Tuesday, February 28, 2023

Melangkah ke hadapan, ke arah Wawasan Brunei 2035

Negara Brunei Darussalam baru sahaja menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan Ke-39 pada 23 Februari lepas. Sambutan kali ini bertemakan ‘Menjayakan Wawasan Negara’, satu tekad nasional untuk menjayakan Wawasan Brunei 2035 yang semakin hampir. Selepas 39 tahun merdeka dari British, kedudukan Brunei pada hari ini telah pun menunjukkan kemajuan dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjangkakan penduduk Brunei akan mencecah 540,000 orang pada 2030 berbanding 451,270 orang pada 2023. Dari segi Indeks Pembangunan Manusia, Brunei mencatatkan 0.829 pada tahun 2021. Jangka hayat pula bertambah kepada 75 tahun sejak 15 tahun lepas. Umur ini adalah agak panjang jika dibandingkan negara-negara ASEAN yang lain.

Hal ini adalah kerana sektor kesihatan yang menunjukkan keberkesanan dalam memberi rawatan perubatan dan pencegahan penyakit. Skim perubatan kepada kakitangan awam juga amat menarik iaitu bagi mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas diminta untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Infrastruktur kesihatan ini diberi tumpuan yang lebih menonjol daripada sektor-sektor lain kerana sumber manusia yang sihat akan memberikan kualiti kerja yang lebih produktif.

Dalam konteks pembangunan negara, Brunei, sebuah negara kecil yang terletak di pulau Borneo telah membangunkan ekonomi berasaskan minyak dan gas serta sektor hiliran untuk memacu kemajuan negara. Justeru, platform pendidikan tinggi menyumbang kepada pemangkin sumber tenaga manusia negara.

Terdapat tiga universiti yang menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat dan negara. Pertama, Universiti Brunei Darussalam (UBD) iaitu universiti terawal diikuti Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), seterusnya Universiti Teknologi Brunei (UTB). Selain daripada universiti-universiti ini, terdapat institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan pelbagai bidang pengajian yang bersangkutan dengan pembangunan negara.

Antara institusi pendidikan tinggi swasta ialah Micronet International College Cosmopolitan, Bicpa-Ftms Accountancy Academy, Colleges of Commerce and Technology dan Kemuda Institute. Bidang penyelidikan turut menjadi penggerak kepada pembangunan negara yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik universiti.

Sebagai sebuah negara kecil dengan penduduk yang sedang berkembang, Brunei perlukan banyak pelaburan dalam sektor industri dan perkhidmatan. Justeru, sektor pendidikan diberi tumpuan untuk melahirkan lebih ramai sumber manusia yang kompeten dan bersedia memenuhi permintaan pasaran. Melihat kepada kemajuan yang dicapai setakat ini, persaingan dalam pendidikan semakin meningkat, apatah lagi dengan pertumbuhan ekonomi yang sentiasa perlukan tenaga manusia yang mahir.

Apatah lagi suasana ekonomi dan juga peluang pekerjaan yang sangat kompetitif. Lulusan universiti memenuhi pelbagai sektor pekerjaan yang bersangkutan dengan perkhidmatan dan juga industri dan kerajaan Brunei pada masa ini telah pun membuka ruang dan peluang kepada pihak swasta untuk melabur di negara tersebut. Antaranya adalah projek pembinaan di Brunei-Muara dan Kuala Belait serta Tutong yang menjadi kawasan tumpuan yang dibangunkan dalam tempoh 25 tahun lepas.

Kebajikan rakyat dan penduduk Brunei diberikan perhatian oleh kerajaan Brunei apabila memperkenalkan Sistem Kebajikan Negara. Sistem ini adalah satu platform untuk memudahkan orang awam yang memerlukan bantuan membuat permohonan bantuan kebajikan secara dalam talian (online). Penerima bantuan yang layak akan menerima Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Agihan Wang Zakat Bagi Asnaf Fakir dan Miskin dari Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB). Program bantuan yang lebih sistematik ini dapat membantu agensi pelaksana mengenal pasti secara tepat bilangan mereka yang hidup dalam kemiskinan, kurang upaya dan terpinggir.

Majoriti penduduk Brunei beragama Islam, justeru memahami sejarah dan budaya masyarakat Brunei menjadi sangat penting jika mahu menghargai budaya kehidupan kerana sejarah Brunei sebagai sebuah negara Melayu dapat dijejak lebih daripada 600 tahun lalu. Kehidupan bermasyarakat telah dikelilingi oleh kepercayaan terhadap Islam dan kebudayaan Melayu. Sistem pemerintahan beraja terus diamalkan dalam negara Brunei yang merdeka. Justeru, pengenalan konsep Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai asas pemerintahan telah diangkat dan dimeterai dalam Pengisytiharan Kemerdekaan 1984 sebagai ideologi yang mendasari sosiobudaya dan corak pemerintahan.

