Wednesday, July 04, 2007

CTOS mengubah persepsi masyarakat

Selama 17 tahun, syarikat Credit Tip-Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) diberi peluang dan ruang untuk menjalankan aktiviti perniagaannya tanpa diganggu oleh mana-mana pihak. Kewibawaannya sebagai sebuah syarikat pembekal maklumat yang menjangkau 13 juta dengan hampir 780,000 orang dan 90 peratus adalah Melayu telah terjejas dengan amat teruk kerana disifatkan tidak bertanggungjawab dan tidak ada integriti.

CTOS adalah syarikat penyedia maklumat mengenai kebankrapan, saman sivil, penggulungan syarikat, perisytiharan jualan dan hal ehwal pengarah syarikat.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika diminta mengulas isu ini selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Komoditi Antarabangsa Malaysia (MICCOS) 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkata perkhidmatan status kewangan yang ditawarkan oleh CTOS tidak dikawal dan ini menyebabkan timbul aduan orang ramai yang teraniaya kerana maklumat yang diberikan tidak cukup dan tidak dikemas kini (UM, 4 Julai 2007). Beliau juga menasihatkan CTOS untuk melihat kedudukan syarikat itu sama ada mempunyai integriti ataupun tidak.

Asakan dan hebahan di media massa menyebabkan masyarakat mula melihat CTOS sebagai sebuah syarikat yang tidak ada wibawa apatah lagi integriti. Juga dilihat sebagai tidak berperikemanusiaan dan mempunyai agenda tersirat untuk menghalang kemajuan ekonomi bangsa Melayu di Malaysia. Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) melihat aktiviti CTOS secara tidak langsung menjejaskan usaha kerajaan untuk menaik taraf usahawan-usahawan bumiputera sekali gus menyekat peluang mengembangkan perniagaan mereka.

Pendedahan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas bahawa CTOS boleh didakwa di bawah beberapa akta seperti Seksyen 4 dan 12, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999; Seksyen 4, Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 73 Akta Jenayah Komputer 1997; Seksyen 22 Akta Keselamatan Dalam Negeri; Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989; dan Akta Perbankan Islam 1983 amat mengejutkan kerana ia menggambarkan betapa secara terang-terangan syarikat ini telah melakukan kesalahan yang sangat serius. Aduan demi aduan yang diterima oleh Jabatan Insolvensi mengenai CTOS hanya menguatkan dakwaan tersebut bahawa CTOS adalah sebuah syarikat penyedia maklumat yang tidak bertanggungjawab.

Rumusan awal ialah CTOS telah mengeksploitasi maklumat yang diperolehi, menghalang kemajuan ekonomi sesuatu bangsa dan sebuah syarikat yang dipertikai integritinya. Imej yang dibina selama 17 tahun berakhir dengan masyarakat Malaysia hilang kepercayaan ke atas perkhidmatan yang disediakan.


Di dalam surat khabar dan televisyen, ulasannya sarat dengan pelbagai kesalahan CTOS. Keberanian Datuk M. Kayveas di pihak kerajaan yang mendedahkan isu ini sangat dihargai bagi mengelak lebih ramai individu disenarai hitam oleh syarikat ini. Perkhidmatannya tentulah ada yang tidak kena sehingga menerima perhatian yang serius daripada YAB Perdana Menteri dan timbalannya. Justeru, pihak kerajaan tidak ada pilihan selain memberi teguran supaya CTOS membetulkan keadaan. Pada masa yang sama, bank, pihak berkuasa tempatan dan agensi swasta serta kerajaan sendiri dilarang untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkannya.

Pengguna adalah nadi kepada kejayaan perniagaan CTOS. Tanpa pengguna, syarikat ini mungkin sudah berkubur malahan tidak pernah didengar. Pengguna hari ini lebih pintar kerana mereka berpendidikan. Mereka tahu menilai sama ada sesuatu perkhidmatan itu baik ataupun tidak. Tanpa mengira agama dan bangsa, pengguna bijak memilih perkhidmatan yang berkualiti atapun tidak.

Selepas ini, sikap pengguna terhadap CTOS tidak lagi sama seperti sebelumnya. Prejudis, diskriminasi, prososial dan tekanan yang dilakukan oleh CTOS (berdasarkan pendedahan dan maklumat media) menyebabkan persepsi pengguna berubah secara mendadak. Strategi yang digunakan oleh kerajaan dan dibantu oleh media mengubah penilaian pengguna yang membentuk sikap baru terhadap CTOS.

Salah satu teori yang boleh diguna pakai bagi menghuraikan perubahan sikap ini ialah Model ABC iaitu afek (emosi), behavioral (tingkah laku) dan cognitive (fikiran) oleh Breeber (1984) dapat digunakan dengan baik bagi menggambarkan perubahan sikap pengguna ini. Syarikat ini telah kekal sebagai sebuah organisasi yang bersifat autoritarian (daripada aduan mangsa). Ia cenderung menindas pengadu yang tidak ada pilihan untuk keluar daripada senarai hitam syarikat berkenaan.

CTOS juga dilihat sebagai organisasi yang bersifat stereotaip iaitu menyatakan kesemua ahli atau sebahagian ahli sesuatu bangsa mempunyai masalah yang sama. Hal yang dibangkitkan oleh Datuk M. Kayveas iaitu 90 peratus mangsa adalah Melayu. Sikap bahaya stereotaip ini ialah ia tidak mengambil kira langsung mengenai kebolehan peribadi tetapi hanya membuat persepsi rambang ke atas kaum tertentu.

Stereotaip membawa pula sikap lain yang lebih kejam iaitu diskriminasi. Sikap ini dibuat secara sistematik bagi menafikan hak istimewa seseorang atau sekumpulan daripada mendapat haknya itu. Diskriminasi dalam kes CTOS dilakukan dalam pelbagai cara iaitu berterus-terang menafikan hak, enggan menarik balik nama individu yang telah bebas daripada senarai hitam syarikat ini dan berselindung di sebalik tokenisme iaitu tidak menampakkan sikap prejudis dan diskriminasi yang mana sepuluh peratus yang termasuk dalam senarai hitam adalah bukan Melayu. Walau bagaimanapun tindakan berselindung adalah lebih berbahaya daripada berterus-terang.

Episod pertikaian integriti terhadap CTOS telah pergi jauh dan tidak dapat ditarik keluar apabila melibatkan sesuatu kaum. Masyarakat Malaysia hari ini yang telah berpendidikan dapat menilai tindakan CTOS sebagai tidak bertanggungjawab apabila aduan demi aduan diterima dan disiarkan di akhbar setiap hari. Tindakan membalas balik kecaman dan mengugut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas yang mewakili pihak kerajaan umpama "timun dan durian."

Jika CTOS ingin kekal sebagai syarikat sedia ada, wajar pihaknya membuat pembetulan dan menerima teguran. Perubahan secara besar-besaran, mengakui kelemahan sendiri dan bersedia untuk berunding bagi membaiki imejnya yang hampir musnah adalah antara langkah utama yang wajar diberi perhatian. Jika masih enggan, syarikat ini sedang menuju ke arah yang salah dan berakhir dengan kekecewaan. Lawatan 10 Julai nanti diharap dapat memberi gambaran yang lebih jelas mengenai operasi syarikat dan tindakan yang harus dikenakan ke atasnya demi kebaikan orang ramai yang telah dianiaya.

Tuesday, July 03, 2007

Kawalan berterusan ke atas tabiat merokok

Fenomena merokok adalah fenomena global. Ketika kadar penggunaan rokok di kalangan negara-negara membangun meningkat, di Barat keadaannya jauh berbeza. Dengan tahap kesedaran terhadap bahaya rokok ke atas kesihatan yang tinggi, penagihan rokok tidak lagi menjadi punca kepada barah dan penyakit jantung.

Malaysia adalah antara negara membangun yang aktif melaksanakan kempen kesedaran bahaya merokok. Kempen Tak Nak yang dilancarkan sebelum ini turut mempengaruhi cara berfikir masyarakat mengenai bahaya rokok. Dan terbaru, duti eksais ke atas rokok telah dinaikkan kepada 15 sen. Dengan kenaikan itu, duti bagi satu paket 20 batang rokok kini meningkat sebanyak 60 sen. Langkah itu adalah selari dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta menangani masalah sosial akibat merokok, khususnya di kalangan golongan muda.

Pada tahun 1970-an, banyak kajian telah dilakukan ke atas kesan merokok pada kesihatan di Barat. Kerajaan dan pihak berkuasa merancang strategi bagi mendedahkan keburukan merokok melalui penguatkuasaan undang-undang. Iklan rokok dan larangan penjualan di tempat-tempat tertentu segera dilaksanakan. Dalam beberapa keadaan, terdapat perokok yang mendapat barah paru-paru menyaman syarikat pengeluar rokok dan memenangi saman tersebut.

Asakan demi asakan ke atas pengeluar rokok menyebabkan penjualannya merosot. Bagi meneruskan operasi, strategi pemasarannya telah dialihkan ke negara-negara membangun di Asia dan Afrika. Di Malaysia, syarikat rokok menggunakan strategi pengiklanan secara besar-besaran melalui media massa dan elektronik. Suatu ketika dulu kita sering melihat iklan rokok dan penajaan sesuatu filem oleh syarikat rokok. Beberapa tahun yang lepas, terdapat syarikat rokok yang menjadi penaja utama bagi acara sukan dan rancangan hiburan berbentuk kuiz.

Bagaimanapun dengan pengenalan beberapa peraturan, iklan rokok dan penajaan sukan telah dihentikan manakala petani yang menanam tembakau digalakkan menanam tanaman lain. Ada juga pemimpin masyarakat yang menegur amalan merokok ini sebagai kurang beradab yang mana sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran dan sikap rakyat.

Keinginan untuk merokok bermula di peringkat belasan tahun. Dalam erti kata lain, ianya melibatkan umur awal remaja. Pendedahan terhadap rokok yang boleh diperolehi dengan mudah menjadikan mereka tidak segan-silu untuk merokok. Antaranya di kedai runcit, restoran dan gerai bergerak yang menjual makanan ringan. Sehingga terdapat larangan penjualan rokok kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, barulah penjualan yang lebih ketat diambil kira. Soalnya bagaimana larangan ini benar-benar dipatuhi oleh penjual rokok?

