Sunday, February 25, 2007

Singapura serlahkan semangat kiasu

Tercabar dengan projek pembangunan Nusajaya iaitu permulaan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 23 Februari 2007, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew membuat ramalan masa depan Singapura. Dalam masa 10 hingga 20 tahun yang akan datang, negara bandar itu akan menjadi kelompok negara dunia pertama dengan mensasarkan kemasukan pelaburan asing sebagai tarikan utama. “Singapura harus mengekalkan cukai korporat dan cukai pendapatan yang rendah. Menjadikan Singapura sebagai tempat untuk hidup dan membesarkan anak-anak yang pintar hinggalah menarik pelaburan dari negara-negara maju.”

Wilayah Pembangunan Iskandar yang dijangka siap pada tahun 2025 meliputi kawasan seluas 9,600 hektar bakal menjadi saingan kepada Singapura untuk menarik pelabur asing ke sana. Tertekan dengan perkembangan di negara jirannya, Lee Kuan Yew memberi harapan yang tinggi dan mempamerkan sifat seorang pemimpin berwawasan iaitu optimis. Beliau yakin masa depan Singapura sebagai “negara kota yang hidup dengan keriangan.”

Ketika projek WPI menghimpunkan Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor (JSNAC), kelompok industri dan logistik selatan, hab perubatan dan bandar raya ilmu, Singapura sedang berada di landasan kukuh untuk merealisasikan impian besar mereka. Lee Kuan Yew menggariskan empat agenda untuk mempastikan “First World Nations” menjadi kenyataan iaitu mengekalkan hubungan dengan China dan India, menarik kemasukan bakat-bakat luar, mempastikan hubungan dengan 230,000 rakyat Singapura di luar negara berterusan dan menjadikan Singapura hidup dengan suasana malam yang lebih bertenaga dan berbudaya.

Ucapan Perdana Menteri Malaysia juga mempunyai nada yang sama tetapi lebih umum, “Pembangunan Nusajaya harus dijalankan mengikut standard yang berbeza daripada biasa kerana kawasan ini akan bertanding dengan destinasi-destinasi utama dunia untuk menarik pelaburan, pelancongan dan pekerja mahir.”

Kenyataan Lee Kuan Yew adalah selang sehari selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan secara rasmi pelaksanaan projek di Nusajaya iaitu sebuah bandar bertaraf dunia terbesar di Asia Tenggara. Perancang strategik Malaysia sudah pasti ingin “membenamkan” pembangunan Singapura kerana perancangan Nusajaya turut menjadikan WPI sebagai tempat hiburan dan kehidupan berbudaya melalui pembangunan resort bersepadu pesisir pantai Puteri Harbour, kawasan kediaman dan destinasi rekreasi bertaraf dunia.

Singapura berbangga kerana menjadi negara paling maju di Asia Tenggara. Berasa hebat dengan keadaan hidup masyarakat yang setanding negara-negara maju di dunia dan memandang rendah pencapaian negara-negara jiran. Tetapi mari kita lihat apa sebenarnya yang hendak dicapai oleh negara kecil ini bagi tempoh jangka masa panjang.

Lee Kuan Yew dalam ucapan sempena majlis Tahun Baru Cina berkata, “Dengan Integrated Resorts, kita memiliki suasana malam yang bertenaga. Tahun lepas kita mendapat 9 juta pelancong. Pada tahun 2015, kita menganggarkan 17 juta pelancong. Hotel-hotel akan muncul dan wang akan bergerak-gerak di dalam saku semua orang.” Fokus beliau adalah wang. Kesenangan dunia yang memberi kepuasan hidup. Kerana wang juga perancang pembangunan dan bijak pandai mereka meluluskan pembinaan dua buah tempat judi ataupun dikenali sebagai kasino di Marina Bay (diuruskan oleh Las Vegas Sands dengan nilai sebanyak RM8.28 bilion dan dijangka siap pada 2009) dan Pulau Sentosa (diuruskan oleh Genting International dengan nilai sebanyak RM7.13 bilion dan dijangka siap pada 2010). “Kita mahu Singapura mempunyai faktor-x, seolah-olah berada di London, Paris atau New York,” alasan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Long untuk meneruskan projek perjudian berkenaan.

Menjadikan Singapura sebagai pusat perjudian akan mempastikan nilai RM32.2 bilion dalam industri perjudian di Asia turut dikongsi bersama oleh rakyat Singapura. Saban tahun Singapura kehilangan RM414 juta kepada Malaysia disebabkan kemaruk judi masyarakatnya. Pada masa yang sama, operasi kasino yang bermula pada 2009 akan membawa masuk sejumlah 17 juta pelancong.

Bagaimana kasino membawa wang kepada Singapura?

Antara kasino terbesar di dunia ialah Hard Rock Casino Las Vegas, Amerika Syarikat. Terdapat empat kasino yang sama di bawah bendera Hard Rock Casino ini yang terletak di Hollywood, Tampa Florida, London dan Biloxi. Konsep yang digunakan ialah “kota keriangan” yang menggabungkan tempat perjudian, hotel dan taman hiburan serta rekreasi keluarga yang luas. Kaedah yang digunakan ialah menutupi bayang-bayang perjudian melalui hiburan keluarga. Tema hiburan yang digunakan itulah akan membawa ramai pelancong ke sana.

Pemimpin Singapura menyedari bahawa Malaysia sentiasa bersaing dengan mereka dalam semua perkara baik kecil mahupun besar. Oleh kerana budaya kiasu sangat tebal, mereka sentiasa berfikir satu langkah ke hadapan supaya negara jiran itu tidak “menelan” kemajuan yang dibina selama ini. Tanpa tarikan pelancong, bijak pandai dari luar dan pemusatan ekonomi, Singapura akan menjadi tempat “air mati.” Kita juga pernah mendengar desas-desus ketika perancangan awal Nusajaya dahulu untuk membuka pusat perjudian utama tetapi ketegasan pemimpin-pemimpin Malaysia melenyapkan sama sekali cadangan itu.


Masyarakat yang menjadikan dunia sebagai fokus hidup dan setiap masa memikirkan wang akan mendapatkannya kerana Tuhan telah menyatakan dalam surah Al-Hijr ayat 19 hingga 20 iaitu, “Dan bumi ini Kami bentangkan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya.”

Judi adalah permainan yang melibatkan pertaruhan dan pihak yang kalah perlu membayar sejumlah nilai kepada pemenang. Tiga jenis judi ialah nombor ekor, menyabung binatang dan pertaruhan sukan. Berjudi memberi kesan kepada individu dan masyarakat. Kesan terhadap individu ialah fokus dan pemikiran mereka menjadi sempit. Elemen nasib adalah agenda utama bukannya berusaha dan bersusah-payah mencari wang. Berjudi juga menarik seluruh perhatian pelaku kepada daya tarikan yang tidak pernah puas. Kemenangan mendapat wang taruhan bagi kali pertama akan memberi rangsangan kepada pelaku untuk mencuba bagi kali kedua dan seterusnya. Situasi seperti inilah yang mengkucar-kacirkan kehidupan berkeluarga. Isteri mengadu tidak cukup wang belanja dan anak-anak tidak membawa wang ke sekolah. Berfikir tentang nombor memberi semangat untuk hidup dalam angan-angan. Keadaan pelaku yang lebih parah ialah “rasa bagai hendak pecah kepala” jika tidak membeli nombor dalam masa tiga hari.

Kenapa berjudi ditegah di dalam agama, masyarakat dan negara-negara tertentu? Seorang paderi Kristian Roman Katholik Singapura, Nicholas Chia berkata perjudian sangat membimbangkan kerana kesannya ke atas kemanusiaan, keluarga dan kesejahteraan sosial masyarakat. Malahan tidak ada agama yang membenarkan perjudian kerana akibat buruk terhadap pelaku dan orang di sekitarnya. Maksud ayat 219 surah Al-Baqarah menjelaskan bahawa, “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: (Dermakanlah apa-apa) yang berlebihan dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.”

Justeru itu, kenapa Singapura beria-ia benar menjadikan negara itu sebagai pusat perjudian utama dengan kos berbilion ringgit?

Di sebalik alasan hendak menarik pelancong, pelaburan luar dan kota yang meriah serta kehidupan berbudaya, masyarakat Singapura telah terkena suntikan halus virus perosak moral daripada Yahudi yang mahu melihat bangsa-bangsa lain musnah. Oleh kerana masyarakat Cina di Singapura mempunyai wang yang banyak dan mahukan kekayaan segera, Yahudi mempromosi kasino sebagai tempat membuat wang dengan alasan kukuh menarik kemasukan pelancong. Pemimpin Singapura tidak sedar kerana mereka tidak punya peringatan yang muktabar malah tidak mahu belajar daripada sejarah.

British mengalahkan China dengan mengedarkan candu, menguasai India dengan menggalakkan ajaran sesat dan memecahkan kesatuan kaum di Malaysia melalui idea “pecah dan perintah.” Singapura, sebuah negara bandar yang moden sedang diperangkap dengan tipu helah Yahudi dan syaitan. Masyarakatnya akan menjadi “peminta sedekah yang akan dipandang seperti binatang lapar.” Peringatan Tuhan kepada umat Islam adalah jelas seperti maksud dalam surah Al-Maidah ayat 90 hingga 91 iaitu, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi serta pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Pemimpin Singapura bermegah dengan perancangan mereka untuk menjadi kelompok “First World Nations” yang diidamkan dan mereka pasti akan mendapatnya, tetapi terpaksa berhadapan dengan malapetaka kesejahteraan sosial masyarakat. Generasi muda yang membesar dengan wang dan hasil judi tidak mendapat naungan Tuhan seperti mana dinyatakan dalam surah As-Saba’ ayat 15 yang bermaksud, “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.”

Apakah pemimpin Singapura akan menyuap nasi ke mulut rakyatnya dengan hasil judi semata-mata semangat kiasu? Dan bersediakah pemimpin Malaysia bersaing dengan bijaksana dan tidak mudah tergelincir dalam permainan Yahudi? Diharap pemimpin Malaysia akan “sentiasa berkhidmat dengan panduan Tuhan” untuk agama, bangsa dan negara.



Rujukan

http://asia.news.yahoo.com/070225/5/singapore260443.html

Friday, February 23, 2007

Iltizam memperkasa keupayaan bangsa : Agenda pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat

Negara Brunei Darussalam menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-23 pada hari ini, 23 Februari 2007 dengan penuh kemeriahan. Sebuah kemerdekaan sangat berharga dan perlu disyukuri. Pencapaian Brunei Darussalam sejak merdeka daripada British pada 1 Januari 1984 sehingga ke hari ini sangat membanggakan, dan hadir sebagai satu bangsa yang turut bersama-sama dalam perkembangan arus perdana kemajuan dunia. Brunei, sebuah negara yang sedang pesat membangun berjaya melakar sejarah kegemilangan tersendiri untuk berada antara kelompok negara yang aman, selamat dan makmur. Sejak 1929, apabila minyak dijumpai, Brunei berkembang sebagai negara pengeluar minyak utama di Asia Tenggara. Kemajuan ini telah menarik ramai profesional dan pekerja asing untuk bersama-sama membangunkan ekonomi dan memacu perdagangan yang telah mula dipelbagaikan sejak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenalkan reformasi ekonomi pada tahun 2000.

