Tuesday, July 03, 2007

Kawalan berterusan ke atas tabiat merokok

Fenomena merokok adalah fenomena global. Ketika kadar penggunaan rokok di kalangan negara-negara membangun meningkat, di Barat keadaannya jauh berbeza. Dengan tahap kesedaran terhadap bahaya rokok ke atas kesihatan yang tinggi, penagihan rokok tidak lagi menjadi punca kepada barah dan penyakit jantung.

Malaysia adalah antara negara membangun yang aktif melaksanakan kempen kesedaran bahaya merokok. Kempen Tak Nak yang dilancarkan sebelum ini turut mempengaruhi cara berfikir masyarakat mengenai bahaya rokok. Dan terbaru, duti eksais ke atas rokok telah dinaikkan kepada 15 sen. Dengan kenaikan itu, duti bagi satu paket 20 batang rokok kini meningkat sebanyak 60 sen. Langkah itu adalah selari dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan gaya hidup sihat serta menangani masalah sosial akibat merokok, khususnya di kalangan golongan muda.

Pada tahun 1970-an, banyak kajian telah dilakukan ke atas kesan merokok pada kesihatan di Barat. Kerajaan dan pihak berkuasa merancang strategi bagi mendedahkan keburukan merokok melalui penguatkuasaan undang-undang. Iklan rokok dan larangan penjualan di tempat-tempat tertentu segera dilaksanakan. Dalam beberapa keadaan, terdapat perokok yang mendapat barah paru-paru menyaman syarikat pengeluar rokok dan memenangi saman tersebut.

Asakan demi asakan ke atas pengeluar rokok menyebabkan penjualannya merosot. Bagi meneruskan operasi, strategi pemasarannya telah dialihkan ke negara-negara membangun di Asia dan Afrika. Di Malaysia, syarikat rokok menggunakan strategi pengiklanan secara besar-besaran melalui media massa dan elektronik. Suatu ketika dulu kita sering melihat iklan rokok dan penajaan sesuatu filem oleh syarikat rokok. Beberapa tahun yang lepas, terdapat syarikat rokok yang menjadi penaja utama bagi acara sukan dan rancangan hiburan berbentuk kuiz.

Bagaimanapun dengan pengenalan beberapa peraturan, iklan rokok dan penajaan sukan telah dihentikan manakala petani yang menanam tembakau digalakkan menanam tanaman lain. Ada juga pemimpin masyarakat yang menegur amalan merokok ini sebagai kurang beradab yang mana sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran dan sikap rakyat.

Keinginan untuk merokok bermula di peringkat belasan tahun. Dalam erti kata lain, ianya melibatkan umur awal remaja. Pendedahan terhadap rokok yang boleh diperolehi dengan mudah menjadikan mereka tidak segan-silu untuk merokok. Antaranya di kedai runcit, restoran dan gerai bergerak yang menjual makanan ringan. Sehingga terdapat larangan penjualan rokok kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun, barulah penjualan yang lebih ketat diambil kira. Soalnya bagaimana larangan ini benar-benar dipatuhi oleh penjual rokok?

Punca merokok boleh dilihat daripada faktor psikobiologi dan sosiobudaya. Afghanistan, sebuah negara pengeluar candu utama dunia, anak-anak kecil menjadi ketagih candu melalui susu ibunya. Namun untuk membuat rumusan umum mengenai punca merokok berdasarkan faktor psikobiologi adalah kurang tepat kerana terdapat juga anak-anak yang tidak merokok walaupun ibu bapa mereka adalah perokok yang tegar. Lagi pun, sehingga kini tidak terdapat kajian yang tepat mengenai pengaruh genetik terhadap kecenderungan merokok.

Pengaruh persekitaran turut dilihat sebagai punca kepada merokok. Ia memberi kesan terhadap pemikiran calon perokok kerana sangat berkait dengan persepsi. Jika dalam masyarakatnya rokok dianggap baik dan diterima, perbuatan merokok tidak memberi apa-apa kesalahan. Peluang inilah yang digunakan oleh syarikat pengeluar rokok untuk menggandakan strategi iklan mereka. Antaranya ialah mengaitkan rokok dengan barangan berjenama dan mewah, rokok dengan hidup harmoni bermasyarakat dan rokok untuk menghilangkan tekanan hidup.

Kenaikan duti eksais rokok adalah salah satu mekanisme yang digunakan kerajaan bagi menghalang perokok remaja. Ia diharap dapat mengurangkan perbelanjaan perokok secara umum seterusnya mengurangkan tabiat merokok dan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat tanpa rokok. Strategi ini ada kaitnya dengan kempen Sihat Sepanjang Hayat yang diperkenalkan pada tahun ini.

Kesan kenaikan harga rokok memberi implikasi positif kepada penyeludup. Usaha-usaha membawa masuk rokok seludup pasti akan lebih giat dan aktif kerana permintaan ke atas rokok sentiasa ada. Rokok jenis murah akan menjadi sasaran bagi melepaskan ketagihan merokok ini. Syarikat rokok pula sedang memikirkan kaedah untuk mempastikan rokok mereka dapat dijual walaupun dihalang dengan berbagai-bagai cara seperti mengubah suai saiz rokok ataupun memperkenalkan kotak rokok yang lebih menarik.

Cadangan untuk meletakkan gambar-gambar berkaitan kesan merokok pada bahagian luar kotak masih belum dilaksanakan walaupun telah lama diutarakan. Apakah kita menunggu untuk melihat lebih ramai remaja terjebak dengan tabiat merokok seterusnya berjinak-jinak dengan penagihan dadah?

Langkah kawalan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dilihat mampu memberi impak yang besar ke atas kesedaran masyarakat tentang bahaya merokok. Harga rokok yang tinggi ketika ini diharap dapat memberi mesej jelas kepada semua rakyat Malaysia betapa merokok membahayakan kesihatan dan mengundang masalah ekonomi yang lebih serius. Kawalan ke atas kawasan merokok juga wajar diperluaskan dan undang-undang sedia ada hendaklah dilaksanakan dengan penuh integriti supaya merokok tidak lagi menjadi pilihan.

No comments:

Post a Comment