Thursday, February 16, 2023

Ferdy, perancang pembunuhan dihukum mati


Kes mahkamah yang melibatkan seorang pegawai kanan polis yang membunuh pengawal peribadinya menjadi tumpuan di Indonesia dan dilaporkan dalam surat khabar perdana negara-negara luar. Ferdy Sambo, bekas Ketua Hal Ehwal Pasukan Polis Indonesia dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah merancang pembunuhan berkenaan. Kes ini menjadi tumpuan kerana ia melibatkan salah guna kuasa dan menyembunyikan bukti kejadian. Sekumpulan anggota polis yang bersubahat merosakkan rakaman kamera litar tertutup juga diambil tindakan tatatertib.

Pembunuhan tersebut berlaku pada Julai tahun lepas melibatkan anggota polis Nopryansyah Yosua Hutabarat, 27 tahun. Dalam laporan awal Ferdy, kejadian tersebut adalah berbalas tembakan namun kejadian sebenarnya ialah terdapat beberapa das tembakan dilepaskan ke arah dinding untuk menunjukkan berlakunya kejadian tembak-menembak. Ketika sidang media, Ketua Polis Indonesia Listyo Sigit Prabowo menyatakan bahawa kejadian itu bukannya tembak-menembak, sebaliknya adalah menembak.

Mangsa seterusnya dikekebumikan selepas bedah siasat dijalankan, namun keluarga mangsa mendakwa terdapat tanda seksaan pada tubuhnya Yosua. Bedah sisat kali kedua dijalankan untuk mengenal pasti lebih lanjut punca kematian.

Dalam pada itu, salah seorang terdakwa, Richard Eliezer Pudihang Lumiu yang diperintahkan untuk menembak mangsa telah memohon sebagai penguak fakta (justice collaborator) dari Lembaga Perlindungan Saksi dan Korban (LPSK) bagi mendedahkan hal sebenar yang berlaku dalam pembunuhan tersebut. Suspek-suspek lain yang didakwa terlibat ialah isteri Ferdy iaitu Puteri Candrawati, Ricky Rizal dan Kuat Maruf.

Perancang utama, Ferdy Sambo merupakan bekas pegawai kanan polis yang pertama dijatuhi hukuman mati dalam kes ini. Sebahagian anggota polis yang bersubahat dalam kes ini telah dikenakan hukuman tatatertib seperti Pemecatan Tidak Dengan Hormat, turun pangkat dan ditahan di tempat khas.


1. Pemecatan Tidak Dengan Hormat (PTDH)

Pertama, Chuck Putranto dijatuhi hukuman dalam persidangan tatertib kerana terbukti melakukan pelanggaran kod etika dengan cara menghilangkan alat bukti kamera litar tertutup. Kedua, Baiquni Wibowo dinyatakan sebagai orang yang menyimpan dan merosakkan rakaman kamera litar tertutup di pos keselamatan hadapan kediaman rasmi Ferdy. Ketiga, Agus Nurpatria dinilai terbukti melakukan halangan keadilan dalam kes pembunuhan Yosua. Agus dikatakan menerima perintah dari pegawai atasan iaitu Brigadir Jenderal Hendra Kurniawan untuk mengganti DVR kamera litar tertutup di sekitar tempat kejadian. Selain itu, Agus juga disebut melakukan kerjasama untuk menghalang proses siasatan. Keempat, Jerry Raymond Siagian dinilai telah melakukan pelanggaran berat meskipun tidak termasuk dalam golongan penghalang keadilan namun dianggap melakukan tindakan tercela dan tidak profesional dalam menangani laporan polis berkait ancaman pembunuhan dan kekerasan seksual.


2. Turun Pangkat

Pertama, Dyah Candrawati dijatuhi turun pangkat selama setahun kerana tidak profesional dalam menguruskan senjata api jabatan. Ia berkaitan dengan surat senjata api milik anggota Richard Eliezer. Kedua, Sadam, pembantu dan pemandu Ferdy, menerima hukuman setahun turun pangkat kerana menghalang tugas wartawan ketika membuat liputan di kawasan kejadian iaitu gangguan untuk menghapuskan foto dan video wartawan. Ketiga, Frillyan Fitri Rosadi dijatuhi hukuman turun pangkat selama dua tahun. Beliau anggota polis yang turut menghalang liputan wartawan bersama Sadam. Keempat, Firman Dwi Ariyanto dijatuhi hukuman setahun turun pangkat kerana bersama-sama Frillyan dan Sadam menghalang tugas wartawan. Kelima, Sigid Mukti Hanggono dijatuhi setahun turun pangkat di samping mengikuti kursus pembinaan diri selama sebulan.