Jumlah penduduk yang semakin bertambah (anggaran 380,000 orang pada Julai 2006), Brunei berada dalam kategori tersendiri bagi menentukan corak dan hala tuju negara dalam cabaran globalisasi iaitu istilah yang dijelmakan daripada kesan-kesan perkembangan ekonomi dunia. Bermula dengan kapitalisme yang digerakkan oleh Revolusi Perindustrian di Eropah, kemudian beralih kepada kolonialisme kerana memenuhi permintaan negara-negara perindustrian yang memerlukan bahan mentah. Era penjajahan berakhir setelah berlaku dua perang besar yang menyaksikan peralihan kuasa ekonomi dunia dari Eropah ke benua Amerika. Tekanan Amerika Syarikat ke atas negara-negara penjajah menyaksikan satu demi satu negara di Timur, Asia Barat dan Afrika bebas dari cengkaman penjajahan dan mula mengorak langkah membina kembali negara mereka setelah mendapat kebebasan.

Kemodenan dipacu oleh Amerika Syarikat yang melahirkan negara perindustrian baru seperti Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Kemajuan teknologi maklumat menjadikan sempadan negara bangsa semakin samar dan mencetuskan perubahan ke atas teknologi, informasi, budaya dan cara hidup sebilangan besar masyarakat dunia. Globalisasi atau sering ditakrifkan sebagai dunia tanpa sempadan telah menerobos masuk ke dalam semua aspek kehidupan masyarakat dengan mendesak integrasi sosial. Pada masa yang sama melemahkan identiti bangsa yang sedia ada.

Pengaliran masuk budaya dan nilai Barat sangat sukar disekat telah menjadi ancaman kepada nilai-nilai dan budaya masyarakat tradisi yang mempertahankan jati diri, kesucian akal dan keluhuran akhlak. Globalisasi memberi ruang kepada Amerika Syarikat dan Eropah mengeksport dua komoditi utama iaitu maklumat dan budaya hidup mereka. Elemen ketiga ialah pemikiran yang semestinya bertentangan dengan cara berfikir masyarakat kita. Brunei, dengan sejarah panjang sebagai negara yang didominasi oleh peraturan Islam dan budaya Melayu, tidak dapat lari daripada berdepan dengan era globalisasi ini.

Cabaran globalisasi sangat besar. Merangkumi semua sektor dan aspek kehidupan khususnya perkhidmatan kerajaan. Peranan kerajaan untuk menggerakkan ekonomi semakin tertekan kerana desakan ekonomi dunia yang saling bergantung dan keperluan untuk meningkatkan daya saing. Justeru, kuasa dalam susunan pemerintahan mempunyai hubungan rapat dengan perkembangan ekonomi global seperti Kementerian Kewangan. Negara-negara pelabur mula mencari pasaran buruh yang lebih murah bagi mengurangkan kos kerana globalisasi mewujudkan persekitaran persaingan yang sengit. Contohnya, pembukaan ekonomi China kepada pelabur asing menyebabkan pelabur sedia ada di negara-negara membangun memindahkan operasi pengeluaran mereka ke China. Kos buruh yang lebih murah di China menjadi penghalang kepada penawaran peluang pekerjaan kepada rakyat di negara-negara membangun yang lain.

Brunei Darussalam, setelah 23 tahun menyambut kemerdekaan, tidak dapat lari daripada turut merasai tempias globalisasi yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali. Ancaman globalisasi yang utama ialah menjejaskan usaha kerajaan bagi mengatasi jurang kemiskinan, mengimbangi ketidakseimbangan sosial dan meningkatkan kesejahteraan seluruh masyarakat.

Memperkasa keupayaan bangsa mesti berteraskan nilai-nilai kerohanian dan moral bangsa. Pendekatan menerapkan nilai-nilai agama telah lama dilaksanakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan iaitu sejak tahun 1932 apabila pelajaran agama diperkenalkan di Sekolah Melayu. Seterusnya pada tahun 1994, Projek Al-Quran dan Pengetahuan Islam (PAI) dijalankan di sembilan buah sekolah rendah terpilih. Dari semasa ke semasa, kerajaan Brunei sentiasa mengemas kini sistem pendidikan agama agar selari dengan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh bangsa Brunei. Masyarakat Barat tidak melihat keruntuhan nilai dan moral sebagai keperluan kerana mereka hidup di dalam masyarakat individualistik dan kebendaan yang menjadi keutamaan. Pemisahan di antara agama dan negara memberi masalah baru kepada dunia Barat iaitu penguncupan kadar kelahiran seiring dengan perubahan nilai yang sedang berlaku.

Barat yang mementingkan pencapaian individu sangat sarat dengan nilai-nilai kebebasan yang berada di luar sempadan agama. Seharusnya keadaan ini tidak menjangkiti masyarakat Brunei yang memegang utuh hukum-hakam beragama yang menjadi teras kepada pembentukan nilai dan budaya hidup.

Kita bersyukur kerana Brunei Darussalam telah dapat mengecapi kemajuan dan menjadi sebuah negara yang disegani ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-23 ini. Kejayaan menganjurkan Asia-Pacific Cooperation (APEC) pada tahun 2000 adalah pencapaian yang membanggakan kerana dapat menemukan pemimpin-pemimpin utama dunia. Ini memberi gambaran betapa bangsa Brunei boleh pergi lebih jauh dengan menganjurkan pelbagai persidangan, mesyuarat dan pertemuan peringkat antarabangsa. Keyakinan ini memberi mesej bahawa masyarakat Brunei sebenarnya mampu bersaing di peringkat global. Rasa bangga sebagai “orang Brunei” mesti dizahirkan kerana Brunei Darussalam dipuji sebagai negara yang aman, selamat dan pesat membangun.

Sistem pendidikan negara yang dimulakan sejak tahun 1914 telah melahirkan sebilangan besar golongan berpendidikan dan kelas menengah yang dinamik dan progresif. Pelaksanaan Skim Rintis Sistem Pendidikan Bersepadu pada 2004 di 56 buah sekolah adalah pemangkin kepada keperkasaan bangsa. Pendita Za’ba, tokoh pejuang pendidikan di Malaysia pernah mengungkap bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri, tidak pernah luntur semangat perjuangannya untuk mendidik bangsa Melayu melalui pendidikan formal. Sebuah negara merdeka, pendidikan di Brunei harus diberi keutamaan jika mengingini kemajuan kerana pendidikan adalah kunci kepada pengekalan persaingan yang menggerakkan rantaian nilai-nilai murni. Pengenalan nilai dan budaya baru yang progresif dalam pendidikan akan lebih berkesan melalui program perkembangan sahsiah diri yang boleh diterapkan dalam kegiatan kokurikulum pelajar di semua peringkat. Dari sinilah rantaian nilai-nilai kecemerlangan akan bergerak seperti ombak dan dikatakan kejayaan akan membiakkan kejayaan dalam rantaian yang tidak putus-putus.

Pendidikan turut membina jati diri generasi muda bangsa yang ingin berjuang ke peringkat antarabangsa. Jati diri ialah unsur-unsur kehidupan yang mencerminkan sifat lahiriah individu atau masyarakat. Pengertian lain bagi jati diri ialah identiti individu, masyarakat dan negara bangsa yang memiliki ciri-ciri keutuhan yang dibanggakan. Oleh itu, jati diri bangsa yang merdeka ialah keupayaan penguasaan teknologi maklumat yang pantas dan sentiasa menjadikan setiap kejayaan mengikut keperluan negara. John Naisbitt mengulas mengenai negara yang mampu bersaing sebagai, “modern technology allows people to find quicker, more efficient, more pragmatic ways to achieve whatever they want to.”

Pencapaian tahap pendidikan negara yang diperjelaskan melalui Falsafah Pendidikan adalah untuk melahirkan rakyat yang sempurna, membangunkan masyarakat penyayang, beretika dan berdaya tahan sebenarnya merupakan penyempurnaan strategi bagi Brunei Darussalam mencapat matlamat pembangunan menyeluruh yang menepati Millennium Development Goals (MDG), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Daripada lapan matlamat MDG, salah satu daripadanya ialah memastikan kanak-kanak lelaki dan perempuan melengkapkan pendidikan rendah mereka. Indikator MDG bagi tahun 2004 menunjukkan kadar literasi yang tinggi iaitu 98.9 peratus dan langkah-langkah berterusan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan sudah pasti melonjakkan sistem pendidikan ke taraf “world class educatioan” dan bakal menjadi hab pendidikan di rantau Asia. Diyakini Brunei akan dapat mencapai sasaran MDG dalam pendidikan lebih awal daripada yang disasarkan iaitu tahun 2015.

Pemerkasaan pendidikan harus dijunjung selari dengan pembangunan masyarakat secara menyeluruh. Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Kelima hingga Rancangan Kemajuan Negara Kelapan memberi keutamaan kepada pembangunan ekonomi, sosial dan mengemas kini sistem penyampaian pentadbiran kerajaan dengan lebih berkesan. RKN merupakan model pembangunan bagi jangka masa panjang adalah unik dan strategik untuk membolehkan Brunei menempatkan diri sebagai sebuah negara yang progresif. Memperkasa ekonomi dan sosial masyarakat akan memperkukuhkan program pembangunan modal insan kerana kedua-dua unsur ini dapat menerapkan nilai-nilai keutuhan jati diri khususnya di kalangan generasi muda.

Penjana masyarakat yang dinamik adalah nilai dan moral yang menepati kehendak kecemerlangan. Kegagalan membentuk jati diri merupakan antara punca mengapa berlaku perubahan-perubahan dalam gaya hidup masyarakat yang mudah meniru cara gaya hidup orang lain. Proses meniru atau akulturasi budaya berpunca kerana memandang rendah kemampuan diri sendiri dan merasakan sebarang idea atau perlakuan dari luar adalah lebih menarik dan berguna. Bagi jangka masa panjang, nilai-nilai tradisi yang sebenarnya sangat berkesan dalam mengukuhkan jati diri akhirnya akan digantikan oleh nilai-nilai baru yang agak asing dan dikhuatiri menghilangkan rasa bangga terhadap bangsa sendiri.

Nilai-nilai murni yang kukuh sangat perlu bagi membangunkan sumber modal insan negara. Keupayaan Barat membina kemajuan teknologi dan kekuatan perdagangan dicorakkan oleh nilai yang kukuh telah dibentuk oleh sistem pendidikan dan latihan yang mantap dan berterusan. Masalah kita dan Barat ialah nilai-nilai yang baik ini dibawa sekali bersama elemen negatif yang boleh menggugat keluhuran akhlak, iman dan ehsan masyarakat yang beragama. Semakin hari semakin kuat pengaruh nilai Barat ini yang disebarkan melalui teknologi maklumat dan media massa.