Punca merokok boleh dilihat daripada faktor psikobiologi dan sosiobudaya. Afghanistan, sebuah negara pengeluar candu utama dunia, anak-anak kecil menjadi ketagih candu melalui susu ibunya. Namun untuk membuat rumusan umum mengenai punca merokok berdasarkan faktor psikobiologi adalah kurang tepat kerana terdapat juga anak-anak yang tidak merokok walaupun ibu bapa mereka adalah perokok yang tegar. Lagi pun, sehingga kini tidak terdapat kajian yang tepat mengenai pengaruh genetik terhadap kecenderungan merokok.

Pengaruh persekitaran turut dilihat sebagai punca kepada merokok. Ia memberi kesan terhadap pemikiran calon perokok kerana sangat berkait dengan persepsi. Jika dalam masyarakatnya rokok dianggap baik dan diterima, perbuatan merokok tidak memberi apa-apa kesalahan. Peluang inilah yang digunakan oleh syarikat pengeluar rokok untuk menggandakan strategi iklan mereka. Antaranya ialah mengaitkan rokok dengan barangan berjenama dan mewah, rokok dengan hidup harmoni bermasyarakat dan rokok untuk menghilangkan tekanan hidup.

Kenaikan duti eksais rokok adalah salah satu mekanisme yang digunakan kerajaan bagi menghalang perokok remaja. Ia diharap dapat mengurangkan perbelanjaan perokok secara umum seterusnya mengurangkan tabiat merokok dan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat tanpa rokok. Strategi ini ada kaitnya dengan kempen Sihat Sepanjang Hayat yang diperkenalkan pada tahun ini.

Kesan kenaikan harga rokok memberi implikasi positif kepada penyeludup. Usaha-usaha membawa masuk rokok seludup pasti akan lebih giat dan aktif kerana permintaan ke atas rokok sentiasa ada. Rokok jenis murah akan menjadi sasaran bagi melepaskan ketagihan merokok ini. Syarikat rokok pula sedang memikirkan kaedah untuk mempastikan rokok mereka dapat dijual walaupun dihalang dengan berbagai-bagai cara seperti mengubah suai saiz rokok ataupun memperkenalkan kotak rokok yang lebih menarik.

Cadangan untuk meletakkan gambar-gambar berkaitan kesan merokok pada bahagian luar kotak masih belum dilaksanakan walaupun telah lama diutarakan. Apakah kita menunggu untuk melihat lebih ramai remaja terjebak dengan tabiat merokok seterusnya berjinak-jinak dengan penagihan dadah?

Langkah kawalan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dilihat mampu memberi impak yang besar ke atas kesedaran masyarakat tentang bahaya merokok. Harga rokok yang tinggi ketika ini diharap dapat memberi mesej jelas kepada semua rakyat Malaysia betapa merokok membahayakan kesihatan dan mengundang masalah ekonomi yang lebih serius. Kawalan ke atas kawasan merokok juga wajar diperluaskan dan undang-undang sedia ada hendaklah dilaksanakan dengan penuh integriti supaya merokok tidak lagi menjadi pilihan.

Monday, July 02, 2007

Master your memory

Penulis : Tony Buzan
Tahun : 2000
Penerbit : BBC Worldwide Limited, London, UK
Muka surat : 191

Tony Buzan adalah penulis yang gigih menulis dan menerbitkan buku mengenai potensi minda manusia. Master Your Memory adalah salah satu buku beliau yang telah diulang cetak sebanyak empat kali.

Di dalam buku ini, antara bab yang menarik ialah "Top 20 genius all the time." Beliau meletakkan Leonardo da Vinci sebagai tokoh paling pintar, seorang rakyat Italy dan terlibat dalam bidang seni dan reka cipta. Antara pintar yang lain ialah William Shakespeare, Isaac Newton, Plato dan Andrew Carnegie. Kebanyakan tokoh yang disenaraikan adalah artis kerana mereka dapat membayangkan wawasan, keinginan, kepercayaan, perancangan, komitmen dan berupaya belajar daripada kesilapan.

Satu istilah yang digunakan oleh Buzan ialah "auto-suggestion" yang boleh ditafsirkan sebagai muhasabah diri untuk berjaya dengan lebih cemerlang. Kaedah ini kerap digunakan bagi merawat kekecewaan dan kegagalan namun ada kalanya digunakan untuk meningkatkan kecemerlangan dan semangat daya juang.

Bagaimana mengukur kategori-kategori pintar ini? Buku Buzan memberikan panduan yang jelas iaitu: menguasai bidang kemahirannya, aktif sepanjang masa, "polimathy" (kemahiran dan pengetahuan dalam pelbagai disiplin) dan cekap, kuat dan bertenaga, pintar, pengaruh yang berterusan bagi pembangunan manusia, prolifik dan mencapai matlamat utama.

Tony Buzan, mahaguru Raymond Keene, CEO dan ahli jawatankuasa pemimpin utama dalam pendidikan, sains, seni dan sukan telah membuat penyelidikan dan berbincang bagi merangka senarai ini daripada perspektif seorang pakar.

Ulasan Editor: Buku-buku mengenai minda setiap tahun diterbitkan oleh penulis-penulis di Amerika Syarikat dan Eropah. Kemudiannya diterjemahkan dengan pantas oleh Jepun, Korea Selatan dan China. Di Malaysia, agak sukar mendapat buku baru dalam penyelidikan minda yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia. Walaupun telah ada institusi penyelidikan yang memberi perhatian bagi pembangunan minda yang optimum, buku-buku yang membincangkan potensi minda masih tidak tersebar luas. Usaha menyebarluaskan maklumat mengenai kehebatan minda dalam bahasa Malaysia wajar diberi insentif dan digiatkan supaya dapat dikongsi bersama oleh semua lapisan rakyat Malaysia.

Sunday, July 01, 2007

Tuhan masih sayangkan kita

Ketika membicarakan tentang prospek industri minyak dan gas baik di dalam negara ataupun global, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican, merupakan orang yang paling arif untuk dijadikan rujukan.

Selain berpengalaman luas, beliau adalah seorang yang cukup teliti tentang apa yang diperkatakan dan sentiasa membuat kajian sendiri.

Tidak hairanlah apabila beliau membayangkan rakyat Malaysia perlu bersedia membayar lebih (untuk mendapatkan minyak) pada masa depan berikutan berlakunya penyusutan dalam sumber negara, ia harus diberikan perhatian serius kerana implikasi besarnya terhadap pembangunan ekonomi negara dan juga rakyat.

"Pada pandangan saya, perkara yang berlaku ini adalah satu yang kritikal kepada anak cucu kita. Sumber (minyak dan gas) semakin berkurangan,'' kata beliau.

Mohd. Hassan menjangkakan Malaysia yang kini merupakan pengeksport minyak, akan menjadi pengimport bersih bahan berkenaan menjelang tahun 2010, iaitu hanya tiga tahun dari sekarang apabila permintaan yang ada bakal mengatasi pengeluaran.

"Hari ini, sumbangan Petronas masih lagi tinggi tetapi esok apabila sumber makin sikit dan harganya pula jatuh, sumbangan akan berkurangan, macam mana kita akan menanggung semua (membangunkan negara) ini. Keadaan ini akan berlaku dan hanya menunggu masa sahaja,'' kata beliau.

Pengurangan sumber berkenaan bukan fenomena yang hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga melanda dunia berikutan usaha mendapatkan komoditi yang dikenali sebagai emas hitam, kini diburukkan oleh peningkatan kos untuk mengeluarkannya dari perut bumi selain terdapat kekangan terhadap tenaga manusia dalam industri itu.

"Tuhan masih lagi sayang kepada kita kerana itu kita berjaya temui rizab laut dalam," kata beliau dalam satu temu bual dengan wartawan Mingguan Malaysia, MOWARDI MAHMUD, KHAIRUDDIN MOHD AMIN dan AMRAN AHMAD di pejabatnya baru-baru ini.

Namun begitu, menurut Mohd. Hassan, penemuan kawasan minyak laut dalam yang baru masih belum mencukupi kerana permintaan dalam negara yang dijangka terus meningkat, lambat-laun apa yang dimiliki itu akan habis juga.

Dalam temu bual itu, beliau juga menceritakan kesukaran mendapatkan sumber manusia dan kejayaan Petronas melahirkan jutawan bumiputera melalui pengendalian stesen minyaknya dan penting syarikat bumiputera membina modal insan dan juga keupayaan diri untuk bersaing.

MINGGUAN: Petronas sekali lagi mengumumkan hasil kewangan yang tertinggi dalam sejarahnya, jadi banyaklah duit yang ada.

MOHD. HASSAN: Keuntungan itu juga kita terus pulangkan kepada kerajaan. Pada tahun ini, kita memberi balik sebanyak RM58.1 bilion atau 77 peratus kepada kerajaan bagi digunakan untuk tujuan pembangunan dan melaksanakan agendanya yang memberi faedah kepada rakyat. Tetapi, sejauh mana ia digunakan secara cekap, ia adalah satu soalan lain.

Bolehkah Tan Sri jelaskan lagi?

MOHD. HASSAN: Tanggungjawab Petronas adalah mengembalikan (keuntungan) kepada kerajaan untuk melakukan apa yang perlu dibuat supaya kesannya dirasai oleh rakyat. Tahun lepas, terdapat pihak mempersoalkan kenapa keuntungan itu tidak diberikan terus kepada rakyat RM1,000 seorang dan berdasarkan pencapaian yang baru diumumkan, kita patut bagi RM3,000 seorang. Persoalan itu menjadi satu isu, sama ada duit digunakan sebaiknya atau dibazirkan, contohnya dalam pemberian subsidi ketika sumber minyak dan gas yang dinikmati semakin berkurangan.

Ini bermakna hasil Petronas boleh berkurangan pada masa depan.