Falsafah MIB ini menjunjung Islam sebagai kepercayaan asas pegangan masyarakat, melindungi jati diri bangsa Melayu yang terdiri daripada tujuh puak jati dari bangsa Melayu Brunei (Belait, Bisaya, Brunei, Dusun, Kedayan, Murut dan Tutong) dan menjunjung kedudukan raja sebagai pemimpin yang ditaati dan dikasihi. MIB bukan sekadar platform untuk menjaga kemaslahatan dan kebajikan rakyat yang beragama Islam tetapi turut dimanfaati rakyat yang bukan Islam (Rasinah, 2016; Muhammad, 1999). Berdasarkan titah-titah tentang MIB, pengetahuan mengenai konsep ini telah menunjukkan perkembangan yang positif dari segi kefahaman dan penerimaan yang dapat dilihat melalui pengamalan nilai-nilai MIB dalam kalangan masyarakat secara menyeluruh (Siti Norkhalbi, 2016).

Dalam menjana ekonomi negara, Brunei bergantung kepada hasil minyak dan gas. Namun, program liberalisasi ekonomi telah membuka ruang kepada penjanaan pendapatan dari sektor perkhidmatan yang semakin berkembang. Inisiatif keusahawanan mula mendapat tempat dalam kalangan generasi muda yang turut disokong oleh agensi kerajaan dan swasta seperti penubuhan DARe, LiveWire dan program pelatihan kepada bakal graduan. DARe ditubuhkan pada Februari 2016 bagi menggalakkan pertumbuhan Industri Kecil dan Sederhana ke arah meningkatkan sumbangan ekonomi, pekerjaan dan eksport serta bertindak sebagai penghubung sektor awam dan swasta bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Salah satu syarikat yang berjaya dan diusahakan oleh usahawan muda ialah Fatih Aquaculture yang diuruskan oleh lepasan graduan Universiti Brunei Darussalam. Syarikat ini berhasrat membina 30 sangkar ternakan ikan tilapia merah bagi mengeluarkan 2,000 hingga 3,000 ekor ikan bagi kitaran setiap sembilan bulan. Projek pemeliharaan ikan dalam sangkar terletak di Pulau Keingaran iaitu di perairan Sungai Brunei. Bisnes ini dijangka dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan di samping memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Langkah ini memberi impak besar ke atas perubahan berfikir dan sikap generasi muda untuk tidak bergantung kepada pekerjaan dalam sektor awam.

Kemajuan Brunei dalam pembinaan negara boleh dilihat dari refleksi kedudukan Indeks Pembangunan Manusia setiap tahun. Boleh dikatakan dalam tempoh 25 tahun lalu, keadaan masyarakat Brunei telah berubah sama ada cara berfikir, kemajuan sikap atau perubahan cara hidup.

Pemikiran masyarakat secara umumnya semakin kompleks dengan melihat keupayaan diri mereka sebagai sebuah bangsa dan masyarakat yang sama-sama bersaing dengan negara lain untuk membina sebuah negara yang maju. Dari segi sikap, perubahan yang ketara ialah berkaitan dengan pendidikan yang mereka perolehi daripada sistem pendidikan sedia ada. Dengan adanya tiga universiti dan juga institusi pendidikan yang lain, masyarakat telah berubah daripada bergantung harap kepada kerajaan kepada usaha untuk membina keyakinan diri ke arah bersifat mandiri. Perkara ini juga merupakan satu bentuk perubahan yang menonjol terutama generasi muda. Mereka semakin yakin dan berani untuk bersaing dengan masyarakat antarabangsa kerana menyedari bahawa perubahan pemikiran yang dilalui sejak merdeka itu menjadikan mereka lebih dinamik, kompeten dan juga berani untuk berhadapan dengan cabaran.


Rujukan

Muhammad Abdul Latif. (1999). Melayu Islam Beraja dari perspektif sejarah, Jurnal                Darussalam, 3. Brunei: Pusat Sejarah, pp. 38-63.

Rasinah Haji Ahim. (2016). Peranan raja dalam menegakkan syiar Islam di Brunei    Darussalam. Dalam Menghayati Pemahaman Melayu Islam Beraja. Bandar Seri Begawan,    Brunei: UNISSA Press.

Siti Norkhalbi Haji Wahsalfelah. (2016). Peranan golongan intelektual Brunei dalam konsep    Melayu Islam Beraja. Dalam Asbol Haji Mail, Mohd Yusp Haji Dawang Damit dan Rosli Haji    Ampal (Eds.), Brunei merdeka: Kumpulan artikel memperingati sambutan 30 tahun hari    kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Bandar Seri Begawan, Brunei: Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Brunei population 2023, https://worldpopulationreview.com/countries/brunei-population

Life ecpectancy at birth, total (years)-Brunei Darussalam, https://data.worldbank.org/indicator/SP.DYN.LE00.IN?locations=BN


No comments:

Post a Comment