Memperkasa bangsa ke arah masyarakat sejahtera sentiasa terdedah kepada cabaran. Walaupun secara mikro Brunei mampu mengatasi masalah kemiskinan, buta huruf dan kematian kanak-kanak semasa lahir, sebuah entiti masyarakat yang sentiasa berubah memerlukan kepantasan membuat keputusan di setiap peringkat termasuklah pentadbiran kampung. Pembangunan masyarakat di Brunei telah memasuki fasa yang lebih mencabar selaras dengan pembesaran operasi Bahagian Kebajikan dan Pencen-Pencen kepada Unit Perkhidmatan Hal Ehwal Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1 Februari 1993. Seterusnya pada 8 Julai 2002, unit ini dinaik taraf menjadi Jabatan Pemajuan Masyarakat (JAPEM). Cabaran utama JAPEM di dalam membangunkan masyarakat sejahtera ialah mencari panduan bagi pelaksanaan dan menguruskan pembangunan sosial yang seiring dengan pembangunan ekonomi supaya keseimbangan kemajuan dinikmati secara saksama.

Kecemerlangan masyarakat adalah usaha bersepadu dan tidak hanya melibatkan satu-satu agensi kerajaan malah perlu penambahbaikan melalui penyampaian perkhidmatan sosial yang meliputi aspek kebajikan masyarakat, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, perumahan, penghayatan nilai dan budaya, keselamatan dan persekitaran yang sihat.

Dalam konteks memperkasa keutuhan bangsa, golongan sasar yang harus diberi tumpuan ialah belia. Kelompok ini sangat mudah terdedah kepada pelbagai gejala sosial yang memungkinkan mereka dipinggirkan dalam arus pembangunan negara. Budaya “malas ku ingau” adalah simptom belia yang tidak punya cita-cita dan aspirasi hidup yang tinggi. Keinginan untuk menikmati kehidupan juga rendah. Jurang yang semakin lebar di antara belia yang bekerja dan menganggur akan menjejaskan segala perancangan dan strategi kerajaan bagi memacu kemajuan Brunei.

Justeru, tema Hari Kebangsaan Tahun 2007, Iltizam Memperkasa Keupayaan Bangsa memberi mesej yang jelas kepada perancang polisi dan pelaksana dasar kerajaan untuk melihat pembangunan modal insan sebagai teras kepada kecemerlangan bangsa Brunei. Agensi kerajaan mesti bersiap siaga memastikan keperluan asas individu dan masyarakat dipenuhi, memperkasa insan melalui pendidikan sepanjang hayat (lifelong learning), mengukuh dan membangunkan sistem pembangunan sosial dan perkhidmatan sosial seterusnya menjana sinergi multisektor.

Masa depan Brunei bersama dengan keutuhan nilai-nilai murni yang mencetuskan pemikiran dan sikap yang mampu bersaing, memantapkan kestabilan ekonomi dan pentadbiran, mengukuhkan ketahanan budaya dan ikatan sosial masyarakat. Insyaallah dengan rahmat Allah SWT, Brunei Darussalam akan mengecap rahmatNya seperti mana maksud ayat 15 surah As Saba’ iaitu, “Inilah negeri yang baik dan Tuhan yang pengampun.”




Rujukan

Fong Wai Fong.1999. The New Asian Way. Kelana Jaya : Pelanduk Publications (M) Sdn Bhd.

Ishak Shari.2000. Penerusan Agenda Sosial di Malaysia Dalam Era Globalisasi : Isu dan Cabaran. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Disunting oleh Norani Othman dan Sumit K. Mandal.

John Rapley.1996. Understanding Development : Theory and Practice in the Third World. Colorado : Lynne Reinner Publishers.

Mahmud Yunus.1973. Tafsir Quran Karim. Jakarta : P.T. Hidakarya Agung.

Sayed Abdul Rahman Sayed Mohd.2004. Strategi Ke Arah Masyarakat Sejahtera. ISM Minda Vo. 1, hlm 7-8.

Zainal Abidin Ahmad (Za’ba).2005. Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan ketiga.

Rujukan Internet

https://www.apec2000.gov.bn/
https://www.kkbs.gov.bn/dasar%20belia.htm
https://www.moe.gov.bn/statistics/index.htm
https://www.pendidikan.gov.bn/development.htm
https://www.pendidikan.gov.bn/policy.htm
https://www.pendidikan.gov.bn/aims.htm
https://www.cia.gov/cia/publications/factbook/geos/bx.html
http://ec.europa.eu/comm/external_relations/brunei/intro/
http://en.wikipedia.org/wiki/Brunei

Mengurus kematian tanpa persediaan

Utusan Online pada 20 Februari 2007 menyiarkan sepuluh tajuk dalam ruangan Dalam Negeri yang menyiarkan berita sebahagian besarnya mengenai mati. Bilangan yang mati adalah seramai 29 orang di mana tiga orang mati kerana dibunuh, empat mati kelemasan dan selebihnya mati kerana kemalangan jalan raya.

Kes 1 : Isteri berang suami ingin kahwin lagi bunuh dua anak (Pulau Pinang)

Dua orang kanak-kanak dijerut leher ketika tidur oleh ibu mereka yang mengesyaki suaminya ingin berkahwin satu lagi.

Kes 2 : Warga emas mati diragut (Selangor)

Seorang wanita berumur 71 tahun meninggal dunia setelah dikelar pada lengan tangan ketika diragut rantai leher dan beg tangan. Kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunggu suami yang mengambil kenderaan berhampiran rumah saudaranya di kawasan berdekatan.

Kes 3 : Mati lemas (Sarawak, Kedah dan Pahang)

Di Sarawak, seorang datuk dan cucu mati lemas kira-kira 100 meter dari pantai dengan disaksikan tiga orang ahli keluarga tanpa dapat berbuat apa-apa. Kegembiraan menangkap ikan di Pantai Beraya, Miri bertukar duka.

Di Kedah, seorang remaja C.Rajalingam, 17 tahun lemas dibawa arus deras setelah rakit yang dibuat daripada polisterin tebal terbalik. Operasi mencari masih dilakukan ketika ini.

Manakala di Teluk Chempedak, Kuantan, Francis Joseph, 43 tahun mati lemas kerana terhentak pada batu di kawasan pantai ketika sedang mandi.

Kes 4 : Kemalangan jalan raya (Negeri Sembilan, Pahang dan Malaysia)

Tiga sekeluarga maut apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki berlanggar dengan Proton Waja di persimpangan Enstek-LBJ-Sepang.

Di Kuantan pula seorang warga Indonesia, Mustajab 29 tahun mati dilanggar kereta kerana panik dan melarikan diri daripada sekatan polis.

Ops Sikap XII pada hari ke-8 menyaksikan jumlah kematian seramai 18 orang yang menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 119 orang.

Keempat-empat kes ini adalah kaedah kematian yang kita dengar setiap hari. Kematian yang paling biasa ialah jalan raya. Malaysia berdepan dengan cabaran serius untuk mengurangkan kadar kemalangan yang dapat mengurangkan korban nyawa. Penubuhan Institut Keselamatan Jalan Raya, institusi pertama seumpama ini di Asia Tenggara pada penghujung tahun 2006 yang lalu pasti akan membantu mengurangkan kemalangan jalan raya yang mana 65 peratus disebabkan oleh sikap manusia. Manakala kematian yang tidak pernah dihargai dan menjadi kecaman ialah perompak yang ditembak mati ketika merompak.

Kematian, bagi sesetengah orang dianggap sebagai pemutus nikmat dunia dan sering kali perbincangan mengenainya dielakkan. Kesedihan dan kemurungan adalah suatu yang normal, proses semula jadi berikutan kehilangan seseorang. Ditambah dengan kesan trauma, proses kesedihan berkenaan menjadi lebih rumit. Sering kali kita melihat sendiri mangsa yang mengalami trauma akibat kematian membuat tindakan yang diluar jangkauan pemikiran manusia normal seperti yang berlaku dalam Kes 1 di atas. Keadaan panik, cemas dan berfikir yang bukan-bukan mencetuskan keadaan pemikiran yang tidak rasional. Perbezaan suasana, tahap dan bentuk kematian serta latar belakang memberikan perbezaan yang ketara terhadap sejauh mana perasaan sedih tersebut patut dilayan.

Mengulas mengenai reaksi terhadap kematian secara tiba-tiba, Dr. Barbara J. Paul seorang pakar psikologi di Temple University membahagikan kesedihan ketika mati kepada :

1.Tiba-tiba, sama ada tidak dijangka atau terdapat kejadian jenayah.
2.Disebabkan oleh tindakan orang lain seperti kemalangan, membunuh diri, pembunuhan atau sebab-sebab lain.
3.Daripada sebab semula jadi tetapi tidak terdapat sejarah penyakit tertentu.

Penulis juga pernah mengalami saat-saat kesedihan ketika menerima berita kematian ini. Ketika berumur lapan tahun, rakan sekelas, Zamzuri Zakaria telah meninggal dunia akibat demam kuning. Seminggu kami tertanya-tanya ke mana perginya arwah. Akhirnya guru kelas memaklumkan bahawa kawan kami yang aktif, pintar dan bersemangat untuk belajar telah kembali kerahmatullah dan mendoakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Peristiwa yang lebih menyentuh hati dan mendebarkan ialah melihat sendiri seorang lelaki tua yang uzur sedang nazak. Kakinya yang kurang bermaya tiba-tiba tegang lalu lembik. Kedaan tersebut berterusan naik ke pinggang dan ketika itu tangannya cukup kuat hinggakan orang yang memegangnya hampir terlepas. Beliau akhirnya meninggal dunia.

Ketika meningkat remaja, penulis juga turut kehilangan rakan senior sekolah yang sangat rajin belajar, tidak tinggal solat berjemaah dan sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada rakan-rakan yang lain. Beliau meninggal dunia ketika sedang melanjutkan pelajaran di sebuah maktab perguruan di Bukit Mertajam. Petang hari Ahad, Rohemi Ismail (panggilan mesra ialah Pak Long) menunggang motosikal seorang diri untuk membeli tiket bas di Alor Setar. Beliau terlibat dalam kemalangan di Jalan Kangar-Alor Setar dan disahkan mati pada malam itu juga. Yang sangat terkilan ialah penulis tidak sempat untuk bercakap dengan beliau pada hari Jumaat sebelumnya walaupun dia berada di saf hadapan dengan pakaian jubah yang sangat cantik. Wajahnya pun berseri-seri. Itulah solat jemaah yang terakhir kami bersama.

Kejadian seterusnya ialah ketika penulis belajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam. Dua orang sahabat karib telah pergi menziarahi abang salah seorang daripada mereka di Kuala Lumpur. Ketika hendak pulang ke kolej, kedua-duanya terlibat dalam kemalangan kerana terlanggar lubang yang ternganga di atas jalan raya. Rakan yang meninggal dunia, Sabri cedera parah dilanggar pada bahagian perut manakala pembonceng hancur sebelah kaki. Walaupun parah, Sabri masih boleh berpesan kepada rakannya untuk memohon ampun dan maaf kepada semua kenalan, pensyarah dan sesiapa sahaja yang dikenali. Sabri meninggal dunia setelah dimasukkan ke wad kecemasan dan rakannya kehilangan sebelah kaki dari paras lutut ke bawah.