3. Penempatan Khusus

Pujiyarto dikenakan hukuman penempatan khusus di Propam Polri selama 28 hari kerana
melanggar etika dan tidak profesional ketika menangani laporan kekerasan seksual Putri Candrawathi.

Kes ini mencetuskan tarikan orang ramai untuk mengikuti perbicaraan sehingga ke akhir. Setelah berbulan-bulan berada dalam mahkamah, perbicaraan ini berakhir apabila semua terdakwa dihukum. Ferdy Sambo sebagai perancang utama dalam kes pembunuhan ini dijatuhi hukuman mati. Isterinya, Puteri Candrawati yang dulunya bekerja sebagai doktor gigi dijatuhi hukuman 20 tahun penjara. Manakala Ricky Rizal dan Kuat Maruf dijatuhi hukuman masing-masing 15 tahun dan 13 tahun penjara. Seorang lagi terdakwa, Richard Eliezer dijatuhi hukuman satu setengah tahun penjara.

Penglibatan mereka dalam kes pembunuhan ini menunjukkan bahawa kedudukan dan kuasa yang dimiliki oleh seseorang itu boleh memanipulasi proses kehakiman untuk membebaskan diri daripada jenayah yang dilakukan. Perintah yang diberikan kepada anggota bawahan tidak dapat ditolak walaupun tidak sah, suatu keadaan yang menimbulkan dilema kepada mereka. Salah guna kuasa yang dilakukan oleh pegawai tinggi polis, Ferdy telah menconteng arang kepada pasukan polis yang berperanan menjaga keselamatan dan mengekalkan keamanan.

Hakim Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, Wahyu Iman Santoso menyimpulkan Ferdy Sambo terlibat dengan pembunuhan berencana dan menghancurkan barang bukti.

‘Terdakwa Ferdy Sambo secara sah dan meyakinkan melakukan perbuatan jenayah, ikut serta dalam pembunuhan terancang dan melakukan perbuatan yang mengakibatkan sistem elektronik tak berjalan sebagaimana mestinya’.

Proses perbicaraan ini dilaksanakan secara terbuka biarpun ruang mahkamah tidak begitu besar untuk memuatkan ramai pemerhati. Namun, kebenaran masuk kepada pihak media untuk membuat siaran langsung dari dalam mahkamah adalah pembaharuan yang sangat signifikan dalam sebuah neagra yang menikmati demokrasi. Idea ini memberikan perspektif yang lebih baik kepada orang ramai untuk melihat sesi perbicaraan secara terbuka dan mengelakkan prasangka berpanjangan. Imej institusi kehakiman juga lebih baik dan sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem perundangan negara yang mahukan keadilan kepada semua orang termasuk mereka yang berada dalam kelas sosial terbawah.

Salah satu ulasan yang menarik ialah daripada ibu dan bapa mangsa pembunuhan yang menyatakan bahawa keputusan yang dijatuhkan oleh majlis hakim merupakan keadilan yang dipanjangkan daripada tangan Tuhan.

Selain itu, keputusan majlis hakim yang mengambil kira pandangan masyarakat umum juga amat menarik ketika membuat keputusan. Gesaan masyarakat untuk melihat kes ini diadili telah ditunjukkan melalui petisen sekumpulan profesor dan pofesional untuk membela salah seorang terdakwa. Petisyen ini dikenali juga sebagai ‘amicus curiae’ adalah keprihatinan masyarakat umum ke atas hukuman yang bakal dijatuhkan kelak. Dalam kes ini, pembelaan tersebut dianggap sebagai menilai kejujuran dan kebenaran.


Rujukan

CNNIndonesia. (20 September 2022). Daftar 11 Polisi Disanksi Etik Buntut Kasus Ferdy Sambo. https://www.cnnindonesia.com/nasional/20220920184029-12-850437/daftar-11-polisi-disanksi-etik-buntut-kasus-ferdy-sambo.

CNNIndonesia (13 Februari 2023). Media Asing Soroti Vonis Mati Ferdy Sambo atas Pembunuhan Brigadir J. https://www.cnnindonesia.com/internasional/20230213182342-134-912522/media-asing-soroti-vonis-mati-ferdy-sambo-atas-pembunuhan-brigadir-j.

KompasTV. (11 Februari 2023). Guru Besar Turun Gunung, Mungkinkah Eliezer Lepas? (Video). YouTube. https://youtu.be/lPTrHFlR3ig.

TV3, (15 Februari 2023). Bekas Pegawai Kanan Polis Dihukum Mati, Bersalah Membunuh (Video). YouTube. https://youtu.be/O1JuY6Lzj3g.

Utusan Malaysia. (17 Oktober 2022). Perbicaraan kes Ferdy Sambo bermula hari ini.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2022/10/perbicaraan-kes-ferdy-sambo-bermula-hari-ini/.

No comments:

Post a Comment