. Tidak boleh segalanya percuma. Apa akan
saya dapat kalau saya buat? Antaranya, kita berikan pemikiran dalam konteks
program keusahawanan, kemahiran dan kraftangan.
Bagi juga peluang menggalakkan kegiatan
berfaedah di kawasan kita seperti menghasilkan bunga manggar secara massa,
dijadikan produk untuk dibeli; persatuan kompang, komersialkan dengan membayar
RM200 untuk satu persembahan. Perdagangkan kebolehan mereka. Kalau mereka minat
menyanyi, kita sediakan alat-alat kugiran seperti gitar, dram.
Pada masa sama, lihat sukan bukan hanya
pengisian masa lapang semata-mata. Contohnya, gunakan lapangan di KLCC, Kuala
Lumpur sebagai acara tetap anjuran program sukan dan hiburan.
Jangan terlalu protokol
Kalau BN masih nak utamakan protokol,
nescaya akan hilanglah sokongan anak muda. Antaranya pakai jeans, bukan bush
jacket. Namun, kalau turun padang walaupun tidak boleh sangat ikut lenggok
mereka misalnya mengungkapkan 'apa khabar, sihat ke bro', tak usahlah kita
kaku. Tapi cukup sekadar kita tunjukkan keluhuran kita walaupun tidak boleh
melakonkan perlakuan sedemikian. Katakan pada mereka "Kalau saya diberi
peluang, saya nak jadi macam saudara...pakai jeans." Dengan turunkan
'darjat' kita, kita akan kuasai mereka. Kalau terus kekalkan protokol,
habislah!
Jangan keluarkan amaran?
Orang muda tak gemar kita beri amaran
kepada mereka seperti 'Hei, anda jangan lupa jasa kami pada anda'. Itu bukan
cara yang betul. Orang muda tidak boleh ditunjukkan sedemikian. Orang muda
lebih terbuka dengan media sosial mereka dan lebih bermaklumat. Lazimnya
sebelum kita hadir dalam program mereka, mereka sudah ada pola pemikiran
sendiri tentang siapa dan program apa yang diatur. Malah, mereka juga sedar
siapa yang ada dalam kumpulan itu. Anak muda lebih sukakan elemen penyertaan -
sama-sama tengok apa yang terjadi.
Tolak cara diktatorial dan autroktratik
Dua elemen ini amat tidak digemari
orang muda. Sewajarnya perlu lebih banyak 'laissez faire' atau cara santai.
Namun kena tahu juga caranya dengan menganjurkan mereka bersama-sama kita untuk
menjalankan sesuatu. 'Let's go' dan anak muda akan merasakan mereka juga
penyumbang kepada kejayaan.
Pendirian politik
Dari segi pemerhatian, lebih 75 peratus
anak muda negara belum ada pendirian politik. Mereka meliputi 12 juta daripada
29 juta rakyat di negara ini. Yang ada pendirian politik tidak sampai pun tiga
juta. Namun anak muda meletakkan perkembangan politik sama taraf dengan
perkembangan sukan dan hiburan. Dan bila dapat berkongsi pendirian politik,
sukan dan hiburan itu, maka setiap pergerakan politik akan menjadi perhatian
mereka. Siapa bakal memimpin negara misalnya.
Cuma, kata Idris, masalahnya adalah
apabila anak muda nak masuk politik (jadi ahli cawangan atau bahagian), orang
yang lebih tua tak bagi laluan.
"Kata orang tua itu, nanti anak
muda ini lawan aku pula. Ada ijazah pula tu dari Cambridge atau Oxford. Bila
semua ruang dilihat sebagai peluang terpandu untuk pegang jawatan, maka ini
akan menimbulkan prasangka kepada orang tua (kepemimpinan cawangan, bahagian,
ranting atau cabang). Sedangkan sudah 20 tahun dia jadi ketua cawangan, tak
masuk universiti pula itu.
"Ketua cawangan ini pula sudah
bertahun-tahun selesai masalah penduduk setempatnya...dari soal bertunang
hinggalah orang yang ditolong itu berkahwin, semuanya dalam spektrum masalah
yang diselesaikan," kata beliau.
Dan lebih baik lagi, kata beliau,
biarlah orang tak tahu anak muda terbabit ada ijazah bergulung dari universiti
tersohor, tapi dia diterima dalam struktur masyarakat seadanya.
"Dia duduk tepi longkang pakai
t-shirt pagoda bantu bersihkan kawasan sedangkan dia sebenarnya bagus. Biarlah
akhirnya orang tahu sendiri. Jangan terlalu rakus sebab benda (kejayaan yang
ada hari ini) itu datang dari pahit- jerih orang yang lebih tua," kata beliau.
Keindahan BN termasuk UMNO adalah
apabila semua orang dalam parti itu boleh mencapai cita-cita masing-masing.
"Tukang kebun pun boleh jadi ahli
Parlimen. UMNO bukan parti yang pandai tetapi parti yang seimbang," ujar
Idris.
No comments:
Post a Comment