Ketika bekerja pun penulis masih lagi sempat melihat kematian seorang kenalan yang mempunyai lapan orang anak yang masih kecil dan sangat miskin. Ahmad Harun meninggal dunia kerana kompilasi buah pinggang yang tidak berfungsi. Dua bulan sebelum itu penulis sempat menziarahi beliau di sebuah hospital di Klang dan bermaaf-maafan tanpa menjangka itulah pertemuan terakhir kami.

Seterusnya rakan baik, Syamsul (badannya tegap dan bersemangat) meninggal dunia kerana penyakit leukimia. Beliau langsung tidak mengetahui penyakitnya sehinggalah suatu hari disahkan mendapat barah darah tersebut. Beliau menangis tidak henti-henti dan terpaksa dipujuk oleh isterinya yang sangat memahami keadaan tersebut. Syamsul berikhtiar mencari pelbagai jenis ubat. Namun, Tuhan sangat menyayanginya. Beliau meninggal dunia pada pukul 9 pagi hari Sabtu di rumahnya. Di atas pangkuan isteri, beliau sempat meminta ibunya membacakan surah Yassin. Sahabat ini tinggal di Negeri Sembilan.

Paling baru, seorang kenalan, bekas guru di Melaka, Cikgu Mat yang aktif dengan perubatan homeopati meninggal dunia kerana serangan angin ahmar. Beliau yang penulis kenal ketika di Brunei Darussalam adalah seorang yang sangat menjaga amalan solat dan akhlak dalam beragama. Sangat tegas terhadap anak-anak dan berjaya menjadikan salah seorang anaknya sebagai hafiz al-quran. Kematiannya sangat mulia iaitu pada malam Jumaat dan tidak memberi kesusahan kepada sesiapa.

Inilah yang dinamakan kehidupan. Seorang demi seorang rakan dan kenalan yang berada di sekitar kita dipanggil pulang menemui Tuhan yang lebih menyayangi mereka. Masa kita akan tiba dan kita perlu lalui dengan kesedihan dan keredhaan.

Peringkat awal kesedihan, seperti yang dinyatakan oleh kebanyakan pengkaji, bermula dengan terkejut, diikuti oleh proses kemurungan yang panjang dan proses terakhir, pemulihan.

Terkejut

Keadaan terkejut adalah reaksi awal kepada kematian. Mekanisme terkejut dapat menjadi pelindung kepada emosi yang lebih agresif seperti marah keterlaluan dan hilang pertimbangan. Biasanya, kejutan membuatkan pelakunya bertindak tanpa berfikir dan memudaratkan dirinya sendiri serta mengheret sama keluarga terdekat. Perasaan terkejut kerana kematian tanpa dijangka boleh berlaku dalam beberapa minit, jam atau beberapa hari. Bagi keadaan yang ekstrem atau dikategorikan sebagai kematian yang tragik dan melibatkan orang yang dikasihi, ia boleh menjangkau beberapa bulan.

Bagi semua kematian yang melibatkan kes di atas, keluarga mangsa pasti mengalami kejutan sementara lebih-lebih lagi yang mati adalah orang yang paling rapat dengan mereka.

Kemurungan

Sebaik menerima berita kematian dan mulai merasai realiti hidup yang sebenar, pelaku akan mula mengalami pelbagai jenis perubahan emosi, corak berfikir dan tingkah laku.

Jangka masa kemurungan berubah bagi setiap keadaan yang mana sangat dipengaruhi oleh suasana kematian tersebut. Sepanjang tempoh kemurungan ini, emosi pelaku yang agak menonjol ialah marah, rasa bersalah, takut dan menunjukkan simptom kognitif, fizikal dan perubahan tingkah laku.

Pemulihan

Kesedihan bukan boleh menghilangkan semua kesakitan atau ingatan kepada orang yang disayangi. Sebaliknya membetulkan kembali landasan dan fokus hidup. Dalam proses pemulihan ini, pelaku belajar untuk menerima realiti dan secara perlahan-lahan berupaya kembali menikmati kehidupan yang sebenar, normal, menghargai masa yang ada, memberi tumpuan terhadap emosi yang masih diperlukan selepas itu. Namun, masa yang beredar akan memudarkan ingatan terhadap apa yang berlaku dan menguatkan keazaman untuk berhadapan dengan keadaan tersebut pada masa yang akan datang.

Banyak perkara yang akan muncul selepas kematian tanpa persediaan ini. Selain daripada menanggung beban emosi, ahli keluarga terpaksa memikirkan keadaan hidup, kewangan, kebajikan sosial dan memenuhi tuntutan undang-undang.

Bulan pertama kematian adalah sangat penting kerana pelbagai perkara mustahak perlu dibereskan dengan segera. Keperluan yang sangat mendesak. Waris wajar mengambil tahu beberapa perkara berkaitan si mati supaya urusan dengan pihak-pihak berkaitan dapat dilakukan dengan pantas. Antaranya ialah:

-Membubarkan akaun bersama.
-Buka akaun yang baru.
-Simpan salinan sijil kematian dalam jumlah yang banyak kerana setiap urusan memerlukan salinan berkenaan.
-Dapatkan dokumen-dokumen penting seperti surat perjanjian, buku bank, sijil saham dan polisi insurans.
-Simpan dokumen utama seperti sijil perkahwinan, surat lahir, kad pengenalan dan sebarang sijil atau surat penting bagi tuntutan harta, pencen, insurans atau pembayaran daripada pihak kerajaan.
-Maklumkan kepada syarikat insurans tentang kematian yang berlaku kerana setiap syarikat insurans memerlukan kenyataan rasmi secara bertulis dan sijil kematian sebelum sebarang pampasan dikeluarkan.
-Maklumkan secara rasmi kematian yang berlaku kepada majikan, kesatuan sekerja berkaitan, pertubuhan profesional yang dianggotai dan rakan-rakan yang belum mengetahui. Sesetengah pertubuhan mempunyai peruntukan tertentu yang dapat memberi faedah dan sokongan emosi bagi meringankan penderitaan yang dialami.
-Dapatkan maklumat daripada pemberi kredit secara bertulis supaya langkah susulan dapat diambil. Kebanyakan orang hari ini ada mengambil sama ada pinjaman kereta atau rumah.
-Sekiranya keluarga arwah mempunyai peguam peribadi, dapatkan pandangannya supaya urusan perundangan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Seterusnya enam bulan kemudiannya, waris atau ahli keluarga mesti cepat menyesuaikan diri dengan perubahan hidup yang berlaku. Tidak boleh berlengah-lengah kerana banyak urusan yang mesti diselesaikan. Antaranya termasuk :

-Belajar untuk menguruskan serba-serbi seorang diri. Dapatkan bantuan daripada jiran dan rakan-rakan di kawasan kediaman dan tempat kerja. Mulai mengenal bank, pejabat pos, sekolah dan pasar raya.
-Mengambil lesen memandu.
-Membuat penyata kewangan keluarga supaya penjimatan dapat dilakukan di akhir setiap bulan.
-Berterusan berdoa supaya diberi kekuatan jiwa dan emosi bagi meneruskan hidup yang bakal dilalui ketika senang dan susah.

Mengingati arwah yang telah menemui Tuhannya kadangkala mengimbau kenangan indah. Sungguh indah. Dari gambar, tempat yang selalui dilawati dan pakaian yang sering dipakai, semuanya akan membuatkan hati berbisik, “Ya Allah, aku sangat merinduinya.” Jika melibatkan orang yang paling rapat, kenangan seperti ini boleh menambah tekanan dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.

Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi mententeramkan hati yang jika diamalkan mampu mengawal tekanan yang dihadapi.

-Membaca surah Al Fatehah dan ayat-ayat al quran lalu disedekahkan kepada arwah.
-Menderma wang atau tenaga untuk kerja-kerja kebajikan.
-Mulakan (jika mampu) tabungan untuk membiayai sebarang program atas nama arwah.
-Berkongsi cerita dengan rakan-rakan dan saudara-mara arwah.
-Hadirkan diri bersama program-program pengukuhan jiwa dari semasa ke semasa.

Kehilangan orang yang kita kasihi amat menyedihkan, seolah-olah dunia telah sampai ke penghujungnya. Hidup keseorangan dan tanpa ada gelak ketawa dan suara riang. Dunia tiba-tiba menjadi sepi. Tetapi hidup mesti dan perlu diteruskan walau apapun yang berlaku.

Persediaan paling penting ialah dari segi kewangan. Adalah lebih baik mendaftarkan diri di agensi yang menguruskan wasiat atau diberi autoriti menguruskan harta warisan dan kewangan supaya lebih teratur. Di Malaysia, agensi seperti ini ialah Amanah Raya Berhad (ARB). Barang kali kita perlu menamakan ARB dalam ruangan “pengganti” bagi borang yang diisi untuk kebanyakan dokumen penting. Kematian yang melibatkan kehilangan sebuah keluarga sekali gus akan memudahkan urusan pentadbiran harta jika ARB diberi peranan untuk melaksanakannya.

Jika kita seorang muslim dan berusaha untuk mengajak masyarakat mengamalkan cara hidup Islam, kita tidak perlu terlalu risau apabila mati. Persediaan untuk mati akan menjadi asas kepada keluarga dan sanak-saudara menerima berita kematian. Menguruskan orang mati adalah tanggungjawab orang yang hidup. Jika kita tanpa meninggalkan harta dan sebatang kara, setidak-tidaknya sistem kebajikan sosial negara akan menguruskan jenazah kita sehingga selamat disemadikan.




Rujukan

http://www.psychology.org

Saturday, February 17, 2007

Keadilan untuk mangsa jenayah perang

Penubuhan Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur baru-baru ini adalah pilihan kepada kewujudan Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda. Suruhanjaya ini yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berfungsi sebagai badan yang meneliti dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri Britain dan Australia. Matlamat jangka panjang suruhanjaya ialah “supaya penjenayah perang mendapat label dan dikeji dalam sejarah.” Label sebagai penjenayah perang sudah cukup untuk membuatkan pelakunya “tidak dapat tidur dengan lena.”

Di samping Tun Dr. Mahathir, sembilan pakar perundangan turut dijemput menjadi anggota. Tiga buah negara iaitu Iraq, Lubnan dan Palestin adalah negara yang menderita kerana peperangan yang berlaku. Di Iraq, kematian telah menjadi lumrah dan masyarakat tidak lagi merasai kehidupan sebagai sebuah penghargaan. Nyawa manusia begitu murah kerana kedaulatan dan tanah air telah digadai kepada orang luar yang hendak melihat kehancuran di depan mata. Politik di Iraq belum begitu mantap dan kuat untuk mengatasi setiap konflik yang berlaku.

Penderitaan masyarakat Lubnan dan Palestin telah lama dikaitkan dengan kezaliman zionis Israel dan sokongan yang tidak berbelah bahagi Amerika Syarikat terhadap rejim Tel Aviv. Kawasan kediaman, sekolah, rumah ibadat dan tempat bersejarah telah musnah kerana penggunaan senjata pengebom dan berangkai yang meninggalkan kesan yang teruk dan kekal. Negara-negara yang hancur ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk dibangunkan kembali kerana kemusnahan monumen turut sama memusnahkan harapan dan cita-cita rakyat untuk berjuang membina kembali keyakinan diri mereka.

