Wednesday, December 23, 2009

Kerja dari rumah akan jadi trend

Oleh Shaiful Annuar Khalid

Cadangan Kementerian Kerja Raya melaksanakan kaedah bekerja dari rumah atau telekerja melibatkan seramai 35 pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) bakal direalisasikan Januari ini.

Projek perintis ini bertujuan meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos-kos berkaitan pengangkutan.

Kaedah bekerja dari rumah ini adalah antara inisiatif terbaru khususnya oleh JKR selari dengan perubahan semasa.

Kaedah ini sudah dilaksanakan di negaranegara maju tetapi masih baru di negara kita ini. Kerja dari rumah ini adalah satu daripada beberapa kaedah bertujuan mewujudkan kerja yang fleksibel.

Selari dengan perkembangan teknologi, khususnya Internet, beberapa bentuk kerja fleksibel sudah dilaksanakan di beberapa negara maju seperti masa kerja anjal, pejabat maya serta perkongsian kerja.

Oleh kerana kaedah kerja dari rumah masih baru di negara kita, kebimbangan yang dilahirkan oleh beberapa pihak seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) serta Yayasan Kerjaya Malaysia (YKM) sememangnya mempunyai asas.

Aspek-aspek seperti disiplin kerja, penerimaan kakitangan terlibat, perubahan suasana kerja serta kos-kos yang terlibat wajar diperhalusi.

Penubuhan jawatankuasa pemantau dilihat mampu memastikan kaedah kerja dari rumah berjalan dengan sempurna.

Organisasi yang mempunyai rancangan untuk memperkenalkan kerja fleksibel seperti kerja dari rumah perlu memahami tujuan perlaksanaannya dan bagaimana perubahan tersebut boleh membantu organisasi serta sejauh manakah ia mampu meningkatkan kepuasan kerja.

Kakitangan juga perlu memahami sepenuhnya matlamat kerja fleksibel tersebut.

Pelaksanaan kerja dari rumah juga sudah tentu memerlukan organisasi menyediakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi terutamanya kemudahan Internet kepada kakitangan terlibat.

Begitu juga dengan kemudahan alat tulis dan sistem sokongan teknologi maklumat.Pelaksanaan kaedah bekerja baru ini haruslah berpandukan kepada prosedur yang jelas agar matlamat sesuatu tugas dicapai sepenuhnya.

Kaedah ini juga menunjukkan bahawa Kementerian Kerja Raya bersedia untuk meletakkan kepercayaan terhadap sekumpulan kakitangan mereka yang patut dicontohi oleh organisasi lain.


Beberapa perubahan yang berlaku pada hari ini seharusnya membuatkan kita bersedia untuk mengubah paradigma sedia ada.

Mungkin dalam masa 10 atau 15 tahun lagi, kita seharusnya bersedia untuk menerima hakikat bahawa komitmen dan prestasi kakitangan bukan lagi bergantung kepada keberadaan mereka di pejabat.

Penggunaan kaedah bekerja dari rumah bukan sekadar untuk menjaga alam sekitar sahaja. Ia juga mampu meningkatkan kecekapan organisasi serta strategi untuk bertindak balas terhadap perubahan dan cabaran.

Beberapa cabaran yang dihadapi oleh golongan pekerja memerlukan intervensi organisasi seperti pelaksanaan kerja yang fleksibel. Antara cabaran tersebut ialah konflik di antara kerja dan keluarga serta bertambahnya bilangan pekerja yang terdiri daripada ibu atau bapa tunggal.

Mereka ini harus menjalankan dua peranan serentak iaitu mencari nafkah dan menjaga kebajikan keluarga. Selain itu kerana semakin bertambahnya bilangan pekerja yang mempunyai kemahiran tetapi tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya untuk berada di tempat kerja.

Seharusnya ini semua akan membuka lebih banyak ruang kepada usaha mereka bentuk semula kerja yang konvensional kepada kerja lebih fleksibel.

Justeru itu, usaha JKR ini perlu dilihat dari aspek positif. Pelaksanaan dan kejayaannya bukan sahaja menjadi tumpuan lain-lain organisasi tetapi juga diperhati dengan penuh minat oleh ahli-ahli akademik.

Ini adalah kerana kajian akademik mendapati kerja fleksibel menyumbang kepada kualiti kerja dan produktiviti tinggi serta kesetiaan. Akibat daripada beberapa perubahan dan cabaran tadi, trend sebegini dijangka berterusan di masa depan.

Justeru itu, organisasi harus bersedia bahawa sesetengah kerja memerlukan koordinasi yang minimum, kakitangan masih mampu untuk memenuhi keperluan tugas rasmi biarpun tidak berada secara fizikal di pejabat.

Apa yang penting ialah wujudnya sifat saling mempercayai serta prosedur yang jelas bagi memastikan objektif sesuatu tugas bukan sahaja dipenuhi tetapi kualiti kerja juga lebih tinggi.

Pada masa hadapan organisasi harus melihat kerja fleksibel sebagai strategi untuk berdepan dengan cabaran-cabaran sumber manusia.

Ia termasuklah dalam soal kekurangan pekerja mahir dan berkelayakan, kekurangan pekerja pengeluaran, masalah brain drain serta kekurangan pekerja yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan.

Dengan peningkatan persaingan dan suasana pasaran yang bergerak pantas, organisasi kini berdepan dengan cabaran untuk menarik dan mengekalkan kakitangan terbaik.

Bakal pekerja berkemahiran tinggi sememangnya lebih mudah memilih majikan yang menawarkan pakej ganjaran kewangan menarik.

Namun bukan semua organisasi mampu menawarkan ganjaran kewangan berdaya saing. Organisasi juga memahami bahawa terdapat banyak sebab kakitangan meletak jawatan.

Kenaikan gaji dan pangkat mungkin mampu menyekat kakitangan dari melepaskan jawatan yang bakal merugikan majikan.

Namun ia masih belum cukup untuk memenuhi keperluan sebilangan kakitangan yang inginkan keseimbangan di antara kerja dan kehidupan di luar kerja.

Seseorang kakitangan melepaskan jawatan atas banyak sebab. Antaranya ialah minat, cabaran, peluang, pembangunan kerjaya dan fleksibiliti. Kemampuan organisasi untuk mereka bentuk kerja yang memungkinkan seseorang individu mencapai keseimbangan di antara kerjaya dan gaya hidup.

Kaedah yang mesra pekerja seperti yang bakal dilaksanakan oleh JKR patut dilihat sebagai projek perintis yang patut menjadi ikutan mengikut kesesuaian sesuatu jawatan. Yang penting, 35 pelukis pelan berkenaan harus membuktikan kaedah ini juga mampu dilaksanakan dengan jayanya oleh kakitangan sektor awam.

Kita yakin segala prosedur telah sedia ada dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak terutamanya yang melibatkan sasaran kerja.

Polisi yang jelas merangkumi aspek-aspek seperti kerahsiaan, aspek keselamatan, kesihatan pekerja, perbelanjaan, penjagaan peralatan yang dimiliki oleh organisasi, lokasi bekerja serta piawaian prestasi adalah perlu bagi memastikan kejayaan sistem baru ini.

Segala bentuk kegusaran seperti yang dilaporkan seperti kos elektrik, suasana kerja yang berbeza dan tahap disiplin perlu diatasi dengan baik agar matlamat dicapai.

Jika projek perintis JKR ini berjaya, ia bakal membuka minda pihak-pihak lain untuk turut menerima konsep kerja fleksibel.

Tepat sekali kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kejayaan projek perintis ini harus diukur berdasarkan faedah kepada organisasi serta kepada kehidupan pekerja.