MOHD. HASSAN: Memang kerana berlakunya penyusutan itu. Kami merupakan penyumbang terbesar tunggal kepada pendapatan kerajaan sebanyak 35 peratus berbanding sektor-sektor yang lain termasuk perkilangan. Hari ini, sumbangan Petronas masih lagi tinggi tetapi esok apabila sumber makin sikit dan harga minyak pula jatuh, sumbangan akan berkurangan, macam mana kita akan menanggung semua ini (membangunkan negara). Keadaan ini akan berlaku dan hanya menunggu masa sahaja.

Apakah kita harus bersedia untuk membayar lebih?

MOHD. HASSAN: Saya rasa rakyat kena sedar yang sumber petroleum semakin susut. Dulu bijih timah tapi kita sudah kehabisan bekalannya walaupun harga timah sekarang ini mencapai AS$13,800 setan, kita sudah tidak ada sumber bahan itu lagi.

Berdasarkan kepada perkembangan semasa, bilakah ia akan habis?

MOHD. HASSAN: Itu terpulang kepada permintaan dan bagaimana kita menggunakan sumber yang kita ada. Jadi, sekiranya permintaan meningkat tinggi maka kadar pengurangan bekalan akan menjadi semakin cepat. Soalnya, adakah kita mahu terus guna (sumber yang ada) selagi boleh sampai habis dan mana manfaat yang boleh kita raih? Apakah kerana benda itu kita peroleh secara murah maka kita tidak payah simpan atau menggunakan secara cekap? Berdasarkan kepada kekurangan yang kita hadapi ini, pada hari ini (bekalan) hanya hampir mencukupi dan memenuhi permintaan.

Adakah tahap penyusutan sumber petroleum membimbangkan?

MOHD. HASSAN: Pada kadar pertumbuhan permintaan sebanyak empat peratus setahun terutamanya dalam sektor pengangkutan, negara akan menjadi pengimport bersih minyak menjelang tahun 2010. Permintaannya menjadi lebih besar daripada pengeluaran. Kadar penyusutannya adalah tinggi. Kita bernasib baik mempunyai 30 peratus daripada rizab (minyak) di laut dalam yang ditemui lima tahun lalu. Kalau tidak, sumber kita sudah habis lama (tanpa penemuan medan minyak laut dalam), apa yang kita miliki berkurangan pada kadar yang pantas. (Jika tiada rizab minyak laut dalam) Pengeluaran akan berkurangan daripada 600,000 tong sehari kepada 250,000 atau 300,000 tong sehari. Menjelang tahun 2010, pengeluaran akan berkurangan kepada 300,000 tong sehari tetapi ketika ini kita mempunyai pengeluaran baru. Pengeluaran akan jatuh sebanyak 15 peratus setahun menjelang tahun 2011. Bermula tahun 2014, pengeluaran akan jatuh sebanyak 10 peratus setahun. Nasib kita jumpa (medan minyak) di laut dalam pada tahun 2002. Tuhan, masih sayangkan kita.

Bukankah kita menemui telaga baru di laut dalam?

MOHD. HASSAN: Pengeluaran minyak laut dalam di Kikeh (Sabah) akan dilakukan pada bulan September tahun ini. Ia akan tampung balik kejatuhan yang berlaku sebelum ini (pengeluaran) . Tapi selama mana? Lambat-laun akan habis juga.

Apakah pilihan yang ada?

MOHD. HASSAN: Kita boleh import (gas asli) dari negara-negara lain. Tetapi apabila pengeluaran di seluruh dunia jatuh, mereka (pengeluar gas asli) memberikan keutamaan kepada kegunaan sendiri. Sebagai contoh, Indonesia tidak benarkan import (gas asli) dilakukan. Ini adalah satu masalah. Begitu juga di Vietnam dan Mesir yang menetapkan pengeluaran gas pada jumlah tertentu untuk penggunaan dalam negara. Jadi, kita hendak import (gas asli) dari mana? Kalau dapat import pun kita kena bayar harga pasaran yang mana jauh lebih tinggi daripada harga domestik. Pada pandangan saya, perkara yang berlaku ini adalah satu yang kritikal kepada anak cucu kita. Sumber (minyak dan gas) semakin berkurangan.

Ada yang mengatakan kenapa tidak kita terus sahaja mencari gali?

MOHD. HASSAN: Kos operasi telah meningkat. Kos penggerudian naik 200 peratus. Kos mencari dan kos pembangunan (medan minyak) juga meningkat dalam tempoh satu hingga dua tahun ini. Ini kos yang ditanggung hari ini. Sekiranya harga (minyak) kekal tidak mengapa tetapi jika harga jatuh, anda akan menanggung kerugian, ia tidak lagi menguntungkan dari segi (skala) ekonomi. Beberapa projek (dalam industri minyak dan gas global) telah ditangguhkan kerana kenaikan kos ini. Ia merupakan kitaran jangka masa panjang. Jika dilihat daripada penangguhan projek, kita akan menyaksikan pembekalan berkurangan dan permintaan akan meningkat.

Apakah penyelesaiannya?

MOHD. HASSAN: Pada hari ini, permintaan adalah 84 juta tong sehari dan pada tahun 2012 pula sebanyak 120 juta. Persoalan timbul di mana kita perlu mencari 36 juta tong sehari (menjelang tahun 2012). Kita perlu bergantung kepada Timur Tengah iaitu Iran dan Iraq tetapi keadaan geopolitiknya tidak stabil.

Apa akan berlaku jika Timur Tengah tidak dapat memenuhi permintaan? Sebelum ini kekurangan modal insan juga dikatakan perkara serius?

MOHD. HASSAN: Industri juga mengalami kekurangan modal insan. Bagi mengatasinya, pada tahun lalu kami mengambil 1,100 jurutera dalam semua bidang kejuruteraan dan kemudiannya menukarkan mereka menjadi jurutera petroleum. Mereka akan pergi ke universiti, belajar balik selama 18 bulan untuk jadi jurutera petroleum. Mereka yang mempunyai (ijazah) sains tulen pula akan ditukarkan kepada saintis geologi. Bagaimanapun ini mengambil masa. Selepas mereka menamatkan pengajian (di universiti) mereka masih lagi baru (tidak mempunyai pengalaman) dan ia mengambil masa antara lima tahun hingga tujuh tahun sebelum mereka boleh digunakan. Anda mengambil masa antara tujuh hingga 10 tahun sebelum mereka bersedia. Purata umur pekerja dalam industri ini ialah 52 tahun dan jika masa selama 10 tahun diperlukan untuk mendapatkan orang baru, pekerja yang ada akan berusia 62 tahun (ketika kakitangan baru berkhidmat). Jurang antara pekerja sedia ada dan pekerja baru adalah besar.

Bagaimana pula dengan kehadiran pekerja yang berpengalaman?

MOHD. HASSAN: Hampir separuh daripada pekerja dalam industri minyak dan gas global akan bersara dalam jangka masa 10 tahun akan datang. Kami juga rekrut dan latih tetapi kami merana. Dalam masa tujuh hingga 10 tahun mereka lari ke Australia, Timur Tengah dan United Kingdom. Kami menjangkakan akan terus kehilangan (pekerja) berpengalaman walaupun kami mengambil 1,100 pekerja ini. Modal insan merupakan masalah jangka panjang. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk menyelesaikannya, khususnya saintis geologi. Kita juga memanggil balik pesara Petronas.

Kenapa perkara itu boleh berlaku?

MOHD. HASSAN: Generasi muda tidak seperti generasi tua yang lebih setia. Mereka melihat kepada wang. Ini adalah sifat biasa generasi lebih muda. Syarikat minyak di negara lain menawarkan gaji yang lebih tinggi. Tahun lalu, kami kehilangan 270 orang pekerja yang mana 131 orang majoritinya jurutera. Mereka meninggalkan (Petronas) sebab wang. Sekumpulan lagi yang lebih berpengalaman, mereka pergi (ke luar negara) sebab mahukan sistem pendidikan yang baik untuk anak mereka.

Ada yang menyertai semula Petronas?

MOHD. HASAN: Tidak. Saya tidak menukar dasar (tidak mengambil balik pekerja yang telah keluar). Saya mahu menghargai mereka yang setia. Kami ada 75 peratus pekerja yang setia tetapi saya tidak memerlukan mereka yang keluar dan mahu kembali semula.

Dengan peningkatan kos, adakah Petronas mempunyai dana yang mencukupi?

MOHD. HASSAN: Kami mempunyai dana yang mencukupi. Kita mempunyai kerajaan yang bertanggungjawab dan Petronas mempunyai 25 peratus keuntungan untuk berkembang. Sekiranya kalau kos terlampau tinggi, kami tidak akan melabur. Ia tidak menguntungkan berdasarkan (skala) ekonomi. Ini yang berlaku di seluruh dunia. Semua orang melihat dan mengkaji semula pelaburan mereka.

Berbalik kepada perkara lain, Petronas juga terlibat dalam membangunkan ekonomi bumiputera.

MOHD. HASSAN: Petronas Dagangan Bhd., anak syarikat Petronas, mempunyai 832 stesen minyak, yang mana 95 peratus pemilik adalah bumiputera. Stesen minyak ini merupakan tempat latihan orang Melayu menjadi pengedar. Ia untuk pembangunan ekonomi orang Melayu. Jika dilihat pengusaha stesen Shell (yang majoritinya bukan bumiputera) mereka menjadikan stesen minyak ini sebagai tempat proses pembelajaran perniagaan pertama untuk anak-anak mereka. Anak mereka datang (ke stesen minyak) pada hujung minggu. Stesen minyak Petronas ini boleh dijadikan mekanisme latihan untuk masyarakat Melayu berniaga. Selain itu ia juga untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk mereka. Pada hujung minggu anak ataupun anak saudara pengusaha stesen minyak boleh datang ke stesen minyak dan lihat bagaimana ia beroperasi dan ini merupakan permulaan keusahawanan tetapi mereka tidak mahu belajar.

Bagaimana mereka boleh memperbetulkan keadaan ini?