Tidak susah untuk menilai keazaman dan kesungguhan Dr. Mahathir bagi merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Jenayah Perang ini. Beliau yang sentiasa aktif memperjuangkan kemerdekaan Palestin bersama Presiden Yasser Arafat, melihat peperangan mendatangkan kecelakaan yang lebih teruk kepada rakyat negara berkenaan. Selepas berjaya menamatkan dasar apartheid di Afrika Selatan, perjuangan Dr. Mahathir kini adalah membawa petualang kesengsaraan dan penderitaan perang ke dalam lipatan sejarah dan diingat sebagai penjenayah. Cara fikir beliau adalah mudah. Dilatih sebagai pengamal perubatan, beliau menganggap ketiga-tiga orang pemimpin ini sebagai pelaku sebenar yang mendatangkan onar dan perlu diadili.

Seperti mana keberaniannya membuat tindakan sendiri ketika krisis ekonomi serantau 1997-98, Dr. Mahathir meletakkan standard tersendiri dan berusaha untuk merealisasikan matlamat penubuhan suruhanjaya diterima oleh orang lain sebagai alternatif kepada kewujudan Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang sedia ada. Di sini, keupayaan Dr. Mahathir ialah mengajak masyarakat dunia untuk berfikir bahawa mereka juga boleh membuat sesuatu yang sangat besar, mustahak dan tidak perlu takut untuk menyatakan pendapat sendiri.

Tidak ramai bekas pemimpin yang telah bersara, berumur dan uzur mampu menggerakkan pemikiran, tenaga dan masa hayatnya yang ada untuk mencabar kelesuan pemimpin sedia ada bagi membuat tindakan yang berani.

Di samping semangat membuak-buak di Persidangan Antarabangsa Dedahkan Jenayah – Jenayahkan Perang di Kuala Lumpur, beberapa kelemahan bakal dihadapi dalam merealisasikan perjalanan suruhanjaya ini. Paling utama ialah kekurangan kuasa dan kewibawaan. Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menegaskan kerajaan Malaysia tidak ada kaitan dengan penubuhan suruhanjaya berkenaan. “Tribunal itu adalah inisiatif kumpulan bebas. Biarlah mereka melakukannya kerana kerajaan tidak ada kaitan dengannya.”

Faktor-faktor lain ialah tidak ada asas undang-undang, keupayaan yang terhad untuk mengumpul bukti bagi mendakwa tertuduh dan prosedur yang bakal digunakan kerana tidak ada persetujuan antarabangsa bagi mengesahkan kewujudan suruhanjaya berkenaan.

Param Cumaraswamy, Jurulapor Khas berkenaan Kebebasan Kehakiman dan Guaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, tanpa asas undang-undang suruhanjaya itu nanti hanya menjadi tempat sarkas. Pendapat ini sangat dangkal. Aspek perundangan pasti akan diatasi kerana anggota suruhanjaya terdiri daripada mereka yang pakar dan mahir dalam perundangan. Antaranya ialah peguam, profesor dan pengamal undang-undang yang dihormati.

Dari segi prosedur, pengerusi penaja, Datuk Abdul Kadir berkata, “Penubuhan suruhanjaya ini perlu mengikut lunas undang-undang sama ada di peringkat negara mahupun antarabangsa.”

Peringkat awal, perjalanan suruhanjaya ini diramal agak sukar kerana kemungkinan diperlekehkan tetapi seperti juga usaha Dr. Mahathir sebelum ini untuk menubuhkan EAEC (East Asia Economic Caucus) yang telah menjadi kenyataan pada tahun 1995 ketika mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Bandar Seri Begawan, Brunei. Beliau mencadangkan nama East Asia Economic Group (EAEG) pada 1990 sebagai forum perbincangan ekonomi serantau. Satu suara yang kuat di peringkat antarabangsa dapat mengekalkan perdagangan bebas, memperkenalkan konsep rantau terbuka dan memberi sumbangan terhadap sistem perdagangan multilateral. Sekali lagi, beliau mencadangkan penubuhan ASEAN + 3 pada Disember 1997 sebagai usaha ke arah pembentukan Komuniti Asia Timur dengan menjemput China, Jepun dan Korea Selatan. ASEAN + 3 adalah cabaran kepada APEC (Asia-Pacific Economic Cooperation) kerana di dalam APEC terdapat kuasa besar ekonomi dunia, Amerika Syarikat. Seorang yang bersedia dengan cabaran, Dr. Mahathir tidak gentar malah beliau mempunyai idea yang berbeza.

Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur yang dipengerusikan oleh beliau adalah gerakan politik di peringkat antarabangsa bagi mengajak masyarakat Malaysia dan antarabangsa di semua peringkat bahawa mereka mesti mempunyai idea yang berbeza dan memberi kebaikan kepada dunia. Sama ada berjaya atau tidak, suara penderitaan mangsa perang Iraq, Lubnan dan Palestin perlu didengari. Dr. Mahathir sangat percaya dan yakin bahawa idea atau pendapat yang kecil akan diberi perhatian jika sentiasa diulang-ulang. Dan beliau pernah berkata,

“Kalau kita kecil dan hendak orang lain tahu kita, maka kita perlu menjerit kuat-kuat supaya orang lihat di bawah ini ada satu manusia kerdil. Tetapi kalau kita menjadi gergasi, tak payah menjerit. Kita berdiri saja, orang tahu kita ada di sini.”

Tuesday, February 13, 2007

Satu keluarga satu kaunselor

Pelancaran program “Satu Keluarga Satu Kaunselor” ataupun 2K2 peringkat nasional di Seremban, Negeri Sembilan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi baru-baru ini adalah tanda keprihatinan kerajaan dan parti politik terhadap keperluan menangani permasalahan masyarakat khususnya di peringkat keluarga. Kehadiran hampir 3,000 orang peserta yang memenuhi dewan pelancaran di Hotel Royal Adelphi menggambarkan betapa seriusnya program ini diketengahkan ke dalam agenda pembangunan keluarga di Malaysia.

Objektif program 2K2 ini walaupun ditujukan kepada parti politik UMNO, namun peranannya boleh disebarkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Antara objektif tersebut ialah meningkatkan jati diri, mengukuhkan hubungan kekeluargaan, memasyarakatkan kemahiran kaunseling di kalangan pemimpin dan membudayakan kemahiran kaunseling di dalam keluarga.

Matlamat program 2K2 pula ialah mempastikan keluarga berada dalam kesejahteraan melalui peningkatan keupayaan kaunseling keluarga itu sendiri. Institusi keluarga dan masyarakat tidak pernah terlepas daripada menghadapi pelbagai cabaran dan masalah sama ada dari dalam ataupun luaran. Cabaran dan masalah ini jika tidak ditangani akan memberi impak yang negatif kepada setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Individu merupakan unit asas dalam pembentukan keluarga dan aset kepada modal insan negara.

Dalam usaha membangunkan modal insan ini, terdapat beberapa sumber yang mungkin gagal dimanfaatkan dalam kegiatan negatif yang bersifat anti sosial. Justeru itu di samping pendekatan pendidikan, keagamaan, kemasyarakatan dan spiritual, pendekatan psikologi yang menggunakan kaedah bimbingan dan kaunseling boleh digunakan sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah sosial anak-anak remaja.

Ketika perkembangan seorang kanak-kanak, umur tiga tahun merupakan masa paling kritikal untuknya menyerap segala maklumat yang didengar dan dilihat. Pesan Datuk Seri Abdullah ketika ucapan perasmian berkenaan, kanak-kanak peringkat ini tidak boleh dimarah, dipukul atau didera kerana memang tabiat mereka hendak mengetahui pelbagai perkara. Didikan keluarga mencerminkan peribadi anak-anak. Orang Melayu sering menggelar anak-anak yang nakal atau melakukan jenayah juvana sebagai “kurang ajar.” Gelaran ini adalah satu tanda timbal balas terhadap keadaan keluarga berkenaan yang tidak berupaya mendidik anak-anak dengan berkesan.

“Dalam membentuk sebuah keluarga yang baik, kadang-kadang keluar perkataan yang amat tidak baik, terus menyumpah anak. Jangan! Jangan! Jangan! Seribu kali jangan sumpah kepada anak kita. Kawal diri, jangan sumpah anak, jangan nanti kalau apa-apa berlaku kita menyesal,” ingatan YAB Perdana Menteri di dewan yang dipenuhi semua golongan umur.

Kurang ajar juga lahir daripada keadaan masyarakat yang tidak mempedulikan orang lain kerana mahu menjaga kepentingan diri sendiri. Kesilapan dan kesalahan yang kecil tidak ditegur, kelak akan menyebabkan ia menjadi tabiat yang sudah terbiasa.

Keluarga pada hari ini telah mengalami perbezaan struktur iaitu peranan atau fungsi kekeluargaan telah dilaksanakan oleh institusi di luar keluarga. Umpamanya, bagi pasangan suami isteri yang bekerja, peranan mengasuh anak-anak diserahkan kepada penjaga ataupun dipertangunggjawabkan kepada orang gaji. Rata-ratanya orang gaji ini pula mempunyai latar belakang yang berbeza dan nilai-nilai yang dibawanya turut berbeza. Justeru itu, nilai-nilai tradisi dan budaya keluarga tidak dapat diperturunkan kepada anak-anak dan dengan demikian akan wujud perbezaan tertentu dari segi amalan dan sifat-sifat peribadi di antara ibu bapa dan anak-anak tersebut (Yaacob Harun).

Keluarga adalah unit terpenting dalam masyarakat dan negara. Keluarga adalah penerima dan penyumbang kepada pembangunan negara (Mahathir Mohamad, 1992). Merosotnya nilai dan budaya keluarga adalah penyumbang kepada wujudnya penyakit-penyakit sosial hari ini. Jika 10 tahun yang lalu, kita jarang mendengar kes buang bayi, keadaan sebaliknya berlaku pada hari ini. Fungsi agama dan nilai telah dikesampingkan untuk mencari keseronokan.

Keghairahan untuk menjadi negara maju mewujudkan individu yang mementingkan diri sendiri, membelakangkan peranan keluarga dan masyarakat serta mudah melepaskan tanggungjawab kepada agensi luar seperti pihak berkuasa agama, kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Perkembangan dalam keluarga adalah penentu kepada hala tuju masyarakat pada masa depan. Perangkaan Jabatan Statistik Malaysia pada Oktober 2006 menunjukkan jumlah rakyat Malaysia ialah 26,774.0 juta orang di mana 13,549.7 juta adalah Melayu, 6,237.7 juta adalah Cina dan 1,864.9 juta adalah India. Daripada jumlah ini, 13,630.4 juta adalah lelaki dan selebihnya adalah perempuan. Dari segi peringkat umur, kelompok yang paling ramai ialah dari 0 hingga 19 tahun iaitu 11,223.0 juta. Jumlah ini menunjukkan golongan muda merupakan sebahagian besar penduduk Malaysia yang akan menjadi pemimpin pelapis masa depan. Mereka juga dianggap sebagai aset besar negara kerana keupayaan yang ada dapat membina modal insan terbaik ke arah kemajuan negara.