Konsep bekerja seperti ini jika berjaya dan diterima, bakal membuka ruang kerja untuk golongan lain seperti orang kurang upaya serta ibu tunggal yang mampu bekerja tetapi kurang berkemampuan dari segi mobiliti.


PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Perlis

Utusan Online: 23/12/2009)

Monday, December 21, 2009

Hayati Peristiwa Hijrah:Memantapkan Ukhwah Memperkasa Ummah Gemilang

Sumbangan: Norliah Kudus

Tanggal 1 Muharram menemui kaum Muslimin sekali lagi. Setiap kali kita menyambut tahun baru hijrah maka setiap kali itu jugalah banyak persoalan akan timbul bermain di dalam fikiran kita semua. Salah satu persoalan yang berlegar di pemikiran kita semua ialah apa, di mana dan ke mana arah tuju kita semua khususnya umat Islam di negara ini di dalam menghadapi era globalisasi. Seharusnya kita menjadikan peristiwa hijrah ini sebagai pengajaran dan iktibar atau satu motivasi kehidupan dalam menghadapi pelbagai cabaran era globalisasi kini

Penulis bersetuju saban tahun sambutan Maal Hijrah di sambut samada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Sambutan ini cukup signifikan bagi kita mengiklankan syiar Islam kepada umat Islam dan bukan Islam sebagai satu medan dakwah. Apatah lagi sambutan ini mendapat perhatian pimpinan-pimpinan tertinggi kerajaan mahupun rakyat biasa malah mendapat liputan luas media eletronik dan cetak. Maka di kesempatan yang ada ini, perlulah digunakan oleh pihak berkuasa agama untuk mengunakan kesempatan yang memperluaskan dan memperjelaskan mesej-mesej Islam kepada semua pihak.

Ilmu merupakan aspek terpenting di dalam anjakan ummah menuju kegemilangan. Setiap individu perlu memastikan agar segala ilmu yang dimiliki mendatangkan kebaikan dan dapat menyumbangkan sesuatu bagi memartabatkan kedudukan agama Islam. Apabila matlamat ini ditanam dalam diri setiap individu, setiap perkara yang dilakukan tidak akan lari dari landasan yang sebenarnya seterusnya akan membentuk diri yang bertakwa, keluarga yang bahagia, masyarakat yang bersatu padu dan berakhlak mulia serta melahirkan negara yang dihormati’.

Hijrah adalah satu peristiwa penting dalam sejarah Islam. Dalam konteks sirah Nabi, Hijrah membolehkan pengaturan strategi berkesan bagi umat Islam menggemblengkan usaha dan mengukuhkan lagi kekuatan ummah. Justeru itu bagi menghayati peristiwa hijrah ini bukanlah bermaksud sekadar kita berhijrah dari Mekah ke Madinah atau dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi adalah secara menjiwai hikmah perjuangan, pengorbanan dan kebijaksanaan baginda untuk menjana dan menobatkan Islam di mercu dunia demi kesejahteraan umat.

Bertepatan dengan Tema sambutan tahun ini ialah ‘Memantapkan Ukhwah dan Memperkasakan Ummah’. Hijrah turut mengajak bagaimana bermuhasabah dan menilai diri, hati dan jiwa serta usaha-usaha untuk memiliki sifat-sifat mahmudah (terpuji) seperti ikhlas, redha, sabar, amanah dan peribadi mulia. Dalam masa yang sama menghindari sifat-sifat mazmumah (keji) seperti sombong, riak, dengki dan kikir untuk tidak diamalkan dalam kehidupan.

Penulis bersetuju bahawa usaha-usaha mewujudkan GAGASAN 1 MALAYSIA melalui perpaduan dan persaudaraan dalam hidup bermasyarakat, berbangsa dan bernegara juga perlu menjadi agenda, peranan dan tanggungjawab bersama untuk dilaksanakan dalam konteks kepentingan umat Islam sejagat dengan penuh hikmat ke arah melahirkan masyarakat yang harmonis dan sejahtera.

Budaya berfikir dan membaca juga adalah termasuk dalam peribatan kepada Allah. Aspek lain yang berkaitan dengannya ialah budaya tadabbur, tazakkur dan taammul. Apatah lagi sekiranya amalan kita ini menjurus kepada keimanan kepada Allah dan kekuasaannya yang meliputi langit dan bumi. Islam juga tidak pernah menghalang kemajuan yang dikatakan sebagai salah satu faktor kemunduran umat Islam dewasa ini.

Dalam konteks ‘memperkasa ummah gemilang’ secara jangka panjang, proses pendidikan dan pengilmuan adalah tumpuan paling penting. Ia menghasilkan sumber tenaga manusia yang berkualiti, berdaya bersaing dan memiliki kreativiti yang tinggi. Integrasi kedua nilai ini akan melahirkan epistemologi holistik yang bukan sahaja mampu membentuk tasawur yang mencakupi, malah akhirnya mampu membangunkan tamadun mithali.

Ilmu juga berperanan membentuk masyarakat agar bersifat dinamik, berintegriti, adil, berdaya saing, toleransi dan seimbang dalam menyumbang kepada pembangunan dan menjayakan wawasan negara. Untuk melihat fungsi dan peranan ilmu secara objektif, ilmu perlu diaplikasikan dan dijelmakan ke dalam seluruh kehidupan masyarakat Malaysia dan pastinya agama Islam menjadi tunjang.

Ilmu pengetahuan juga merupakan pemangkin utama dalam merealisikan pembangunan modal insan kerana pelaburan dalam bidang ini akan mampu menjadikan negara kita dihormati dan cemerlang dipersada antarabangsa. Malahan ajaran agama Islam turut menekankan akan kepentingan ilmu melalui surah pertama yang turun kepada Nabi Muhammad saw, dalam surah Al-Alaq ayat 1 hingga 4 yang bermaksud : “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan TuhanMulah Yang Maha Pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.”

Dari aspek masa pula, konsep hijrah sangat menitikberatkan masa untuk dimanfaatkan oleh penggunannya, sebelum ianya habis dan berakhir dengan kematian. Perkara ini dijelaskan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud : “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu masa muda sebelum tua; masa kaya sebelum miskin; masa lapang sebelum sempit; masa sihat sebelum sakit dan masa hidup sebelum mati”. Sama ada kita sedar atau tidak kemajuan dan perkembangan globalisasi kini begitu drastik sekali. Begitu pantas masa meninggalkan kita dibelakang hinggakan hampir merapusi jagatraya ini.

Perkara ini jelas memperhitungkan bahawa keseimbangan pencapaian dan kemajuan amat diperlukan, bukan sahaja dalam melaksanakan khidmat atau ibadat, malahan proses mempertingkatkan darjah ketaatan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Dalam hubungan ini era moden dan globalisasi ini akan menguji dan menilai kebijaksanaan kita sebagai manusia di dalam mempergunakan masa agar tidak lalai dengan arus pembangunan dan kemajuan sejagat.

Dengan kata lain, Islam sebagai ad-din perlu diamalkan secara syumul di dalam kehidupan. Islam adalah agama yang bertamadun. Sama ada ditambah perkataan hadhari atau tidak, tidak akan menjejaskan nilaian ketamadunan yang telah diletakkan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam ajaran yang mulia ini. Penambahan perkataan al-hadhari selepas perkataan al-Islam bertujuan menggambarkan betapa Islam itu bertamadun.

Ilmu juga adalah intipati utama dalam pembangunan individu dalam organisasi. Perkaitan antara manusia dan ilmu dalam membina kegemilangan tamadun manusia yang jitu dan unggul turut diperakui oleh agama-agama lain di dunia ini. Tamadun manusia yang wujud dan dibentuk sejak zaman Nabi Allah Adam a.s lagi hinggalah ke zaman Nabi Muhammad saw sehinggalah ke zaman ini adalah berteraskan kepada kemajuan tamadun manusia yang berasaskan ilmu pengetahuan.