MOHD. HASSAN: Apabila mereka telah menjadi pengedar, bawalah anak ke stesen dan melihat bagaimana perniagaan dilakukan. Ia adalah tempat untuk melahirkan usahawan.

Adakah Petronas telah mencapai kejayaan?

MOHD. HASSAN: Kita telah lahirkan banyak jutawan Melayu melalui perniagaan pengendalian stesen-stesen minyak Petronas.

Bagaimana pula dengan perkembangan syarikat penyedia khidmat sokongan Petronas. Adakah Tan Sri puas hati?

MOHD. HASSAN: Mereka telah dibangunkan sejak 20 tahun lalu tetapi mereka kurang memberi tumpuan kepada latihan. Mereka sepatutnya membangunkan modal insan dan bukan mengambil pekerja dari syarikat lain selain membina keupayaan diri. Kesemua ini untuk faedah tempoh jangka masa panjang. Ini adalah perniagaan global, mereka perlu cekap dari segi kos, mempunyai bakat dalam modal insan, mempunyai teknologi barulah boleh bersaing.

Sumber: Utusan Online

Saturday, June 30, 2007

Amerika Syarikat prihatin dengan umat Islam?

Keputusan Amerika Syarikat melantik seorang wakil khas ke Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) adalah perubahan yang radikal bagi sebuah negara yang menyokong keganasan Israel dan membunuh ribuan rakyat Iraq dan Afghanistan melalui dasar luar yang keras.

Perkembangan ini juga membuktikan Washington mengiktiraf OIC sebagai satu badan penting dan mahu ataupun tidak, ia perlu menjalin kerjasama yang lebih erat.

Presiden George W. Bush mengumumkannya ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan Pusat Islam, sebuah masjid dan pusat kebudayaan di Washington. Langkah ini bagi menjelaskan nilai yang dipegang oleh Amerika Syarikat adalah selari dan sama dengan nilai-nilai yang dipegang oleh negara-negara Islam yang lain.

Amerika Syarikat, kuasa besar dunia yang hendak menguasai seluruh organisasi politik, ekonomi dan sosial dunia akan sentiasa mencari-cari peluang dan ruang untuk menyelinap masuk ke setiap pertubuhan dunia. Di Asia, Amerika Syarikat telah menganggotai Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC), cuba menghalang pembentukan Kesatuan Asia Timur dan menjadi jaguh antikeganasan di Asia Tenggara. Apa yang ingin dilakukan oleh Amerika Syarikat ialah mengambil bahagian dalam setiap keputusan supaya agenda penguasaan dunia menjadi milik mereka. Jika tidak ada penglibatan secara langsung, ia akan menggunakan proksi bagi mempastikan agenda mereka berada di landasan yang betul dan kukuh.

Pengwujudan wakil khas ke OIC menjadikan berbagai-bagai andaian boleh dibuat. Di seluruh dunia Islam, sentimen membenci Amerika Syarikat semakin meningkat. Dari Timur Tengah ke Asia Tenggara seterusnya menjalar ke Asia Timur, khususnya negara-negara Islam, kebencian terhadap pengaruh dan tangan panjang Amerika Syarikat memuncak apabila serangan di Iraq tidak menunjukkan kesudahan dan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Israel. Keegoan Amerika Syarikat telah merobek hati dan jiwa umat Islam membuatkan pemikiran mereka terhadap Amerika Syarikat dan rakyatnya semakin negatif.

Kegelojohan Amerika Syarikat melibatkan diri dalam konflik di Darfur, Sudan, ancaman terhadap loji nuklear Iran dan meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Jepun, Korea Selatan dan Taiwan adalah contoh kesungguhan Amerika Syarikat untuk menguasai isu seterusnya memancarkan imejnya sebagai pelindung. Malangnya, kehadiran Amerika Syarikat bukannya menyelesaikan konflik malah menyebabkan keadaan menjadi keruh dan tegang. Sikap terburu-buru untuk menjadi polis dunia mengundang rasa berat hati masyarakat dunia yang melibat dominasi ini sebagai mengganggu kedaulatan negara. Bagi jangka masa panjang, Amerika Syarikat akan menggunakan apa sahaja cara yang ada untuk menguasai ekonomi dan politik negara-negara berkenaan.

Kehadiran Amerika Syarikat dalam OIC adalah kemuncak kejayaan kepimpinan OIC yang diterajui oleh Malaysia. Perundingan yang matang diharap akan memberi kejayaan kepada nilai yang disepakati bersama.

Thursday, June 28, 2007

Tabiat 3 Memahami perubahan (2-akhir)

Kisah lain ialah mengenai dua orang anak muda yang masing-masing berjaya menjadi usahawan Internet.

Sen Ze, telah memiliki pendapatan lebih RM1.36 juta melalui penjualan produk buku elektronik (e-book) yang bertajuk "Mini-Encyclopedia of Low-Cost, High-Profits Internet Business Model." Beliau turut menghasilkan e-book yang bertajuk "16 Different Killer Money-Making Internet Business You Can Copy For Your Own." Pejabatnya hanya di rumah.

Bagaimana Sen Ze melakukannya?

Beliau ada idea. Pasarannya luas, seluruh dunia. Beliau mula memasarkan idea tersebut dengan cara paling mudah dan senang tetapi memberi pendapatan yang sangat lumayan. Idea menulis ini ditukarkan ke dalam bentuk e-book menggunakan Microsoft Word dan ditukarkan ke dalam format Portable Document Format (PDF). Produk e-book dijualnya dengan harga RM367.00 (US$97) tetapi sebenarnya, kos menyediakan e-book hanyalah harga sekeping roti canai jika tahu caranya.


Patrick Chan, rakyat Malaysia yang menjadi jurucakap bersama Netpreneur di World Internet Summit 2005. Beliau menulis e-book bertajuk "How To Make More Money Easily?" dan menjualnya di pasaran Internet dengan harga RM178.60 (US$47). Buku beliau yang lain ialah "Niche Checklist" yang dijual dengan harga RM120.60 (US$27). Pasarannya seluruh dunia.

E-book adalah produk Internet yang sangat popular. Banyak, mungkin berjuta-juta e-book dijual dan berlegar-legar di pasaran Internet. Kekayaan yang diperolehi melalui Internet ini merangkumi penulis, penerbit dan penjual e-book sahaja.

Jangan pelik kalau dikatakan, "Masa tidur pun duit akan masuk." Itulah kehebatan Internet. Teknologi ini akan terus berkembang kerana sasaran pencipta teknologi ini ialah setiap orang yang menggunakan telefon bimbit pada masa depan akan dapat membaca e-book di telefon masing-masing, tidak kira masa, di mana-mana sahaja.

Begitulah munculnya jutawan Internet. Anda bila lagi?

Apakah kejayaan sebenar kita? Kejayaan umat Islam bukannya wang ringgit, harta, pangkat dan kemewahan, sebaliknya adalah taqwa. Inilah janji Allah.

"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka kepadanya." Surah At- Thalaq ayat 2 hingga 3

Seorang khalifah Islam yang terkenal, Umar Abdul Aziz adalah seorang pemimpin yang bertakwa. Beliau adalah pemimpin yang telah berjaya membasmi kemiskinan di kalangan rakyatnya sehingga semuanya menjadi kaya. Semasa pentadbirannya, tidak ada rakyat negaranya yang layak mendapat zakat dan terpaksalah dicari rakyat negara lain untuk diberi zakat. Usia pentadbirannya cuma 30 bulan.

Kejayaan dan kecemerlangan adalah impian semua orang. Tahap-tahap kejayaan adalah berbeza-beza di antara seorang dengan seorang yang lain tetapi boleh dicapai dengan memilih salah satu daripada dua: Nasib atau Pilihan.

Nasib setiap orang berbeza-beza. Kalau sabut, timbullah; kalau batu, tenggelamlah. Ada bernasib baik, ada yang malang dan ada yang tidak ada nasib! Kasihan. Penjual dan pembeli nombor ekor mempunyai nasib masing-masing. Ada kaki ekor yang mahu menjadi kaya tetapi menghabiskan banyak wang semata-mata mahu mencari nasib yang baik. Tetapi tukang tilik nasib tidak pernah menilik nasibnya sendiri!

Semasa menunggu bas Tong Fong (syarikat bas ini telah terkubur) untuk ke Kuala Lumpur, saya menyapa seorang lelaki separuh abad yang kelihatan gelisah. "Hendak ke mana?"

"Mau ke Sungai Besi, mau beli nombor."

Oh, rupanya kaki ekor. Patutlah nampak gelisah petang tu.

"Berapa lama sudah main ini nombor?" Saya cuba mengajaknya berkongsi pengalaman.

"Oh... sudah lama. 20 tahun saya main ini nombor."

"Berapa kali sudah kena."

"Ada la sikit-sikit. Kalau tak beli ini nombor, rasa kepala macam mau pecah."

Patutlah nampak risau pakcik ini. Rupanya gelisah hendak membeli nombor ekor. Itulah hakikatnya pemain nombor ekor. Kesan psikologi sangat hebat dan boleh memberi kesusahan kepada diri sendiri.

Pak Kob orang kampung. Oleh kerana dia malas belajar, dia tidak dapat mencari kerja yang terjamin pendapatannya. Tetapi Pak Kob ada satu kebolehan, dia seorang pemain catur yang berbakat. Lalu dia mengambil keputusan menggunakan bakatnya bermain catur sebagai punca rezeki.

Dan memang agak berbaloi kerana wang kemenangan yang diperolehi dalam setiap pertandingan mampu menyara hidupnya. Kadang-kadang dia menang, kadang-kadang kalah.

Ini kerana di samping kebijaksanaan mengatur gerakan dan tipu daya, permainan catur juga bergantung pada nasib. Bila lawan melakukan kesilapan, kita ambil kesempatan itu untuk menang. Begitulah sebaliknya. Pakcik Tua dan Pak Kob sememangnya bergantung kepada nasib untuk meneruskan hidup mereka. Nasib adalah salah satu daripada bermacam-macam jenis judi yang ada. Oleh kerana itu, tidak patut dipermudah dan dibolehkan permainan tersebut dengan dalih bantuan sosial atau tujuan kemanusiaan.