Cabaran keempat Wawasan 2020 adalah mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika yang mana mereka mempunyai pegangan yang kukuh terhadap nilai agama dan tahap etika yang paling tinggi. Sistem kekeluargaan sangat penting. Berlakunya kepincangan dalam keluarga boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah di dalam masyarakat dan negara. Penyakit sosial ini sebenarnya berpunca daripada apa yang berlaku dalam keluarga itu sendiri.

Masyarakat tradisional menjadikan ahli-ahli dalam kelompok mereka sebagai penyelesai masalah keluarga. Peranan penghulu, ketua kampung atau imam amat bermakna ketika berlakunya krisis rumah tangga. Keadaan itu telah berubah kini. Di bandar, ahli-ahli masyarakat telah bercampur dengan pelbagai jenis latar belakang dan asal-usul penghuninya.

Perbezaan nilai dan budaya ini tidak memberi ruang kepada ahli-ahlinya untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. Justeru, peranan menyelesaikan sebarang konflik, masalah dan krisis diambil alih oleh pihak yang diberi autoriti dan mempunyai kepakaran khusus seperti kaunselor.

Pelancaran program “Satu Keluarga Satu Kaunselor” anjuran Biro Pembangunan Sosial Majlis Tertinggi UMNO adalah langkah awal untuk mengatasi punca-punca masalah sosial di dalam masyarakat Melayu. Membentuk ahli keluarga atau masyarakat yang mempunyai kemahiran kaunseling dapat memberi peluang kepada penyelesaian masalah yan lebih awal. Penglibatan kaunselor yang dilatih khusus ini yang dikenali sebagai parakaunselor setidak-tidaknya dapat menguatkan hubungan di antara suami isteri dan anak-anak kerana komunikasi yang sihat menjadi kunci kepada keluarga sejahtera.

Bagi jangka masa panjang, keluarga tidak dapat lari lagi daripada mendapatkan pandangan dan nasihat daripada kaunselor kerana peranan yang diyakini di samping autoriti yang diberikan. Mungkin juga pada suatu hari nanti, Pusat Pengurusan Konflik akan ditubuhkan di sesuatu kawasan komuniti bagi menyelesaikan masalah, konflik dan krisis yang berlaku di dalam keluarga dan masyarakat.


Rujukan

“Abdullah mahu keluarga UMNO tanpa dadah, jenayah,” Utusan Malaysia, 5 Februari 2007.

Perutusan YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sempena Hari Keluarga Kebangsaan 1992 pada 10 November 1992, dilayari di
http://www.pmo.gov.my/WebNotesApp/PastPM.nsf/a310590c7cafaaae48256db4001773ea/61c7b2c80ff209594825674a0018645d?OpenDocument.

Yaacob Harun. Masyarakat Melayu dan Pengaruh Barat: Perubahan dan Konflik Nilai (Tumpuan Dalam Bidang Kekeluargaan). Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dilayari di
http://members.lycos.co.uk/nabirz/soc11.htm.

Jabatan Statistik Malaysia, Oktober 2006.

Thursday, February 08, 2007

Asia mampu membuat perubahan

Institut Asia Eropah, Universiti Malaya sedang menganjurkan Minggu Filem Jerman sehingga 9 Februari ini bersama Institut Goethe, Kuala Lumpur. Lima filem hebat dipersembahkan kepada khalayak merangkumi pelbagai tema iaitu Mostly Martha, Comedian Harmonists, Good Bye Lenin, Run Lola Run dan Nowhere In Africa. Setiap malam penuh dengan “kaki wayang” yang berminat untuk belajar bahasa Jerman dan mendalami budaya dan cara pengarah Jerman membuat filem.

Pelajar-pelajar dari German Malaysia Institute (GMI) turut hadir bagi memeriahkan minggu filem ini kerana ada di kalangan mereka ini yang fasih berbahasa Jerman dan akan belajar di sana kelak. Lain-lainnya adalah peminat kebudayaan, melepaskan tekanan belajar dan juga suka-suka. Tetapi yang menarik perhatian ialah perbincangan tidak formal saya dengan salah seorang peminat filem pada malam itu iaitu Profesor Dr. Letta, Profesor Pelawat di Institut berkenaan. Beliau seorang yang berpengalaman luas dalam isu-isu Asia dan Eropah sempat memberi pendapat mengenai perkembangan terbaru berkaitan globalisasi, China sebagai kuasa ekonomi baru dan kemerosotan penduduk di Eropah dan Jepun sekarang.

Prof. Letta adalah seorang warganegara Italy yang telah menulis beberapa buah buku seperti Asia-Europe Partnership in the 21st Century, Strategic Thinking : The Korean Experience dan The Future Dynamics of East Asia-Europe Relationship. Buku terbaru yang akan dilancarkan pada bulan depan ialah South Korea-Japan Relations. Buku ini sangat istimewa kerana ia menganalisis hubungan kedua-dua negara, Korea Selatan dan Jepun yang dilihat mempunyai banyak persamaan dari segi sosiobudaya, sosiopolitik dan perkembangan ekonomi. Ia juga turut membincangkan SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman) untuk melihat pencapaian kedua-dua buah negara bagi tempoh jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

Dalam perbualan kami, beliau bersetuju bahawa kesan globalisasi sangat ketara pada abad ke-21 ini. Negara yang dulunya dianggap ketinggalan, pada hari ini sedang meningkat naik dengan pantas. Contoh paling jelas ialah Vietnam. Ekonomi negara ini pesat membangun. Jepun tidak mampu menandingi kekuatan ekonomi China dalam jangka masa panjang kerana akan menghadapi masalah penduduk dalam masa 50 tahun dari sekarang. Beliau menjangkakan penduduk Jepun akan berkurangan dari 120 juta kepada hanya 60 juta orang. Jepun memerlukan 40 peratus pekerja asing untuk mempastikan ekonomi negara itu dapat berada dalam kedudukan terbaik. Banyak perkara yang berkaitan dengan imigresen dan pekerja asing sudah pasti akan menjadi isu kepada kerajaan Jepun.

Barangan China kini berada di pasaran antarabangsa walaupun masih ramai yang meragui kualiti pembuatannya. Itu tidak dapat dinafikan kerana kos pengeluaran dan gaji yang rendah di China. Keadaan sekarang bertambah baik kerana peningkatan gaji akan meningkatkan kualiti dan membaiki mutu kerja. Barangan Jepun akan bersaing dengan barangan dari China mulai sekarang dan secara perlahan-lahan China mula menguasai banyak pasaran Asia yang secara tradisional dikuasai oleh Jepun. Contohnya ialah sektor automobil. China sedang mengorak langkah memperkenalkan jenama pengeluaran negara itu ke seluruh dunia dan mula bersaing dengan kereta buatan Jepun seperti Toyota dan Honda. Walaupun kurang diyakini, kualiti buatan kereta China semakin bertambah baik. Prof. Letta berpendapat China dapat menjadi negara pengeluar barangan berkualiti dengan cara meningkatkan gaji dan upah pekerja.

Korea Selatan, sebuah negara yang sangat tinggi kadar penembusan internet rakyatnya juga menjadi ancaman kepada Jepun. Jenama Korea Selatan seperti Hyundai dan Samsung adalah jenama peringkat dunia. Korea Selatan mampu meraih kejayaan lebih cepat daripada Jepun mula-mula melangkah ke era antarabangsa ketika zaman selepas perang dunia dahulu. Namun, seperti juga Jepun, Korea Selatan menganggap kebangkitan China adalah sebagai ancaman besar kepada kemajuan yang dinikmati sekarang.

Perbualan kami beralih ke isu yang menjadi masalah besar di Eropah sekarang iaitu kemerosotan penduduk di sana. Prof. Letta memberi contoh Italy dan Malaysia. Beliau tertarik dengan pendekatan Malaysia yang memberi ruang kepada agama dan pentadbiran berjalan seiring. Tidak ada pemisahan. Justeru, masyarakat dapat mengamalkan agama sekali gus membina kemahiran pentadbiran dan pengurusan negara ke tahap yang lebih baik. Kaedah ini memberi ruang kepada kejayaan dasar-dasar yang berkaitan dengan perkembangan dan pertambahan penduduk kerana perbincangan dalam hal yang berkaitan tidak menyalahi pentadbiran ataupun agama. Pada masa yang sama kerajaan menggunakan semua instrumen yang ada dengan berkesan. Oleh itu Malaysia tidak mengalami masalah pengurangan penduduk yang ketara.

Di Italy, sekularisme adalah ancaman sebenar kepada pengurangan penduduk yang semakin lama semakin menyusut. Sekularisme memisahkan agama dan pentadbiran negara. Gereja di satu pihak dan negara di pihak yang lain. Tidak ada titik pertemuan. Keadaan ini memberi ruang kepada nilai-nilai individualistik di dalam masyarakat Italy berkembang tanpa disedari. Elemen kolektivis atau kumpulan semakin kurang menyebabkan masyarakat lebih selesa dengan kebebasan individu. Kerajaan tidak dapat menggunakan pendekatan agama kerana sekularisme begitu kuat dan telah menjadi sebati di dalam masyarakat. Bagi jangka masa lama, kekurangan penduduk akan mengundang masalah yang besar kepada modal insan di Italy.

Kemasukan pendatang asing dari China yang kebanyakannya tidak sah juga membawa masalah baru kepada Italy. Ada kawasan yang digelar Chinatown dan mengumpulkan masyarakat Cina. Saya bertanya Prof. Letta apakah tarikan utama yang menyebabkan mereka sanggup menghabiskan beribu ringgit untuk ke Italy, hingga ada yang mati dan tidak sempat menjejakkan kaki ke negara impian mereka. Fesyen adalah tarikan utama. Barangan “Made in Italy” sangat berprestij. Dengan semangat dan kerja kuat, kemahiran fesyen dari Italy dapat dikuasai oleh pendatang dari China dan mampu menjadi kaya-raya. Makanan tidak begitu menarik minat mereka untuk dikuasai.

Kemudian kami mengalihkan perbincangan kepada negara Jerman, yang menjadi tema tayangan filem pada malam itu. Katanya, Jerman adalah sebuah negara yang sangat maju dalam teknologi kerana bahasa Jerman itu sendiri lebih tepat maknanya biarpun dibandingkan dengan bahasa Inggeris. Sukar bagi negara-negara lain untuk menandingi kehebatan teknologi BMW dan Mercedese Benz serta industri yang berasaskan kejuteraan. Penekanan bahasa ini amat menarik kerana Malaysia sedang menerapkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan perdana negara di semua peringkat, pandangan Prof. Letta tentulah membuatkan kita terfikir tentang tahap keupayaan dan kualiti bahasa Inggeris. Kita melihat bahasa Inggeris sebagai bahasa yang hebat sedangkan orang lain yang berbeza budaya dan latar belakang melihat bahasa Jerman adalah lebih hebat. Tetapi saya berpendapat Prof. Letta membuat kesimpulan yang singkat kerana bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi sejagat yang digunakan di banyak buah negara berbanding bahasa Arab atau Perancis. Laos yang pernah dijajah oleh Perancis sekalipun, mengutamakan bahasa Inggeris untuk masa depan rakyat negara itu.