Ajaran Islam tidak lagi dilihat dalam bentuk amalan ritual semata-mata tetapi turut dipraktikkan ke dalam bentuk-bentuk yang nyata sesuai dengan sifat realistik dan praktikal ajaran agama. Ini terbukti dengan usaha-usaha untuk mengislamisasikan seluruh bidang kehidupan seperti ekonomi, budaya, sosial, keagamaan, politik dan sebagainya.

Kejayaan ini dapat dicapai dengan melaksanakan pendekatan yang bersepadu, sistematik, parktikal dan menyeluruh serta konsisten di samping sentiasa memuhasabah diri di dalam usaha meninggikan tamadun dan syiar Islam khususnya. Dalam usaha menyemai dan mempraktikkan nilai-nilai ajaran agama Islam di Malaysia pula, jalan terbaik adalah dengan melakukan siasah syar’iyah serta penuh hikmah dan bijaksana agar sesuai dan sejajar dengan susasana politik dan budaya masyarakat Malaysia.

Semoga tahun 1431H ini dapat memberikan keinsafan kepada kita untuk mengubah diri ke arah yang lebih baik. Dengan harapan agar kita semua menjadikan sambutan Maal Hijrah sebagai satu titik untuk melihat diri kita atau muhasabah dan peranan kita dalam memajukan umat Islam dan memberikan promosi kepada penganut agama lain tentang betapa indahnya agama kita ini.

Moga-moga kita semua akan dapat menempuhi era globalisasi di tahun baru Hijrah ini dengan satu penghijrahan atau perubahan yang baik dan sempurna dengan diiringi ilmu, iman, amal, takwa serta doa. Marilah kita berdoa kepada Ilahi agar kita semua selamat sejahtera dari sebarang musibah dan bencana serta dibawah lindungan-Nya jua.

Salam Maal Hijrah 1431 kepada semua umat Islam. Bersamalah kita mengharapkan dan mendoakan dengan kedatangan tahun baru hijrah ini, ukhwah dan kekuatan seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan lebih kukuh dan dapat diperkasakan pada tahun akan datang.


E-mel: kudusnorliah@yahoo.com
Blog: http://norliahkudus.wordpress.com

Saturday, December 19, 2009

Gelsemium Sempervirens

Pusat tindakan bagi sistem saraf yang sebabkan pelbagai keadaan kelumpuhan motor. Keletihan umum, pening, mengantuk, jemu dan menggeletar. Degupan jantung lemah, rasa letih dan tidak peduli. Lumpuh di pelbagai rangkaian otot seperti mata, kerongkong, mata, larinks, gegelang-gegelang otot (contoh: dubur), kaki, tangan dan sebagainya. Kelumpuhan selepas sakit kerongkong (diphteria). Otot-otot lemah. Mahu rehat dan amat letih. Koordinasi saraf lemah. Tekanan kerana panas matahari. Sensitif dengan pertukaran udara sejuk. Kanak-kanak takut jatuh dan memegang pengasuh. Lembam. Influenza. Campak. Pellagra (kurang vitamin B kompleks).

Fikiran: Tidak berupaya berfikir atau beri tumpuan. Mental rasa bosan, mudah marah, sensitif; mahu dibiarkan seorang diri. Tidak sedar. Mengingau. Merungut bila dengar sesuatu berita. Tidak mahu bercakap. Tidak berupaya melaksanakan apa yang diucapkan.

Kepala: Pening dan pandangan kabur. Berat; kurang selepas kencing atau buang air besar. Rasa berat dan tertekan. Kepala seperti diikat. Kelopak mata berat, rasa lembam; lega bila baring dengan kepala tinggi sedikit. Sakit sebelah sisi melarat ke telinga dan tepi hidung; menggigil. Rasa hendak letak kepala atas bantal. Sakit kepala melarat ke leher dan bahu. Kerap sakit di belakang kepala selepas sarapan pagi, teruk bila bergerak atau berhenti sekejap-sekejap.

Mata: Kelopak mata berat. Mata rasa lebam, elak cahaya. Anak mata lebih luas. Pandangan kabur dan pening. Pandangan menjadi dua kerana lumpuh otot-otot pada mata. Keliru apa yang dipandang; buta, astigmatism; radang serous. Glaucoma. Sebelah anak mata membesar dan sebelah lagi tidak. Biji mata bergerak berulang-ulang di sisi bila melihat.

Telinga: Tiba-tiba kurang dengar; berdesir dalam telinga.

Hidung: Ledakan bersin secara tiba-tiba, berdenyut-denyut dalam hidung. Hingus berlendir; rasa bergerak dari kerongkong atas hingga lubang hidung kiri, seperti aliran air yang melecur; lubang hidung kanan tersumbat. Pinggir lubang hidung merah dan seperti luka. Coryza akut dengan sedikit rasa sakit kepala. Tukar kedudukan semasa perubahan cuaca.

Muka: Panas, kemerah-merahan. Urat-urat di sekitar muka rasa sakit. Muka sedikit gelap dengan pening dan pandangan kabur. Otot-otot mengecut terutama di sekitar mulut. Dagu bergetar. Rahang bawah jatuh. Otot-otot kaku.

Kerongkong: Sukar menelan; pembengkakan sebabkan sakit telinga. Rasa sakit ketulan pembengkakan dalam esofagus. Sakit kerongkong. Bengkak tonsil.

Perut: Rasa busuk. Hilang lapar. Rasa kosong dan mual. Rimas dan kenyang dalam perut, teruk bila pakaian ketat. Batuk semakin teruk bila sebelah petang/malam. Sendawa masam. Loya dengan pening (terhuyung-hayang) dan sakit kepala. Kejang perut tiba-tiba di sebelah bahagian atas sebabkan boleh menangis. Radang usus yang akut semasa cuaca sejuk. Rasa sakit dalam dinding perut.

Najis: Cirit-birit kerana perubahan emosi, gelisah, berita buruk dan sedih. Najis; kuning kehijauan, warna tanah liat. Tahi lembut tetapi susah keluar. Lemah otot-otot dubur.

Kencing: Banyak kencing; terang, mencurah-curah dengan rasa panas dan terketar; keluar sekejap-sekejap (tidak lawas).

Seks lelaki: Air mani keluar tanpa sengaja; tanpa nafsu; semasa buang air besar. Teruk, rasa tajam dan sakit seperti hendak bersalin di sekitar kawasan pundi-pundi kencing. Abdomen dan kaki kejang semasa hamil.

Pernafasan: Bernafas perlahan dengan keletihan yang melampau. Tekanan pada dada (bahagian bawah). Batuk kering dengan sakit di dada dan hidung kerap berair. Kotak suara sakit (aphonia), susah bercakap, bronchitis, bernafas laju, kekejangan beri kesan pada paru-paru dan diafragma.

Jantung: Berdebar-debar. Rasa jantung akan berhenti jika tidak melakukan sebarang pekerjaan. Degupan kerap, perlahan, lemah, hampir tidak terasa; perlahan tetapi tekanan meningkat; perlahan bila duduk diam, laju bila bergerak.

Kaki tangan/Belakang: Sakit berat. Semua sistem otot berehat sepenuhnya. Lesu; otot-otot rasa lebam. Sakit otot di tengkuk terutamanya dalam bahagian atas otot-otot paru-paru, belakang kalenjar parotid. Lokomotor tersentak-sentak dan hampir lumpuh. Sakit di kawasan lumbar dan pinggul; tidak boleh berjalan. Kaki dan tangan terlalu letih dan bergetar-getar. Letih selepas senaman ringan terutama anggota sebelah bawah.

Kulit: Panas, kering. Ruam terutama di muka dan leher. Biji seperti campak pecah di muka.