"Hai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala, dan undian adalah kotor dari perbuatan syaitan. Oleh kerana itu jauhilah dia supaya kamu bahagia. Syaitan hanya bermaksud untuk mendatangkan permusuhan dan kebencian di antara kamu disebabkan khamar dan judi, serta menghalangi kamu ingat kepada Allah dan sembahyang. Apakah kamu tidak mahu berhenti?" Surah Al Maidah ayat 90 hingga 91

Allah memberikan kita pilihan. Boleh pilih apa sahaja yang kita mahu, suka atau buat apa sahaja. Orang yang baik cenderung melakukan kebaikan, orang yang jahat bencikan kebaikan.

Individu biasa memberikan hanya 25 peratus daripada tenaga dan kemampuannya dalam kerja mereka. Dunia mengangkat topi untuk memberi hormat kepada sesiapa yang memberikan lebih daripada 50 peratus keupayaan mereka, dan berdiri di atas kepala mereka bagi menghormati mereka yang terlalu sedikit yang mampu menumpukan 100 peratus.

Andrew Carnegie

John C. Maxwell adalah seorang pakar dalam bidang kepimpinan di Amerika Syarikat. Beliau telah memberi dorongan dan semangat kepada lebih sejuta orang melalui seminar dan buku yang telah merubah kehidupan mereka. Dalam bukunya, Your Road Map For Success, beliau berkongsi cerita mengenai pengalamannya menjelajah ke seluruh dunia sama ada seorang diri atau bersama keluarga.

Bersama Margaret, isterinya, mereka kadangkala bersama sebagai satu pasukan melaksanakan urusan kerja dan ada masanya Margaret terpaksa ditinggalkan bagi mendidik anak mereka, Elizabeth dan Joel Porter.

Jika bersama, mereka berempat akan melawat Eropah, Amerika Selatan, Australia dan Korea bagi merapatkan lagi hubungan keluarga. Kehidupan mereka sangat indah dan sentiasa mengecapi kebahagiaan sebagai sebuah keluarga yang bahagian dan harmoni.

Maxwell mempunyai definisi sendiri terhadap kejayaan. Padanya, kejayaan tidak bermaksud berapa kerapnya dia sekeluarga boleh berjalan ke sana-sini bersukaria. Tidak juga bermaksud keupayaannya sebagai pakar motivasi dan penulis buku yang hebat di seluruh Amerika Syarikat.

Kejayaan sebenar bagi Maxwell ialah apabila anak-anaknya berfikir bahawa dia adalah bapa mereka yang terbaik dan Margaret berfikir bahawa dia adalah seorang suami yang paling baik.

John C. Maxwell, biar apa pun dirinya percaya bahawa kejayaan terletak pada perkahwinan yang baik dan ikatan kekeluargaan yang kukuh.

Wednesday, June 27, 2007

Tingkatkan profesionalisme pengamal perubatan tradisional

"Mengkebumikan" batang pisang sebagai salah satu kaedah berubat dalam masyarakat Melayu adalah perbuatan yang aneh bagi fahaman masyarakat moden. Tindakan yang dianggap luar biasa dan jarang didengar ini memberi banyak tafsiran mengenai logiknya perubatan tradisional seperti ini. Kita tidak pasti apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh perawat dan yang dirawat bagi menyembuhkan penyakit yang dihidapi.

Tindakan menanam batang pisang mengundang gelak ketawa orang ramai dari segi signifikannya ke atas kesembuhan. Walaupun tidak dinafikan perubatan tradisional sering dikaitkan dengan amalan spiritual dan ada hubungan dengan mainan syaitan dan iblis, keanehan menanam enam batang pisang semakin bertambah-tambah apabila media memberi pelbagai ulasan. Kesannya sangat cepat dan ketara khususnya imej perubatan tradisional Melayu itu sendiri. Taraf perubatan berkenaan dilihat tidak saintifik dan hanya mereka yang sudah habis ikhtiar akan mendapatkan bantuan pengamal tersebut.

Sebaik sahaja media mendedahkan keanehan mengkuburkan batang pisang, imej perubatan tradisional Melayu berada di persimpangan. Sama ada hendak dipercayai ataupun tidak, sukar untuk disimpulkan kerana ada sesetengah amalan dalam perubatan ini telah berjaya menyembuhkan pesakit yang sudah habis ikhtiar.

Kisah menggunakan mentera dan jampi memang dibuat kajian oleh penyelidik Barat khususnya di kalangan masyarakat Orang Asli di Malaysia. Hasil kajian berkenaan dibukukan dan dikupas dari segi logik dan tidak logik perubatan tradisional di kalangan Orang Asli ini. Salah satu keperluan masyarakat Orang Asli ialah perkhidmatan kesihatan dan perubatan. Di dalam hutan, orang yang paling layak untuk mengubat ialah pawang atau dukun di kalangan mereka. Amalan yang sering digunakan untuk mengubat orang yang sakit kepala biasanya melibatkan bacaan mentera untuk menghalau semangat jahat yang mendiami tubuh badan pesakit. Oleh itu dibuatlah jurai daun dan ditepuk di sekitar tubuh pesakit. Pada masa yang sama, kepala pesakit dililitkan akar halus yang panjang dan diketatkan supaya hilang rasa sakit. Tidak lama selepas itu, pesakit diberi air penawar bagi menghilangkan keletihan dan haus setelah tidak minum selama berada dalam tempoh rawatan sakit kepala.

Menggunakan mentera dan jampi serapah dalam perubatan tradisional ada logiknya kerana setiap patah perkataan yang dikeluarkan mempunyai tenaga. Konsep ini sama seperti memberi motivasi kepada seseorang. Contohnya perkataan "sayang" yang memberi tenaga jika diucapkan kepada orang yang betul seperti suami, isteri, kekasih atau anak-anak. Perkataan sayang tidak akan memberi apa-apa makna jika disebut kepada orang gila kerana orang gila tidak dapat mencerap tenaga atau getaran yang terdapat pada perkataan sayang itu. Jadi, orang gila tidak dapat memberi maklum balas yang sebaiknya, sebaliknya orang yang berkata "sayang" itu akan dikejarnya.

Begitu juga dengan menjampi air kosong atau diistilahkan sebagai "air penawar." Ada benarnya air yang dijampi itu akan menjadi penawar kerana getaran daripada perkataan yang dihembuskan ke air berkenaan akan menyerap masuk ke bahagian anggota tubuh yang bermasalah dan akan mengembalikan pesakit kepada kesembuhan.

Berbalik kepada Orang Asli tadi, yang meredakan sakit kepala bukanlah mentera dan jurai daun yang dipupuk di kiri dan kanan pesakit sebaliknya lilitan yang kuat di sekeliling kepala yang mengurangkan sakitnya. Analoginya mudah. Apabila sakit kepala, biasanya kita akan memicit-micit bahagian yang sakit supaya sakitnya kurang. Aliran salur darah yang kembang menjadi kendur dan kuranglah denyutnya. Lebih banyak dipicit, lebih cepatlah hilang sakitnya.

Justeru itu, di sebalik batang pisang, pengamal perubatan tradisional Melayu wajar melihat kembali amalan aneh mereka supaya perubatan ini dilihat lebih bersifat saintifik dan logik. Kurikulum khusus untuk pengamal tersebut wajar dirangka supaya perkara-perkara aneh sebegini tidak lagi berulang pada masa depan. Dengan cara ini, tahap profesionalisme amalan perubatan tradisional Melayu boleh ditingkatkan dan masyarakat memberi pengiktirafan yang tinggi kepada. Seterusnya dapat dilonjakkan ke tahap global seperti yang dilakukan dalam urutan refleksiologi, homeopati dan akupuntur.

Tuesday, June 26, 2007

Mengubah sikap Melayu

Keprihatinan ahli politik, usahawan dan pemikir Melayu terhadap nasib dan masa depan bangsa Melayu sangat terserlah dalam Seminar Legasi Tun Abdul Razak Kepada Pembangunan Negara. Kesedaran mereka mengenai nasib bangsa ini digambarkan melalui kebimbangan yang ditimbulkan apabila melihat peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam sektor ekonomi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Faktor sikap dan mentaliti menjadi penyebab kepada kegagalan Melayu untuk membabitkan diri dalam arus perdana pembangunan negara.

Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani berpendapat, keputusan untuk memajukan diri dan ekonomi Melayu bergantung sepenuhnya kepada diri mereka sendiri. Kerajaan telah mengambil banyak langkah bagi menyediakan ruang dan peluang untuk mereka memajukan diri tetapi tidak banyak perubahan yang dapat diperhatikan untuk dibanggai.

Berbeza dengan Amerika Syarikat, iaitu negara yang telah lama merdeka, masyarakatnya telah meneroka dunia luar melalui perkembangan pasaran dan pengenalan produk-produk baru. Kentucky Fried Chicken, McDonald dan General Electric adalah jenama besar dalam pasaran dunia yang bermula di sana. Eropah pula berbangga dengan Shell dan Airbus manakala Jepun berbangga dengan Fujitsu dan Toyota. Kejayaan syarikat-syarikat ini bermula dengan ilmu pengetahuan yang mengutamakan penyelidikan dan pembangunan.

Hidup di negara majmuk seperti Malaysia sebenarnya berdepan dengan berbagai-bagai cabaran sebagai penduduk pribumi. Tebing yang didaki dan lurah yang dituruni adalah gambaran halangan dan cabaran yang terbentang di depan mata. Situasi ini menjadikan kita lebih sabar dan cekal.

Kehidupan yang lebih bermakna adalah hidup dengan bermasyarakat bagi membentuk kerjasama. Belajar untuk merangka strategi bagi mempastikan keputusan yang akan diambil kelak memberi manfaat. Strategi dapat mengenal pasti kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang. Semua ini mesti diambil kira bagi mempastikan setiap masa adalah bermakna dan membawa manfaat. Pelbagai halangan yang datang dari semasa ke semasa adalah umpama ombak yang menghempas ke pantai: ada pasang dan surutnya.