Kesimpulan daripada perbincangan tidak formal di tepi tangga bersama Prof. Letta ini membuka minda saya untuk melihat keadaan dunia ketika perkembangan pesat globalisasi dan teknologi maklumat. Dunia bertambah maju tetapi ada sesetengah negara yang akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan kemajuan yang dicapai kerana berhadapan dengan penguncupan penduduk. Negara yang akan mendapat untung besar sebagai pembekal sumber manusia ialah India, China, Pakistan dan Bangladesh. Setengah abad daripada sekarang, 40 peratus penduduk di Britain akan dipenuhi dengan orang-orang dari Asia. Berbanding Britain, pendatang di Italy kebanyakannya datang dari Utara Afrika yang sukar untuk melakukan proses integrasi di dalam masyarakat Italy.

Tuesday, February 06, 2007

Politik dunia pada 2050 (2)

Kematian orang awam Iraq hampir setiap hari sungguh menyedihkan dan mengecewakan. Keadaan aman yang diharapkan oleh semua rakyat Iraq selepas kejatuhan Saddam Hussein belum lagi kelihatan. Sebaliknya Amerika Syarikat semakin teruja untuk menghantar tentera tambahan seramai 20,000 orang. Pendekatan yang diambil oleh Presiden Bush untuk menyelesaikan konflik di Iraq dan alasan menentang pengganas ke atas kumpulan radikal Islam mengundang pelbagai persoalan kepada masyarakat dunia. Kegagalan menyelesaikan peperangan di Iraq, kematian askar tentera bersekutu di Afghanistan dan menuduh Iran, Syria dan Korea Utara sebagai negara paksi keganasan hanya mengundang polemik yang tidak ada kesudahan. Di bawah adalah artikel yang menganalisis kedudukan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara "superpower" yang sedang berhadapan dengan imej yang koyak-rabak, sukar untuk memenangi keyakinan masyarakat dunia. Artikel ini ditulis oleh J.R. Nyquist daripada tajuk asal "The Destruction of the United States."

Sejarah mengajar semua bangsa, sama seperti yang berlaku ke atas individu, ada permulaan dan akhirnya. Tidak ada negara yang kekal selama-lamanya. Tidak ada bangsa yang dapat dikalahkan. Amerika Syarikat juga, pada suatu hari nanti akan dikalahkan. Beberapa krisis yang berlaku dan sedang berkembang, teka-teki kejatuhan negara yang dianggap paling kuat di dunia ini nampak semakin hampir. Apakah yang akan berlaku kepada dunia tanpa Amerika Syarikat? Apakah lebih banyak kemusnahan ataupun ianya berkurangan? Adakah ramai yang bertambah kaya atau miskin? Adakah terdapat lebih ramai pemimpin kuku besi, lebih banyak kebebasan ataupun penyalahgunaan kuasa? Jawapan kepada soalan-soalan ini banyak terletak pada pertembungan ideologi ketika ini.

Ada sesetengah pihak yang mendakwa kemusnahan Amerika Syarikat adalah suatu yang sangat baik. Amerika Syarikat yang musnah akan menjelmakan pejuang kebebasan dan jaguh yang baru. Jika kita ingin melihat keadaan ini secara objektif, adalah sukar untuk memikirkan "pembebas" Amerika Syarikat sebagai benar-benar pejuang kebebasan. China adalah sebuah negara komunis pimpinan kuku besi dan Rusia ditadbir oleh kelompokan penjenayah.

Dari segi diplomatik, penggunaan istilah kemusnahan kepada Amerika Syarikat adalah tidak molek bagi negara-negara kuasa besar utama dunia seperti China dan Russia. Tidak molek juga dikatakan Russia dan China ditadbir oleh kerajaan yang berpenjenayah. Bagi yang mengetahui tentang polisi luar negara, muslihat, perancangan rahsia dan persediaan peperangan oleh Beijing dan Moscow tidak boleh dipandang mudah.

Kenyataan bahawa Rusia dan China membantu Iran membangunkan senjata nuklear adalah sangat terserlah. Bukannya satu kebetulan bahawa Amerika Syarikat menentang kumpulan Islam radikal yang mana Presiden Rusia telah mengisytiharkan bahawa Rusia adalah "sahabat Islam yang terbaik." Sebelum kejatuhan Parti Komunis Kesatuan Soviet, matlamat utama polisi luar negara mereka ialah melenyapkan pengaruh Amerika Syarikat dan menjadikan seluruh dunia menganut fahaman komunis. China, di sebelah pihak, adalah sebuah negara yang sangat menderita akibat dasar imperialisme dan penjajahan Barat. China mempunyai alasan untuk menjangkakan polisi yang menyatakan "yang terbaik akan kembali lagi."

Alasan utama China membuka pasarannya kepada Barat bukan untuk memperkayakan "kaum berjuis" atau mempengaruhi dan menerapkan nilai-nilai demokratik Barat. Matlamat utama China ialah mendapatkan modal untuk pelaburan dan keperluan teknologi yang diperlukan bagi membina peralatan ketenteraan moden. Membangunkan ekonomi negara China adalah semata-mata sebagai langkah membina China Baru yang mempunyai status "superpower."

Beberapa hari yang lalu China telah berjaya melancarkan senjata anti satelit. Kejayaan ini tidak dibangunkan dalam masa yang singkat. Wartawan Washington Times, Bill Gertz menyatakan dalam ruangannya pada 24 Januari yang lalu, pegawai pertahanan Amerika Syarikat mengaku pada 11 Januari bahawa senjata berkenaan adalah sebahagian daripada "program senjata ruang terselindung untuk melumpuhkan ketenteraan Amerika Syarikat ketika berlakunya konflik. China berselindung di sebalik keamanan bagi melindungi niat sebenar mereka."

"Ujian ini tidak diarahkan kepada mana-mana negara dan tidak mengancam," kata Menteri Luar China. Kita tahu China tidak berupaya menembak jatuh satelit Amerika Syarikat. Beijing sangat gembira apabila dapat menembak jatuh satelitnya sendiri. Dalam situasi yang berkaitan, China mengadakan "latihan" apabila penggodam komputer dari China menyerang sistem komputer di Kolej Peperangan Tentera Laut Amerika Syarikat pada November lalu. Salah seorang pegawai di situ berkata, "Di sini adalah tempat di mana kumpulan perancang strategi tentera laut merancang dan berlatih teknik peperangan siber, dan sekarang mereka tidak lagi dapat mengakses kepada e-mail sekalipun."

Pada tahun 1999, buku bertajuk Red Dragon Rising, penyelidik Edward Timperlake dan William C. Triplett menulis, "Kami sangat terganggu dengan pegawai senior PLA yang mula bercakap sesama mereka mengenai serangan pencegahan menggunakan peperangan maklumat. Pada 1996, sebagai contoh, penulis dalam surat khabar utama PLA menyatakan "musuh" ada "satelit peninjau, AWACs, penggempur senyap, kapal pembawa pesawat dan senjata penembak tepat jarak jauh" tetapi PLA tidak ada. Serangan tiba-tiba bukan sahaja sesuai tetapi "satu-satunya cara untuk mengemudi perang dalam satu arahan yang terbaik." Dua tahun sebelum 9/11, Temperlake dan Triplett memberi amaran yang China akan menyerang Amerika Syarikat secara mengejut dan ditujukan kepada rakyat Amerika." Adakah ini merupakan polisi keamanan dari negara yang bersahabat dengan Amerika?

Lebih lanjut lagi, angkatan tentera laut China mengancam secara langsung talian hayat Jepun, Korea Selatan, Filipina dan Taiwan. Jepun mendakwa kemunculan kapal perang China yang mendekati perairannya memberikan kegusaran kepada mereka. Adakah mustahil angkatan tentera laut China suatu hari nanti akan memaksa negara Kesatuan Timur untuk berada di bawah perhatian Beijing? Merujuk ucapan Presiden China, Hu Jintao, China memerlukan angkatan tentera laut yang dapat bersedia dengan peperangan "pada bila-bila masa." Ketika menyampaikan ucapan kepada delegasi mesyuarat Parti Komunis China Disember lalu, dengan pakaian tentera, Hu menyatakan, "Kita mesti berusaha membina angkatan tentera laut yang kuat dan dapat memenuhi keperluan misi bersejarah ketenteraan dalam abad yang baru ini. Kita mesti mengambil langkah persediaan yang berhati-hati untuk peperangan masa depan bagi mempastikan tentera kita dapat melaksanakan misi dengan berkesan pada bila-bila masa."

Apakah yang dimaksudkan dengan "misi bersejarah" PLA? Percaya ataupun tidak, komunis China telah bersumpah untuk memusnahkan kapitalis Barat dan menggantikannya dengan tamadun sosialis baru. Ini menjadi doktrin tumpuan Parti Komunis China sejak ia ditubuhkan. Pembangunan kapitalisme di China adalah semata-mata untuk menerima kematian kapitalisme itu sendiri. Ia dilaksanakan melalui peperangan, ekonomi dan ketenteraan. Kapitalis Barat harus melihat masa depan mereka sendiri. Tetapi inilah yang diambil mudah. Ramai ahli perniagaan berpendapat permusuhan Amerika Syarikat-China adalah mustahil. Itu yang mereka fikirkan. Mereka tidak peduli kekuatan ketenteraan China, menyusup masuk ke Kanada, kerjasama strategik China-Mexico dan perkongsian kerjasama China dan Rusia dengan Iran. Keadaan ini adalah "corak" strategi yang memerlukan perhatian yang mendalam.

Agak aneh apabila Washington sangat bimbang tentang Iran, sedangkan "penjual daging" Medan Tiananmen mengeluarkan senjata termonuklear umpama membuat sosej. Terlalu banyak senjata nuklear, besar dan lebar sedang menunggu untuk digugurkan. Memberi peluang kepada China, apakah Amerika Syarikat akan musnah secara perlahan-lahan di tangan-tangan pembaharuan sosial, peguam atau berlakunya pengurangan pakar? Ada yang menyatakan jika Amerika Syarikat berterusan menjadi lemah, tidakkah kuasa dari seberang akan menunggu "sehingga binatang yang sakit itu mati"? Dan, adakah tidak beradab untuk menyatakan selepas Rom dikalahkan, Amerika Syarikat pula perlu dikalahkan?

Bagaimana dengan Rusia? Kebanyakan bekas pengintip Rusia yang berpaling tadah bersetuju dengan kenyataan bahawa Kremlin mengarahkan pembunuhan ke atas bekas pengintip KGB/FSB, Alexander Litvinenko. Hampir semuanya berpendapat bahawa sistem Soviet telah kembali berkuasa. Dan Amerika Syarikat, dengan hubungan yang lemah bersama Eropah, imej yang koyak-rabak, askar yang terkepung di Iraq, mendapati sukar untuk menentang polisi Rusia di Eropah dan Asia Tengah. Dalam keadaan sekarang, tidak ada ahli politik Amerika Syarikat yang mencadangkan untuk kembali ke era Perang Dingin. Justeru, Kremlin sentiasa di hadapan tidak dicabar dan tanpa belenggu – memiliknegarakan industri, menekan kebebasan media dan mendiamkan suara pembangkang dengan peluru dan bahan radioaktif. Apakah yang kita fikir kepimpinan Rusia akan lakukan untuk menghentikan semua itu?