Tidur: Tidak dapat rehat, teruk sebelah pagi, mimpi tidak seronok selepas tengah malam. Mudah mendapat radang sebabkan tidak boleh tidur. Tidak bermaya, rasa mengantuk tetapi tetap tidak boleh tidur; terjaga kerana sakit kepala atau sakit perut.

Demam: Menggigil; sakit tidak bermaya di belakang dan anggota hujung (jari dan kaki); rasa letih, setiap petang pukul 4 hingga 5. Mula di tangan, melarat ke belakang, tangan dan kaki rasa sejuk. Demam menggigil, kaki tangan sejuk; kepala dan muka panas. Demam, panas dengan rasa mengantuk; lesu, mahu baring. Lembap sekali-sekala; peluh berterusan; kerap hilangkan rasa sakit. Demam kepialu bila simptom-simptom gugup muncul. Aktiviti ringan sebabkan peluh keluar. Kanak-kanak demam; menggeletar setiap hari pada masa yang sama terutama sebelah pagi. Diikuti rasa panas terbakar dan berpeluh.

Sebab-Musabab: Panas matahari; perubahan mental; takut; kecederaan mekanikal; selepas potong rambut; emosional; melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak biasa; cederakan diri sendiri.

Melarat: Matahari; terlampau panas; keadaan tidak menyenangkan; mendaki; membongkok; selepas potong rambut; cuaca sejuk;sebelum petir; perubahan mental; perokok; semasa fikir penyakit sendiri; pukul 10 pagi; muntah.

Lega: Tunduk; kencing; tempat terbuka; sentiasa bergerak; tutup kelopak mata; rangsangan pada anggota fizikal untuk bergerak.

Konstitusi: Gugup; pletheric; kulit muka merah; perempuan yang sensitif; tidak tahan sejuk; sensitif dengan perubahan cuaca; kenak-kanak; orang muda.


Patologi: Flu; influenza; sakit kepala (migraine); sakit pundi-pundi kencing; sakit semasa datang haid; sakit kerongkong; sakit telinga; saraf-saraf lemah; takut dan fobia; lumpuh sebahagian badan; insomnia; diplopia; sebahagian anggota badan kaku dan mati.

Simptom Utama: Kelopak mata rasa berat, lemah saraf; otot secara amnya lesu, hilang tenaga; mudah terkejut; sakit biji mata.

Thursday, December 17, 2009

Cara Finland martabatkan guru

Oleh Mohd Mahzan Awang

Kita sering didedahkan dengan bagaimana cara Amerika Syarikat dan United Kingdom melakukan lonjakan dalam pendidikan mereka bagi mendepani ekonomi dunia. Ramai pelajar dan pakar pendidikan dihantar oleh kerajaan Malaysia ke negara-negara ini bagi mempelajari ilmu pendidikan.

Namun, sedarkah kita bahawa terdapat negara lain yang menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan berbanding kedua-dua negara maju ini?

Indeks kekayaan Legatum 2009 menunjukkan Finland disenaraikan tempat pertama mengatasi Amerika Syarikat (tangga ke-9) dan United Kingdom (tangga ke-12). Indeks kekayaan Legatum merupakan penilaian global tentang kekayaan dan kesejahteraan hidup rakyat di 104 buah negara berasaskan penilaian faktor-faktor lonjakan ekonomi serta kesejahteraan hidup jangka panjang, termasuklah bidang pendidikan.

Indeks ini meletakkan New Zealand di tangga ke-10 dan Ireland di tangga ke-11. Malaysia disenaraikan di tangga ke-39 mengatasi negara Asia Tenggara lain iaitu Thailand (tangga ke-44), Filipina (tangga ke-55) dan Indonesia (tangga ke-61).

Laporan yang dikeluarkan oleh Institut Legatum berpejabat di London ini meletakkan pendidikan di Singapura di senarai ke-26, Thailand di tangga ke-54 dan Malaysia di tangga ke-55. Manakala Filipina dan Indonesia masing-masing di tangga ke-70 dan 75. Pendidikan di Finland disenaraikan sebagai ketiga terbaik selepas Norway (tangga ke-2) dan Denmark (tangga teratas).

Bagaimana Finland menguruskan pendidikan terutama dengan memfokuskan kepada profesion perguruan.

Pengarah Pusat Mobiliti Antarabangsa (CIMO) Finland, Dr. Pasi Sahlberg melaporkan bahawa ramai daripada graduan cemerlang di Finland cenderung untuk memohon menjadi guru.

Peningkatan mendadak berlaku dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

Daripada jumlah yang ramai itu, hanya 12 hingga 14 peratus sahaja berjaya dilatih sebagai guru. Ini menunjukkan bahawa guru-guru dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar cemerlang, sama ada dalam bidang akademik dan juga bukan akademik. Hanya yang terlatih sahaja boleh menjadi guru. Ia suatu yang berbeza di Malaysia.

Beban mengajar guru di Finland adalah jauh lebih rendah berbanding di Amerika Syarikat, New Zealand dan Scotland. Di Finland, guru dibebani 600 jam waktu mengajar setahun, manakala di Amerika Syarikat ia mencecah 1,100 jam setahun. Falsafah Finland dalam bab ini menurut Dr. Pasi Sahlberg adalah dengan mengurangkan waktu mengajar bererti memperbanyakkan waktu belajar.

Falsafah ini menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar. Adakah ia berjaya mendidik pelajar dalam pelajaran? Kajian lepas mendapati bahawa pencapaian matematik di Finland menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan mengalahkan pencapaian pelajar Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan New Zealand.

Biarpun pencapaian pelajar dalam matapelajaran Sains di Finland adalah setara dengan negara-negara lain, tetapi tidak wujud jurang perbezaan pencapaian yang besar di antara sekolah-sekolah di Finland.

Oleh kerana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran diukur melalui ujian, maka banyak ujian diperkenalkan di sekolah. Keadaan ini diamalkan di banyak negara.

Guru-guru secara langsung dilatih untuk mengajar pelajar bagi membolehkan pelajar melepasi ujian dengan skor yang baik. Situasi ini dilihat dalam paradoks berbeza di Finland. Pembelajaran dilihat lebih berkesan dengan mengurangkan ujian.

Guru dan pelajar juga tidak didoktrinkan dengan ujian, tetapi ditekankan kepada pembelajaran kendiri. Hasil daripada keadaan ini, kadar celik huruf serta pengetahuan sains di Finland mengatasi Amerika Syarikat, Kanada dan Jepun.

Di Finland, guru-guru dilatih agar menggunakan pendekatan yang lebih bercorak pembelajaran kreatif dan bersahaja. Ia bertujuan untuk merangsangkan perkembangan minda dan menggalakkan budaya fikir dalam kalangan pelajar.

Sebarang perubahan pendidikan di peringkat global dinilai dalam konteks yang berbeza di Finland. Ini adalah kerana akhir-akhir ini banyak usaha memartabatkan profesion keguruan di sesebuah negara dipengaruhi oleh perubahan di peringkat global.

Negara-negara membangun tidak ketinggalan membuat banyak perubahan dengan mengandaikan bahawa ia perlu dilakukan demi memenuhi keperluan peringkat global. Walhal, dalam keadaan tertentu perubahan itu tidak sesuai dengan sesebuah negara.

Justeru, Finland mengambil pendekatan lebih berkati-hati dalam hal ini iaitu dengan mempelajari daripada negara-negara lain sebelum sebarang perubahan dilakukan.

Usaha memartabatkan guru termasuklah memastikan kerjaya ini mempunyai masa depan yang gemilang menerusi kenaikan pangkat. Di kebanyakan negara, akauntabiliti pengukuran kecemerlangan guru diberi perhatian yang serius. Namun di Finland, aspek ini dilihat dalam konteks berbeza. Perkongsian tanggungjawab dalam kalangan guru menjadi faktor kepada penilaian.