Setiakawan, tolong-menolong, bertolak ansur dan bekerjasama adalah nilai-nilai yang mendominasi kejayaan dalam kerja berpasukan. Dengan adanya program khusus bagi menjayakan misi, sedikit demi sedikit nilai-nilai ini dibina dan dibangunkan. Justeru, misi membina minda dan sikap Melayu ke arah pembentukan jati diri yang utuh adalah misi yang berterusan. Gandingan masyarakat Melayu dari semua lapisan wajar digembleng dan diperkukuhkan. Usaha ini tidak boleh dipadam begitu sahaja kerana peranannya sangat penting bagi survival bangsa. Jika dalam konteks bangsa, misi ini akan meneruskan survival bangsa. Jika dalam konteks ideologi, misi ini akan turut memanjangkan ideologi berkenaan.

Bangsa Melayu telah pun melalui beberapa siri survival yang menjadikan mereka lebih perihatin dan mengambil berat tentang nasib bangsa ini. Konsep kesedaran Melayu dilihat melalui tiga fasa kritikal yang mana peringkat awal melibatkan kecemerlangan Melayu yang sangat dominan di Asia Tenggara.

Pada 24 Julai 1511, Sultan Ahmad Shah memanggil orang Besar-besar, hulubalang dan kesatria Melaka ke balairung untuk memperdengarkan bacaan Hikayat Amir Hamzah mengenai kegagahan pahlawan Amir Hamzah dan puteranya Rastam yang berperang melawan Peringgi. Baginda memilih hikayat berkenaan untuk membangkitkan semangat wira dan pahlawan Melayu bagi menentang Portugis pada keesokan harinya.

Masa ini sangat kritikal kerana peperangan akan memusnahkan apa sahaja yang menjadi kebanggaan tamadun Melayu Melaka. Ternyata kekalahan Melaka dan penjajahan Portugis melenyapkan peranan Melaka sebagai pusat perdagangan serantau. Penduduknya bertempiaran lari dan ramai ulama Islam yang diburu dan dibunuh. Ianya adalah gerakan yang terancang kerana tujuan Portugis menjajah dan menakluk negara-negara Timur adalah kerana empat G iaitu gospel (agama), geography (lokasi), gold (harta) dan glory (kemenangan). Selepas itu bangsa Melayu terpaksa menunggu 446 tahun untuk kembali bersatu dan menjadi tuan di negara sendiri.

Penjajahan British telah membina kesedaran dan keinginan bangsa Melayu untuk membebaskan negara mereka. Walaupun sebagai penjajah dan mengaut kekayaan Tanah Melayu, British masih lagi dapat menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada golongan terpilih. Mereka sedar, suatu hari nanti, British akan dihalau keluar dari Tanah Melayu dan kepimpinan negara mesti diserahkan kepada golongan yang dapat meneruskan agenda pentadbiran mereka.

Penentangan yang semakin memuncak di negara-negara terjajah turut menggerakkan semangat nasionalisme anak-anak muda Melayu untuk membebaskan negara daripada British. Ibrahim Haji Yaacob, pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) telah mengetuai kelompok ini bagi menyedarkan bangsa Melayu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada British. Usaha beliau berhadapan dengan banyak halangan.

Setelah sebuah demi sebuah negara-negara yang dijajah mendapat kemerdekaan, Tanah Melayu juga mengikut jejak langkah yang sama. Rombongan kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah merealisasikan hasrat dan keazaman bangsa Melayu untuk bebas daripada penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris setelah fizikal, minda dan jiwa mereka dibelenggu selama 446 tahun. Slogan "merdeka" yang menjadi perkataan keramat kini menjadi nyata. Dan Melayu bebas mencorakkan negara mereka sendiri.

Letusan semangat patriotisme telah meletakkan pemikiran dan sikap pejuang-pejuang bangsa dan kemerdekaan negara berada pada landasan yang betul bagi mengajak seluruh masyarakat untuk bangkit dan menuntut pembebasan segera. Letusan ini sangat kuat sehingga mampu menarik perhatian British dan dengan terpaksa, menyerahkan Tanah Melayu kepada pemiliknya.

Sepanjang merentas 50 tahun kemerdekaan, Malaysia yang didiami oleh 26 juta orang, pelbagai agama, bangsa dan budaya telah menjadi model kepada masyarakat dunia tentang bagaimana mentadbir masyarakat berbilang bangsa ini. Masyarakat yang produktif tanpa mengira kaum, bergerak aktif membina kekuatan politik dan ekonomi mereka kerana pembangunan adalah pilihan yang terbaik. Sistem nilai dan ideologi semakin kurang mendokong pembangunan sebaliknya kaedah perbincangan dan persetujuan bersama mengambil tempat. Kewujudan bangsa Malaysia, walaupun berdepan dengan banyak halangan, semakin memperlihatkan kemajuan kerana sistem politik berasaskan suku, daerah dan kenegerian telah dikurangkan. Yang ada cuma kesatuan bangsa yang sangat jelas dalam pentadbiran politik: Melayu dengan UMNO, Cina dengan MCA dan India dengan MIC.

Perubahan sikap Melayu sangat ketara ketika berada dalam era selepas merdeka kerana hendak menebus kembali masa dijajah selama 446 tahun. Mungkin 50 tahun yang akan datang masih belum mencukupi bagi mengubah sikap Melayu yang sering dipersalahkan ketika ini. Empat elemen utama yang mempengaruhi sikap ini ialah politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Politik

Apakah Melayu masih wujud dalam tempoh 100 tahun yang akan datang? Melayu hari ini diasak dengan keruntuhan moral dari lahir hingga mati. Keruntuhan moral sejak lahir kerana kelahiran bayi tanpa perkahwinan dan berleluasanya maksiat dan zina. Keruntuhan moral hingga ke liang lahad pula kerana sehingga mati pun, kisah peribadi arwah masih dijaja ke sana-sini.

Soal pecah amanah, rasuah, nepotisme dan salah guna kuasa telah menjadi bualan umum. Apatah lagi kajian terhadap pemimpin politik di Malaysia meletakkan kelompok ini jauh ke belakang untuk dipercayai. Keadaan ini sangatlah berbeza ketika kesedaran nasionalisme Melayu dahulu yang mula berkembang mulai tahun 1938.

Mengimbas kembali politik dan pengaruhnya terhadap gerakan perubahan minda dan sikap Melayu, W.R. Roff menyatakan kesedaran nasionalisme Melayu telah dicetuskan oleh tiga kelompok yang berbeza iaitu: reformis Islam berpendidikan Arab, intelektual berpendidikan Melayu dan birokrat berpendidikan Inggeris. Ketiga-tiga kelompok ini mengembangkan kesedaran berpolitik Melayu secara beransur-ansur melalui tiga tahap iaitu:

Tahap beragama (1906 – 1926). Menjadikan Turki dan Mesir sebagai model;

Tahap sosial dan ekonomi (1926 – 1938). Kesedaran yang tinggi terhadap kedudukan ekonomi dan sosial Melayu yang ditekan hebat oleh orang-orang Cina yang menguasai aktiviti perniagaan, tuntutan orang Cina supaya diberi peranan yang lebih besar dalam kerajaan dan kecaman mereka terhadap dasar British yang pro-Melayu; dan

Tahap kesedaran politik (1938 – 1945). Kebimbangan Melayu terhadap kegiatan komunis di kalangan penduduk Cina, kemelesetan ekonomi pada 1929 hingga 1933, peperangan China dan Jepun pada 1937 dan pemulauan barang-barang Jepun oleh penduduk Cina di Tanah Melayu telah mengukuhkan kesedaran berpolitik Melayu.

Pemacuan terhadap perlunya orang Melayu menubuhkan kekuatan mereka membantu kesedaran politik yang tinggi. Justeru, penguasaan Melayu dalam politik Malaysia selepas merdeka sangat ketara kerana pada tahun 2020, 60 peratus penduduk Malaysia adalah berbangsa Melayu yang menjadi asas kepada pembentukan bangsa Malaysia. Bilangan orang Cina pula dijangka akan berkurangan kepada 20 peratus.

Politik "ketuanan Melayu" dijangka terus mendominasi warna politik Malaysia bagi jangka masa panjang kerana ianya telah bertapak kukuh dalam struktur pentadbiran sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Sistem ini juga dapat mempastikan kestabilan politik yang lebih mantap dan mendidik masyarakat ke arah kewujudan politik matang. Selain itu, mewujudkan keadaan yang merangsang aktiviti ekonomi yang lebih aktif dan berdaya saing.

Ekonomi

Semenjak merdeka, sikap Melayu terhadap pertumbuhan ekonomi telah banyak berubah. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memberi ruang dan peluang kepada masyarakat bumiputera untuk menempatkan diri mereka dalam arus perdana perdagangan negara. Keupayaan bumiputera untuk bersaing dengan kaum-kaum lain sangat bergantung kepada kesediaan kerajaan membantu mereka. Tanpa penguasaan sebahagian ekonomi, Melayu akan hanya bergantung kepada peniaga-peniaga Cina untuk meneruskan hidup mereka.

Penyertaan besar-besaran usahawan bumiputera ke dalam sektor perniagaan telah melonjakkan minda Melayu untuk berfikir lebih jauh bagi membangunkan ekonomi negara bersama-sama dengan masyarakat Cina dan India. Pencapaian tahap penguasaan yang masih rendah dikaitkan dengan pembabitan mereka dalam sektor ekonomi yang tidak kompetetif. Walaupun kerajaan melakukan pelbagai usaha dan bantuan bagi meningkatkan ekonomi Melayu, masih banyak ruang yang perlu diisi oleh mereka.

Sektor industri yang melibatkan kepakaran dan profesionalisme masih tidak dipenuhi dengan tenaga kerja Melayu. Keutamaan pelajar-pelajar Melayu hari ini yang masih lagi menumpukan pengajian sastera dan sains sosial harus diseimbangkan dengan aliran sains supaya tenaga kerja dalam bidang sains dan teknologi dalam pembangunan negara sentiasa didominasi oleh Melayu.