Mengingat ketakburan Nikita Khrushdkev terhadap kemenangan Moscow lima puluh tahun yang lalu, dia berkata kepada Barat, "Anak cucu kamu akan hidup di bawah komunisme." Jika difikir semula masa yang telah berlalu itu, kita harus ingat bahawa kita adalah cucu-cicit Khrushdkev. Strategi jangka panjang Rusia tidak mengharapkan keputusan yang segera. Ia merupakan perancangan yang penuh kesabaran. Amerika Syarikat sedang mengalami kejatuhan dalam bidang ekonomi dan ketenteraan. Krisis yang besar tidak boleh diserahkan kepada generasi seterusnya kerana ia sedang berada di hadapan kita. Kedudukan Amerika Syarikat adalah sedang menghampiri titik paling bawah dan musuh-musuhnya tahu keadaan tersebut. Pada Selasa lalu, Presiden Iran, Ahmadinejad memberitahu Menteri Luar Syria, " Amerika Syarikat dan zionis Israel akan segera mengakhiri kehidupan mereka." Pengakhiran sudah hampir. Masa untuk bertindak semakin hampir. Undian oleh BBC di 25 buah negara yang melibatkan 26,000 orang menunjukkan Amerika Syarikat tidak lagi popular. Keadaan telah berubah dan diktator utama dunia semakin galak.

Perkara utama yang sedang diberi perhatian oleh Amerika Syarikat ialah prospek serangan mengejut pengganas terhadapnya menggunakan senjata nuklear. Ini bukanlah ancaman yang tidak wujud. Serangan yang berjaya ke atas sesuatu bandar cukup membunuh lima hingga 50,000 orang, boleh mencetuskan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan krisis politik di Amerika Syarikat. Pertama, nilai dolar akan mengalami penurunan. Kedua, bandar akan ditutup dan penduduknya lari ke tempat lain. Negara akan lumpuh dan runtuh diikuti dengan kelemahan dalam sektor industri. Serangan nuklear oleh pengganas hanya perlu sekali dan pada satu bandar.

Amerika Syarikat bersendirian, tidak tahu apa yang dilakukan oleh negara lain dalam pembinaan senjata nuklear. Sesetengah pakar berasa takut yang Amerika Syarikat akan melancarkan serangan awal ke atas Iran bagi menghalang negara itu menghasilkan senjata nuklear. Dalam jangka masa panjang, semua rejim akan berupaya mendapatkan senjata nuklear dan akhirnya akan jatuh ke tangan pengganas. Sama ada diberi senjata atau tidak, pasukan khas Rusia dan China akan menempatkan senjata di Amerika Syarikat kerana mereka tahu, pengganas yang akan dipersalahkan. Bagaimana Amerika Syarikat hendak bertindak balas jika penyerang tidak dapat dikenal pasti?

Daripada maklumat yang diberikan oleh bekas-bekas pengintip, pelan perancangan Russia sering kali berselindung di sebalik operasi pengganas pada peringkat awal peperangan. Bekas pengintip GRU, Viktor Suvorov menyatakan operasi seperti itu dirujuk sebagai "keganasan yang kabur." Ada anggapan yang mengaitkan Ayman Al Zawahri adalah pengintip KGB yang merupakan sebahagian kecil daripada "kek besar" isu senjata nuklear. Kenyataan Alexander Litvinenko, bekas pengintip yang diracun dengan polonium-210, menuding Al Zawahri sebagai penggerak sebenar di sebalik keganasan nuklear ini menguatkan lagi rasa syak berkenaan. Amerika Syarikat dan Presiden Bush tidak melihat masalah ini secara sama rata. Mereka tidak melihat keadaan ini sebagai ancaman utama sebaliknya memberi tumpuan kepada ancaman sampingan. Ini adalah satu kesilapan yang besar kerana peperangan yang dihadapi bukanlah semudah berhadapan dengan kumpulan ekstremis Islam. Malahan lebih besar daripada itu, konflik yang penuh dengan penipuan.

Maklumat yang diperolehi daripada perbincangan di ruang siber memperlihatkan kecenderungan penganalisis untuk menyatakan pengaruh Amerika Syarikat semakin merosot. Nilai dolar yang menyusut sebanyak enam peratus baru-baru ini mengundang rasa panik sebilangan negara dan mereka mula mencari matawang alternatif yang lebih kuat dalam perdagangan. Terdapat juga kumpulan yang cuba menaikkan Eropah sebagai "kuasa yang bakal kembali" dan meramalkan Jerman akan menjadi peneraju utama.

Bagaimanapun, J.R. Nyquist yang membuat analisis berkaitan kemusnahan Amerika Syarikat yakin negara itu tidak akan musnah sama sekali.

Thursday, February 01, 2007

Pendidikan adalah hak anak-anak

Pendidikan, walau apapun halangan dan alasan sekali pun, adalah hak anak-anak. Ibu atau bapa tidak boleh menghalang anak mereka daripada mendapat pendidikan khususnya di sekolah. Sekali gus mereka tidak mempunyai sebarang hak untuk tidak menyekolahkan anak-anak.

Kisah seorang bapa, bekas jurujual kenderaan yang mengajar sendiri anak-anaknya di rumah dan enggan menyekolahkan mereka merupakan satu tragedi kepada perkembangan pendidikan negara. Empat orang anak yang tidak bersekolah adalah beban kepada masa depan negara.

Pertama, pemimpin negara harus memikirkan langkah-langkah susulan untuk menampung kehidupan 20 hingga 30 tahun yang akan datang. Kedua, potensi pembangunan modal insan akan terbiar tanpa dapat digunakan sepenuhnya. Ketiga, akar umbi kepada masalah sosial dalam masyarakat akan bertambah, dan keempat, harapan untuk menjadikan masyarakat Malaysia yang berpendidikan tinggi tidak akan tercapai.

Pujian harus diberikan kepada YB Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein, Menteri Pelajaran kerana mempunyai dua orang pegawai kanan dari Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan yang proaktif bagi mempastikan empat orang kanak-kanak mendapat hak mereka. Tidak seperti sesetengah jabatan dan agensi, mereka perlu menunggu seseorang untuk membuat laporan bertulis dan selepas itu barulah akan bertindak. Itu pun belum tentu dapat menyelesaikan masalah. Keprihatinan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan sangat menguntungkan pendidikan negeri tersebut sekali gus menjadi contoh kepada agensi-agensi kerajaan yang lain untuk melakukan tindakan yang sama. Peranan pegawai-pegawai berkenaan sebenarnya telah memberi kembali hak pendidikan yang dinafikan oleh sikap bapa anak-anak ini.

Dalam keluarga, bapa adalah ketua. Dia mempunyai kuasa melebihi kuasa Perdana Menteri. Dia mentadbir dan menentukan masa depan serta hala tuju keluarganya. Namun, arah kepimpinan akan bertukar dari adil ke zalim jika kuasa yang ada tidak disedari dan digunakan tidak pada tempatnya. Situasi ini tentulah berkait rapat dengan kesedaran dan aspirasi hidup yang ada pada bapa berkenaan.

Tanpa pendidikan, anak-anak tidak akan ke mana. Hidup mereka akan berlegar di sekitar tempat tinggal dan menjadi liar tanpa dapat dikawal. Apatah lagi dalam dunia pekerjaan hari ini, mempunyai pendidikan asas adalah prasyarat untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Menjadi pencuci, pemotong rumput ataupun pengawal keselamatan, perlu juga mempunyai tahap pendidikan yang minimum.

Pembentukan cara berfikir dan sikap sangat berkait dengan tahap pendidikan yang dilalui. Jika zaman dulu-dulu, tanpa ilmu yang tinggi, seorang rakyat boleh menjadi hulubalang kepada raja atau sultan kerana beliau mempunyai bakat dan kebolehan yang khusus. Hari ini, keadaan tersebut telah berbeza sama sekali kerana penilaian masyarakat telah berubah. Mendapat pendidikan yang tinggi dikaitkan dengan jawatan dan gaji yang tinggi. Peranan dan tanggungjawab mereka juga lebih besar. Apakah masyarakat akan mengharapkan seorang tukang potong rumput untuk menjadi pemimpin mereka? Hala tuju masyarakat dan kualiti hidup memerlukan ahli masyarakat yang berpendidikan. Eropah mengambil masa 100 tahun untuk mengubah paradigma masyarakat untuk memelihara sungai daripada pencemaran. Itu pun untuk masyarakat mereka yang sedang menuju era kemodenan. Masa yang diambil lebih lama. Berbanding hari ini, masyarakat Malaysia akan mengambil masa yang lebih cepat untuk berubah jika pendidikan dimelatakan ke seluruh negara termasuk di ceruk-ceruk hutan.

Bapa sebagai ketua isi rumah, sama sekali tidak boleh lalai daripada menunaikan hak anak-anak untuk belajar. Kewajipan mencari dan meletakkan anak-anak dalam arus perdana pendidikan akan membantu mengembangkan potensi anak-anak dengan lebih teratur dan berkesan supaya mereka mempunyai kesetiaan dan menghormati ibu bapa, masyarakat dan negara. Yang lebih penting ialah mengenal erti kehidupan seperti peribahasa, ”Ilmu pelita hidup” supaya jalan-jalan yang dilalui diterangi oleh kilauan cahaya ilmu yang diperolehi melalui pendidikan tersebut.

Bapa, sebagai ketua keluarga, ketua isi rumah dan mempunyai kuasa utama, mesti untuk selama-lamanya menyedari bahawa pendidikan adalah hak mutlak anak-anak. Ia tidak ada kompromi dan tidak boleh bertolak-ansur langsung sampai bila-bila. Untuk semua bapa, Pendita Za'ba mengingatkan betapa perangai bergantung kepada diri sendiri. Yang dikatakan bergantung kepada diri sendiri ini ialah membuat sendiri kerjanya, menimbang baik buruknya dan bersedia menanggung kesannya selepas itu. Tidak perlu orang lain membantunya.


Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang dilancarkan pada 16 Januari 2007 adalah manifestasi kerajaan untuk membentuk pendidikan kelas dunia dengan mengambil kira semua perkara. Justeru, kejayaan pelaksanaan PIPP sangat bergantung kepada kesedaran ibu bapa dan komitmen semua pihak bagi menjadikan agenda pendidikan negara sebagai kemuncak kepada pencapaian kecemerlangan negara dan pada masa yang sama mengisi ruang kemerdekaan negara.

"Tuhan yang telah menjadikan hidup dan mati kerana Dia hendak menguji, mencuba kamu - siapakah daripada kamu yang terlebih baik kerjanya."

(Surah Al Mulk ayat 2)