Dalam soal mengawal tingkah laku pelajar, memupuk kepercayaan dijadikan teras. Ia berbeza di kebanyakan negara yang percaya bahawa kawalan dan pemantauan guru sebagai teras kawalan tingkah laku.

Perbezaan ini membuatkan tugas dan tanggungjawab guru berada dalam vakum yang berbeza. Ini adalah kerana memupuk saling percaya lebih bersifat menyedarkan pelajar tetapi mengawal pelajar lebih berbentuk komunikasi satu hala yang mewujudkan jurang interaksi antara dua kumpulan ini.

Paradoks di Finland ini menggambarkan bahawa usaha memartabatkan guru bukan sekadar memperkenalkan pelbagai anugerah kecemerlangan tetapi ia lebih bersifat satu usaha yang menyeluruh.

Ia adalah satu usaha bersama dengan pertimbangan yang tinggi wajar diberi kepada pandangan para guru - sama ada guru novis, guru terlatih dan guru yang telah meninggalkan sekolah (pencen dan bertukar kerjaya).

Penulis menyambung pengajian di Universiti Dundee, United Kingdom

(Utusan Online, 16/12/2009)

Wednesday, December 16, 2009

Penjelasan di sekitar Risalah Ta’alim

Penulis: Muhammad ‘Abdullah Al-Khatib
Tahun: 2001
Penerbit: Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor.
Muka Surat: 424

Keperluan terhadap Risalah Ta’alim sangat tinggi kerana banyak memberi manfaat kepada kaum muslimin yang cintakan kedaulatan Islam.

Perbicaraan Risalah Ta’alim dan kandungannya yang menjelaskan jalan dakwah dan menerangi petunjuk-petunjuk yang bakal mendatang telah meletakkan kaki seorang muslim di pangkal jalan untuk sampai ke matlamatnya iaitu hendak menjadikan kalimah Allah swt suatu yang paling utama dan tinggi.

Berbincang tentang risalah ini merupakan proses penerokaan yang mencakupi segenap penjuru, bukan sekadar penjelasan dengan pengertian tradisi yang telah sedia maklum. Justeru ia disusun dalam lima bab yang merangkumi konsep umum sekitar Risalah Ta’alim, prinsip dua puluh, rukun bai’ah, kewajipan petugas dakwah dan fatwa al-manar.

Yang menarik perhatian pembaca ialah ketelitian pengungkapan di samping ringkas dan objektif, seorang pendakwah yang jelas bicaranya, berjaya mengetuk pintu minda, membuka sanubari dan mengocak kolam hati dan terus bertakhta di dalam jiwa, hati dan akal.

Menelusuri helaian demi helaian risalah ini, pembaca akan merasai Imam Al-Banna ingin menjelaskan dalam baris-baris kalimatnya skop amali dan praktikal untuk jemaah. Beliau juga telah diberi taufik yang besar kerana keikhlasan yang ada dalam dirinya. Risalah Ta’alim ini muncul sebagai model yang unik, yang telah menjelaskan cengan cermat, melakarkan garis panduan kefahaman dan tonggak pendidikan. Dengan inayah serta prinsip-prinsip harakah bagi ikhwan muslimin dalam jangka masa berdakwah dan perkembangan pembentukan seluruhnya.

Kandungan buku yang hebat ini dihuraikan dengan jelas dan mudah difahami. Dalam ulasannya, Omar Al-Telmesani berkata, ‘Beliau seorang alim dan memiliki kebijaksanaan luar biasa dan jiwanya hidup lagi dinamik, rohani yang suci bersih, amat mengerti dengan penyakit ummah dan menyediakan penawar untuknya. Imam Al-Banna sepertimana kebiasaannya akan menulis sepertimana yang beliau bicarakan tanpa memberat-beratkan atau tidak begitu menghiraukan pengkelasan dan bahagian.’

Melengkapkan bacaan buku ini memberi kefahaman terhadap isu-isu asas yang ada dalam agama Islam dan gerakan dakwah. Bagaimanapun lebih baik jika perbincangan buku ini dibuat dalam bentuk halaqah atau usrah supaya setiap topik dapat diperjelaskan. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa buku ini adalah sebuah panduan yang amat berguna bagi para pendakwah yang mahu meningkatkan kualiti dakwah mereka.

Monday, December 14, 2009

Penyelewengan ajaran sesat di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Penyelewengan akidah Islam telah diperkatakan sejak dahulu lagi sehingga ke hari ini masih mengelirukan fahaman segelintir daripada umat Islam kita, menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat. Ajaran sesat di Malaysia telah banyak dikesan. Perkembangannya begitu pantas sehingga umat Islam menjadi lemas dan tergugat. Kemunculan ajaran sesat pastinya telah memporak-perandakan masyarakat dan menggugat kekuatan ummah. Sebahagian daripada ajaran sesat itu, menurut jurucakap Unit Penyelidikan Agama, Jabatan Perdana Menteri, berasal dari Pulau Jawa yang terkenal dengan pelbagai bentuk ajaran atau kepercayaan batin (Berita Harian, 21 Oktober 1995). Ajaran sesat yang dimaksudkan dalam perbahasan ini adalah aliran kepercayaan ataupun aliran kebatinan.

Ajaran sesat ini tersebar dengan mempunyai nama dan cara tingkah laku yang tersendiri. Ajaran sesat adalah masalah yang mendapat tanggapan khusus dari kalangan orang-orang yang beragama, lebih-lebih lagi agama Islam kerana hal itu menyangkut masalah iktikad terhadap Tuhan yang Maha Esa. Dalam menghadapi perkembangan zaman dan pesatnya teknologi moden, sebahagian ahli masyarakat cenderung mencari ketenteraman hati, nilai keaslian dan kemurnian. Oleh itu wajarlah pada zaman ini ajaran sesat muncul bagai cendawan selepas hujan akibat kurang kefahaman terhadap penghayatan agama Islam.

Definisi ajaran sesat

Pelbagai definisi telah dikemukakan oleh badan-badan kerajaan atau individu berpengaruh dalan hal ehwal agama bagi menerangkan maksud sebenar ajaran sesat ini. Menurut Drs Hj T. Wahidin Soekarno, seorang pakar penyelidikan bidang keagamaan di Indonesia, ajaran sesat ialah satu cabang tentang kepercayaan (terhadap perkara ghaib atau ketuhanan) yang membawa akibat kepada manusia yang percaya dan tersirat daripada akibat itu lebih condong ke arah perbuatan-perbuatan bersifat manusiawi.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Brunei, Indonesia dan Malaysia (Mabim) mentakrifkan ajaran sesat sebagai ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam yang mendakwa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan al-quran dan as-sunnah serta ajaran ahli sunnah wal jamaah.

Pusat Islam Kuala Lumpur pula menyatakan ajaran sesat sebagai ajaran yang didakwa berlandaskan Islam tetapi dalam sesetengah hal menyeleweng sama ada disedari atau tidak oleh pengasasnya.

Pada asasnya, ajaran sesat merupakan ajaran baru yang diketuai oleh seorang pengasas dan tindak tanduk malahan bacaan yang diamalkan bertentengan dengan syariat Islam.

Ajaran sesat bukan sahaja berlaku dalam agama Islam malah agama-agama lain juga menghadapi masalah yang serupa kerana penyelewengan yang dilakukan oleh pengikut masing-masing. Ia adalah hasil daripada perkembangan sosiologi dalam sesebuah masyarakat terhadap amalan dan kepercayaan agama yang sedia ada. Ajaran sesat adalah satu ajaran baru yang dihasilkan dan terpisah daripada sesuatu ajaran agama.