Peniaga industri kecil dan sederhana (PKS) Melayu masih lagi dalam jumlah yang kecil dan berhadapan dengan banyak halangan khususnya kemahiran perniagaan dan peluasan pasaran. Keadaan ini tentunya tidak dapat menjadi katalis kepada jaringan global sepertimana peniaga Cina yang dianggarkan berjumlah 55 juta orang di seluruh dunia dan di luar negara China. Walaupun pendedahan secara berterusan oleh agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), perubahan sikap masih lagi memerlukan usaha yang gigih.

Usaha memajukan ekonomi bumiputera melalui sistem francais telah memberi ruang kepada mereka untuk meneroka bidang perniagaan yang lebih kompetetif. Ini kerana perniagaan francais adalah sejenis perniagaan yang paling cepat berkembang di dunia. Di Amerika Syarikat sahaja, terdapat 35 peratus daripada jumlah jualan runcit di negara itu datang daripada cawangan-cawagan francais. Manakala nilai jualan tahunannya pula mencecah US$800 bilion. Kejayaan sistem ini memberi gambaran bahawa francais adalah konsep pemasaran yang paling berjaya dan mudah untuk dilaksanakan.

Sehingga kini, usahawan golongan menengah bumiputera dibentuk bagi merealisasikan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Kementerian Pembangunan Usahawan menyatakan bahawa: dari segi pertumbuhan industri francais, pada masa ini Malaysia menduduki tangga yang kedua (2) di kalangan negara Asia dan tangga yang kedua puluh satu (21) di dunia. Mengikut perangkaan, sebanyak lima peratus dari jumlah jualan runcit tahunan di Malaysia adalah daripada outlet francais. Ini adalah sesuatu yang membanggakan memandangkan industri francais di Malaysia masih agak baru berbanding dengan negara-negara lain. Kementerian tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan sebenar perniagaan francais yang dijalankan di negara ini. Walau bagaimanapun adalah dianggarkan terdapat 268 buah perniagaan yang difrancaiskan dan sebanyak 6,500 outlet perniagaan francais di Malaysia. Sebahagian besar daripada perniagaan francais ini adalah dalam sektor makanan, perkhidmatan, aksesori wanita, keperluan rumah dan telekomunikasi.

Sudah pasti program ini dapat memberi peluang kepada Melayu untuk mengubah sikap mereka terhadap perniagaan dan keupayaan mereka meningkat maju dalam apa juga bidang perniagaan yang diceburi.

Memperkatakan sikap peniaga Melayu, kajian demi kajian menyerlahkan betapa sikap tidak begitu berperanan besar kerana pembentukan jaringan perniagaan sesama bangsa dilihat lebih dominan. Kejayaan peniaga Cina meletakkan kepercayaan kepada rakan sebangsa dan mengukuhkan jaringan dalam apa juga bidang perniagaan menjadi faktor kritikal bagi kejayaan mereka menguasai ekonomi Malaysia. Usahawan Melayu hanya akan berdaya saing dan lebih maju jika meletakkan jaringan dan pembinaan kepercayaan sebagai teras kepada sesuatu bidang perniagaan.

Pendidikan

Peranan pendidikan sebagai agen perubahan menjadi lebih ketara selepas Malaysia mencapai kemerdekaan kerana hala tuju dan pembinaan modal insan adalah 100 peratus disumbangkan oleh aliran pendidikan yang berkualiti. Tidak ada negara yang mengesampingkan pendidikan termasuk Malaysia. Justeru, peruntukan yang besar dalam bajet tahunan kerajaan bagi pendidikan rakyat sangat dihargai.

Pendidikan membuatkan pemikiran lebih matang dan mengubah kualiti hidup ke arah yang lebih baik. Mempunyai 20 buah universiti awam dan berpuluh universiti swasta adalah pemangkin kepada kemajuan negara. Peluang Melayu untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas dan konsep pendidikan sepanjang hayat mesti diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin Melayu supaya mereka terus belajar. Konsep iqra' barangkali sangat sesuai untuk menterjemahkan kesungguhan pemikir Melayu bagi menggerakkan kepintaran bangsa ini.

Bermula sejak pendidikan prasekolah, kurikulum harus menjurus ke arah pembinaan modal insan yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira persediaan Melayu bagi 100 tahun yang akan datang. Siapakah yang akan memenuhi agenda "impian" YAB Perdana Menteri jika generasi muda hari ini tidak diberi pendedahan dan galakan yang maksimum?

Usaha memenuhi "impian" berkenaan sama seperti kisah seorang kanak-kanak yang dijumpai tanpa diketahui siapa ibu bapa dan dari mana datangnya. Kulit anak ini yang berwarna sawa matang, sering menangis dan tidak mandi serta tidak cukup makan. Dijumpai oleh seorang pemimpin yang berjiwa besar, anak ini diambilnya, dimandikan, diberi makan dan diasuh dengan pendidikan, adab dan akhlak yang terbaik. Apa yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan ialah menyediakan anak ini sebagai pemimpin masa depan.

Siapakah pemimpin yang berjiwa besar ini? Beliau ialah bekas Perdana Menteri, YBhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad. Anak kecil yang berkulit sawa matang itu ialah bangsa Melayu. Kisah ini sering diulang dalam kursus kepimpinan negara sebagai kesan ke atas pembentukan yang berkualiti iaitu menyediakan bangsa dengan pemimpin yang berwawasan.

Kegagalan membentuk modal insan yang berguna mungkin disebabkan asas kepada pendidikan yang kurang mantap, terdapat kekurangan dalam elemen kognitif dan kemahuan yang tinggi.

Sosial

Masyarakat bersosial bukannya masyarakat yang hu-ha-hu-ha sebaliknya melihat kebajikan seluruh masyarakat berada dalam kesejahteraan. Masyarakat Melayu yang sering dikaitkan dengan masalah sosial hari ini dilihat menyumbang kepada masalah negara. Penagihan dadah, adab dan akhlak yang lemah serta sumbang mahram makin menambah perit nasib bangsa.

Dari segi kebajikan sosial, pembinaan bangsa yang bermaruah dalam kewangan keluarga, rendah kadar kemiskinan dan kesedaran keagamaan yang tinggi boleh menutup dan mengurangkan jenayah sosial yang mengganggu kesejahteraan masyarakat keseluruhan. Tidak ada yang mustahil jika kita ingin melihat bangsa Melayu yang dinamik dan dapat menjadi contoh kepada masyarakat lainnya.

Empat faktor yang menjadi pemangkin kepada perubahan sikap Melayu sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa. Seminar, konferens dan konvensyen menjadi medan kepada pemikir dan penggerak bangsa Melayu untuk memacu kemajuan bangsa ini. Tidak ada negara di dunia yang sangat prihatin dengan jatuh bangun bangsanya sepertimana yang direncanakan ke atas bangsa Melayu.

Sekiranya bangsa Melayu sendiri gagal untuk berubah, kegagalan itu tidak upaya diletakkan kepada sesiapa melainkan diri sendiri. Nasib bangsa Melayu diumpamakan seperti cerita pemuda yang angkuh dan pendeta yang bijak.

Di sebuah kawasan kampung, majlis meraikan sekmpulan pemuda yang akan tamat pelajaran seni mempertahankan diri dipanggil untuk diberi anugerah. Mahaguru yang bersama dengan mereka pada hari itu sedia untuk melepaskan anak-anak muda ini. Ramailah orang kampung yang dijemput untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut, membuat bulatan dan masing-masing membawa ahli keluarga. Hidangan buah dan daging yang lazat disediakan.

Seorang pemuda yang begitu bangga dan angkuh di atas pencapaiannya ingin sangat menunjukkan kepintarannya sebagai bukti dirinya lebih hebat daripada mahaguru. Dia juga ingin menjatuhkan maruah mahaguru yang mengajarnya selama ini kerana di usia muda, dia merasakan dirinya lebih hebat dan pintar.


Di tengah kesibukan orang ramai, dia meluru di hadapan dan mencabar mahaguru untuk meneka apa yang ada di dalam kantung kecil di tangannya.

"Hei orang tua! Hari ini aku ingin mengujimu. Jika engkau bijak, apa yang ada di dalam kantung ini?" Sambil mencebik bibirnya, dia melirik ke arah mahaguru. Orang ramai mula memberi perhatian kerana ingin melihat sejauh mana kepintaran mahaguru tersebut.

Agak lama juga mahaguru hendak memberi jawapan. Orang ramai mula gelisah dan bersuara meminta mahaguru memberi jawapan. Pemuda yang angkuh masih lagi berdiri di situ dan semakin teruja dengan sokongan orang ramai.

Mahaguru yang sedar pemuda ini ingin mengujinya menjawab dengan perlahan tetapi jelas, "burung." Pemuda itu tersentak. Mata orang ramai beralih kepada pemuda angkuh. Perlahan-lahan dia mengangguk. "Ya, burung. Aku tahu ia seekor burung tapi itu bukan soalan aku yang sebenarnya. Hei orang tua! Ini soalan aku, adakah burung ini hidup atau mati?" Lantang suaranya membingitkan telinga mahaguru.

Orang ramai kembali melihat mahaguru. Mereka bersorak untuk mendengar jawapan daripadanya.

"Di dalam tanganmu," mahaguru menjawab.

"Ya, aku tahu. Burung ini di dalam tanganku. Hidup atau mati?" Pemuda ini mula berpeluh. Barangkali mahaguru mahu mempermainkannya.

"Di dalam tanganmu," mahaguru mengulangi jawapannya. Tanpa ada sebarang kenyataan lain.

Pemuda yang mula resah, semakin terdesak dengan jawapan mahaguru.

Beberapa kali soalan yang ditanya, itulah jawapan diberikan oleh mahaguru. Orang ramai yang mulai sedar itulah jawapan kepada soalan berkenaan mula mentertawakan pemuda ini. Akhirnya, akibat malu beliau meluru keluar meninggalkan majlis berkenaan.