Kriteria-kriteria ajaran sesat

Kajian secara terperinci dan ilmiah perlu dibuat terhadap sesuatu ajaran sesat sebelum dikategori dalam kelompok sesat. Dalam hal yang bersangkutan dengan akidah dan iktikad umat Islam, perkara ini perlu dipandang serius dan satu garis panduan perlu diwujudkan untuk mengesahkan bahawa ajaran itu menyeleweng atau sesat. Mabim telah menyenaraikan beberapa kriteria yang boleh dijadikan panduan dalam menghukum sesuatu ajaran sebagai sesat.

1. Kepercayaan kepada rukun-rukun iman dan asas-asas akidah secara bertentangan dan tidak selaras dengan akidah ahli sunnah wal jamaah seperti mempercayai ada kitab lain yang menyaingi atau memansuhkan kitab al-quran dan mempercayai ada kiblat lain selain ka’bah.

2. Mempertikai kebenaran al-quran atau hadis.

3. Mana-mana ketua kumpulan atau sebarang orang yang mendakwa dirinya sendiri atau orang lain sebagai nabi yang terakhir, Nabi Isa a.s, Imam Mahdi dan sebagainya.

4. Kepercayaan kepada penyatuan beberapa agama yang tersebar di dunia sebagai agama yang sepatutnya menjadi anutan kepada seluruh umat manusia.

5. Pendewaan diri, pemimpin atau kumpulan ajaran tersebut yang bertentangan dengan Islam seperti memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain seperti boleh berkahwin lebih daripada empat.

6. Mengadakan bidaah atau pendapat baru yang bertentangan dengan akidah dan syariah yang diasaskan kepada dalil dan tidak boleh dipertikaikan.

7. Mentafsir dan menghuraikan al-quran dan/atau hadis mengikut sesuka hati.

Jenis-jenis ajaran sesat

Banyak jenis ajaran sesat yang muncul di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur beberapa tahun yang lepas. Mengikut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), terdapat 49 jenis ajaran sesat dan 24 daripadanya dikesan aktif. Ajaran sesat ini adalah:

1. Ajaran Haji Ghazali
2. Ajaran Haji Kahar Ahmad (Rasul Melayu)
3. Ajaran Martabat
4. Ajaran Jahar Damin
5. Ajaran Nordin Putih
6. Ajaran Ismailiyah
7. Ajaran Sheikh Abdul Razak
8. Ajaran Allah
9. Golongan Anti Hadis
10. Ajaran Ayah Pin
11. Ajaran Alsyazaliah
12. Makrifat Ilmu Suluk
13. Sifat Al-Fatehah
14. Pintu Rezeki
15. Ajaran Abu Darshan
16. Ajaran Samaniah
17. Ajaran Qadiani
18. Tareqat Mufaridiyah
19. Tareqat Naqsyabandiah Kadirun Yahya
20. Tareqat Zikrullah Hassan Anak Rimau
21. Tareqat Mahadi Ismail
22. Ilmu Tajali Ahmad Laksamana
23. Ajaran Awang Kerinting
24. Ajaran Bahai


Contoh ajaran sesat

1. Qadiani

Ajaran ini telah mengubah dan meminda ayat al-quran. Penyelewengan ini meliputi maksud, makna dan lafaz. Memansuhkan atau mengubah ayat-ayat al-quran dan hadis sama ada maksud, makna dan lafaz dihukumkan kufur. Dalam surah Al-Maidah ayat 48, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud,

‘Dan Kami telah turunkan kepadamu ql-quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu.’

Menurut ajaran Qadiani, ibadat haji perlu dilakukan di satu tempat yang dinamakan Qadian. Pengasas ajaran ini iaitu Mirza Ghulam Ahmad telah mendakwa dirinya nabi dan rasul serta Nabi Isa al-masih dan Imam Mahdi sakali gus.

2. Bahai

Al-Bahaiah adalah satu kumpulan mazhab yang mendakwa nagbi baru dengan kitabnya yang suci iaitu ‘Al-Bayan’, memansuhkan kitab samamiyah iaitu zabur, taurat, injil dan al-quran. Ajaran ini menjadikan sembahyang sembilan rakaat sekali semalam dan kiblat mereka semasa mengerjakan sembahyang bukannya menghadap ke arah ka’abah sebaliknya menghadap di mana pengasas Bahai berada.

Seperti ajaran Qadiani, ajaran Bahai juga mendewakan pengikutnya dan menganggap pengasas mereka adalah nabi yang terakhir selepas Nabi Muhammad SAW. Kepercayaan ini amat bertentangan dengan akidah Islam. Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 40 yang bermaksud,

‘Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.’

Dalam pada itu, ajaran ini mengajak kepada kesatuan dunia yang satu iaitu agama Bahai. Dalam doktrin agama ini, tiga agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam disatukan dengan alasan ketiga-tiga agama ini datang dari Tuhan. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud,

‘Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.’

Punca-punca penyelewengan Islam

Penyelewengan akidah dan ajaran sesat dalam kalangan umat Islam negara ini masih berterusan walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengekangnya. Antara punca yang menyebabkan berlakunya ajaran sesat ialah:

1. Tidak ada pengajaran agama Islam dengan baik dalam sesebuah masyarakat bagi memecah kebuntuan dan salah faham terhadap sesuatu ajaran agama.

2. Tidak ada peruntukan undang-undang yang dapat membendung ajaran sesat hingga ke akar umbi.

3. Berleluasanya perbuatan maksiat dan kemungkaran yang menyebabkan mereka berada dalam kegelapan hidup dan akhirnya mendorong menganut fahaman atau ajaran sesat.

4. Tersebar dengan meluas buku, risalah dan maklumat yang menguatkan ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

5. Tidak ada kesungguhan dan kepakaran dalam kalangan pendakwah dan guru agama bagi menangani persoalan penyelewengan akidah.


6. Ajaran Islam yang menyeluruh merangkumi segenap aspek kehidupan manusia tidak diberi perhatian serius bahkan ia diberi penekanan kepada sudut dan bidang tertentu sahaja.

7. Masyarakat tidak peka untuk bersama-sama berfikir masalah ini kerana kesibukan kerja yang menjurus pada kepentingan individu.

8. Masyarakat Islam kurang memahami ajaran Islam, mencampur-adukkan pelbagai ajaran agama dan menganggap semua agama adalah sama.

9. Individu atau kelompok tertentu memerlukan sesuatu untuk mengisi atau mengatasi masalah dan keperluan diri.

10. Ajaran Islam yang menyeluruh merangkumi segenap aspek kehidupan manusia tidak diberi perhatian serius.

11. Pengaruh atau kesan daripada persahabatan dan perdebatan dengan golongan ajaran sesat.

12. Kepentingan peribadi seperti kekayaan, politik dan seks.


Kajian kes

Bagi memahami dan mengetahui ajaran sesat yang berlaku di Selangor, kita boleh menyelidik salah satu kes berkenaan iaitu ajaran sesat Haji Ghazali. Pengasas dan pengikut ajaran ini telah mengikuti program pemulihan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Biodata pengasas;

Nama: Ghazali Othman
Umur: 53 tahun
Asal: Indonesia
Jenis ajaran: Ajaran Haji Ghazali
Pusat operasi: Kampung Sijangkang, Kuala Langat, Selangor.
Jumlah pengikut: 43 orang
Mula dikesan: Februari 1995

Aspek penyelewengan;

1. Pengurusan jenazah- jenazah disembahyangkan oleh tiga orang sahaja berulang kali.

2. Pengkebumian jenazah- dilarang membaca talkin dan tali pengikat kain di kepala tidak dibuka.

Rentetan kejadian;

Pengasas yang berasal dari Indonesia ini pernah menuntut ilmu agama yang lama di daerah kelahirannya iaitu Jawa dan mula berhijrah ke Malaysia kira-kira dua tahun sebelum mula dikesan. Penghijrahan pada peringkat awal adalah untuk mencari kerja sebagai menampung kehidupan keluarga di tempat kelahirannya. Namun beliau tertarik untuk memberi ilmu agama kepada penduduk setempat di mana beliau tinggal kerana melihat suasana penduduk kampung yang dikatakan tidak melambangkan diri-diri Islam dan kurang penghayatan agama.