Kisah ini sama seperti bangsa Melayu. Hidup atau matinya terletak pada diri mereka sendiri. Sekiranya mereka tidak mahu mengubah sikap, orang lain akan menentukan nasib mereka. Kritikan yang sangat jauh tersasar daripada Duta Kesatuan Eropah (EU) di Malaysia, Thierry Rommel terhadap dasar negara Malaysia adalah contoh bagaimana orang luar mengambil kesempatan ke atas sikap bangsa Melayu.


Rommel mendakwa dasar-dasar yang dijalankan oleh Malaysia termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya menguntungkan golongan tertentu. Tidakkah beliau sedar betapa bangsa Melayu memerlukan perhatian dan bimbingan supaya sosiopolitik di Malaysia menjadi stabil dan peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang lagi? Tindak-tanduk Rommel yang keras kepala dan degil memang diketahui oleh penyelidik Asia dan Eropah. Selepas ini beliau tidak lagi dapat duduk diam setelah ditegur oleh orang nombor dua dalam kerajaan Malaysia.

Bangsa Melayu harus bersedia untuk berhadapan dengan cabaran seperti ini dan mereka boleh berjaya jika bersiap sedia dengan kekuatan. YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan-ucapan beliau sering mengingatkan betapa kita harus bersedia dengan kekuatan. Persediaan yang beliau maksudkan ialah:

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya." (Surah Al-Anfaal, ayat 60)

Monday, June 25, 2007

Bagaimanakah orang jahil menafsirkan al-quran?

Penulis : Harun Yahya
Tahun : 2004 (Edisi Bahasa Melayu)
Penerbit : Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur
Muka surat : 66

Al-quran adalah kitab yang maha ideal yang tidak hanya teruji sebagai panduan hidup umat manusia, tetapi juga terbukti secara sains. Berbagai-bagai penemuan mutaakhir yang muncul di bidang sains mengukuhkan kebenaran al-quran ini. Sungguhpun begitu, tidak sedikit orang yang terkandas di tengah jalan dalam menemukan kesejatian al-quran.

Mengapa hal ini terjadi? Kerana mereka terjebak dalam salah tafsir terhadadap al-quran. Entah kerana memendam prasangka, ada maksud tersembunyi, kurang jujur, tidak mengerti bahasa Arab, kurang menguasai teknik penafsiran, miskin pemahaman, lemah fikiran atau kerana sang pengkaji dihinggapi sikap angkuh. Banyak contoh yang memperlihatkan betapa penyimpangan penafsiran terhadap al-quran itu betul-betul terjadi, sehingga mengaburkan pesanan hakiki dari kitab agung ini.

Maka di sinilah peranan penting dari buku "Bagaimanakah Orang Jahil Menafsirkan Al-Qur'an" ini. Sekalipun kecil, karya Harun Yahya ini mampu menjelaskan kekeliruan ramai orang dalam menafsirkan al-quran. Latar belakang penulisnya sebagai ilmuan turut memperkayakan buku ini, sehingga menghadirkan corak tafsir yang berbeza daripada biasanya.

Salah satu salah tafsiran al-quran ialah minum arak di dalam syurga. Persoalannya ialah bagaimanakah arak boleh diberikan kepada penghuni syurga sedangkan ianya diharamkan di dunia. Dalilnya Surah Muhammad ayat 15 yang bermaksud:

"Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredhaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!"


Bagi menolak hujah ini, al-quran menerangkan perbezaan di antara minuman yang disediakan di syurga dan di dunia dalam ayat 18 hingga 19 Surah Al-Waqiah:

"Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya."


Minuman yang disediakan di syurga sama sekali tidak ada kesan negatif dan sangat berbeza daripada arak yang diminum di dunia. Malahan ciri-ciri minuman yang dilarang di dunia ini tidak wujud di dalam syurga.

Ulasan Editor : Harun Yahya merupakan seorang penulis dan pengkaji yang gigih dalam usahanya. Buku seperti ini wajar dimiliki oleh para pendakwah bagi memantapkan pengetahuan mereka terhadap isi kandungan bagi menjelaskan isu-isu semasa. Piawaian seorang pendakwah tidak lengkap tanpa memasukkan buku tulisan Harun Yahya ke dalam kajiannya kerana memang keperluan pendakwah hari ini ialah selangkah berada di depan dai'.

Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Baqarah ayat 32)

Sunday, June 24, 2007

Kudrat orang buta

Kelahiran adalah anugerah Tuhan kepada manusia dan makhluk yang lain bagi meneruskan zuriat. Biar bagaimana keadaan sekali pun, merasai nikmat hidup dan bersyukur menjadi lebih bererti jika seluruh kehidupan setiap makhluk berada dalam keberkatan. Justeru, ketabahan hati seorang nelayan buta yang lebih separuh abad mencari rezeki di laut mencelikkan akal orang yang sempurna betapa usaha adalah keperluan untuk hidup, bukannya berpeluk tubuh. Kegigihan nelayan buta ini mengundang simpati dan doa orang ramai.

Kesempurnaan fizikal atau anggota badan ketika lahir menjadi keutamaan setiap ibu bapa terhadap anak-anak. Kecacatan di mana-mana bahagian badan pasti menjejaskan pergerakan mereka ketika sedang melalui proses tumbesaran. Bagi kes yang istimewa, kecacatan anggota fizikal sedikit pun tidak menjejaskan keupayaan mental untuk meraih kejayaan. Di dalam masyarakat Malaysia, sedikit demi sedikit ruang kejayaan diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menyumbang buah fikiran, tenaga dan masa mereka bagi pembangunan negara.

Kemudahan infrastruktur di bangunan kerajaan umpamanya disesuaikan bagi kemudahan mereka. Butang aras di dalam lif yang dahulunya direka pada ketinggian tertentu, kini direndahkan dan lebih mudah untuk ditekan. Manakala laluan siar kaki di taman-taman rekreasi awam mula mengambilkira keperluan golongan ini. Kesedaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semakin menyerlah setelah didedahkan dengan kebaikan menyediakan kemudahan untuk golongan berkenaan.

Pengangkutan awam turut berperanan menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan kemudahan yang serupa. Jika dahulu penumpang bas berebut untuk memilih tempat duduk, kini keutamaan diberikan kepada golongan OKU dengan memperuntukkan tempat duduk yang lebih luas dan selesa.

Keupayaan menyediakan kemudahan kepada OKU tidak akan bererti bagi kerajaan jika kanak-kanak OKU dari mula kelahiran hingga dewasa tidak diketengahkan kepada pengetahuan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM). Seruan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa keluarga yang mempunyai anak-anak OKU agar tidak malu untuk mendapatkan khidmat bantuan daripada agensi kerajaan yang bersedia menghulurkan bantuan. Stigma keluarga yang berasa malu dan berat hati untuk mendaftar anak-anak OKU hanya memudaratkan dan merugikan diri anak-anak tersebut.

Berdaftar dengan agensi kerajaan yang berkaitan memberi manfaat yang besar kepada keluarga. Selain daripada anak-anak OKU mendapat pembelaan dari segi kesihatan, perbelanjaan hidup dan perhatian, ibu bapa dapat berjumpa dengan para pakar yang sedia memberi bantuan dan bimbingan yang terbaik demi masa depan anak-anak mereka. Melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan membantu proses sosialisasi yang lebih bermakna. Sokongan sosial daripada persatuan dan galakan daripada pakar akan menolak jauh tohmahan segelintir ahli masyarakat yang memandang rendah keluarga yang mempunyai anak OKU ini.

OKU yang berjaya adalah mereka yang sedia untuk berubah. Menangisi kecacatan dan kekurangan diri tidak akan memberi apa-apa makna untuk berjaya dalam hidup.

Kisah dua orang rakan yang saya kenali sebagai pekerja gigih boleh dijadikan iktibar kepada kita untuk melihat betapa mereka juga boleh berdikari. Kedua-duanya rabun mata kiri dan kanan tetapi masih ingin mencari rezeki sendiri dan tidak mengharapkan ihsan daripada masyarakat.

Sazani adalah tukang urut refleksiologi yang telah lama bekerja di Kuala Lumpur. Berasal dari Sabah, beliau merantau ke kota raya untuk mengubah keadaan hidup dan memilih perkhidmatan refleksiologi sebagai asas kepada sumber pendapatan sendiri. Belajar dengan rakan-rakan lain di Malaysian Blind Association (MBA), beliau melangkah dengan yakin untuk mencari wang sendiri bagi masa depannya. Kini beliau sedang menunggu kelahiran anak yang pertama setelah mendirikan rumah tangga dengan wanita normal tahun lepas. Setiap hari Sazani berulang-alik dari Sepang ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan tidak pernah mengeluh mengenai kecacatannya.

Kedua ialah Hishamudin, tinggal di Kampung Baru dan telah berkeluarga. Berbeza daripada Sazani, Hishamudin telah bersedia untuk buta sepenuhnya. Pelanggannya dalam urutan refleksiologi memang ramai dan kadangkala tidak menang tangan untuk melayan panggilan pelanggan yang merangkumi orang perseorangan, orang kenamaan dan pegawai kerajaan. Beliau seorang yang gigih dan berani meluaskan perniagaannya serta pernah menawarkan perkhidmatan refleksiologi di Menara Kuala Lumpur. Di samping itu beliau juga memberi khidmat dari rumah ke rumah dan hotel. Sama seperti Sazani, Hishamudin tidak pernah mengeluh kekurangan dirinya. Setiap kali ada kesempatan beliau akan menawarkan khidmat urut kaki kerana berprinsip setiap orang berpotensi untuk menjadi pelanggan yang setia.

Kita percaya ramai lagi orang kurang upaya seperti Sazani dan Hishamudin yang gigih berusaha sendiri untuk memajukan hidup masing-masing. Nelayan tua dan dua lelaki pengusaha kesihatan alternatif seperti ini bakal menjadi semangat kepada orang yang senasib dengan mereka. Suntikan dorongan betapa orang cacat boleh berjaya akan melenyapkan sama sekali persepsi masyarakat yang memandang rendah kepada keupayaan orang kurang upaya untuk berdikari sendiri.