Bermula dari situ, beliau mula memberi pengajaran agama sedikit demi sedikit dan akhirnya kehadiran beliau dapat diterima penduduk kampung di situ. Seterusnya bersama pembantu dan pengikut setia, beliau telah mengadakan kelas pengajian agama. Gerak kerja dan penyebaran agama berlaku dalam keadaan baik dan lancar selama satu setengah tahun. Penduduk kampung yang dhaif dalam bidang keagamaan terus mengikuti ajaran agama yang diperkenalkan tanpa mengesyaki apa-apa. Kelas pengajian berjalan baik dan penduduk kampung amat menghormati beliau sebagai guru agama. Jika sebelum itu Haji Ghazali mendapat pendapatan dengan bekerja sebagai pembantu kedai tetapi kini beliau telah memperoleh pendapatan hasil daripada kelas agamanya.

Penyelewengan ajaran Haji Ghazali bermula apabila seorang anak kepada pengikut setia beliau meninggal dunia. Kelompok masyarakat yang berasa janggal dengan penyempurnaan jenazah telah membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Berdasarkan aduan, si mati mewasiatkan agar jenazahnya diuruskan oleh kumpulan Haji Ghazali. Bagaimanapun keluarga dan saudara si mati terperanjat apabila kumpulan itu melakukan beberapa perkara yang dianggap bertentangan dengan kefahaman mereka semasa menguruskan jenazah. Perkara tersebut ialah jenazah hanya disembahyangkan oleh tiga orang termasuk imam (pengasas ajaran tersebut) beberapa kali. Kemudian tiga orang lelaki lain (pengikut) turut melakukan perkara yang sama beberapa kali. Keluarga si mati turut mendakwa, kumpulan itu tidak membaca talkin ketika jenazah dikuburkan manakala ikatan kain kafan di bahagian kepala jenazah tidak dibuka. Menurut penduduk kampung, banyak ajaran yang dilakukan menyeleweng dari agama Islam tetapi tidak dilaporkan kerana kejahilan penduduk kampung sendiri yang tidak mahu bertanya kepada pendakwah bertauliah daripada pihak Jais.

Dalam program pemulihan yang dilalui oleh Haji Ghazali, beliau berasa tidak salah untuk membuat sesuatu yang memudahkan pengikut ajarannya. Beliau bertegas bahawa ajarannya bersandarkan al-quran seperti memetik maksud ayat al-quran iaitu hendaklah kamu memudahkan dan janganlah kamu menyusahkan dalam penyampaian agama Islam. Justeru beliau bertaqlid bahawa semua itu dilakukan semata-mata untuk memudahkan pengikutnya yang sebelumnya berada dalam kejahilan beragama.

Di samping itu beliau mendakwa semua tindakannya adalah betul kerana beliau adalah orang yang lebih mengetahui daripada orang lain dan boleh melakukan sesuatu menurut kehendak hati. Ini kerana beliau sudah mempunyai pengikut dan menjadi ketua, dua faktor yang menyebabkannya berhak untuk mengarah apa sahaja kepada pengikutnya tanpa mendapat bantahan.

Apabila penduduk kampung melaporkan kegiatannya kepada pihak berkuasa, beliau merasakan sebagai kejahilan masyarakat Islam yang tidak faham. Beliau menuduh penduduk kampung telah menyeleweng dan sesat disebabkan tidak mengikut perintah yang telah dikeluarkannya. Biarpun berada dalam program pemulihan, beliau masih merasakan setiap pengajarannya tidak menyeleweng dan sesat malah menganggap masyarakat Islam di Malaysia perlu mengikut ajaran yang dibawanya sebagai penambahan kepada pahala dan penghapusan dosa.

Langkah–langkah mengatasi

Permasalahan ajaran sesat yang kian rumit mengundang cabaran kepada semua lapisan masyarakat untuk mengekangnya. Ajaran seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja kerana ia akan merebak dalam masyarakat. Pencegahan di peringkat awal amat perlu bagi memastikan jiwa bersih daripada kekotoran dan penyelewengan.

Bagi menghadapi ajaran sesat, Majlis Agama Islam Brunei, Indonesia dan Malaysia (Mabim) telah mengemukakan beberapa tindakan untuk menghalang kegiatan ini yang merangkumi berbagai-bagai perkara.

1. Menyebarkan maklumat kepada orang ramai dengan sejelas-jelasnya mengenai sesuatu ajaran melalui pendidikan formal dan tidak formal, seminar, khutbah dan sebagainya.

2. Meningkatkan aktiviti dakwah bagi menjamin keberkesanan penerangan kepada orang ramai mengenai akidah ahli sunnah wal jamaah.

3. Mengadakan langkah-langkah pengawalan berbentuk pentadbiran seperti, (i) mengelaurkan fatwa dan kenyataan berhubung ajaran sesat, (2) menyediakan garis panduan untuk guru agama dan pendakwah, dan (3) mengadakan langkah pemulihan kepada guru dan pengkut ajaran sesat.

4. Pengharaman bahan-bahan percetakan, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan bercetak yang mengandungi ajaran-ajaran sesat kepada orang ramai.

5. Pengharaman melalui undang-undang dan peraturan terhadap penyebaran dan pengamalan ajaran sesat.

6. Mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian terhadap pengasas, penyebar dan pengikut sesuatu ajaran sesat.

Dalam pada itu, beberapa saranan tertentu telah dikemukakan oleh Drs Haji T. Wahidin Soekarno kepada umat Islam dan pegawai pemerintah bagi menangani penyebaran ajaran sesat.

1. Umat Islam

i. Mereka perlu sentiasa berhati-hati dalam menghadapi pujukan dan pengaruh setiap usaha yang merosakkan iman.

ii. Memberi bantuan seperti memujuk pengikut ajaran sesat untuk kembali ke pangkal jalan dan menjalani kehidupan seperti biasa.

2. Pengikut ajaran sesat

i. Kembali kepada ajaran agama Islam yang benar untuk mengatur kehidupan seterusnya.

ii. Merujuk pakar agama yang diberi tauliah atau memiliki tahap kelayakan agama yang tinggi dalam setiap perkara yang menimbulkan masalah dan pertanyaan.

3. Pihak berkuasa agama

i. Berusaha mengadakan pendekatan bimbingan dan kaunseling kepada pengikut ajaran sesat.

ii. Mengawasi jangan sampai ajaran sesat berkembang dan membahayakan keselamatan masyarakat dan negara.

Kesimpulan

Ajaran sesat merupakan salah satu daripada penyelewengan sosial yang banyak diperkatakan sepanjang masa. Walaupun tidak nampak kesan kritikal seperti pelacuran, dadah atau merempit tetapi ia juga perlu diberi perhatian kerana melibatkan akidah umat Islam. Masalah ajaran sesat memberi impak yang besar kepada masyarakat kerana dengan berlaku penyelewengan akidah akan menyebabkan individu berkenaan membuat tanggapan yang salah terhadap ajaran agama Islam. Selain itu ia juga boleh membawa kepada punca masalah yang lebih besar seperti eksploitasi seks, penipuan atau pemerasan. Tindakan tegas mesti dilakukan oleh pihak berkuasa agama untuk membendung ajaran sesat daripada sampai ke tengah masyarakat. Dalam pada itu jangan pula ada pihak yang menyokong dan memberi ruang kepada individu untuk menyebarkan ajaran sesatnya.

Sunday, December 13, 2009

Keselamatan pengantin

Kematian seorang pengantin lelaki kerana kemalangan jalan raya selepas empat jam majlis akad nikah memang peristiwa tragik. Ketika inai masih merah menyala di jari-jemari, isterinya menahan pilu mengenangkan musibah yang menimpa diri. Benarlah ketentuan hidup adalah milik Allah swt dan sebagai hamba-Nya, kita mesti menerima apa juga ketentuan berkenaan.

Bercinta dan gagal berkahwin adalah lumrah kerana setiap orang inginkan pasangan yang betul-betul menepati kehendak diri. Barangkali juga nilai hidup yang berubah menyebabkan seseorang ingin mencari pasangan yang satu nilai dengan dirinya. Namun keadaan ini boleh lagi diterima berbanding bercerai mati selepas beberapa jam bergelar isteri.

Peristiwa yang berlaku ke atas pasangan pengantin dari negeri berjiran, Kedah dan Perlis disiarkan dalam media dan menjadi perhatian umum. Dalam keadaan semua persediaan telah dilakukan dengan sempurna, mood keluarga kedua-dua pihak juga dalam kemuncak kegembiraan. Pelamin yang dihias indah hanya menunggu masa untuk menerima pasangan suami isteri yang bagai pinang dibelah dua. Akhirnya, pelamin bercucuran dengan air mata dan bertemankan buku Ya Sin.

Kadangkala keluarga pengantin begitu teruja untuk mempastikan majlis perkahwinan berjalan dengan lancar. Urusan makan dan minum jemputan menjadi perhatian, majlis persandingan diletakkan keutamaan sedangkan keselamatan diri untuk bergerak dari rumah sendiri ke rumah pasangan kurang diberi perhatian. Keadaan kereta yang jarang disenggara, tayar yang kurang angin dan haus, lampu dan brek keselamatan yang rosak dan pemanduan yang tidak berhati-hati menjadikan hari yang indah bertukar menjadi tragedi.

Tidak ada siapa yang patut disalahkan dalam kemalangan berkenaan melainkan persediaan yang kurang mantap apabila bergerak di atas jalan raya. Sewajarnya berkonvoi adalah kaedah yang sering dilakukan ketika mengiringi pengantin baru supaya pengguna jalan raya yang lain sedar dan memberi keutamaan kepada konvoi berkenaan. Berkonvoi juga menarik perhatian orang ramai untuk bersama-sama merasai keseronokan majlis perkahwinan. Ia bertukar menjadi masalah dan igauan apabila kereta pengantin sendiri yang terlibat dalam kemalangan. Bagi mengelakkan majlis perkahwinan bertukar menjadi majlis tahlil, semua persediaan mesti diberi keutamaan dan sentiasa memohon kepada Allah swt agar majlis yang dirancang berada dalam keadaan selamat.

Di Malaysia, musim cuti sekolah menjadi pilihan untuk melangsungkan perkahwinan. Ia dimeriahkan dengan majlis kenduri besar-besaran kerana masyarakat hari ini semakin global dan tinggal berjauhan. Dalam majlis seperti inilah saudara-mara yang jauh dan dekat dapat bertemu dan bertanya khabar. Ada pula yang mengambil kesempatan memperkenalkan anak-anak yang semakin membesar. Dalam erti kata lain, majlis perkahwinan menjadi tempat untuk mengukuhkan ikatan sosial sesama saudara-mara.

Saturday, December 12, 2009

Pendidikan anak-anak dalam Islam Jilid 1

Penulis: Abdullah Nasih Ulwan
Tahun: 2002 (cetakan kesebelas)
Penerbit: Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura.
Muka Surat: 612

Buku tebal ini boleh dianggap sebagai ensiklopedia dalam pendidikan anak-anak menurut acuan Islam. Penulis buku, Abdullah Nasih Ulwan adalah seorang pakar dan pensyarah pengajian Islam di Universiti Al-Malik Abdul Aziz, Jeddah memiliki keupayaan luar biasa untuk mengupas pendidikan anak-anak dari pelbagai sudut kehidupan.

Jilid 1 buku ini mengandungi dua bahagian. Bahagian pertama mengenengahkan empat bab yang menyentuh tentang perkahwinan misali, perasaan naluri terhadap anak-anak, hukum-hukum yang bersangkut-paut dengan anak-anak yang baru dilahirkan dan penyelewengan yang terjadi dalam proses membesarkan anak-anak. Semua bab ini diperincikan dalam subtopik yang kecil.

Bahagian kedua mengandungi enam bab yang berbicara tentang tanggungjawab mendidik dalam soal keimanan, pendidikan moral, jasmani, perkembangan mental, rohani dan sosial. Kebanyakan huraian berkisar dalam bentuk membina tabiat dan adab sama ada dalam keluarga atau majlis keramaian.

Keistimewaan buku ini terletak pada topiknya yang luar biasa, perbahasan yang sangat luas, menyeluruh dan mencakupi segala aspek pendidikan dan pengetahuan Islam tentang pendidikan. Setiap isu diperkukuhkan dengan al-quran dan hadis yang menepati maksud isu berkaitan.

Penterjemah, Syed Ahmad Semait mengakui buku ini terlalu tebal dan berhempas-pulas melakukan kerja-kerja terjemahan dengan berhati-hati. Beliau turut kagum dengan masa dan usaha yang diberikan oleh Abdullah Nasih Ulwan ketika menulis buku ini. Manfaat sebenar adalah mereka yang mengambil perbahasan yang disediakan untuk dilaksanakan dalam kehidupan seharian.

Setiap rumah tangga muslim wajar memiliki buku ini kerana ia menerangkan dasar-dasar yang utama dalam cara pendidikan yang teguh bagi anak-anak serta menyediakan mereka sebagai anggota yang baik di dalam kehidupan, sebagai askar-askar yang kuat bagi membentengi Islam
dan sebagai pemuda-pemuda yang cergas memikul di dalam jiwa mereka setinggi-tinggi erti kemuliaan, pengorbanan dan kesediaan untuk mempertahankan Islam.

Saturday, December 05, 2009

Abies Nigra

Bertindak ke atas dinding mukus perut yang sebabkan sakit selepas makan dan gangguan berkaitan perut seperti perut terasa sendat kerana pakaian yang ketat.

Fikiran: Lemah semangat dan kecewa. Gugup; tidak dapat berfikir atau belajar dengan baik.

Kepala: Pening. Rasa lemah. Sakit kepala. Kepala panas dengan ruam merah di pipi.

Telinga: Sakit dalam saluran telinga kiri.

Muka: Pucat, sejuk dan cengkung. Dagu rasa panas dan terbakar.

Kerongkong: Rasa tersumbat; rasa ada sesuatu yang terlekat dalam tekak.

Perut: Lapar dan bangun tengah malam. Hilang selera makan di sebelah pagi tetapi sangat benci makan di sebelah petang dan malam. Sakit selepas makan makanan yang panas. Berterusan rasa tekanan di perut kalau pakaian ketat; teruk kalau letih. Rasa ada mangkuk keras dan telur yang tidak dihadam, sakit perut kerana minum kopi atau menggunakan tembakau.

Najis: Sembelit.

Seks perempuan: Haid lewat.

Jantung: Berat, degupan perlahan; sakit seperti dipotong-potong.

Umum: Susah bernafas. Sesak nafas. Sakit belakang. Rheumatik dan sakit dalam tulang-tulang. Panas dan sejuk silih berganti.

Tidur: Siang tidur, malam berjaga.